Majlis Sukan Negara Malaysia
Ee Yi-Yew Sin cemas sebelum mara

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin cemas sebelum mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Jerman, hari ini.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan beregu Denmark yang berada di kedudukan ke-35 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada pusingan kedua di Westenergie Sporthalle di Mulheim an der Ruhr.

Pada aksi itu, Ee Yi-Yew Sin menang set pertama 21-14 tetapi tewas 19-21 di set kedua sebelum kembali bangkit memenangi set ketiga 21-10 sekali gus mara ke kelompok lapan terbaik.

Sebagai rekod, ini kali kedua Ee Yi-Yew Sin berjaya melayakkan diri ke suku akhir selepas Terbuka Malaysia, awal bulan lalu.

Pasangan itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dengan Christopher Grimley-Matthew Grimley dari Scotland bagi perebutan tiket ke separuh akhir esok.-Berita Harian

Badminton paling banyak terima peruntukan dalam Program RTG

Kuala Lumpur: Atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara yang paling banyak menerima peruntukan dalam Program Road To Gold (RTG) sepanjang 2023 dengan jumlah lebih RM1.82 juta daripada jumlah keseluruhan RM 3.53 juta.

Menurut Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, segala perbelanjaan itu digunakan untuk lima jenis sukan bagi membantu atlet di dalam program khusus di Olimpik Paris 2024 untuk menamatkan ‘kemarau’ emas pertama buat Malaysia.

Jelasnya, selain atlet di bawah BAM, atlet lain yang terbabit adalah atlet profesional badminton negara, hoki, angkat berat, terjun dan berbasikal.

“Antara pecahan perbelanjaan itu adalah atlet terjun, mereka menerima peruntukan sebanyak RM458,177.45, berbasikal RM 465,239.66 dan angkat berat RM20, 025.44.

“Sementara pemain hoki Malaysia terima RM342, 903.62 dan atlet profesional badminton negara pula terima RM1,068,085. 24,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Program RTG yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Terdahulu Arena Metro melaporkan nasib dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akhirnya terjawab apabila mereka digugurkan daripada Program RTG.

Ini susulan prestasi mereka kurang memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha sekali gus gagal menempah slot ke Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil satu-satunya dari sukan terjun turut diletakkan dalam Program RTG.

Senarai terkini atlet Program RTG menyaksikan seramai 13 atlet berada dalam program berkenaan.

Bagi sukan badminton ialah Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin Teo Ee Yi, Pearly Tan, M Thinaah, Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Eei Wei.

Untuk wakil dari sukan berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Rhodict (terjun). -Harian Metro

Program Fast Track diperkenal bagi LA2028

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memperkenalkan Program Fast Track dalam misi memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Program berkenaan turut mendapat kerjasama dan diletakkan di bawah Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

Timbalan Ketua Pengarah MSN (Pembangunan Sukan), Jefri Ngadirin berkata, program itu diwujudkan bagi melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul emas di LA2028.

Beliau berkata sukan yang dipilih bagi program itu setakat ini adalah terjun dan skuasy.

Katanya, setakat ini enam atlet sudah disenaraikan dalam Program Fast Track iaitu dua penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold serta empat pemain skuasy negara – Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.

“Antara kriteria ditetapkan atlet perlu memenangi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta menghuni ranking 20 terbaik dunia.

“Jadi kami berharap prestasi semua atlet yang diserap ke dalam Program Fast Track dapat melonjak menjelang Sukan Olimpik 2028,” katanya ketika sidang media Jawatankuasa RTG di sini, hari ini.-Berita Harian

Hadiah kereta buat pemenang pingat Paris 2024

KUALA LUMPUR: Ganjaran berupa sebuah kereta menanti atlet negara yang berjaya memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya mendapat komitmen daripada syarikat antarabangsa yang menawarkan ganjaran berupa kereta kepada pemenang pingat di Paris.

“Dalam persiapan RTG (Road to Gold) ke Paris, kita sudah mula menerima tawaran daripada satu syarikat yang menawarkan kereta untuk atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun Hannah berkata pihaknya turut berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat jenama Malaysia akan tampil memberi sokongan untuk memberikan ganjaran kepada atlet negara khususnya yang berjaya memenangi emas pertama Malaysia di Paris.

“Kita menjemput kalau ada GLC atau jenama Malaysia yang berminat untuk memberikan ganjaran sekiranya ada atlet yang boleh dapatkan emas Olimpik pertama Malaysia.

“Jika ada yang berminat boleh hubungi Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

“Kita mahu beri peluang kepada jenama Malaysia kerana sekarang jenama dari luar negara sudah datang untuk bagi kita tawaran,” katanya.

Ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta kepada pemenang emas Sukan Olimpik.

Bagi pemenang perak pula, mereka akan menerima ganjaran RM300,000 manakala gangsa RM100,000.

Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.-Berita Harian

RM3.53 juta sudah dibelanjakan untuk atlet RTG

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3.53 juta sudah dibelanjakan untuk atlet di bawah program Road to Gold (RTG) sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 sepanjang tahun lalu.

Sukan badminton menerima peruntukan tertinggi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,250,731.17.

“Sebanyak RM1,182,645.93 dibelanjakan untuk pemain badminton di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan RM1,068,085.24 untuk pemain profesional.

“Sebanyak RM465,239.66 untuk berbasikal, RM458,177.45 untuk terjun, RM342,903.62 hoki dan RM20,025.44 untuk angkat berat,” kata Penyelaras Jawatankuasa Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam ketika sidang media, di sini, hari ini.

Stuart berkata perbelanjaan berkenaan adalah untuk khidmat sokongan tambahan kepada atlet dan ia tidak termasuk wang dibelanjakan daripada Program Podium.

“Wang yang dibelanjakan untuk 2024 tidak termasuk dan kita akan tahu selepas tamat Sukan Olimpik Paris pada Ogos,” katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan, buat pertama kalinya kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris akan menerima perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan tambahan di premis Team MAS House yang terletak di Paris.

“Usaha ini disediakan adalah untuk penjagaan dan sokongan sebanyak mungkin untuk atlet yang berada di luar Perkampungan Sukan yang mana akses yang terhad terhadap perkhidmatan yang boleh diberikan kepada atlet,” katanya.-Berita Harian

Pengguguran Pandelela, Dhabitah ikut kriteria ditetapkan RTG

KUALA LUMPUR: Dua penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada program Road to Gold (RTG).

Perkara itu diumumkan Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam dalam satu sidang media, hari ini.

Stuart berkata, kedua-dua atlet berkenaan sudah melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara sepanjang tahun tetapi malangnya mereka tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang menjadi acara kelayakan terakhir baru-baru ini.

“Tetapan kriteria program RTG yang jelas, jawatankuasa membuat keputusan untuk mengeluarkan Pandelela dan Nur Dhabitah daripada program RTG.

“Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara.

“Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Pandelela dan Nur Dhabitah menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan,” kata Stuart.

Turut hadir dalam sidang media itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang kedua-duanya adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG.

Menurut Stuart, dengan penyingkiran kedua-dua atlet berkenaan daripada program RTG, alatan latihan yang dibiayai oleh RTG akan menjadi pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua penerjun kebangsaan.

“Alatan latihan seperti platform latihan gim kering baharu, pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA (yang akan tiba tidak lama lagi) akan menjadi pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua penerjun kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil tunggal negara layak beraksi di Paris disenaraikan dalam RTG bagi membantunya melakukan persiapan menghadapi temasya terbesar itu.

Katanya, sebaik temasya di Paris berakhir, Rhodict akan terus diserapkan dalam ‘Program Fast-Track’ yang sudah diluluskan oleh Jawatankuasa RTG dengan misi membentuk atlet muda dan berbakat berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Rhodict disenaraikan dalam Program Fast Track dan Jawatankuasa RTG hari ini (semalam) memutuskan untuk memasukkan dia ke dalam Program RTG bagi memberikan sokongan segera ke Sukan Olimpik Paris.

“Dia kekal sebagai prospek kukuh untuk pingat di Sukan OlimpikLA2028. Rhodict akan disokong melalui latihan di luar negara dan perkhidmatan sokongan menjelang Sukan Olimpik Paris.

“Sebaik sahaja Olimpik Paris berakhir, Bertrand Rhodict akan ditempatkan dalam Program Fast Track,” katanya.

SenaraiAtlet RTG

Badminton

1. Aaron Chia

2. Soh Wooi Yik

3. Pearly Tan

4. M Thinaah

5. Ng Tze Yong

6. Ong Yew Sin

7. Teo Ee Yi

8. Chen Tang Jie

9. Toh Ee Wei

Berbasikal trek

1. Datuk Azizulhasni Awang

2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom

Terjun

1. Bertrand Rhodict Lises

Angkat berat

1. Mohamad Aniq Kasdan

-Berita Harian

Contohi kejayaan skuad hoki 5s

KUALA LUMPUR: Pencapaian skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara yang muncul naib juara Piala Dunia di Muscat, Oman, Januari lalu wajar dijadikan contoh oleh pasukan hoki kebangsaan yang lain.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata kejayaan yang dilakar skuad bimbingan Wallace Tan itu meletakkan Malaysia sebagai salah satu negara sukan yang sedang meningkat naik sekali gus menaikkan martabat negara di persada sukan antarabangsa.

Katanya, ia detik bersejarah buat sukan hoki negara, lebih-lebih lagi ia adalah Piala Dunia sulung buat hoki 5s.

“Kerja keras serta usaha anda selama ini berjaya menaikkan status Malaysia sebagai negara sukan yang meningkat naik. Kejayaan menjadi naib juara boleh menjadi contoh terbaik buat pasukan-pasukan hoki kebangsaan yang lain.

“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjas keras pengerusi jawatankuasa hoki 5s, Hasnizam Hassan yang meyakinkan MHC bahawa acara ini boleh membuahkan hasil dan ia sudah terbukti,” katanya.

Malaysia terlepas gelaran juara selepas tewas 2-5 di tangan Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.

Meskipun gagal membawa pulang trofi kejuaraan namun kekecewaan itu sedikit terubat apabila kapten skuad negara, Akhimullah Anuar Esook dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sementara itu, Subahan turut memuji kegigihan skuad hoki 5s wanita meskipun mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas tewas 4-8 kepada Uruguay dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

“Kepada pasukan wanita, satu pencapaian yang baik menamatkan saingan di kedudukan keenam dan kami tabik kepada anda. Bukan sesuatu yang mudah berdepan lawan sukar, namun anda semua sudah memberikan segala-galanya,” katanya.-Berita Harian

Soon Huat-Shevon, Kian Meng-Pei Jing mara di Jerman

BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 yang berlangsung di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim pada Rabu.

Tampil dengan status nombor 14 dunia, Soon Huat-Shevon Lai menewaskan gandingan nombor 77 dunia dari India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh.

Kemenangan straight set 21-12, 21-11 dalam masa 23 minit membolehkan pilihan keempat itu berdepan gandingan dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dalam kejuaraan Super 300 tersebut.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menduduki tempat ke-25 juga mengiringi kemaraan Soon Huat-Shevon Lai.

Kian Meng-Pei Jing yang berstatus 25 dunia mara selepas menewaskan wakil dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs, ranking ke-40 dunia.

Bagaimanapun Kian Meng-Pei Jing dipaksa bekerja keras sebelum menang 24-22, 20-22, 21-19 dalam masa 65 minit bagi mengesahkan pertemuan dengan pilihan kelapan, Rinov Rivaldy- Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia.

Biarpun begitu hasrat pemain perseorangan lelaki negara, June Wei Cheam untuk mara tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi 44 minit.

June Wei yang berstatus nombor 62 dunia tewas kepada pemain nombor 87 dunia, Lucas Claerbout dari Perancis, 19-21, 14-21.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meneruskan kempen pusingan kedua berdepan gandingan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula akan menentang pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.

Vivian Hoo-Chiew Sien mara selepas mengatasi pasangan dari Austria, Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir, 21-9, 21-13 dalam masa 32 minit sebelum ini.-Sinar Harian

Biasiswa OUM bakar semangat Thinaah

PETALING JAYA: Biasiswa daripada Open University Malaysia (OUM) menjadi pembakar semangat buat pemain beregu wanita utama negara M Thinaah, menjelang Terbuka Perancis di Paris pada 5 hingga 10 Mac ini.

Thinaah yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua – TESL) di OUM sejak Mei 2020 berkata biasiswa berkenaan menjadi pendorong untuknya memenangi kejohanan itu bersama gandingannya Pearly Tan.

“Saya percaya (biasiswa) merupakan motivasi terbaik untuk saya. Ya, (kejayaan di Terbuka Perancis) adalah sasaran saya.

“Saya rasa persiapan kita sangat baik. Kita harapkan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima biasiswa itu hari ini.

Gandingan di ranking ke-15 dunia itu akan memulakan kempen di Terbuka Perancis berdepan pasangan China yang juga beregu kelima dunia Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Pearly-Thinaah muncul beregu wanita Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Perancis selepas menewaskan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 pada final edisi 2022.

Mengulas mengenai pengajiannya, pemain berusia 26 tahun itu berkata Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL menjadi pilihan kerana beliau sangat meminati bahasa Inggeris sejak kecil.

“Memandangkan saya sering mengembara, bahasa Inggeris sangat penting,” katanya.

Thinaah berkata pengajian tidak menjejaskan kerjaya sukannya, kerana OUM menyediakan pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel.

Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata universiti berkenaan menyediakan sokongan kewangan penuh kepada Thinaah bagi tempoh Januari 2023 hingga Mei 2024.

Ahmad Izanee berkata OUM memutuskan untuk menawarkan biasiswa itu kepada Thinaah kerana kagum dengan prestasi akademiknya pada masa sama menunjukkan pencapaian luar biasa dalam sukan badminton. – BERNAMA

Jing Xuen ketuai cabaran negara di Piala QSC 2024

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Sea 2023 Ng Jing Xuen mengetuai cabaran negara di Piala Queen Sirikit (QSC) 2024, bersama dua pemain lain di Christchurch, New Zealand pada Mac depan.

Naib Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga) Dr Noor Aziah Mohd Ariffin berkata dua pemain berkenaan ialah Sohniya Chandra Mohan dan Pang Hee Jie terpilih selepas mereka berjaya mengetepikan tiga calon lain semasa proses pemilihan di ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata pemilihan itu bukan berdasarkan ranking dunia semata-mata tetapi juga berdasarkan semangat yang dipamerkan oleh atlet berkenaan ketika proses pemarkahan dilakukan dalam disiplin puttingchipping dan drivingrange oleh jurulatih khas Chris Marrs.

“Tiga orang ini (Jing Xuen, Sohniya dan Hee Jie) terpilih walaupun ada lagi tinggi ranking namun mereka tidak menunjukkan aksi memberangsangkan jadi (mungkin) tidak memuaskan hati jurulatih khas semasa proses pemilihan.

“Setakat ini semua latihan hanya berlaku di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara selain mereka juga mempunyai jurulatih sendiri namun macam Hee Jie, berlatih di Johor sebab dia tinggal di sana,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengenai persiapan pemain-pemain negara itu, Noor Aziah berkata ia berjalan lancar dan ketika ini mereka giat mempertingkatkan prestasi masing-masing sebelum berangkat pada 17 Mac depan bagi memastikan kontinjen negara meraih keputusan positif pada kejohanan itu.

Beliau turut berharap lebih banyak sektor korporat sudi bekerjasama dengan badan induk sukan golf itu bagi membolehkan persatuan terus mengangkat martabat pemain golf wanita di Malaysia.

“Persiapan berjalan lancar namun berharap masih ada pihak korporat yang sudi menaja kami (sebab kos tinggi). Setakat ini kami ada penaja pakaian iaitu Carro (untuk ke New Zealand),” katanya.

Malga sebelum ini mensasarkan atlet negara berada dalam kelompok lima terbaik di kejohanan berkenaan bagi mengatasi keputusan tahun lepas di Manila, Filipina yang menyaksikan Jing Xuen dan Foong Zi Yu berkongsi tempat ke-22, Wang Xin Yao (ke-27) bagi acara individu manakala tempat ke-11 daripada 12 negara acara berpasukan.

Piala QSC 2024 yang berlangsung pada 20 hingga 23 Mac depan adalah acara tahunan golf berpasukan membabitkan pemain wanita amatur dari 12 hingga 14 negara Asia Pasifik.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia