Sukan Malaysia (SUKMA) adalah Temasya Sukan yang dianjurkan oleh pihak Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan serta Kerajaan Negeri yang terlibat dalam penganjuran temasya sukan remaja secara dwitahunan ini. Selain bertujuan untuk mencungkil bakat – bakat baru dalam bidang sukan, pemilihan negeri – negeri selaku tuan rumah adalah bertujuan untuk menaik taraf kemudahan sukan di negeri – negeri bagi membantu pembangunan sukan secara keseluruhan di Malaysia.
Temasya ini telah bermula pada tahun 1986 dengan Kuala Lumpur selaku tuan rumah pertama temasya ini. Temasya sukan ini dilaksanakan setiap dua tahun sekali mengikut negeri sehingga tahun 2010. Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan (JKPS) pada tahun 2010 telah memutuskan untuk temasya ini untuk dianjurkan setiap tahun mulai tahun 2011 dengan Majlis Sukan Negara sebagai tuan rumah pada setiap tahun ganjil dalam usaha untuk membangunkan dan mendemokrasikan semua sukan di Malaysia terutamanya sukan pilihan. Walau bagaimanapun temasya Sukan Malaysia pada tahun ganjil telah dihentikan pada tahun 2015, atas sebab agenda sukan negeri yang padat dan kos yang tinggi buat Majlis Sukan Negeri untuk membiayai sebuah kontinjen Sukan Malaysia pada setiap tahun.
SUKMA edisi ke-20 menyaksikan Majlis Sukan Negara diberi mandat oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA untuk mengambil alih tanggungjawab selaku tuan rumah SUKMA 2022 selepas Johor memulangkan semula hak penganjuran ekoran dari impak pasca COVID-19.