Majlis Sukan Negara Malaysia
Hajat Aaron-Wooi Yik sebelum Olimpik

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berharap dapat menguji kekuatan dengan pasangan utama dunia sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan nombor empat dunia itu sekurang-kurangnya akan beraksi dalam tiga kejohanan sebelum temasya di Paris bermula Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei diikuti Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Saingan Terbuka Indonesia dijangka menghimpunkan semua pasangan utama dunia memandangkan ia kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Bekas juara dunia itu perlu menghasilkan keputusan positif dalam ketiga-tiga kejohanan berkenaan untuk sekurang-kurangnya kekal berada dalam kelompok empat terbaik dunia bagi mendapat kedudukan selaku pilihan di Olimpik Paris nanti.

Aaron, berkata masih banyak lagi ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi mereka.

“Sekarang ini, prestasi kami perlahan-lahan meningkat tetapi kami belum mencapai kemuncak lagi.

“Kami masih ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai dan berharap dapat menentang pasangan utama dunia. Jadi, kami boleh buat persiapan sebelum Olimpik.

“Sebelum temasya bermula, ada tempoh rehat empat hingga enam minggu, jadi penting untuk kami kekalkan momentum dan suasana beraksi dalam kejohanan,” katanya.

Aaron-Wooi Yik yang membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas di Chengdu yang berakhir, Ahad lalu berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang ketika aksi separuh akhir.

Pada aksi berkenaan, Aaron-Woo Yik menang dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 21-17 sekali gus menamatkan badi kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir sebelum itu.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya mencipta kejutan apabila memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.-Berita Harian

Misi 10 saat Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memburu catatan masa 10 saat (s) dalam acara pecut apabila turun beraksi dalam siri perlumbaan Piala Trek Jepun di Velodrom Izu, esok.

Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman, berkata dia mahu mencabar diri untuk memburu catatan masa berkenaan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain acara pecut, juara Asia berusia 20 tahun itu juga akan menyertai acara keirin di Jepun.

“Misi di Jepun, saya nak cuba cecah 10s dalam acara pecut, jika mencecah masa itu, ia menjadi petunjuk peningkatan prestasi.

“Dalam acara keirin pula, saya mahu beranikan diri berdepan pesaing kerana mereka semua adalah pelumba berkelas dunia, saya mahu cabar diri,” kata Nurul Izzah.

Pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu, dia memecah rekod kebangsaan acara pecut pada pusingan kelayakan dengan catatan 10.903s.

“Semua ini saya mahu lakukan kerana berharap dapat mencatat 10s atau 10.9s lagi di Olimpik Paris.

“Ketika ini, catatan pelumba semakin pantas malah di kejohanan Piala Negara-Negara, pelumba yang mencatat masa 11.1s sudah tidak layak, jadi saya perlukan banyak peningkatan,” katanya.

Selain Nurul Izzah, dua lagi pelumba negara yang layak beraksi di Olimpik Paris turut akan menyertai kejohanan di Jepun iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.-Berita Harian

Nur Shazrin mungkin kempunan ke Paris

SEPANG: Atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif kemungkinan ‘terpaksa’ melupakan penampilan kali ketiganya di Sukan Olimpik Paris 2024 berikutan kecederaan pada tangan kanannya ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis baru-baru ini.

Atlet berusia 26 tahun itu memberi bayangan tidak akan bersama kontinjen negara sekiranya tiada ‘lampu hijau’ diberikan oleh pasukan perubatan berikutan tiga jarinya iaitu jari tengah, manis dan kelengkeng tidak dapat digunakan dengan baik.

Menurut Nur Shazrin, ini merupakan kecederaan kali kedua selepas Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Saya ada (sakit) ligamen (dan) saraf tersepit. Lepas suntikan pun (tidak baik). Jadi balik baru jumpa doktor. Kali pertama dulu siku, kemudian pergelangan tangan dan sekarang melarat tiga jari, jadi tak boleh nak genggam dan kebas.

“Sudah tentu ia ganggu (sebab) tangan kanan dan kali ini setiap hari kekuatan angin 25 knot, jadi agak bergelut dengan tangan (sampai) tiga hari. Hari keempat tak boleh guna (sebab) tak boleh nak genggam,” katanya kepada pemberita selepas pulang dari kejohanan di Perancis itu, hari ini.

Menurut atlet kelahiran Johor itu, pemeriksaan lanjut akan dijalankan selewat-lewatnya pada 17 atau 20 Mei ini.

Beliau yang mengutamakan kesihatan diri pasrah jika terpaksa melepaskan peluang ke Paris, namun berjanji akan kembali lebih bersemangat untuk memburu slot ke temasya di Los Angeles 2028.

Terdahulu, Nur Shazrin mengesahkan tiket ke Paris 2024 selepas meraih pingat emas di China dalam kategori Handed Dinghy ILCA 6.

Untuk rekod, Nur Shazrin menduduki tempat ke-33 pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Rio 2016 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020. – BERNAMA

Peluang Azeem catat bawah 10s

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mempunyai sekurang-kurangnya empat lagi kejohanan di Amerika Syarikat (AS) dalam usahanya memburu catatan masa di bawah 10s sekali gus layak secara merit ke temasya Olimpik Paris.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu sekali lagi akan turun beraksi Sabtu ini dalam acara 100 meter (m) di kejohanan LSY Invitational di Baton Rouge, Los Angeles.

Selepas itu dia dijadualkan beraksi di Kejohanan SEC di Gansville, Florida dari 9 hingga 11 Mei, NCAA Preliminaries, Lexington (22-25 Mei) dan Kejohanan NCAA, Eugene Orlando (5-8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14-16 Jun ini.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus memantau pencapaian Azeem dengan mana dia berpeluang cerah untuk layak ke Paris sama ada menerusi catatan masa atau berdasarkan kedudukan ranking sebelum penghujung Jun nanti.

Katanya, Azeem berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan rankingnya dengan muncul juara di Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini.

“Ada beberapa lagi kejohanan yang Azeem akan sertai dan kami harap Azeem akan berlari lebih pantas sebelum dia kembali ke Malaysia.

“10.31s yang dicatatnya baru-baru ini adalah satu isyarat yang baik apabila dia menunjukkan peningkatan berbanding catatan 10.44s yang dilakukan sebelum ini.

“Jadi, kami berharap apabila Azeem tamat kejohanan terakhir di Amerika Syarikat, dia boleh menyertai Terbuka Malaysia. Apapun, saya meletakkan harapan cukup tinggi Azeem mampu capai 10s di AS,” kata Ballard.

Sebagai rekod, pada Ahad lalu, Azeem melakar rekod peribadi terbaik tahun ini dengan mencatat masa 10.31s dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga dalam saringan satu pada Kejohanan Tiger Track Classic di Alabama, AS.-Harian Metro

Nurul Izzah Izzati wajar disenarai ke program Fast Track RTG

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri harus disertakan dalam program Fast Track di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) selepas secara rasmi layak ke ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata langkah itu akan membantu mengembangkan sepenuhnya potensi pelumba berusia 21 tahun itu untuk mencabar pelumba terbaik dunia pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Beliau berkata, Nurul Izzah Izzati, yang mengesahkan penampilan sulungnya dalam Sukan Olimpik Paris 2024 dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini dalam acara keirin dan pecut boleh memaksimumkan keupayaannya dengan sokongan dan latihan yang betul.

“Saya tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk Sukan Paris. Ini penampilan pertamanya jadi kami perlu lebih praktikal dan dia masih mempunyai banyak potensi.

“Penyertaannya di bawah Program Fast Track akan menjadi sangat baik. Walaupun dia mungkin bukan pencabar pingat (di Paris), dia perlu dimasukkan di bawah program itu kerana tumpuan kita sepatutnya empat tahun ke depan, bukannya dua bulan (ke Paris),” katanya kepada Bernama hari ini.

Amarjit berkata, walaupun pelumba itu tidak menyerlah pada penampilan pertama di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI 2024 di Milton, Kanada, minggu lalu apabila menamatkan saingan di tempat kelapan acara kerin namun berjaya layak ke temasya Olimpik.

Pencapaian dua emas masing-masing dalam acara kerin dan 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi Februari lalu turut membantu beliau dalam proses kelayakan ke Paris 2024.

Terdahulu, Amarjit mengumumkan bahawa Nurul Izzah Izzati, bersama-sama jaguh berbasikal trek lelaki Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah melayakkan diri secara rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Majlis Sukan Negara (MSN) telah memulakan Program Fast Track RTG dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemain skuasy Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman serta penerjun Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold telah disenaraikan dalam program Fast Track RTG.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengucapkan tahniah kepada trio berbasikal trek atas kelayakan mereka untuk Paris 2024.

“Saya percaya dengan pengalaman dan tekad mereka, kedua-dua Azizulhasni dan Shah Firdaus akan melakukan yang terbaik bagi menyumbang pingat untuk Malaysia.

“Manakala bagi Nurul Izzah, pelumba muda masa depan kita, saya gembira dia berjaya layak. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terbaik kepada mereka dalam persediaan mereka menjelang Olimpik,” katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA

Tiga pelumba basikal sah ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu menerima pengesahan berhubung perkara berkenaan menerusi pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), awal pagi tadi.

Katanya, UCI secara rasmi mengumumkan kuota perlumbaan trek itu kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) setiap negara.

“Kami berbangga dengan komposisi pasukan trek kita di Paris, apabila Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus layak bagi dua acara iaitu keirin dan pecut.

“Nurul Izzah juga akan membuat penampilan pertama dalam kedua-dua acara di temasya sukan terbesar dunia itu,” kata Amarjit.

Jelasnya, Malaysia akan mempunyai empat wakil daripada sukan berbasikal masing-masing tiga dalam acara trek dan satu lebuh raya selepas Nur Aisyah Zubir muncul pelumba wanita pertama negara layak beraksi di Sukan Olimpik.

Minggu lalu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI, memberitahu Azizul, Shah Firdaus dan Nurul Izzah secara tidak rasmi layak ke Paris, berdasarkan kedudukan ranking yang diumumkan UCI, selepas perlumbaan Piala Negara-Negara di Milton, Kanada.

Katanya, pasukan trek negara sudah merangka program latihan untuk tempoh tiga bulan menjelang temasya itu, bermula dengan latihan pusat di Velodrom Nilai sebelum beralih ke Eropah iaitu Belgium, Sepanyol dan England dan akhirnya terus menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Dengan perkembangan terbaharu itu, sembilan atlet Malaysia secara rasmi layak ke Olimpik selepas penerjun, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) sudah melayakkan diri lebih awal sebelum ini.-Berita Harian

Pearly, Thinaah cari formula hadapi Paris 2024

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menempah slot secara tidak rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah kini fokus mencari formula terbaik dalam usaha menampilkan persembahan luar biasa pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pearly, 24, berkata mereka sedang merangka strategi bersama jurulatih untuk kembali mengesan ‘kelompangan’ corak permainan yang dipamerkan, dengan menganalisis video untuk mengesan kekuatan dan kelemahan mereka.

“Jurulatih berbincang dengan kami mengenai kesilapan sama berpandukan beberapa permainan sebelum ini. Pada permainan pertama kami menang dan apabila mendahului, (mesti) kurang konsisten dan kalah.

“Kami sedang mencari cara untuk menyelesaikan masalah. (Mengenai latihan di luar negara) kami belum mendengar apa-apa daripada jurulatih, kerana mereka sedang fokus pemain ke Piala Uber 2024,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Ditanya sekiranya juara Terbuka Perancis 2022 itu akan memilih bilangan kejohanan yang disertai atau sebaliknya sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Olimpik, Pearly berkata semua keputusan itu diserahkan kepada jurulatih yang pastinya lebih mengetahui tahap keupayaan mereka dalam gelanggang.

Anak jati Kedah itu memaklumkan, Masters Malaysia 2024 dari 21 hingga 26 Mei ini hanya menjadi satu-satunya kejohanan yang diketahui akan berada dalam radar mereka setakat ini.

“Kami bebas daripada kecederaan tetapi perlu fokus untuk menjadi lebih kuat, kerana terdapat banyak kejohanan dengan intensiti tinggi. Saya sudah bersedia dari awal kerana saya ingin beraksi di Olimpik tetapi perlu menjaga kondisi badan, memperkuat otot dan menjaga diri sendiri.

“… Olimpik adalah mimpi setiap atlet (termasuk) saya dari kecil hingga sekarang. Saya amat gembira kerana berjaya layak dan sekarang saya hanya mahu fokus dan berharap untuk memberikan hasil terbaik,” katanya.

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA

Rexy elak Izzuddin-Sze Fei besar kepala

KUALA LUMPUR: Mesti konsisten!

Itu peringatan diberikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kepada beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selepas muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, semalam.

Rexy mengakui pasangan ranking ke-19 dunia itu menampilkan prestasi yang sangat baik sepanjang kejohanan tetapi mengingatkan mereka supaya tidak terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

“Pencapaian mereka sangat baik sepanjang kejohanan. Cuma di set ketiga pada aksi final semalam, mereka dilihat tidak berani dan teragak-agak.

“Saya tidak mahu terlalu memuji kerana apa yang paling utama adalah mereka perlu konsisten selepas ini. Saya bimbang jika terlalu dipuji akan besar kepala,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Izzuddin-Sze Fei tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada aksi final.

Dalam pada itu, Rexy percaya sekiranya Izzuddin-Sze Fei mampu menampilkan prestasi seperti yang ditunjukkan di BAC sejak awal tahun ini, mereka berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kalau dari awal tahun mereka sudah mula menunjukkan prestasi seperti ini, sudah tentu mereka layak ke Olimpik, tetapi sudah terlambat,” katanya.

Kedudukan ranking dunia Izzuddin-Sze Fei dijangka melonjak dalam kelompok 15 terbaik dunia susulan pencapaian dilakar di Ningbo itu.-Berita Harian

Nurul Izzah iringi Azizulhasni, Shah Firdaus ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati akan mengiringi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Nurul Izzah, 20, secara tidak rasminya mengesahkan tiket ke Paris selepas menghasilkan keputusan positif pada perlumbaan pusingan ketiga Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada yang berakhir awal pagi tadi.

Pelumba negara itu tewas di tangan Luz Daniela Gaxiola Gonzalez dari Mexico di pusingan pertama acara pecut individu pada Sabtu lalu tetapi bangkit untuk menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara keirin.

Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) Datuk Amarjit Singh Gill berkata Nurul Izzah, Azizulhasni dan Shah Firdaus secara tidak rasminya sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris bagi acara pecut dan keirin.

“Bagaimanapun, senarai rasmi hanya akan dikeluarkan pada 22 April ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, berkata Nurul Izzah menampilkan prestasi yang baik dalam perlumbaan di Milton.

“Izzah berlatih untuk acara keirin dan dia berlumba dengan menakjubkan. Pencapaiannya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dalam persaingan yang cukup kompetitif membuktikan potensi yang dimilikinya,” kata Beasley.

Beasley turut memberikan pengiktirafan kepada Siri Kejohanan Berbasikal Trek YSD (YSDTS) yang menyumbang kepada peningkatan prestasi ditunjukkan Nurul Izzah.

Katanya, pencapaian itu juga disebabkan sokongan padu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin sejak sedekad yang lalu.

“Kami perlu berterima kasih kepada siri perlumbaan YSDTS kerana di situlah dia mempelajari kemahiran perlumbaan.

“Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Sime Darby di atas sokongan mereka yang luar biasa, tanpa perlumbaan trek ini kami tidak mampu membantu Izzah layak ke Olimpik.

“Sekarang kami perlu menjadikan perlumbaan tempatan ini ke tahap yang lebih tinggi dan kami sudah mempunyai rancangan untuk melakukannya, dan sekali lagi kami berterima kasih kepada YSD, Sport Excel dan Majlis Sukan Negara.

“Dr Yatela sudah menyokong kami selama kira-kira 10 tahun dan ini adalah penghargaan di atas sokongan dan kepercayaan Sime Darby dalam program kami, atlet muda kami semakin meningkat,” kata Beasley.-Berita Harian

Eain Yow rangkul kejuaraan skuasy Terbuka Jerman

PEMAIN skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan Siri Jelajah Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (PSA) pertamanya setelah menjuarai Terbuka Jerman 2024 di Sportwerk Hamburg pada Isnin.

Pemain berusia 26 tahun dari Kuala Lumpur yang juga pilihan keempat kejohanan menewaskan wakil dari Switzerland, Dimitri Steinmann dalam aksi 66 minit kejuaraan bertaraf gangsa tersebut.

Eain Yow bermula garang apabila memimpin dua set awal apabila menang 12-10, 11-8 ke atas lawan ranking 37 berusia 26 tahun kelahiran Zurich tersebut.

Bagaimanapun set ketiga Steinmann bangkit untuk menang 12-10 sebelum Eain Yow menamatkan cabaran lawan 11-3 dalam pertarungan set keempat.

“Satu kelegaan besar apabila dapat melalui cabaran hari ini. Saya berusaha menampilkan persembahan hebat sepanjang minggu dan gembira berjaya mengharunginya.

“Biarpun begitu perlawanan akhir sentiasa berbeza kerana terdapat tekanan tambahan, apabila orang berbeza menghantar mesej sepanjang hari mengenai kemenangan separuh akhir saya semalam.

“Jadi saya tahu hari ini akan menjadi sukar, terutamanya menentang Dimi Steinmann,” katanya.

Eain Yow melangkah ke perlawanan akhir selepas menjinakkan pilihan utama wakil Wales, Joel Makin dalam aksi 73 minit pada perlawanan separuh akhir.

Pencapaian diraih Eain Yow meneruskan momentum dicipta ratu skuasy negara S Sivasangari yang muncul juara kejohanan Klasik London sebelum ini.

Sivasangari, 24, berstatus nombor 13 dunia muncul juara kejuaraan bertaraf emas itu selepas menyingkirkan cabaran bintang nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 untuk mengungguli kejohanan bertaraf emas tersebut di Alexandra Palace London.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia