Majlis Sukan Negara Malaysia
Dahulu jaguh olahraga PARA SUKMA, kini cemerlang di kolam renang

MIRI, 28 April: Selama 18 tahun mewakili Sarawak dalam sukan olahraga pada Para SUKMA, Donny Jaranding sering membutirkan kilauan pingat kepada kontinjen Bumi Kenyalang.

Sejak 1998 hingga 2016, Donny berkata, dia merupakan atlet pecut yang sering bertanding acara 100 meter, 200 meter selain turut beraksi dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.

“Masa itu (dalam) olahraga (Para SUKMA) saya sapu habis kerana sering menyumbang empat pingat untuk Sarawak,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Dataran Kipas Miri di sini hari ini.

Atlet berusia 44 tahun berasal dari Kapit itu yang bertanding kategori masalah penglihatan berkata, sejak 2017 pula dia mula beralih kepada sukan renang.

Bakal bertanding kali terakhir di pentas Para SUKMA berikutan had umur 45 ditetapkan penganjur, Donny berkata dia akan melakukan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri untuk meraih pingat.

“Saya sebenarnya masih mampu bertanding tetapi mereka sudah hadkan umur, jadi untuk edisi akan datang, tiada lagi kelibat saya,” katanya yang pernah meraih pingat perak dan gangsa acara renang sebelum ini.

Sementara itu, bagi Sheena Ong yang bertanding kategori kurang upaya intelektual (ID) turut yakin akan kemampuannya untuk meraih kejayaan di tempat sendiri.

“Saya mula terlibat sukan renang pada 2018 dan pada satu pertandingan empat tahun lepas di Kuala Lumpur, saya memenangi pingat perak dan gangsa,” katanya.

Berbeza pula bagi Raymalos Andrew (atlet kategori cacat fizikal) yang akan bertanding kali pertama pada pentas Para SUKMA.

“Baru – baru ini saya sertai pertandingan di Johor dan Kuala Lumpur sebagai persiapan dan mendapat pingat gangsa.

“Harapan saya pada Para SUKMA tidak besar kerana masih cetek pengalaman namun akan buat yang terbaiklah,” ujarnya.

Sementara itu jurulatih renang Para SUKMA Sarawak Bahagian Miri, Mandu Nyungkan yakin kemampuan anak buahnya untuk menyumbang pingat.

Katanya, atlet di bawah jagaannya sudah menjalani latihan secara konsisten.

“Bagi aspek pendedahan sebelum Para SUKMA, tahun lepas kami sertai kejohanan di luar Sarawak dan Donny menang pingat perak dan gangsa.

“Kami juga berharap kepada Rusdianto Rusmadi yang merupakan perenang kebangsaan malah memegang rekod Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mandu juga memohon agar pihak berkaitan menyediakan fasiliti untuk atletnya menjalani latihan.

Katanya, selama ini mereka menumpang kolam renang di beberapa tempat dan perkara tersebut sedikit sebanyak menganggu fokus.

“Pada Julai tahun lepas, kolam awam ditutup jadi terpaksa kami pinjam kolam di Sekolah Antarabangsa Knewton Miri.

“Tahun ini kami memohon untuk berlatih di kolam Eastwood Valley Golf and Country Club,” tambahnya.

Para SUKMA Sarawak 2024 pada 20 hingga 28 September ini. – TVS.

Sarawak belanja RM300 juta anjurkan SUKMA, Para SUKMA 2024

SEREMBAN: Kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM300 juta bagi menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perbelanjaan itu termasuk membabitkan naik taraf gelanggang sukan, logistik dan penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

“Keseluruhannya Kerajaan Sarawak membelanjakan hampir RM300 juta yang merangkumi kos menaik taraf gelanggang sukan, logistik dan penganjuran temasya berkenaan.

“Kita masih lagi menunggu daripada Kerajaan Pusat berapa banyak yang hendak diberikan subsidi,” katanya kepada pemberita pada majlis Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, lewat petang tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Exco Pembangunan Sukan negeri, Mustapha Nagoor; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kali ini penganjuran temasya dwitahunan itu dianggap yang terbesar kerana membabitkan 37 jenis sukan membabitkan 484 acara.

“Bagi memastikan kejohanan itu dapat dirasai keseluruhan rakyat Sarawak, ia akan berlangsung di sembilan bahagian di negeri itu.

“Antaranya Kuching yang membabitkan 25 jenis sukan, Miri (enam) Samarahan (dua), masing-masing tiga jenis sukan di Bintulu, Sibu dan Mukah serta Senan (satu) dan Sri Aman (satu).

“Secara amnya, kita sudah bersedia dari segala aspek untuk pengelolaan dan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA tahun ini,” katanya.

Sebagai rekod ini adalah kali ketiga Sarawak dipilih sebagai tuan temasya sukan berkenaan selepas tahun 1990 dan 2016.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan akan menghantar seramai 500 atlet dan pegawai dengan penyertaan dalam 30 acara sukan.

Beliau berkata, Negeri Sembilan tidak mengambil bahagian dalam tujuh acara sukan iaitu angkat berat, kriket, golf, judo, bola jaring, ping pong dan pelayaran.

“Kita mensasarkan untuk meraih pencapaian lebih baik sekurang-kurangnya di tempat kesembilan dengan kutipan pingat emas melebihi daripada 19 pingat,” katanya.-Berita Harian

Para Sukma 2024: MPM sasar sifar masalah klasifikasi

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk membasmi masalah klasifikasi bagi atlet paralimpik pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, 20 hingga 29 September ini di Kuching, Sarawak.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, hal itu bertujuan mengelakkan atlet tidak dapat bertanding di temasya tersebut kerana masalah klasifikasi.

“Kita menyasarkan sifar masalah klasifikasi semasa di Kuching kerana kita mahu pastikan semasa temasya berlangsung, tiada atlet yang tidak kesampaian untuk bertanding, jadi kita mahu semua atlet untuk melakukan klasifikasi di negeri masing-masing mengikut segala prosedur dan klasifikasi yang ditetapkan oleh ketua klasifikasi setiap negeri.

“Kita tidak mahu membazir masa dan wang dan kita nak pastikan hanya atlet yang layak sahaja untuk pergi (Para SUKMA 2024),” katanya selepas merasmikan majlis penutup Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Beliau menambah proses klasifikasi tersebut dapat menaikkan martabat Sukan Para SUKMA seperti temasya sukan antarabangsa yang lain iaitu tiada klasifikasi dibuat semasa temasya berlangsung.

Sementara itu, seramai 139 peserta dari semua negeri menyertai Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Klasifikasi Para SUKMA berkata, kursus itu bagi melatih peserta dalam proses klasifikasi bagi memudahkan proses tersebut dijalankan di negeri masing-masing sebelum temasya Sukan Para SUKMA 2024 bermula.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) berkata tiada masalah sekiranya atlet tersebut mahu mewakili negeri selain negeri kelahiran mereka.

“Jika dia nak wakil negeri lain tiada isu, yang penting klasifikasi telah dibuat untuk kurangkan risiko berlaku kesilapan. Jika atlet telah melaksanakan klasifikasi di peringkat negeri, bermakna yang datang ke Sarawak itu memang boleh bertanding (Sukan Para SUKMA),” katanya. – Bernama

Kontinjen Para Sarawak ngambi bagi dalam semua kategori ba Para SUKMA 2024

KUCHING: Kontinjen Para Sarawak deka ngambi bagi ba semua kategori lumba enggau main ti dipekitka dalam Lumba enggau Main Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 kena nyapai tagit nyadi champion.

Menteri Pemansang Indu, Nembiak Mit enggau Pengelantang Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah madahka, nya strategi dikena kontinjen Para Sarawak ngerampas baru gelar champion nya ari nengeri Sabah ti begelar champion sebedau tu.

Para SUKMA 2024 ti diatur kena 20 ngagai 28 September deka bisi 361 iti acara ti mungkur 10 iti lumba enggau main iya nya olahraga, nyemerai, badminton, pingpong, 10pin bowling, boccia, lawn bowls, powerlifting, memanah enggau catur, ti dipelaba digulu 1,400 iku atlet, enggau 600 iku pegawai.

“Kitai ngarapka sekali tu (Para Sukma 2024) Sarawak ulih masuk naka pemayuh (acara) ke ulih dipasuk, nya strategi kitai laban kitai nyadi tuai rumah.

“Tagit kitai (dalam Para SUKMA 2024) deka nyadi champion. Kebendar kitai udah ngaga ‘post-mortem’ kebuah kitai alah maya di Kuala Lumpur, iya nya Sabah udah ngalahka kitai.

“Kitai udah meda nama pengelemi, nama ti enda ngasuh kitai enda mujur nyadi champion. Lalu aku ngasaika ke sekali tu kitai ulih manah agi ari sebedau tu,” ku iya dalam aum pengarang berita seraya madahka Para SUKMA 2024 deka diatur di mengeri besai Kuching.

Dulu ari nya, Fatimah nerima penemuai basa ari raban Opis Menteri Nembiak, Lumba enggau Main, sereta Pemansang Orang Dagang, enggau, ari Opis Menteri Pemansang Indu, Nembiak Mit enggau Pengelantang Komuniti, bekaul enggau Para SUKMA 2024, ti diatur ba rumah iya di Jalan Bakti ditu, kemari.

Berebak enggau tu Fatimah madahka Sapit Menteri iya, Datuk Razi Sitam dipilih baru nyadi ‘Chef de mission’ Para SUKMA.

Iya madahka lagu, logo rasmi enggau maskot deka sama enggau SUKMA 2024.

Sebaka enggau prinsip ke dipegai kitai, ku Fatimah, kelebih agi ungkup atlet Para SUKMA iya nya sida ti nyelai pendiau patut diberi peluang mantaika pengulih enggau peneleba sida dalam lumba enggau main.

“Enti sida ulih menang nya udah tentu manah, tang beri sida peluang.

“Nya alai kitai meransang ni naka pemayuh acara ke  ulih dipasuk atlet kitai, patut diambi, awakka sida bulih peluang enggau peneleba, kelebih agi ke sekali tu kitai nyadi tuai rumah,” ku iya.

Nyerumba Sarawak nyadi tuai rumah Para SUKMA, deka diatur pengerami serumpu makai lemai kena 21 September di Hikmah Exchange Kuching sereta deka digulu tuai dipebasa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Pengerami bejadi Para SUKM diatur kena 22 Septmeber ba Stadium Perpaduan sereta kitai merambu deka nganggauka Tuai Pemegai Menua Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuan Jaafar,” ku iya.-Utusan Borneo

SUKMA 2024: 15,000 penyertaan atlet dan pegawai

KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Bumi Kenyalang Ogos ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan kira-kira 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri dan juga kontinjen jemputan Brunei pada temasya dwitahunan itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sejumlah 37 jenis sukan meliputi 490 acara bakal dipertandingkan dalam temasya yang akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak.

Menurutnya kluster sukan terlibat di selatan Sarawak iaitu Kuching berjumlah 25 jenis sukan, Samarahan (tiga), manakala Serian dan Sri Aman masing-masing satu acara sukan.

“(Wilayah tengah Sarawak) Betong mempunyai satu kluster sukan manakala Sibu dan Mukah masing-masing tiga jenis. (Di utara Sarawak) Bintulu pula mempunyai tiga jenis manakala Miri ada enam jenis sukan.

“Tujuan temasya SUKMA ke-21 diadakan di sembilan bahagian adalah supaya masyarakat di luar Kuching dapat menikmati limpahan ekonomi dan juga memberi peluang kepada atlet menikmati kekayaan budaya masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum,” katanya dalam ucapan pelancaran SUKMA dan Para SUKMA ke-21 di sini, pada Sabtu.

Teks ucapannya dibaca oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pernah menjadi hos SUKMA pada 1990 dan 2016, Sarawak sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah penganjuran SUKMA edisi ke-21 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula pada 20 hingga 28 Sept ini.

Abang Johari berkata bagi Para SUKMA pula sebanyak 10 sukan melibatkan 361 acara akan berlangsung di Kuching dengan anggaran jumlah 1,400 atlet para dan 600 pegawai.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata temasya sukan itu perlu dijadikan contoh dalam mewujudkan persekitaran sukan yang selamat berlandaskan Kod Sukan Selamat yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 15 Mac 2023.

Beliau menyeru agar semua persatuan sukan memasukkan elemen sukan selamat dalam perlembagaan persatuan dan membangunkan polisi sukan selamat masing-masing.

“Melalui persekitaran sukan yang lebih kondusif, ia akan memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk terus memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk kekal bersaing secara berterusan.

“Kod ini juga boleh dijadikan rujukan kepada jawatankuasa pengelola untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelancaran logo serta maskot rasmi SUKMA ke-21 yang menyaksikan kemunculan semula ‘Satria’ dan ‘Satrina’ yang berwajah baharu.

— BERNAMA

Kenali Satria Dan Satrina, Maskot Rasmi SUKMA Sarawak 2024

Maskot enggang jadi lambang rasmi SUKMA Sarawak

Kenali Satria Dan Satrina, Maskot Rasmi SUKMA Sarawak 2024. Satu pendekatan baru terhadap maskot yang dikasihi di Sarawak, Satria dan Satrina, telah diperkenalkan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2024, melambangkan semangat sukan dengan gaya yang diperbaharui.

Perasmian tersebut berlangsung semasa pelancaran Sukma 2024 di Hotel Pullman semalam, di mana Menteri Belia, Sukan, dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberikan hadiah kepada pereka maskot, Ikhbar Ruzaini Abang @ Ebai.

Ikhbar, seorang pereka bebas berusia 42 tahun, diberi hadiah tunai sebanyak RM10,000 dan sebuah piala untuk rekaan inovatifnya.

Dalam temuramah dengan wartawan selepas upacara pelancaran, Ikhbar berkongsi pandangan mengenai proses rekaannya yang teliti.

“Saya merangka penampilan baru bagi kedua-dua maskot dari hujung ke hujung.

“Saya bekerjasama dengan Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) untuk belajar lebih lanjut tentang sifat terperinci burung enggang dan mengelakkan sebarang isu sensitiviti berkaitan dengan haiwan itu,” jelasnya.

Beliau terus menghuraikan butiran terperinci rekaannya, menggabungkan pewarnaan yang kompleks sambil tetap setia kepada warna bendera Sarawak – merah, kuning, dan hitam.

Ikhbar mendedahkan bahawa beliau telah membuat sejumlah 47 ikon yang berbeza untuk maskot, menggambarkan mereka dalam pelbagai aksi sukan, dengan 37 ikon mewakili pelbagai sukan dan 10 ikon didedikasikan untuk acara Para Sukma.

Selain pencapaian Ikhbar, upacara pelancaran juga mengiktiraf sumbangan dua pemenang lain.

Azrilalfatt Hassim diiktiraf kerana mencipta logo baru Sukma 2024, menerima hadiah tunai sebanyak RM10,000 dan sebuah piala.

Sementara itu, Kaderi Awang Lihi diberi penghormatan kerana mencipta lagu rasmi yang berjudul ‘Sukma Sarawak, Kesukanan dan Perpaduan’, serta menerima hadiah tunai sebanyak RM20,000 dan sebuah piala.-iloveborneo

Para Sukma 2024: Sarawak berazam 84 pingat emas, rebut gelaran juara

KUCHING, 7 Mac: Kontinjen Para Sarawak berazam untuk memungut 84 pingat emas pada temasaya Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung pada 20 hingga 28 September 2024.

Chef De Mission Para Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata sebagai tuan rumah Sarawak optimis merebut gelaran juara yang diungguli Sabah pada edisi lepas.

“Kita mempunyai peranan yang sangat besar sebab Sarawak memang dikenalpasti yang mana semua tahu Sarawak telah memegang takhta kejuaraan itu sebanyak 13 kali dan kali ini kita mesti berusaha sehabis baik untuk mendapatkan kembali kejuaraan tersebut.

Mohammad Razi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Temasya Para Sukma Ke-21 di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini

Mohammad Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu memaklumkan, ketika ini kontinjen para Sukma Sarawak sedang giat dipersiapkan.

“Selain daripada itu kami sentiasa memantau kesihatan atlet, itu yang paling penting ,” katanya lagi.

Dalam pada itu Mohamad Razi berkata, Sarawak dijangka akan menurunkan seramai 240 atlet yang akan menjalani saringan pada 31 Julai depan.

“Ia akan melibatkan seramai 120 pegawai untuk Sarawak sahaja,” ujarnya lagi.

Sebanyak 10 acara sukan akan dipertandingkan pada temasya Para Sukma edisi kali ini, antaranya Para Olahraga, Para Renang, Para Badminton, Para Pingpong, Para Tenpin Boling, Boccia, Para Lawn Bowls, Para Powerlifting, Para Memanah dan Para Catur.

Setakat ini sebanyak 15 negeri seluruh Malaysia telah mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini,antaranya Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Terengganu , Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Mohammad Razi lagi, kesemua venue sukan itu nanti akan diadakan di Kuching, Sarawak.

“Setakat ini kita dalam proses penambahbaikan terutama sekali melibatkan venue-venue acara yang akan dipertandingkan,” tambahnya lagi.-TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia