Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia libas Thailand, kekal gelaran raja regu Piala Asia 2025

Kuala Lumpur: Stadium Titiwangsa terus menjadi gelanggang keramat buat skuad sepak takraw negara apabila sekali lagi menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand untuk menjulang kejuaraan, kali ini dalam aksi final acara regu Piala Asia 2025, sebentar tadi.

Disaksikan kira-kira 3,000 penyokong setia yang membanjiri stadium, skuad negara tampil penuh semangat dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk menundukkan musuh tradisi itu 2-0 menerusi kemenangan 15-12, 15-9.

Malaysia menurunkan gandingan mantap yang menjadi tunjang kejayaan sebelum ini, Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) manakala Thailand mempertaruhkan Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan).

Kejayaan ini sekali gus mengulangi detik gemilang yang dilakar ketika Piala Dunia 2024, yang turut berlangsung di lokasi sama dan menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand dengan barisan sama untuk muncul juara.

Sorakan padu penyokong yang bergema di seluruh stadium membakar semangat pemain negara dan menjadi lambang kebangkitan semula dominasi Malaysia dalam sukan sepak takraw di pentas antarabangsa.

Keunggulan trio negara itu menyaksikan Thailand cuba melakukan perubahan taktikal apabila mengeluarkan Sittipong dan memasukkan Jakkarit Thinbangbon selepas ketinggalan 0-4 selain mengeluarkan Varayut dan digantikan dengan Sutthikiart Panseankaew pada lewat permainan namun gagal menghasilkan kebangkitan.

Dengan kejayaan ini, Malaysia bukan sahaja berjaya membalas kepercayaan penyokong tanah air, malah membuktikan kemampuan sebenar mereka menyaingi Thailand, pasukan yang sekian lama dilabel sebagai gergasi Asia.

Skuad negara kini berada di landasan terbaik untuk terus mendominasi kejohanan besar selepas ini, selepas menjuarai kuadran dan naib juara beregu kejohanan edisi sulung serta memburu trofi acara berpasukan yang membuka tirai esok.

Malaysia ‘libas’ Thailand, juara regu Piala Asia

KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa bergema dengan sorakan gemuruh kira-kira 3,000 penyokong tempatan apabila skuad sepak takraw negara menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam aksi final acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, sebentar tadi.

Dibantu sokongan padu di gelanggang sendiri, regu Malaysia tampil penuh keyakinan dan disiplin tinggi untuk meraih kemenangan bergaya 15-12, 15-9 ke atas seteru tradisi yang sebelum ini sering menjadi penghalang di pentas antarabangsa.

Malaysia menurunkan trio utama dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan), manakala Thailand mempertaruhkan Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan).

Dominasi skuad negara terserlah seawal set pertama apabila libasan tajam Azlan serta servis bertenaga Syahir memaksa Thailand beraksi dalam tekanan.

Pemain kebangsaan meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir acara Regu antara pasukan Malaysia menentang Thailand di Kejohanan ASTAF Sepaktakraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa. Foto: NSTP

Di set kedua, meskipun Thailand cuba melakukan perubahan taktikal apabila mengeluarkan Sittipong dan memasukkan Jakkarit Thinbangbon selepas ketinggalan 0-4 selain mengeluarkan Varayut dan digantikan dengan Sutthikiart Panseankaew pada lewat permainan, ia masih belum mampu menyekat kemaraan skuad negara yang tampil garang dan konsisten sehingga ke akhir perlawanan.

Kejayaan itu mengulangi detik manis di Stadium Titiwangsa pada Piala Dunia 2024 apabila Malaysia turut muncul juara acara regu menewaskan Thailand, juga dengan gandingan yang sama Syahir, Azlan dan Farhan.

Ini adalah gelaran kedua buat skuad negara di Piala Asia 2025 selepas merangkul kejuaraan acara kuadran manakala muncul naib juara acara double selepas tewas di tangan Thailand.

Aidil buat Guang Zu kecut perut

Kuala Lumpur: Perseorangan profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin hampir mencipta kejutan di Terbuka Thailand apabila memberi tentangan sengit sebelum akur tewas kepada pemain ranking ke-14 dunia dari China, Lu Guang Zu pada aksi pusingan kedua hari ini.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok, Aidil Sholeh memulakan permainan dengan cukup meyakinkan apabila memenangi set pertama 21-18, namun Guang Zu bangkit untuk menguasai dua set berikutnya 21-16, 21-14 dalam pertarungan memakan masa 69 minit.

Walaupun tersingkir, pencapaian itu tetap membanggakan apabila ia yang terbaik pernah diraih Aidil Sholeh dalam kejohanan bertaraf Super 500 iaitu petanda positif menjelang cabaran di Masters Malaysia minggu depan.

Aidil Sholeh sebelum ini menunjukkan peningkatan ketara musim ini apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka dan mara ke separuh akhir Masters Ruichang, masing-masing pada Mac lalu.

Di Bangkok, pemain ranking ke-48 dunia itu bermula dari pusingan kelayakan dan dijangka mengharungi laluan sama di Axiata Arena minggu depan, di mana dia bakal berdepan pemain Taiwan, Hang Yu Kai pada pusingan pertama.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mara ke suku akhir selepas mengetepikan rakan senegara, Kang Khai Xing-Aaron Tai 21-11, 21-11.

Mereka dijadual bertemu pemenang perlawanan antara gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dalam perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Bagaimanapun, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terus dirundung prestasi tidak menentu apabila tewas kepada pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-15, 19-21, 18-21.

Pasangan ranking ketujuh dunia itu gagal mengekalkan momentum selepas menjuarai Masters Indonesia Januari lalu apabila turut tersingkir awal di Masters Orleans, Seluruh England dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo.

“Kami rasa janggal bermain dengan mereka kerana rentak permainan mereka agak perlahan. Mereka sudah dapat membaca corak permainan kami,” kata Wei Chong kepada laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron Chia peminat G-Dragon

Kuala Lumpur: Siapa sangka jaguh beregu lelaki negara dan Olahragawan Majlis Sukan Negara (MSN) 2024, Aaron Chia, sebenarnya peminat tegar bintang K-Pop tersohor, G-Dragon.

Dalam satu hantaran di platform X (dahulunya Twitter), pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa melepaskan peluang menyaksikan secara langsung konsert idola muziknya yang bakal berlangsung pada Julai ini.

Kekecewaan Aaron berpunca daripada komitmen mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung pada tarikh sama dengan konsert siri jelajah Ubermensch oleh G-Dragon di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 19 dan 20 Julai 2025.

Aaron yang akan bergandingan dengan Soh Wooi Yik di kejohanan berprestij itu, tetap meletakkan tugas negara sebagai keutamaan, meskipun terpaksa melupakan impian menonton persembahan artis pujaannya dari Korea Selatan secara langsung.

G-Dragon yang juga ketua kumpulan ikonik BIGBANG, kali terakhir mengadakan konsert solo di Malaysia pada tahun 2017 menerusi siri jelajah Act III: M.O.T.T.E World Tour di Stadium Merdeka.

Kepulangan semula “Raja K-Pop” ke pentas konsert Malaysia selepas lapan tahun sememangnya dinanti-nantikan peminat, termasuk Aaron yang tidak berselindung dalam menyatakan sokongannya terhadap ikon muzik tersebut.

Walaupun tidak dapat hadir secara fizikal, semangat dan sokongan Aaron terhadap G-Dragon tetap utuh, membuktikan di sebalik kejayaan di arena sukan, beliau juga seorang peminat muzik yang setia.

SM Muthu sedia kembali terajui MA

Kuala Lumpur: Bekas Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk SM Muthu tidak menolak kemungkinan kembali merebut jawatan nombor satu badan induk itu susulan desakan beberapa ahli gabungan Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang mahu beliau kembali menerajui MA.

Bagaimanapun, Muthu yang juga Presiden Persatuan Olahraga Petaling Jaya berkata, tumpuannya kini untuk menyelesaikan kemelut dalaman pentadbiran POS terlebih dahulu.

Beliau bersama lima lagi wakil daerah – Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Selangor sudah menyuarakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi POS yang kini diterajui Nurhayati Karim, yang juga Pengurus Besar MA.

“Saya sedia (bertanding). Datuk Seri Shahidan Kassim (Presiden MA sekarang) memang sahabat baik, tapi bila tiba masa untuk bertanding, kita kena ketepikan soal kawan atau siapa pun.

“Buat masa ini, saya belum fikir lagi tentang pencalonan sebab saya nak selesaikan dulu isu dalaman POS. Kalau semuanya selesai dan masa sesuai, saya tidak menolak untuk bertanding,” katanya kepada media hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olahraga Hulu Selangor, Mohd Fauzi Manivanan Abdullah mendakwa beliau bersama lima lagi wakil daerah sudah bersetuju untuk mencalonkan Muthu sebagai Presiden MA, namun cadangan itu ditolak oleh Nurhayati.

“Kami sebenarnya mahu Datuk Muthu kembali terajui MA, tapi cadangan kami ditolak.Kami juga pertikai ketelusan penyata kewangan beraudit yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) POS pada 26 April lalu kerana ada beberapa perkara yang tidak tepat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mereka kini dalam proses menghantar surat rasmi bagi memohon satu AGM khas diadakan sebelum 15 Jun ini, iaitu tarikh AGM MA.

“Keenam-enam daerah sebulat suara membuat undi tidak percaya terhadap Presiden POS. Kami mahu isu ini diselesaikan sebelum berlangsungnya AGM MA,” katanya.

Pearly-Thinaah balas dendam, mara suku akhir Terbuka Thailand

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, terus membuktikan status mereka sebagai antara gandingan terbaik negara apabila mara ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Indonesia pernah menundukkan mereka di Terbuka Malaysia awal tahun ini.

Aksi bertenaga yang dipamerkan di Stadium Nimibutr hari ini menyaksikan Pearly-Thinaah mencatat kemenangan 21-17, 10-21, 21-15 dalam aksi selama 56 minit ke atas Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

“Kami gembira dengan kemenangan ini, tapi masih banyak ruang untuk diperbaiki,” kata Thinaah.

“Fokus sekarang untuk terus konsisten dan bersedia sebaik mungkin untuk aksi esok.”

Bagi Pearly, kemenangan itu amat bermakna bukan sahaja kerana prestij kejohanan, tetapi juga kerana berjaya menewaskan pasangan yang pernah mengecewakan mereka di depan penyokong sendiri.

“Kami tidak mahu terlalu fikir mengenai kekalahan sebelum ini. Hari ini kami masuk gelanggang dengan semangat baharu dan saling memberi dorongan setiap mata. Itu banyak membantu kami dapat kemenangan,” katanya.

Pasangan yang layak ke separuh akhir Olimpik Paris 2024 itu turut mengakui perbezaan suasana dan keadaan gelanggang setiap hari menjadi antara cabaran yang perlu mereka hadapi, namun tetap tenang dalam menguruskan permainan.

Mereka akan berdepan pasangan China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge yang sebelum ini menumpaskan pasangan tuan rumah Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard yang juga pilihan ketujuh, 21-18, 22-20.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu wanita, Go Pei Kei-Teoh Mei Xing terkandas selepas tumpas kepada Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose (Indonesia), 18-21, 7-21.

Danish Iftikhar terus ukir nama

Kuala Lumpur: Atlet muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee terus membuktikan dirinya adalah individu baharu yang akan menguasai acara pecut di Malaysia selepas sekali lagi muncul juara acara 200 meter (m) Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur 2025 di Stadium Merdeka, hari ini.

Danish sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menewaskan pelari senior untuk memenangi pingat emas dengan catatan masa 21.81 saat (s) dan menganggap ini adalah kemenangan cukup manis buat dirinya.

“Alhamdulillah, untuk permulaan musim ini, saya rasa berpuas hati sebab dapat melakukan catatan terbaik pada musim ini. Namun ini masih belum cukup untuk saya. Ini kerana sasaran saya masih ada banyak lagi. Ada banyak kejohanan yang lebih besar yang akan disertai,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rizal Mikhail Mohd Romzi dari Pahang berjaya meraih perak dengan catatan masa 22.23s, manakala gangsa milik Muhammad Airiel Iskandar Rusli dari Johor, (22.40s) .

Untuk rekod, atlet berusia 18 tahun itu turut berjaya meraih emas dalam acara 100m dengan catatan 10.57s dan lebih membanggakan, dia menewaskan pelari kebangsaan pada aksi final itu, semalam.

Sementara itu, bagi kategori 200m wanita, Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah berjaya meraih emas dengan masa 24.69s, itu sudah cukup untuk menewaskan pelari kebangsaan, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal yang melakukan catatan masa 25.50s untuk pingat perak dan gangsa menjadi milik Zaimah Atifah Zainuddin, 26.01s.

Untuk acara 4x400m lelaki, kuartet Malaysia A menepati ramalan untuk menang emas selepas menamatkan larian dalam masa 3 minit 16.02s, sementara Malaysia B meraih pingat perak (3:19.94), dan gangsa milik Olahraga Kawan (3:26.82s).

Bagi saingan 4x400m wanita, pasukan yang diwakili pelari negara tidak berdepan masalah untuk muncul juara dengan catatan masa 3:56.91s, jauh meninggalkan Johor A yang meraih perak (4:10.81s), dan gangsa milik Johor B yang menamatkan larian dalam masa 4:33.75s.

Andre temui ‘resipi emas’ lompat kijang

Kuala Lumpur: Selepas dibayangi beberapa episod hitam apabila sering terbatal dalam acara lompat kijang, atlet kebangsaan Andre Anura Anuar kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya menemui formula terbaik bagi memastikan setiap lonjakannya sah.

Atlet berusia 26 tahun itu berkata, teknik baharu yang diterapkan bersama jurulatihnya mula membuahkan hasil selepas melalui beberapa siri percubaan yang menuntut kesabaran dan ketelitian.

Hasilnya, Andre meraih pingat emas dalam acara lompat kijang Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka, hari ini dengan catatan 15.62 meter.

“Kemenangan hari ini amat menggembirakan saya, terutama dari segi rentak lompatan. Sebelum ini, saya banyak melakukan kesalahan hingga lompatan terbatal, termasuk di temasya besar seperti Sukan Komanwel.

“Tetapi untuk pembukaan musim ini, kami berjaya mengatasi isu tersebut. Keenam-enam lompatan hari ini adalah bersih dan sah. Dari segi jarak, kami belum tetapkan sasaran untuk kejohanan ini kerana ia hanya pertandingan pemanas badan,” katanya kepada pemberita.

Andre dijangka terus memperkemas teknik dan kecergasan fizikalnya menjelang Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Korea Selatan bulan ini, dengan sasaran untuk melepasi jarak 16 meter sebelum beraksi di pentas lebih besar, Sukan Sea Thailand 2025.

Mengulas lanjut, Andre berkata beliau meletakkan sasaran untuk melepasi jarak 16 meter bagi pembukaan musim, namun sedikit keletihan selepas menyertai dua acara berturut-turut sebelum itu.

“Semalam saya sertai acara secara berturut-turut (back-to-back event), jadi agak penat. Tapi dari segi rentak dan larian, semuanya menjadi. Kami sangat berpuas hati dan selepas ini akan all out,” katanya.

Pingat perak dirangkul atlet Kairos Athletics Club, Brendon Ting Li King dengan catatan 15.22m, manakala gangsa milik wakil PLD Bagan Datuk, Mohamad Shah Sholihin Azshar dengan lompatan 14.92m.

Andre ketika ini memegang rekod peribadi 16.51m dalam acara lompat kijang yang dicatat di Sukan Sea Hanoi 2021 dan 8.02m dalam lompat jauh pada Sukan Sea Filipina 2019.

Peminat sepak takraw bakal banjiri Stadium Titiwangsa

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yakin pertandingan Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 10 hingga 18 Mei ini bakal mendapat sambutan hangat daripada peminat setia sukan itu.

Jelasnya, kejayaan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun dalam kempen Piala Dunia 2024 yang lalu sudah pasti bakal menarik minat rakyat Malaysia untuk hadir memberi sokongan penuh kepada pemain negara, terutama membabitkan pertemuan dengan pasukan gergasi, Thailand.

“Saya kira semua sudah bersedia. Promosi sudah dijalankan beberapa kali dan sudah pasti peminat tertunggu-tunggu aksi hebat di depan mata mereka sendiri. Saya harap stadium akan penuh sejak hari pertama lagi.

“Sebab kalau tengok daripada jadual, sepatutnya hari Sabtu malam Ahad itu, saya rasa boleh penuh kerana pasukan double Malaysia akan menentang Thailand pada peringkat kumpulan.

“Walaupun ini perlawanan awal, tapi bila menentang Thailand, saya rasa ramai peminat nak lihat sendiri di depan mata mereka dan juga memberikan sokongan padu,” katanya selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Sepaktakraw Negara yang akan mewakili negara di Piala Asia 2025, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, PSM selaku tuan rumah sudah membuat pelbagai persiapan termasuk dari segi jualan tiket, sokongan penyokong setia serta penyediaan skrin gergasi di luar stadium sekiranya tiket habis dijual.

Dalam pada itu, Sumali menepis dakwaan bahawa sorakan peminat menjadi punca kekalahan pasukan lawan seperti yang pernah dibangkitkan Thailand pada tahun lalu yang menyaksikan mereka terpaksa akur dengan kehebatan pemain Malaysia dalam acara double dan regu.

“Kita ada dua jenis tiket, satu dijual secara dalam talian dan satu lagi fizikal. Stadium hanya boleh tampung sekitar 2,000 hingga 2,500 orang sahaja. Kalau habis, kita akan sediakan skrin di luar untuk tontonan umum.

“Sokongan penyokong adalah lumrah apabila bermain di tempat sendiri. Sama juga bila kita bermain di Thailand atau negara lain. Tetapi penyokong Malaysia ini istimewa sebab ada aura dan semangat mereka berbeza,” katanya.

Danish mahu terus ukir nama dalam acara pecut

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyasarkan untuk melakukan catatan masa 10.20 saat (s) selepas ini.

Pelari berusia 18 tahun itu optimis dirinya mampu melakukannya dan akan terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk berada di landasan tepat agar sasaran itu mampu dikecapi.

Keyakinan itu hadir selepas dirinya berjaya melakukan catatan 10.57s pada aksi final 100m di Stadium Merdeka, semalam sekali gus memberi amaran awal kepada pelari senior bahawa dia akan menjadi pencabar utama pada kejohanan itu.

Untuk rekod, Danish memaklumkan rekod peribadi terbaik dalam acara itu ialah 10.47s yang dilakukannya pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di Vietnam, tahun lalu.

“Kalau bercakap mengenai sasaran (catatan masa), mungkin saya akan meletakkan sasaran 10.30s ataupun 10.20s, tetapi perkara paling penting adalah untuk buat yang terbaik serta ikut segala proses latihan dan pemulihan.

“Berhubung garis masa itu, memang tidak ada kerana saya hanya percaya pada rezeki Allah sahaja. Setakat ini saya berpuas hati tetapi, insya-Allah, akan buat lebih baik lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sebagai makluman, nama Danish dalam sukan olahraga bukanlah asing lagi apabila dia berjaya merangkul gelaran raja pecut pada Sukma Sarawak 2024 yang lalu.

Terdahulu, pelari yang mewakili Sukma Johor itu mencuri tumpuan dalam final acara pecut lelaki dan paling manis, dia berjaya mengalahkan atlet kebangsaan seperti Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail termasuk bekas juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan.

Majlis Sukan Negara Malaysia