Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang June Wei pulih reputasi

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan ketiga negara, Cheam June Wei mengakui Piala Thomas kali ini adalah peluang terbaik untuk dirinya mengukuhkan kembali kariernya di peringkat antarabangsa.

Malah dia turut yakin akan keupayaan pasukan negara untuk meraih kemenangan tatkala berdepan Hong Kong pada perlawanan pembukaan Piala Thomas di Chengdu China Sabtu ini.

Biarpun Hong Kong kini dilatih oleh bekas pemain negara Wong Choong Hann, June Wei berkata Malaysia mempunyai kelebihan jika mengambil kira dari segi ranking.

Namun yang penting adalah untuk terus kekal fokus dan jangan terlalu banyak berfikir.

“Biarpun mereka dilatih Choong Han, saya tidak fikir semangat sepasukan mereka lebih tinggi daripada kita. Malaysia sentiasa terbaik dalam acara berpasukan.

“Saya gembira dan bangga dapat mewakili Malaysia sekali lagi dan akan beri yang terbaik apabila memasuki gelanggang,” katanya yang tampil buat kali kedua di Piala Thomas selepas di Aarhus, Denmark.

June Wei disenaraikan sebagai pemain perseorangan ketiga dijangka akan berdepan Chan Yin Chak ranking 92 atau Jason Gunawan (95) yang mana dia yang kini menghuni ranking ke-63 dunia belum pernah ditemui di mana-mana kejohanan sebelum ini.

Namun dia turut berkemungkinan diturunkan sebagai perseorangan kedua sekiranya Lee Zii Jia atau Leong Jun Hao direhatkan.

Mengulas mengenai persiapan, June Wei yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2021 berkata, ketika ini semua berjalan lancar dan dia berada dalam kondisi terbaik sejak tiga minggu lalu.

Kembali menyertai kem latihan pusat sebaik pulang daripada Masters Sepanyol June Wei berkata, dia kini berada dalam keadaan terbaik serta sudahpun pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya bulan lalu.

Pada saingan kali ini, Malaysia dibarisi empat pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Manakala Hong Kong akan diketuai oleh Lee Cheuk Yiu, Angus Ng Ka Long, Jason Gunawan, Chan Yin Chak dalam acara perseorangan selain Tang Chun Man-Tse Ying Suet, Reginald Lee-Chau Hoi Wah, Him-Yeung Shing Choi dan Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.-Harian Metro

Sivasangari kini ke-11 dunia

Kuala Lumpur: Jaguh skuasy wanita negara S Sivasangari semakin menghampiri kelompok 10 pemain terbaik dunia selepas melonjak dua anak tangga menduduki ranking ke-11 dunia.

Ini ranking terbaik sepanjang kariernya dalam sukan itu selepas berada di kedudukan ke-13 sebelum ini.

Atlet berusia 25 tahun yang baru sahaja merangkul gelaran juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London awal bulan ini mengumpul purata 535 mata berdasarkan laman sesawang rasmi Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Pada kejohanan tersebut, atlet kelahiran Kedah itu mencipta sensasi selepas mengejutkan pemain ranking pertama dunia Nour El Sherbini dari Mesir (suku akhir), ranking keempat dunia Nele Gilis dari Belgium (separuh akhir) dan ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir (final).

Dalam pada itu, dua lagi pemain wanita negara Rachel Arnold (275 mata) dan Aifa Azman (228 mata) masing-masing berada di kedudukan ke-28 dan 36.

Sementara itu, Ainaa Amani kekal di tempat ke-58 manakala Yasshmita Jadish Kumar naik satu anak tangga ke-72 berdasarkan ranking terbaharu itu.-Harian Metro

Tiga pelumba basikal sah ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu menerima pengesahan berhubung perkara berkenaan menerusi pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), awal pagi tadi.

Katanya, UCI secara rasmi mengumumkan kuota perlumbaan trek itu kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) setiap negara.

“Kami berbangga dengan komposisi pasukan trek kita di Paris, apabila Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus layak bagi dua acara iaitu keirin dan pecut.

“Nurul Izzah juga akan membuat penampilan pertama dalam kedua-dua acara di temasya sukan terbesar dunia itu,” kata Amarjit.

Jelasnya, Malaysia akan mempunyai empat wakil daripada sukan berbasikal masing-masing tiga dalam acara trek dan satu lebuh raya selepas Nur Aisyah Zubir muncul pelumba wanita pertama negara layak beraksi di Sukan Olimpik.

Minggu lalu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI, memberitahu Azizul, Shah Firdaus dan Nurul Izzah secara tidak rasmi layak ke Paris, berdasarkan kedudukan ranking yang diumumkan UCI, selepas perlumbaan Piala Negara-Negara di Milton, Kanada.

Katanya, pasukan trek negara sudah merangka program latihan untuk tempoh tiga bulan menjelang temasya itu, bermula dengan latihan pusat di Velodrom Nilai sebelum beralih ke Eropah iaitu Belgium, Sepanyol dan England dan akhirnya terus menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Dengan perkembangan terbaharu itu, sembilan atlet Malaysia secara rasmi layak ke Olimpik selepas penerjun, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) sudah melayakkan diri lebih awal sebelum ini.-Berita Harian

Liek Hou gondol dua emas di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan para negara Cheah Liek Hou terus mencipta sensasi apabila menggondol dua pingat emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2024 Tahap 2 di Vitoria-Gasteiz, Sepanyol, hari ini.

Kecemerlangan pemain berusia 36 tahun itu bermula apabila merangkul emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-13, 21-8 pada perlawanan final, demikian menurut lawan https://bwfpara.tournamentsoftware.com/.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu kemudian menambah kilauan emas selepas bergandingan dengan Muhammad Fareez Anuar pada final beregu lelaki SU5 dengan mengatasi pasangan dari India, Rajkumar-Chirag Baretha 21-16, 21-19 dalam tempoh 29 minit.

“Kami akan bertolak ke Toledo selepas ini untuk ke Kejohanan Tahap 1 seterusnya di Sepanyol juga. Saya cuma berharap saya dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan di Toledo minggu depan demi negara.

“Terima kasih banyak kepada semua yang telah menyokong saya terutamanya penaja yang sering percaya kepada saya akan cemerlang di pertandingan,” kata juara dunia 2024 itu dalam hantaran di Facebooknya. – BERNAMA

Para Sukma 2024: MPM sasar sifar masalah klasifikasi

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berhasrat untuk membasmi masalah klasifikasi bagi atlet paralimpik pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, 20 hingga 29 September ini di Kuching, Sarawak.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, hal itu bertujuan mengelakkan atlet tidak dapat bertanding di temasya tersebut kerana masalah klasifikasi.

“Kita menyasarkan sifar masalah klasifikasi semasa di Kuching kerana kita mahu pastikan semasa temasya berlangsung, tiada atlet yang tidak kesampaian untuk bertanding, jadi kita mahu semua atlet untuk melakukan klasifikasi di negeri masing-masing mengikut segala prosedur dan klasifikasi yang ditetapkan oleh ketua klasifikasi setiap negeri.

“Kita tidak mahu membazir masa dan wang dan kita nak pastikan hanya atlet yang layak sahaja untuk pergi (Para SUKMA 2024),” katanya selepas merasmikan majlis penutup Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Beliau menambah proses klasifikasi tersebut dapat menaikkan martabat Sukan Para SUKMA seperti temasya sukan antarabangsa yang lain iaitu tiada klasifikasi dibuat semasa temasya berlangsung.

Sementara itu, seramai 139 peserta dari semua negeri menyertai Kursus Klasifikasi Kebangsaan MPM selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Klasifikasi Para SUKMA berkata, kursus itu bagi melatih peserta dalam proses klasifikasi bagi memudahkan proses tersebut dijalankan di negeri masing-masing sebelum temasya Sukan Para SUKMA 2024 bermula.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) berkata tiada masalah sekiranya atlet tersebut mahu mewakili negeri selain negeri kelahiran mereka.

“Jika dia nak wakil negeri lain tiada isu, yang penting klasifikasi telah dibuat untuk kurangkan risiko berlaku kesilapan. Jika atlet telah melaksanakan klasifikasi di peringkat negeri, bermakna yang datang ke Sarawak itu memang boleh bertanding (Sukan Para SUKMA),” katanya. – Bernama

Tindakan Yi Wen ‘ingkar’ nasihat doktor berbaloi

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Chan Yi Wen mengakui puas apabila berjaya mengesahkan tiket ke Kejohanan Skuasy Dunia buat kali pertama selepas menjuarai pusingan kelayakan Zon Asia, hari ini.

Yi Wen memastikan tiket ke kejohanan berprestij itu selepas menundukkan rakan senegara, Sehveetrraa Kumar 11-6, 11-3, 11-3 dalam tempoh 24 minit pada aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini.

Juara Piala Cabaran Skuasy Hong Kong 2024 itu, berkata dia gembira apabila dapat menebus kekecewaan tahun lalu yang menyaksikan dia terlepas tiket ke Kejohanan Dunia selepas terkandas di pusingan kelayakan.

Katanya, keputusan ‘mengingkari’ nasihat doktor untuk dia berehat selama tiga bulan susulan kecederaan buku lali dialami pada Februari lalu berbaloi dengan pencapaian layak ke Kejohanan Dunia buat kali pertama dalam kerjayanya

“Saya disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali dan koyak pada ligamen pada Februari lalu.

“Doktor beritahu bahawa saya sepatutnya berehat tiga bulan tetapi saya cakap tidak boleh kerana saya perlu bermain kejohanan penting tahun ini.

“Saya cakap kepada doktor, percaya pada saya kerana saya mampu buat keajaiban.

“Jadi, saya menjalani fisioterapi dan ia sedikit sebanyak membantu saya untuk turun bersaing pada kejohanan ini. Saya gembira kerana berjaya meraih slot ke kejohanan dunia buat kali pertama,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Malaysia terlepas tiket dalam acara perseorangan lelaki selepas wakil negara, Addeen Idrakie Bakhtiar tewas di pentas final.

Addeen terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tunduk di tangan pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue 9-11, 8-11, 3-11.

Yi Wen akan menyertai empat lagi pemain negara yang sudah melayakkan diri lebih awal iaitu Ng Eain Yow, S Sivasangari, serta Aira Azman dan Aifa Azman.

Kejohanan Skuasy Dunia akan berlangsung di Kaherah, Mesir dari 8 hingga 9 Mei ini.-Berita Harian

Piala Thomas: Tze Yong digugurkan, Hon Jian isi kekosongan

[DIKEMAS KINI] NG Tze Yong disahkan tidak akan beraksi pada Piala Thomas 2024 dan kekosongan ditinggalkan naib juara Terbuka Artik 2023 itu akan digantikan dengan pemain beregu, Choong Hon Jian.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai semalam setelah perbincangan mendalam bersama barisan kejurulatihan serta pengurusan.

“Kita gugurkan (Tze Yong) kerana keadaan dia tak memungkinkan untuk main, jadi kita buat keputusan dalam mesyuarat setelah berbincang.

“Kita memilih Hon Jian berdasarkan perbincangan dengan jurulatih beregu dan perseorangan selain perbincangan pihak pengurusan…kita harus melihat (keputusan) ini yang diperlukan pasukan dalam Piala Thomas,” katanya kepada pemberita di ABM Bukit Kiara di sini pada Jumaat.

Selasa lepas Rexy memaklumkan Tze Yong perlu menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) susulan kecederaan tulang belakang yang dialaminya sekali gus bagi menentukan tahap kecergasan pemain di ranking ke-18 dunia itu.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan itu pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Februari lepas dan telah menjalani pembedahan.

Rexy berkata, pemain negara ketika ini berada dalam keadaan positif untuk bertarung di China serta berharap Hon Jian, 23, akan menyertai kem latihan pusat di ABM secepat mungkin untuk mendapatkan semangat kerjasama berpasukan.

“Orang melihat bahawa pasukan kita ini seperti kelam-kabut tapi kita menunjukkan bahawa kita tetap fokus dan kem latihan ini berjalan lancar…dan saya rasa ini mungkin suatu kesempatan (untuk Hon Jian dan pasangannya Muhammad Haikal Nazri), mereka teruja (dengan) kesempatan yang diberikan,” katanya.-Sinar Harian

Jangan abai peruntukan untuk pembangunan sukan – Hannah

KERAJAAN negeri dinasihatkan untuk tidak ‘menganaktirikan’ atau menganggap agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan sukan tidak penting dalam belanjawan negeri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu merupakan pelaburan kerajaan negeri bagi memastikan setiap atlet dapat menjalani sesi latihan di fasiliti yang dibangunkan kerajaan Persekutuan dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diselenggara.

“Pembangunan sukan melibatkan komitmen kerajaan negeri. Kalau kita lihat untuk penglibatan dalam SUKMA (Sukan Malaysia), kalau kerajaan negeri tidak melabur dan tidak hantar atlet, maka acara boleh digugurkan daripada SUKMA sebab tidak cukup penyertaan dari negeri.

“Untuk sukan itu berjaya, ia bukan bermaksud penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) sahaja, tetapi melibatkan penglibatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di sini pada Jumaat.

Hannah berkata demikian bagi mengulas pengumuman pengguguran acara futsal wanita dan terjun 10 meter platform wanita dari SUKMA ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos ini.

Pada 6 April lepas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata, kedua-dua acara itu terpaksa digugurkan kerana kurang jumlah penyertaan.

Menurut Hannah, sokongan dan pelaburan daripada kerajaan negeri dalam sektor sukan amat diperlukan bagi membantu KBS menjayakan setiap perancangan bagi memperkasakan sektor sukan serta atlet negara. – Bernama

Sedia hadapi apa sahaja di Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi peringatan supaya setiap pemain yang terpilih untuk menggalas cabaran di Piala Thomas 2024 perlu sentiasa berdepan setiap kemungkinan.

Berdasarkan beberapa situasi semasa termasuk penyertaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang masih belum dapat disahkan, Rexy mahu setiap pemain bersedia dan mempunyai fokus sebagai satu pasukan di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

“Pengalaman saya bermula sebagai pemain sehingga jurulatih di Piala Thomas, sesiapa pun jurulatih yang ada dalam pasukan akan memberitahu setiap individu dalam pasukan supaya perlu mampu beraksi dalam apa juga disiplin.

“Oleh itu, sesiapa pun harus bersedia, walaupun anda beraksi dalam acara beregu… sebab itulah ia dipanggil berpasukan.

“Sama seperti bola sepak, jika penjaga gol dilayangkan kad merah, pemain pertahanan atau sesiapa sahaja perlu mengambil tanggungjawab menggantikan tempatnya. Jadi sesiapa pun di dalam pasukan perlu bersedia sepenuhnya,” kata Rexy.

Status Tze Yong dalam pasukan sebelum ini mencetuskan tanda tanya selepas pemain berkenaan perlu menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) dan bertemu doktor yang merawatnya.

Dalam pada itu, Rexy sudah mempunyai ‘Plan B’ sekiranya Tze Yong tidak dapat disenaraikan, dan berkemungkinan menggantikan pemain berusia 23 tahun itu dengan pemain di ranking lebih rendah berbandingnya.

“Kalau dilihat kepada situasi sekarang, Eogene (Ewe) adalah pilihan utama. Perubahan pemain boleh dilakukan ketika mesyuarat pengurus pasukan nanti,” katanya.-Berita Harian

MPM usul pakai alat pengesan di Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merancang untuk mengaplikasikan alat pengesan pada tangan kepada seluruh kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 sebagai langkah keselamatan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Malaysia akan membawa usul langkah berkenaan dalam satu mesyuarat di Paris yang dijadual berlangsung pada Jun ini dan teknologi itu mampu untuk mengesan pergerakan peserta kontinjen negara.

“Di pihak MPM, saya sudah berjumpa dengan dua syarikat yang mungkin akan menyediakan alat pengesan ini untuk memastikan pergerakan atlet kita… dari stadium ke perkampungan sukan.

“Masalah kita adalah pada atlet yang habis cepat (tewas), dan mereka mempunyai banyak masa. Bila banyak masa, mungkin nak berjalan jadi kita tak mahu perkara tak diingini berlaku (ketika di luar perkampungan sukan) dan sebab itu kita tegas dengan perkara ini.

“Ancaman itu boleh datang dari macam-macam perkara. Contohnya seperti Persatuan Keretapi Perancis yang tak nak membawa tren baru-baru ini (mogok). Bas dan juga apa semua termasuklah konflik yang sedang berlaku Israel-Palestin.

“Kadangkala ancaman itu untuk orang lain, tetapi kalau atlet kita ada di tempat itu, bagaimana?,” kata Megat kepada media selepas Majlis Penutup Projek Rimau Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu Megat berkata, keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan mungkin hanya akan dapat diketahui sebulan sebelum temasya membuka tirainya, hujung Ogos ini.

“Bayangkan juga kalau apa-apa terjadi… tak balik, telefon tak dapat, data tak ada, tercicir dompet. Bagaimana kita nak tahu di mana atlet kita berada?. Jadi inilah satu idea yang kita nak cuba. Apapun, kita perlu dapatkan kelulusan sama ada kita boleh bawa alat itu di Paris ataupun tidak kerana ada sekatan yang mungkin digunapakai di sana.

“Sebab itulah, pada Jun ini kita akan usulkan dan dapatkan keputusan.

“Kalau boleh lebih 20 atlet kerana sebelum ini di Tokyo 2020, kita ada 23 atlet. Jadi kita sasar lebih daripada itu, 20 atlet… kita nak 20 atlet ke atas. Kalau boleh 25 itu yang kita mahukan. Seluruh kontinjen pula (dijangkakan) dalam 45 termasuk pegawai, doktor dan juga jurulatih,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia