Temasya Sukan SEA/SEAP adalah merupakan temasya sukan dwi tahunan yang dipertandingkan di antara negara-negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF). Sebanyak sepuluh (11) negara menjadi anggota dan temasya ini juga turut menjemput Negara Timor Leste untuk turut mengambil bahagian.Temasya ini telah dianjurkan sejak tahun 1959 yang dikenali sebagai Sukan SEAP sebelum ditukar kepada Sukan SEA apabila Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina menganggotai SEAGF pada tahun 1977. Temasya ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir di antara negara-negara SEAGF.
Sukan SEA 2001 menjadi ingatan bukan sahaja kerana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah tetapi juga kerana pencapaian 111 pingat emas yang diraih oleh atlet negara – pungutan tertinggi pembabitan kontinjen negara di temasya dwitahunan ketika itu.
Sukan SEA Vietnam 2003 menyaksikan Malaysia memungut 43 pingat emas diikuti dengan 61 pingat emas di temasya Manila 2005. Namun pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur ialah di Sukan Sea Korat 2007 apabila meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.
Sukan SEA Laos 2009 pula dikenang kerana pencapaian skuad bola sepak negara menamatkan penantian kilauan pingat emas selama 20 tahun dengan memenangi ibu segala pingat emas temasya berkenaan. Secara keseluruhan jumlah pungutan pingat emas merosot kepada 40 pingat emas sahaja kerana kurangnya jumlah sukan yang dipertandingkan selain tuan rumah mempertaruhkan banyak jenis sukan tempatan.
Sukan SEA Indonesia 2011 pula menyaksikan negara memungut 58 pingat emas dan paling menggembirakan ialah apabila berjaya mempertahankan pingat emas sukan bola sepak selepas menewaskan pasukan tuan rumah di final.
Temasya Sukan SEA, Nay Pyi Taw, kontinjen negara telah melepasi sasaran dengan meraih 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa. Malaysia kehilangan 28 pingat emas ekoran daripada pihak tuan rumah yang tidak mempertandingkan sukan-sukan yang menjadi kekuatan kontinjen Malaysia.
Atlet negara mempamer prestasi luar biasa pada Sukan SEA 2015 di Singapura apabila berjaya meraih 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa, sekaligus mengatasi kutipan 40 emas pada edisi 2009 di Laos, 2011 di Indonesia (58 emas) dan 2013 di Myanmar (43 emas). Ini menjadikan kejayaan kontinjen Malaysia di Singapura adalah pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 pingat emas.
Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur menjadi temasya paling bermakna buat Malaysia dalam sejarah penyertaan Sukan SEA. Kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan dengan pungutan pingat emas terbesar dengan 145 pingat emas, 92 pingat emas dan 86 pingat gangsa, sekaligus mengatasi pencapaian Sukan SEA 2001.
Aksi di Sukan SEA 2019 Filipina, Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan. Malaysia kehilangan pingat emas disebabkan tuan rumah tidak mempertandingkan sukan-sukan yang menjadi kekuatan kontinjen Malaysia.
Penyertaan di Sukan SEA Hanoi 2021 menyaksikan Kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran 36 pingat emas selepas mengumpul 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa sekaligus berada di kedudukan keenam keseluruhan.
Pada Temasya Sukan SEA Edisi ke-32 Kemboja 2023, Kontinjen Malaysia membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 pingat gangsa untuk kedudukan ke 7 keseluruhan.