Majlis Sukan Negara Malaysia
Haikal ketepikan perasaan takut kerana BATC

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri sanggup mengetepikan perasaan takut meskipun baru pulih daripada kecederaan hanya semata-mata mahu beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) bermula 13 hingga 18 Februari ini.

Haikal yang bergandingan dengan Choong Hon Jian berkata, kecederaan buku lali yang dialaminya di Masters Indonesia semakin baik dan dia kini sedang melalui fasa pemulihan.

“Buku lali saya semakin baik dan kini saya menjalani latihan dalam masa sama melalui fasa pemulihan. Saya menjalani fisioterapi namun dalam masa sama, saya sering berhubung dengan doktor di ISN (Institut Sukan Negara),” kata Haikal.

Menurutnya, doktor ISN memberitahu berlaku kecederaan kecil iaitu tisu buku lalinya koyak namun dia kini lega kerana proses pemulihan berlaku agak pantas.

“Berita mengenai saya dan Hon Jian terpilih menyertai BATC ketika kami berada di Indonesia. Tetapi selepas berita itu, saya alami kecederaan dan rasa sakit itu menjejaskan pergerakan saya sehingga terpaksa menarik diri dari Masters Thailand.

“Tapi dalam latihan, saya tidak rasa sakit lagi kecuali ketika jika mendarat terlalu kuat. Ia membuatkan saya ada perasaan curiga dan takut-takut dalam gelanggang, ketika latihan,” kata Haikal lagi.

Kali pertama berada dalam skuad BATC, Haikal tidak mahu hanya sekadar dilabel pelengkap pasukan, sebaliknya berharap dapat diturunkan dalam mana-mana perlawanan.

“Dalam kumpulan kita, pasukan lawan tidak kuat kecuali Taiwan. Jadi saya harap dapat beraksi sekali gus membiasakan diri dengan suasana pertandingan. Saya tak mahu jadi pemain simpanan saja,” katanya.

Malaysia yang tampil selaku juara bertahan pada 2022, diundi dalam kumpulan B bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan.-Harian Metro

Pandelela, Dhabitah kecewa di Qatar

KUALA LUMPUR: Harapan menyaksikan penampilan Datuk Pandelela Rinong Pamg di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian selepas selepas ratu terjun negara itu menutup tirai penyertaannya di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar dengan kekecewaan.

Pandelela yang beraksi bersama Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10 meter (m) platform seirama lewat malam tadi, gagal merebut slot kelayakan secara automatik ke Paris selepas menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 16 pasangan.

Gandingan ini menamatkan saingan dengan mengumpul keseluruhan 240.06 mata di Pusat Akuatik Hamad dengan tawaran slot kelayakan menetapkan hanya empat pasukan terbaik layak ke Paris 2024.

Begitupun, Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MS) Andy Low berkata, peluang sememangnya sudah tertutup rapat untuk Pandelela layak ke Olimpik Paris bagi acara 10m platform individu wanita namun bagi 10m platform seirama, Pandelela-Dhabitah masih memiliki harapan sangat tipis untuk ke temasya berkenaan.

Seandainya ada penerjun yang berada di kedudukan teratas sudah layak ke Olimpik menerusi kempen kelayakan sebelum ini dan kekosongan slot itu akan diberikan kepada penerjun di kedudukan lebih bawah.

“Kalau ikutkan 10m plaform individu memang dia sudah tak layak. Untuk 10m plaftorm seirama peluang amat tipis, mungkin boleh tahu dalam tempoh seminggu lagi” kata Andy.

Pingat emas dimenangi gandingan penerjun China, Chen Yuxi-Quan Hingchan dengan 362.22 mata manakala perak diraih Korea Utara, Kim Mi Rae-Jo Jin Min (320.70 mata) dan pasangan Britain, Toulson Lois-Spendolini Sirieix membawa pulang gangsa, 299.34 mata.

Ahad lalu, Pandelela turut terlepas tiket ke Paris 2024 dalam acara 10m platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 penerjun dengan mengumpul 231.15 mata.

Untuk rekod, Pandelela pernah meraih pingat perak di Rio 2016 dan gangsa di London 2016 sejak penampilan sulungnya di pentas Olimpik pada 2008. Pada temasya di Tokyo 2020, Pandelela menamatkan acara 10m platform individu di tempat ke-12 dan kelapan bagi acara 10m platform seirama bersama Datuk Leong Mun Yee.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, Dhabitah mengalami kecederaan dan ia menjejaskan mutu terjunan mereka dalam acara 10m platfrom seirama.

“Malangnya Dhabitah mengalami kecederaan di lengan semasa hari pertama kami tiba di Doha,” kata Bryan.-Berita Harian

Hannah puji mentaliti Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Datuk Azizulhasni Awang mempunyai tahap mentaliti yang kuat dan jaguh berbasikal trek negara itu akan sentiasa menerima sokongan daripada pihak kementerian.

Ahad lalu, Azizulhasni terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri daripada penentuan pingat gangsa dalam acara pecut individu di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia, sehari selepas memenangi emas dalam acara keirin.

Secara keseluruhannya, prestasi tlet berusia 36 tahun itu di Australia nyata menunjukkan tahap kekuatan mentalnya meskipun dibelenggu masalah kesihatan berkaitan jantungnya dan perlu mengambil ubat perikarditis sejak beberapa minggu lalu.

Dua tahun lalu, Azizulhasni atau dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

“Beliau ada doktor dan pasukan ISN (Institut Sukan Negara) yang mengikuti beliau. John Beasley (Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara) sentiasa memberikan maklumat terkini kepada penyelaras RTG (Road To Gold).

“Kita yakin dan kita ikut nasihat pakar, doktor yang ikut beliau. Masalah kesihatan ini bukan semua orang nak dan ia bukan pilihan Datuk Azizul. Jadi kita nak sokong beliau kerana saya lihat kesihatan mental beliau sangat kuat.

“Walaupun dalam keadaan seperti ini, beliau boleh muncul sebagai juara. Itu sebab kita nak terus bagi sokongan kepada Datuk Azizu. Jangan risau mengenai kesihatannya kerana ada doktor di sekelilingnya,” kata Hannah kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, hari ini.

Mengulas mengenai majlis hari ini, nyata gembira dengan tajaan bernilai RM4 juta itu untuk tempoh lima tahun.

“Saya harap ini bukan perjanjian pertama dan terakhir. Kita perlu mewujudkan modul ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak dan F&N Beverages juga sudah pasti ingin memperkenalkan produk mereka melalui acara sukan,” katanya.-Berita Harian

Hannah harap atlet RTG beri yang terbaik

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak mahu ‘mengganggu’ barisan atlet yang sedang berjuang memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun begitu, Hannah berharap barisan atlet yang berada dalam program Road To Gold (RTG) dapat memberikan yang terbaik selepas beliau diminta mengulas kegagalan atlet terjun, Datuk Pandelela Rinong Pamg melayakkan diri ke Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita, Ahad lalu.

“Proses kelayakan Olimpik masih sedang berjalan dan tak nak ganggu atlet yang bertanding sekarang,” kata Hannah ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, hari ini.

Ahad lalu, Pandelela terlepas tiket ke Olimpik Paris 2024 bagi acara 10m platform individu wanita selepas terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Pandelela yang memenangi pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dalam acara itu gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-29 daripada 46 penerjun dan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata selepas lima terjunan.

Bagaimanapun, Pandelela, 30, yang berada dalam program RTG masih mempunyai satu lagi peluang untuk membuat penampilan di Paris 2024 apabila dijadual turun beraksi dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri 11.30 malam ini.

“Dalam RTG, kelayakan (disenarai dalam RTG) ada dua kategori iaitu berada dalam kelompok 10 dan satu lagi pemenang pingat Olimpik yang lalu dan mereka masuk (RTG) secara automatik. Itu sebab Pandelela dan (Nur) Dhabitah (Sabri) ada dalam RTG.

“Apapun, proses (kelayakan) itu masih belum selesai untuk mereka dan saya nak mereka fokus dan pastikan boleh melaksanakannya dengan terbaik.

“Dalam masa sekarang sehingga Paris nanti..seperti disarankan Datuk Lee Chong Wei, atlet kita kena fokus dan berikan 120 peratus bagi memastikan duit dibelanjakan kepada mereka, boleh dimanfaatkan.

“Setakat hari ini, memang segala persiapan atau sokongan kewangan diperlukan setiap atlet RTG itu, sudah pun kita turunkan. Kita harap dari sekarang sehingga Paris, atlet dapat tunjukkan sesuatu,” katanya.-Berita Harian

Jurulatih nikmati gaji baharu

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hari ini meluluskan penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) berkuatkuasa daripada 1 Januari 2024.

Jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan MSN, kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 – kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) – bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan ini.

Untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.

“Sebagai contoh, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan manakala pencapaian pingat di Kejohanan Dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000.

“Elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing.

Penyelarasan terhadap Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan ini diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim yang kali terakhir disemak pada tahun 2014,” tulis kenyataan itu.-Berita Harian

Tze Yong semakin pulih

Kuala Lumpur: Peluang peminat badminton negara untuk menyaksikan semula kemunculan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) minggu depan bakal termakbul apabila tahap kecederaan belakang dialaminya di Terbuka Malaysia awal Januari lalu sudah semakin pulih.

Menurut Tze Yong, proses latihannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada ketika ini berjalan dengan baik dan dua perlawanan awal menentang Brunei dan Kazakhstan bakal menjadi medan pemanas badan untuk dirinya.

“Saya rasa sudah pulih dalam 70 ke 80 peratus. Saya sudah menyertai latihan penuh tetapi mungkin perlu ambil masa lagi,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di ABM, hari ini.

Ujar Tze Yong, dia sudah tidak berasa sakit di bahagian belakang namun belum 100 peratus cergas sepenuhnya.

“Ketika main (latihan), belum lagi dapat rasa (tahap cergas) seperti sebelum ini, memang ada beza. Doktor pun tidak ada memaklumkan (jangka masa pulih sepenuhnya), jadi ia memerlukan sedikit masa,” katanya.

Malaysia yang juga juara bertahan kategori berpasukan lelaki BATC edisi lalu itu diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam Kumpulan B dan bakal membuka tirai saingan bertemu Brunei pada 13 Februari ini.

Ditanya mengenai tahap kesediaannya sekiranya diturunkan pada saingan awal BATC minggu depan, Tze Yong berkata, dia sudah bersedia untuk membantu pasukan negara.

“Rasa minggu depan (BATC) tidak begitu sukar. Lawan Kazakhstan (di perlawanan kedua kumpulan), jadi saya boleh menyesuaikan diri dan lihat sama ada saya boleh 100 peratus ataupun tidak,” katanya biarpun sedar laluan mempertahankan gelaran kali ini bukan mudah.

“Dua tahun lalu, mungkin banyak pasukan yang tak menghantar pasukan terkuat mereka. Tapi kali ini banyak yang hantar, namun saya rasa kami boleh memberikan saingan,” kata Tze Yong.

Cabaran perseorangan akan diketuai Lee Zii Jia selain Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.-Harian Metro

Tarik diri acara pecut, langkah terbaik – Beasley

Kuala Lumpur: Tidak guna memaksa dan ambil risiko, jelas Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley selepas menyaksikan Datuk Datuk Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa acara pecut individu di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia, semalam.

Menurutnya, keputusan menarik diri dibuat kerana pihaknya tidak mahu mengambil sebarang risiko yang boleh mengundang kepada perkara yang tidak diingini membabitkan tahap kesihatan anak buahnya itu.

“Datuk Azizulhasni dalam keadaan baik, kami memutuskan yang dia sudah pun melakukan yang terbaik dan sudah tiba masanya untuk kami menjaganya (kesihatannya). Seperti yang semua tahu, dia tidak berada dalam keadaan kesihatan 100 peratus dan tiada guna untuk memaksa dia dan mengambil risiko,” kata Beasley.

Ujarnya, ia menjadi tanggungjawab mereka untuk mengutamakan kesihatan Azizulhasni dan membantu pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu bersedia untuk Sukan Olimpik Paris.

“Kini, saingan Piala Negara-Negara sudah pun berakhir dan Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon (Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara) sedang mengatur beberapa siri ujian yang akan dilakukan untuk tempoh beberapa minggu akan datang untuk kita bergerak ke hadapan membina momentum menuju ke Paris,” katanya.

Kelmarin, Azizulhasni membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan apabila memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum terkandas di separuh akhir acara pecut individu, semalam yang kemudiannya menyaksikan dia menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa.

Sebelum ini, Beasley mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Dalam pada itu, Beasley pihaknya tidak pernah sesekali meragui tahap kemampuan Azizulhasni untuk kembali bangkit di sebalik masalah kesihatan dialaminya sekali gus kekal sandaran utama untuk menggalas tanggungjawab negara di Olimpik Paris.

“Ramai meragui mengenai kemampuannya untuk kembali pada tahap prestasi terbaik tetapi kami tidak pernah meraguinya. Saya harap seluruh rakyat Malaysia akan terus berada di belakang atlet negara dalam misi untuk ke Paris.

“Bukan mudah untuk menjadi Olimpian dan lebih sukar bagi memenangi pingat. Jadi, teruskan berada di belakang mereka kerana mereka memberikan semuanya untuk anda,” katanya.-Harian Metro

Peluang terakhir Pandelela ke Paris

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong diharap akan kembali bangkit dalam misi untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Semalam, Pandelela terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu wanita apabila gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal mempamerkan prestasi terbaiknya apabila sekadar menamatkan saingan kelayakan di kedudukan ke-29 daripada 46 peserta dengan hanya mengumpul keseluruhan 231.15 mata dalam lima terjunan.

Pandelela bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang untuk membuat penampilan di Paris apabila dia turun beraksi dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri, esok.

Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas mengakui Pandelela gagal menemui rentak terjunannya yang menjadi punca dia ‘tenggelam’ selepas cemerlang dalam terjunan pertama apabila mengutip 72 mata.

“Nampak dia tidak menemui rentak ‘rotation’ dia. Terjunan pertama sangat baik tetapi terjunan kedua dia hilang kawalan manakala terjunan terakhir pula memang tidak disangka (hanya mengutip 22.40 mata).

“Jadi, saya harap dia kembali fokus dan bangkit untuk acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah kerana ia adalah peluang terakhir untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris,” kata Bryan kepada BH Sukan.

Pandelela-Dhabitah perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris.-Berita harian

‘Kami perlu belajar bagaimana untuk dapatkan mata penting’

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bagi melonjakkan lagi prestasi mereka selepas tewas di final Masters Thailand, semalam.

Tang Jie-Ee Wei terlepas gelaran Jelajah Dunia pertama mereka musim ini dan ketiga keseluruhan selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 12-21, 18-21 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nimibutr di Bangkok.

Menurut Ee Wei, kesilapan mudah yang dilakukan terutamanya ketika situasi mata penting telah menghukum mereka dalam perlawanan itu.

“Kami perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan mata penting, itu pengalaman yang ada pada mereka.

“Bukan tidak ada perkara yang positif tetapi kami harus membuat keputusan yang betul jika berdepan situasi sedang merebut mata penting,” katanya kepada SPOTV selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Tang Jie mengakui bahawa dia juga perlu mengambil tanggungjawab di atas kekalahan berkenaan kerana tidak melindungi Ee Wei ketika pasangan lawan melakukan serangan di dalam gelanggang.

“Saya tidak melindungi pasangan saya dengan baik seperti yang dilakukan mereka terutama ketika Ee Wei sedang bertahan, jadi saya harus ambil tanggungjawab ini (atas kekalahan berkenaan),” katanya.

Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei sudah dua kali merangkul gelaran Jelajah Dunia BWF menerusi kejayaan menjuarai Masters Orleans di Perancis dan Terbuka Taiwan, tahun lalu.-Berita harian

Pandelela-Nur Dhabitah perlu ‘seirama’ untuk ke Paris

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Setelah terlepas peluang acara individu, ratu terjun negara Dato Pandelela Rinong diharap bangkit memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam satu lagi acara iaitu 10 meter (m) platform seirama.

Ia merupakan peluang terakhir Pandelela untuk layak ke temasya berprestij dunia itu bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, esok.

Pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata beliau menaruh harapan gandingan berpengalaman Pandelela, 30, dan Nur Dhabitah, 24, mampu merealisasikan peluang terakhir untuk ke Paris kali ini.

Pandelela dan Nur Dhabitah perlu berada dalam kelompok empat terbaik, setelah penerjun dari Perancis, China, Great Britain dan Amerika Syarikat telah mendapatkan empat lagi tiket ke Paris pada kejohanan sebelumnya.

“Banyak perkara tidak berjalan seperti yang dirancang untuk Pandelela dalam acara individu semalam walaupun dia bermula dengan baik dengan terjunan pertama. Saya fikir dia tidak mendapat rentak yang baik dalam beberapa terjunan.

“Bagaimanapun, dia mempunyai satu lagi peluang bersama Dhabitah, harap mereka boleh layak. Saya pasti sebagai penerjun senior, Pandelela akan menyesuaikan diri dan fokus untuk acara seterusnya,” kata bekas pemenang pingat Sukan Asia dan Komanwel itu kepada Bernama.

Bagaimanapun, Bryan mengakui ia menjadi tugas berat buat gandingan negara itu terutama selepas Nur Dhabitah mengalami kecederaan sebelum tiba di Doha.

“Kita mahu mengejar tempat di Olimpik. Ia akan menjadi sukar tetapi kami akan berjuang untuk itu,” katanya.

Semalam, Pandelela terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10m platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 dengan mengumpul 231.15 mata, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Seorang lagi wakil negara Nur Eilisha Rania Abrar Raj menamatkan saingan di tempat ke-44 daripada 46 peserta dengan mengumpul 167.55 mata.

Hanya 18 penerjun layak ke peringkat separuh akhir, untuk merebut 12 tiket Olimpik yang ditawarkan di Doha. Sebanyak 12 penerjun terbaik dari Kejohanan Dunia Fukuoka 2023 telah layak ke Paris.

Pandelela yang meraih pingat gangsa 10m platform di Sukan Olimpik London 2012 dan acara seirama bersama Cheong Jun Hoong pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, berharap dapat membuat penampilan kelimanya sejak penampilan sulung pada edisi 2008 di Beijing, China. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia