Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet Program Podium perlu gembleng usaha ke Olimpik Paris 2024 – Hannah

KUALA LUMPUR: Atlet di bawah Program Podium perlu menjadikan pengumuman elaun bulanan yang ditukar kepada gaji oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai pembakar semangat untuk mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya telah menunaikan hasrat atlet berhubung perkara tersebut dan justeru, sudah tiba masa mereka berusaha sehabis mungkin bagi melayakkan diri ke temasya sukan paling berprestij itu.
“Kita mahu atlet podium bukan sahaja badminton kerana mereka sekarang ini akan tandatangan untuk menerima gaji… jadi atlet kena lihat bahawa latihan sahaja tidak cukup kerana rakyat Malaysia mendoakan mereka serta mahu lihat hasilnya,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di sini.
Beliau berkata masa semakin suntuk dan hanya berbaki beberapa bulan untuk atlet terbabit ke Paris bagi menyertai acara yang akan berlangsung pada 27 Julai hingga 12 Ogos depan.
“Saya mahu mereka pastikan dapat layak dan ambil serius berhubung perkara ini. Bukan semua dapat peluang ini dan belum tentu ada peluang kedua buat mereka pada temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles,” katanya.
Khamis lepas, KBS mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.
Ini bermakna sejumlah 307 atlet dan 86 atlet para di bawah program itu menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Pertubuhan Keselamatan Sosial.
— BERNAMA

Peluang Malaysia ke Sukan Olimpik Paris tertutup, tumpas 0-3 di tangan Kanada

VALENCIA: Skuad hoki wanita negara mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam peringkat Kumpulan B Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila tumpas 0-3 kepada Kanada dalam aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Anak buah Nasihin Nubli Ibrahim bolos seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sara McManus.

Malaysia Tigress terus derita apabila Thora Rae menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke 22.

Barisan pemain negara terus longlai dan McManus memanfaatkan situasi itu untuk meledak gol ketiga Kanada pada minit ke 45, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan ini juga menyaksikan impian skuad negara untuk mara lebih jauh lebur dan akan membuat perhitungan dengan Great Britain untuk melengkapkan aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Persembahan hari ini adalah jauh lebih baik daripada semalam. Walaupun Kanada berada di tangga ke 16 dunia dan juga pasukan yang lebih berpengalaman, namun begitu kami masih dapat beraksi dengan baik terutamanya di suku keempat.

“Saya rasa kita masih lagi kekurangan dari segi kekuatan dan tahap fizikal perlawanan di peringkat antarabangsa,” jelas Nasihin.-Utusan

Malaysian Tigress mula langkah kiri di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara bermula dengan langkah kiri pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mencatatkan kekalahan besar 0-7 kepada tuan rumah Sepanyol, hari ini.
Pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia itu, skuad Malaysian Tigress berjaya bertahan dengan baik pada suku pertama perlawanan sebelum pasukan lawan memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Patricia Alvarez.
Memasuki suku ketiga, permainan kurang meyakinkan anak didik Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membiarkan Sepanyol menyumbat dua gol lagi, masing-masing menerusi Belen Iglesias pada minit ke-37 dan Maria Lopez yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.
Pasukan di ranking kelapan dunia itu terus mendominasi perlawanan apabila Iglesias menyumbat gol keempat (minit ke-52), diikuti jaringan kelima dan keenam oleh Alvarez (minit ke-56 dan 57), sebelum Beatriz Perez melengkapkan gol kemenangan pada minit ke-60.
Skuad hoki wanita negara dijadual bertemu Kanada pada perlawanan kedua peringkat kumpulan esok.
Sementara itu, Mohd Nasihin berkata perlawanan hari ini bukan satu yang mudah buat pasukan wanita negara apatah lagi ini merupakan pertemuan pertama skuad negara dengan Sepanyol yang menduduki ranking jauh lebih tinggi.
“Pertemuan dengan Sepanyol bukan sesuatu yang mudah, dan pemain juga memberikan persembahan terbaik pada suku pertama perlawanan.
“Kita akan cuba curi mata apabila bertemu Kanada yang mempunyai ranking lebih kurang sama dengan kita esok,” katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
— BERNAMA

Malaysian Tigress mula langkah kiri di Sepanyol

SKUAD hoki wanita negara bermula dengan langkah kiri pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mencatatkan kekalahan besar 0-7 kepada tuan rumah Sepanyol pada Sabu.

Pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia itu, skuad Malaysian Tigress berjaya bertahan dengan baik pada suku pertama perlawanan sebelum pasukan lawan memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Patricia Alvarez.

Memasuki suku ketiga, permainan kurang meyakinkan anak didik Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membiarkan Sepanyol menyumbat dua gol lagi, masing-masing menerusi Belen Iglesias pada minit ke-37 dan Maria Lopez yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Pasukan di ranking kelapan dunia itu terus mendominasi perlawanan apabila Iglesias menyumbat gol keempat (minit ke-52), diikuti jaringan kelima dan keenam oleh Alvarez (minit ke-56 dan 57), sebelum Beatriz Perez melengkapkan gol kemenangan pada minit ke-60.

Skuad hoki wanita negara dijadual bertemu Kanada dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Nasihin berkata, perlawanan itu bukan satu yang mudah buat pasukan wanita negara apatah lagi ini merupakan pertemuan pertama skuad negara dengan Sepanyol yang menduduki ranking jauh lebih tinggi.

“Pertemuan dengan Sepanyol bukan sesuatu yang mudah, dan pemain juga memberikan persembahan terbaik pada suku pertama perlawanan.

“Kita akan cuba curi mata apabila bertemu Kanada yang mempunyai ranking lebih kurang sama dengan kita esok,” katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). – Bernama

Badminton Terbuka Malaysia : Jin Wei mara ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 11 Januari – Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei kini berada di landasan terbaik memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berupaya melepasi pusingan pertama kejohanan  Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

Pemain profesional negara berusia 23 tahun itu melangkah ke pusingan kedua kejohanan selepas menewaskan pemain Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18, 21-11, pada Rabu.

Bagaimanapun, Jin Wei bakal berdepan tugas berat pada aksi hari ini apabila dijadual menentang pilihan ketujuh Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.

Ketika ini Juara dunia remaja wanita pada 2015 dan 2018 itu mempunyai peluang cerah untuk layak ke Paris 2024, menduduki tempat ke-28 dalam kelayakan Olimpik.

Jika Jin Wei meneruskan prestasi cemerlangnya di Axiata Arena, beliau akan memperoleh lebih banyak mata berharga untuk menaiki anak tangga dengan mengambil kira status Super 1000 Terbuka Malaysia.-RTM

Tujuh wakil negara mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh wakil negara berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024, yang bakal berlangsung hari ini (11 Jan) di Axiata Arena, selepas masing-masing berjaya memenangi perlawanan pusingan pertama pada semalam dan Selasa.
Pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See menjadi wakil terakhir negara untuk mara ke pusingan 16, selepas bangkit menewaskan wakil Taiwan Chang Ko-Chi-Lee Chih Chen 11-21, 26-24, 21-8, selepas pertarungan selama 63 minit, malam tadi.
Peng Soon berkata walaupun mereka bermula goyah, namun laungan semangat daripada penyokong terbukti meningkatkan motivasi mereka untuk catat kemenangan.
Beregu professional itu, seterusnya akan berdepan saingan sengit daripada pilihan kelima dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, yang menyingkirkan rakan senegara Cheng Xing-Zhang Chi, 21-18, 21-16.
Terdahulu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut mengesahkan tempat mereka ke pusingan kedua selepas bangkit menyingkirkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari 20-22, 21-13, 21-13.
Juara dunia 2022 itu, akan membuat perhitungan ke suku akhir menentang rakan sepasukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang terdahulu menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-17, 22-20.
Bagi kategori beregu campuran Chen Tan Jie-Toh Ee Wei, mara selepas mudah membenam wakil Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-17, 21-18 untuk bertemu Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun, manakala bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei, menewaskan pemain Taiwan Sung Shuo Yun 21-18, 21-11, untuk mencabar pilihan ketujuh Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.
Dua lagi wakil negara, iaitu beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, telah mengesahkan tempat slot pusingan kedua, pada Selasa.
Sementara itu, cabaran tuan rumah dalam kategori beregu wanita berakhir selepas ketiga-tiga wakil yang turun beraksi semalam tersingkir, termasuk Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang tewas kepada beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee, dari Korea Selatan 14-21, 13-21.
Go Pei Kee-Low Yeen Yuan pula kecundang 13-21, 13-21 kepada pilihan kelima dari China Zhang Shu Xian-Zheng Yu, manakala Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kalah 15-21, 16-21 kepada satu lagi wakil negara tembok besar Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan.
Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki turut berakhir, apabila Ng Tze Yong terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan belakang ketika ketinggalan 8-12 menentang Koki Watanabe dari Jepun, pada aksi semalam, manakala Lee Zii Jia tewas kepada Lu Guang Zu dari China, pada Selasa.
— BERNAMA

Jin Wei lepasi halangan pertama dalam kejar impian ke Olimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, terus mengejar impian ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mengatasi halangan pusingan pertama acara perseorangan wanita di kejohanan badminton Terbuka Malaysia, hari ini.
Pemain profesional negara berusia 23 tahun itu,yang masih belum pulih sepenuhnya sejak menjalani pembedahan kolektomi pada 2019 akibat sakit perut, menewaskan pemain Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18, 21-11 di Axiata Arena di sini.
Bagaimanapun, Jin Wei, yang kini menduduki ranking ke-31 dunia, bakal berdepan tugas berat pada pusingan kedua, esok, menentang pilihan ketujuh Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia, yang mara selepas menewaskan Natsuki Nadaira dari Jepun 20-22, 21-18, 21 -14.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Jin Wei berkata beliau sedang memaksimumkan latihannya untuk meningkatkan kecergasan dan kemahiran serta berlatih bersama rakan sepelatih lelaki kerana masih perlu mengejar kelompok 30 pemain terbaik dunia.
“Walaupun menggunakan tempoh cuti sebulan untuk persiapan, saya masih rasa seperti tidak cukup kerana pada satu ketika saya rasa kehilangan fokus. Esok berhadapan dengan Gregoria, dia lebih berpengalaman, tetapi saya menantikan itu.
“Saya benar-benar berusaha sehabis baik untuk melebihi batasan saya setiap hari tetapi masih dalam proses. Matlamat utama saya adalah Olimpik,,,sengat positif mengenainya,” katanya.
Juara dunia junior wanita pada 2015 dan 2018 itu mempunyai peluang cerah untuk layak ke Paris 2024, menduduki tempat ke-28 dalam kelayakan Olimpik.
Jika Jin Wei meneruskan prestasi cemerlangnya di kejohanan tempat sendiri, beliau akan memperoleh lebih banyak mata berharga untuk menaiki anak tangga dengan mengambil kira status Super 1000 Terbuka Malaysia.
Pemain wanita terbaik negara seterusnya dalam ranking itu ialah K. Letshanaa (63), diikuti oleh S. Kisona (85) dan Wong Ling Ching (93).
Mengikut kriteria kelayakan Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.
Sebuah negara hanya boleh mempunyai maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh kelayakan Race to Paris pada 28 April.
— BERNAMA

Malaysian Tigers rasai ketiadaan Faizal – Fitri

Kuala Lumpur: Pemain tengah skuad hoki lelaki negara, Mohammad Fitri Saari mengakui pasukan Malaysian Tigers, ‘tempang’ susulan ketiadaan penyerang berbisa Faizal Saari untuk mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari ini.

Mohammad Fitri mengakui jentera serangan dan penyudah pasukan negara yang dibimbing A. Arul Selvaraj, tumpul tanpa kehadiran Faizal yang juga abangnya.

“Rasa tempang, tak tahu nak cakap macam mana, ketiadaan dia terasa, tapi saya terima keputusan jurulatih,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi latihan menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Minggu lepas, Arul mengumumkan Faizal tidak akan bersama 18 barisan pemain yang akan membawa cabaran negara dalam aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, berikutan kecederaan yang membelenggu pemain itu termasuk masalah gout dialaminya.

Dalam pada itu, Mohammad Fitri berkata beliau sudah kembali cergas dan bersedia mempamerkan aksi terbaik di Oman, setelah tidak bersama pasukan akibat kecederaan lutut yang dialami semasa persediaan ke Sukan Asia Hangzhou 2022, pada September tahun lalu.

“Saya sudah bersedia 100 peratus, dan saya harap kita boleh cipta sejarah di Oman, sebab kita sudah lama tidak beraksi di Sukan Olimpik jadi saya mengharapkan satu keajaiban untuk pasukan, jadi ini ialah misi hidup mati kita, dan peluang terakhir untuk ke Olimpik,” katanya.

Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi di Sukan Olimpik ialah di Sydney pada 2000.

Sementara itu, kapten pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata pasukan sedia ada terdiri daripada kombinasi mantap, apabila hampir kesemua tonggak utama pasukan yang dilaporkan cedera sebelum ini sudah kembali bersama Malaysian Tigers.

“Semua pemain sedia ada tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing, pemain yang sebelum ini tiada semasa Sukan Asia (di Hangzhou) dan pemain utama yang cedera sudah kembali dan itu yang menguatkan pasukan untuk kali ini,” katanya.

Di Oman, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama China, Great Britain dan Pakistan, manakala Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile, diletakkan dalam Kumpulan B.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024 di Muscat adalah pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya tertinggi dunia itu.-Harian Metro

Syafiq rela berkorban demi Olimpik Paris

PEMAIN pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Syafiq Hassan menganggap tersenarai dalam barisan 18 terbaik meng­hadapi Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman bermula 15 Ja­nuari ini sebagai hadiah perkahwinan terbaik buat dirinya.

Syafiq, 26, sebelum ini tersisih daripada skuad ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September lalu disebabkan mengalami kecederaan lutut.

Kini, semangatnya berkobar-kobar untuk membantu Speedy Tigers menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun baru melangsungkan perkahwinan dengan bekas pemain skuad hoki wanita negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim pada 23 Disember lalu.

“Saya memang langsung tak jangka nama akan tersenarai untuk kelayakan (Olimpik) sewaktu majlis kahwin sebelum ini. Sekarang saya rasa lagi teruja untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan.

“Saya tak fikir lagi bab bulan madu, malah isteri pun suruh saya fokus bantu skuad negara. Saya anggap ini sebagai hadiah perkahwinan dan mungkin ada rezeki kami dapat layak ke Sukan Olimpik setelah sekian lama.

“Saya dah sembuh sepenuh­nya dan tahap kecergasan serta intensiti saya juga sama dengan pemain-pemain lain. Saya fokus satu demi satu perlawanan dan mahu berikan yang terbaik di sana nanti,” katanya.

Kali terakhir bintang Maybank itu menyarung jersi negara ketika meraih naib juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, ­India pada Ogos tahun lalu.

Sebagai rekod, skuad bimbi­ngan A. Arul Selvaraj akan memulakan kempen Kelayakan Olimpik dalam Kumpulan A menentang China pada 15 Januari diikuti Great Britain (17 Januari) dan Pakistan (19 Januari).

Jika berjaya meraih tiga terbaik di Oman, ia akan menamatkan penantian 24 tahun Malaysia beraksi di Olimpik sejak kali ter­akhir membuat penampilan di Sydney, Australia pada 2000.-Kosmo

Paris 2024: Zii Jia terap elemen Perancis dalam latihan

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mencuba elemen Perancis untuk diterapkan dalam sesi latihannya, kira-kira enam bulan menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemain berusia 25 tahun itu kini berlatih bersama pemain adik-beradik dari Perancis – Toma Junior Popov dan Christo Popov – bagi mendapatkan pengalaman berdepan berlainan pemain dengan corak permainan yang berbeza-beza menjelang kejohanan Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena bermula hari ini.
Menetapkan Olimpik Paris sebagai sasaran utama, pemain di ranking ke-11 dunia itu berkata sesi latihan berkenaan membantu beliau mendapatkan pengalaman dan keupayaan untuk menghadapi lawan dengan gaya permainan dan kemahiran berbeza untuk menguasai perlawanan.
“Amat baik untuk bermain dengan pemain dari negara lain kerana kita boleh membantu satu sama lain (meningkatkan prestasi). Mereka adalah antara barisan pemain perseorangan terbaik di Eropah. Adalah bagus untuk mempunyai rakan seperlatihan yang berbeza-beza,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan rasmi di sini semalam.
Menduduki tempat ke-11 ranking Race to Paris, juara All England 2021 itu berharap dapat mengesahkan slot ke Sukan Olimpik lebih awal supaya dapat mengurangkan jumlah kejohanan yang akan disertainya tahun ini.
“Buat masa ini, saya akan beraksi dalam kejohanan peringkat Asia, Masters Thailand (30 Jan hingga 4 Feb), dan kemudian di Eropah. Kita tengok macam mana, bergantung juga kepada prestasi saya, kalau layak awal, saya akan kurangkan kejohanan disertai.
“Bertanding dalam banyak kejohanan pun, kalau keputusan tak baik tak guna juga, tak ada kesan. Ranking ke Paris pun ambil 10 kejohanan terbaik sahaja, kalau bertanding 30 kejohanan pun, semua setakat pusingan pertama tidak guna juga,” katanya.
Zii Jia dan seorang lagi pemain negara Ng Tze Yong yang menduduki tempat ke-13 dalam kelayakan ke Paris, mempunyai peluang cerah untuk layak kerana setiap negara mempunyai kuota dua wakil dalam acara perseorangan jika kedua-duanya berada di tempat ke-16 dan ke atas pada tempoh berakhir kelayakan 28 April depan.
Pemain kelahiran Kedah yang akan memulakan kempen Terbuka Malaysia berdepan lawan dari China, Lu Guang Zu hari ini berharap dapat mempamerkan aksi lebih baik kali ini selepas gagal melepasi pusingan kedua sejak penampilannya pada 2019, manakala pada edisi lepas, dikejutkan dengan kekalahan kepada Kodai Naraoka dari Jepun pada pusingan pertama.
Sementara itu, pemain di ranking ke-25 dunia Toma Junior memberikan komen positif berhubung sesi sparring bersama pemain profesional Malaysia itu selepas pernah berlatih bersama untuk kejohanan lain.
“Ia bagus dapat meluangkan masa berlatih bersama kerana saya perlu meningkatkan permainan untuk menjadi dalam kalangan terbaik dunia. Biasanya saya berlatih bersama adik saya, dan kami hampir sama dalam gaya permainan tetapi bagus untuk ada beberapa perubahan. Ini lebih memberikan motivasi.
“Tahun lepas adalah baik bagi saya, berjaya mengejutkan beberapa pemain di ranking lima teratas, dan mara ke separuh akhir beberapa perlawanan. Ini penting untuk beraksi Olimpik di tanah air sendiri. Persediaan ke Olimpik agak panjang dan buat masa ini, kami berdua cuba untuk layak dalam acara perseorangan dan beregu,” katanya.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia