Majlis Sukan Negara Malaysia
Badminton, basikal mampu sumbang emas Olimpik

KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin percaya kilauan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 mampu dijelmakan menerusi sukan badminton dan berbasikal trek.

Keyakinan itu dilaungkan berdasarkan fakta terutama kemampuan atlet negara terutama di Sukan Olimpik edisi lalu di Tokyo dan juga kejohanan-kejohanan sebelum ini.

Hamidin berpendapat jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mampu diletakkan sandaran prospek emas di temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita tak pernah dapat pingat emas jadi sasaran tidak kira mana atlet pun berpotensi untuk meraih emas negara.

“Kalau kata mengenai peluang untuk dapatkan pingat (emas), semua berpeluang tetapi dari segi faktanya seperti Datuk Azizulhasni, Aaron-Wooi Yik, Zii Jia ini adalah nama yang mungkin ada potensi. 

“Namun mungkin ada atlet yang boleh membuat kejutan, kita tak tahu, cukup untuk saya katakan, semua atlet berpeluang untuk dapatkan emas,” kata Hamidin selepas Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk kontinjen Malaysia ke Paris 2024, di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin turun mencabar atlet muda berjuang untuk memperbaiki kedudukan masa terbaiknya ketika membuat penampilan pertama di Olimpik Paris.

“Saya juga ada bercakap dengan atlet muda, bagi saya sekurang-kurangnya mereka perlu mendapatkan kedudukan lebih baik di Olimpik kali ini. 

“Kalau katakan yang dapat wildcard, sekiranya mereka boleh perbaharui masa terbaik mereka pun, itu sudah baik,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Azeem tetap ada peluang di Olimpik

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi enggan terlalu merendah diri ketika membuat kemunculan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 kerana menganggap semua pelari mempunyai peluang yang sama rata.

Pelari berusia 20 tahun itu yang melangkah ke Paris 2024 atas tiket wildcard, mengakui sebaik melangkah ke temasya empat tahun berkenaan, semua pelari bertaraf dunia lain tiada bezanya dan bergantung pada prestasi pada hari pertandingan.

“Saya tidak terbayang hendak lari dengan siapa-siapa. Saya sudah berlari dengan pelari terpantas dunia sewaktu di Sukan Asia (Hangzhou) dan juga di Kejohanan Dunia (Hungary).

“Bagi saya, pada tahap ini, semuanya ada peluang sama rata. Ia lebih kepada siapa yang boleh pamerkan prestasi terbaik pada hari pertandingan.

“Macam saya lari di Kejohanan Dunia pun ada ramai atlet yang lari 9 saat (s) dalam aksi saringan. Pada masa yang sama ada juga yang buat 10.2s, saya juga buat 10.2s masa itu.

“Jadi, seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada apa yang anda rasa pada hari pertandingan, sejauh mana tahap keyakinan anda dan tahap keselesaan anda pada hari itu.

“Saya tidak letak sasaran untuk berlari dengan sesiapa kerana saya pergi ke Olimpik berlari menentang diri sendiri,” kata Azeem selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Azeem kini dalam pecutan akhir untuk meneruskan sesi latihan yang lebih agresif selepas melakukan analisis mengenal pasti kelemahannya bersama Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.

“Saya sudah menganalisis bersama ISN (Institut Sukan Negara), MSN, Ballard dan Amir tentang pelan latihan mingguan yang lebih spesifik. Minggu depan saya akan mula fokus dari aspek blok pelepasan, tengah dan garisan penamat,” tambahnya.-Kosmo

Hoe Yean mahu pecah rekod kebangsaan di Paris

KUALA LUMPUR: Perenang negara, Khiew Hoe Yean menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400 meter (m) ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya 26 Julai ini.

Demi merealisasikan impian berkenaan, atlet berusia 22 tahun itu bakal menambah baik kelajuan renangannya ketika menjalani kem latihan di Ireland minggu depan.

“Matlamat saya ialah memperbaiki masa peribadi (rekod kebangsaan). Saya sedang berusaha mengatasi masa terbaik saya 3:48.36 saat (s) supaya saya boleh terus meningkat.

“Ini adalah sebahagian dari matlamat utama di Paris. Saya sangat gembira untuk berada di sana. Saya hanya ingin melakukan persembahan yang terbaik dan meraih pengalaman di Paris,” katanya pada sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan 400 m gaya bebasnya pada Terbuka Australia di Gold Coast April lalu.

Dalam pada itu, Hoe Yean berkata melangkah ke temasya sukan beprestij itu menjadi impiannya sejak kecil dan tidak mahu mensia-siakannya.

“Telah menjadi impian saya untuk bertanding di Olimpik semenjak saya mula berenang, ketika berusia lapan tahun saya beritahu ibu bahawa saya mahu ke Olimpik suatu masa nanti, ia impian dari kecil lagi, selalu mencari idola saya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi perenang wanita negara Tan Rouxin mengakui tidak menjangka akan membuat penampilan di temasya berprestij itu pada usia 18 tahun.

Justeru, beliau akan menggunakan peluang beraksi di Olimpik itu sebagai medan untuk mengumpul pengalaman selain berharap mampu memecahkan rekod peribadinya dalam acara 100 m kuak dada.

“Saya fikir ini adalah memori yang tak akan dapat diIupakan kerana dapat menyertai Olimpik pada usia sebegini muda. Saya sangat gembira dan teruja untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin melawat kem renang bagi berjumpa Hoe Yean dan Rouxin sebelum ke kem Olahraga di Trek Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini. – BERNAMA

Nur Aisyah pulih sepenuhnya dari kecederaan

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir sudah pulih sepenuhnya untuk beraksi di Olimpik Paris 2024 selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai pertandingan di Belgium pada 16 Jun lalu.

Pengurus pasukan skuad berbasikal lebuh raya negara Norazman Abu Samah berkata, Nur Aisyah mengalami kecederaan ringan di bahu dan tekak susulan kemalangan itu.

“Jurulatihnya Amir Mustafa Rusli telah memaklumkan kepada kami mengenai kemalangan itu.

“Kini beliau sudah pulih sepenuhnya dan tengah jalani latihan, juga sudah berlumba balik seperti biasa,” katanya.

Norazman turut memaklumkan basikal yang digunakan Nur Aisyah ketika menyertai pertandingan tersebut patah di beberapa bahagian.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana basikal yang rosak itu merupakan basikal gantian dan bukan basikal yang akan digunakan Nur Aisyah semasa Olimpik Paris 2024.

“Saya diberitahu basikal itu tak sempat dibaiki untuk Olimpik nanti. Tapi Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah dapat penaja untuk basikal baharu.

“Jadi kami bersyukur kerana jentera utamanya yang akan digunakan di Olimpik masih dalam keadaan baik,” katanya.

Atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu bakal mencipta sejarah sebagai pelumba berbasikal lebuh raya wanita Malaysia yang pertama untuk beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024. – BERNAMA

Tze Liang gagal raih slot tambahan ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Harapan penerjun negara Ooi Tze Liang untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian selepas kem terjun negara gagal memperoleh slot tambahan daripada Akuatik Dunia.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas selepas pihaknya membuat pengesahan dengan Akuatik Dunia berhubung slot berkenaan.

“Kami tidak dapat sebarang e-mel daripada Akuatik Dunia dan mereka sudah mengesahkan tiada slot tambahan untuk penerjun berusia 30 tahun itu.

“Jadi dengan ketiadaan Ooi Tze Liang kita hanya ada dua penerjun sahaja yang akan beraksi di pentas Olimpik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mengesahkan penyertaan ke temasya Olimpik menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.

Selain Dhabitah, turut bertanding di pentas Olimpik Paris 2024 adalah penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises yang muncul sebagai atlet pertama negara layak ke Sukan Olimpik 2024 selepas menduduki tempat ke-10 acara 10 meter platform individu lelaki dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lalu. – BERNAMA

‘Anak dah tunaikan impian saya dengan baik’ – Eravaizura

USAHA keras melatih anak-anak dalam sukan pushbike selama enam tahun membuahkan hasil apabila anak lelakinya muncul juara di peringkat antarabangsa.

Ia susulan hantaran video daripada Instagram Eravaizura Salleh yang memaparkan Zillzufar Mohd Zaidi, 8, bertanding dalam sukan pushbike dan meraih tempat pertama di Bangkok, Thailand.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, sejak 2019, dia dan suami menggalakkan anak-anak untuk menceburi sukan tersebut selain membina keyakinan diri untuk bersaing.

“Anak sulung saya semasa kecil dia kurang lasak jadi saya ambil inisiatif untuk masukkan sukan pushbike seawal usia 2 tahun supaya dia jadi lebih berani.

“Alhamdulillah dia tunaikan impian saya di Bangkok tahun lalu apabila muncul juara tempat pertama mengalahkan beberapa peserta dari Thailand, China dan Vietnam.

“Usaha selama enam tahun ini telah pun berhasil walaupun dia ada masalah kaki pengkar, tapi semuanya okay,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, menurut Eravaizura, anak sulungnya turut memasuki acara duathlon iaitu berlari sejauh 400 meter dan berbasikal 4 kilometer (km) bagi kategori kanak-kanak.

Tambahnya, selain aktif bersukan, mereka turut mementingkan pembelajaran anak-anak.

“Saya galakkan juga dia masuk sukan berbasikal kerana pushbike ini sehingga umur 9 atau 10 tahun sahaja. Pada November lalu dia menyertai acara duathlon dan mendapat tempat pertama.

“Buat masa ini mereka dapat mengimbangi akademik dan sukan dengan baik selain jalani latihan tiga hari seminggu pada waktu malam,” katanya.-Sinar Harian

Malaysia boleh lebih padu AUG 2026

[DIKEMAS KINI] MALAYSIA perlu memanfaatkan peluang sebagai tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di laman sendiri dengan keluar sebagai pemenang pada edisi tersebut.

Malah Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG Surabaya-Malang 2024, Suhairi Ismail percaya misi itu dapat direalisasikan sekiranya tuan rumah menggunakan kelebihan dalam acara sukan.

“Saya berharap kita dapat memberi perhatian kepada sukan-sukan yang sememangnya dikuasai pasukan negara baik individu atau berpasukan.

“Saya percaya antara sukan yang boleh diberikan tumpuan adalah seperti boling, skuash, terjun dan beberapa lagi acara sukan.

“Kita banyak belajar daripada pengalaman penganjuran edisi AUG Surabaya-Malang 2024, tapi semua terpulang kepada jawatankuasa penganjur untuk memilih acara sukan yang sesuai,” kata Suhairi kepada pemberita selepas Majlis Penutup AUG Surabaya-Malang 2024 di Graha Cakrawala Universitas Negeri Malang, Malang pada Sabtu.

Atlet karate negara, SH Sureeya membutirkan emas ke-35 negara dalam acara kumite bawah 60 kilogram (kg) sekali gus mempertahankan medal edisi Ubon Ratchathani 2022 selepas menumbangkan petarung Thailand, Chalemporn Piwlaaiad pada final di Pusat Konvensyen Universitas Islam Malang (UNISMA).

Secara keseluruhan kontinjen negara mengumpul sebanyak 38 pingat emas, 47 pingat perak dan 62 pingat gangsa selepas bertarung dalam 18 acara dengan kekuatan 262 atlet.

Edisi Ubon Ratchathani 2022, Thailand sebelum ini kontinjen negara dengan kekuatan 275 atlet bertarung dalam 19 daripada 23 acara sukan meraih 49 pingat emas, 83 pingat perak serta 50 pingat gangsa keluar naib juara di belakang Thailand.

Mengulas pencapaian atlet negara sepanjang 11 hari berintensiti tinggi itu Suhairi mengakui cabaran dihadirkan pesaing terutamanya tuan rumah Indonesia diakui sengit.

“Sebenarnya kita sudah pun terlepas pingat beberapa acara seperti wushu apabila tidak menghantar atlet, selain cabaran pesaing lain termasuk tuan rumah yang menggunakan atlet Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 100 meter.

“Biarpun begitu juga berbangga juga dengan kejutan yang kita buat di bola baling, petanque, olahraga dan renang yang cemerlang di AUG 2024 kali ini.

“Pada 2026 kita jadi tuan rumah, post moterm akan dilakukan bagi menyalakan lagi cabaran sebenar tuan rumah untuk prestasi cemerlang,” katanya.

Sebagai rekod, sepanjang penganjuran temasya AUG sejak 1981, Malaysia muncul juara sebanyak dua kali iaitu edisi Kuala Lumpur 2008 dan edisi Vientiane 2012, Laos.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyifatkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah edisi ke-22 temasya tersebut satu penghormatan.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Indonesia atas kejayaan menganjurkan AUG Surabaya-Malang 2024 kali ini.

“Saya juga bangga atas keputusan AUSC (Majlis Sukan Universiti ASEAN) memilih Malaysia sebagai tuan rumah 2026.

“Saya amat mengalu-alukan kehadiran penuntut dalam kalangan negara Asia Tenggara ke AUG Malaysia 2026. Jumpa anda semua di Malaysia,” katanya dalam satu rakaman video semasa perasmian penutup tersebut.-Sinar Harian

Olahraga tuai emas AUG 2024

MALANG: Semangat Olimpian negara, Muhamad Azeem Fahmi jelas membara apabila terus menggegar bumi Surabaya selepas meraih emas kedua peribadinya di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.

Selepas membantu kuartet 4×100 meter (m) negara meraih pingat emas semalam, penuntut Universiti Auburn itu menggungguli acara 200m pada perlumbaan di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), petang tadi.

Azeem mencatat 21.15 saat (s) untuk mengetepikan pelari Indonesia, Muhammad Fitadi (21.43s) dan pelari Thailand, Ruamchok Semathong (21.80s).

Selain Azeem, skuad olahraga turut menambah tiga lagi pingat emas menerusi acara tukul besi lelaki, 800m lelaki dan lompat tinggi lelaki.

Balingan sejauh 59.18m sudah cukup buat Sadat Marzuqi Ajisan meraih pingat emas dalam acara tukul besi lelaki, jauh meninggalkan pemenang pingat perak yang juga atlet tuan rumah, Rafika Putra dengan 47.48m.

Wan Muhamad Fazri bin Wan Zahri menambah emas dalam acara 800m dengan catatan 1:51.28s manakala pingat emas acara lompat tinggi disumbangkan Muhammad Aiman Syazwan dengan catatan 2.1m.

Selepas tiga hari acara olahraga berlangsung, mereka sudahpun meraih 10 pingat emas secara keseluruhan.

Sebelum ini, pingat emas dimenangi menerusi acara lempar cakera wanita, lompat jauh lelaki, lontar peluru wanita, 400m lelaki, 400m wanita serta 4x100m lelaki.-Berita Harian

Tze Liang ada peluang tipis ke Paris 2024 – Bryan

ATLET terjun negara, Ooi Tze Liang mempunyai peluang tipis untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, atlet berusia 30 tahun itu mempunyai peluang dalam acara 3m papan anjal lelaki sekiranya terdapat wakil yang telah layak menarik diri.

“Jika mana-mana negara yang dah layak tolak, Tze Liang ada peluang. Apapun, kita perlu tunggu hingga 8 Julai untuk mendapat pengesahan daripada Akuatik Dunia.

“Slot tambahan ini bergantung kepada perkiraan Akuatik Dunia kerana kuota untuk sukan terjun di Olimpik adalah 136 atlet,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan jenama Skechers selaku kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 di Wisma OCM di sini hari ini.

Tze Liang, juara Sukan Komanwel Glasgow 2014 pernah beraksi di Olimpik Rio 2016 untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-22 bagi acara 10m platform.

Minggu lepas, Nur Dhabitah Sabri menerima slot tambahan bagi acara 3m papan anjal wanita untuk menemani penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang layak secara merit bagi 10m platform lelaki ke Olimpik Paris.

Setakat ini, 26 atlet telah mendapat lampu hijau untuk mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – Bernama

Trio taekwondo raih emas poomsae

MALANG: Selepas kempunan meraih sebarang pingat emas dalam dua hari pertama Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, penantian skuad taekwondo berakhir apabila mereka merangkul pingat emas dalam acara poomsae berpasukan wanita, hari ini.

Trio negara dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jing Ying mengutip mata tertinggi 7.735 mata untuk pingat emas mengatasi pencabar terdekat dari Vietnam (7.720 mata) pada acara di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB), sebentar tadi.

Humaira berkata mereka bersaing sengit dengan Vietnam yang terkenal dengan fleksibiliti mereka, namun trio negara berjaya memperagakan persembahan lebih kemas dan kurang melakukan kesilapan untuk memastikan pingat emas berada dalam genggaman mereka.

Humaira turut mengakui sesi latihan berterusan dilakukan yang terpaksa dilakukan bersendirian sememangnya membantu mereka dan usaha keras sebelum ini nyata berbaloi dengan kilauan pingat emas di Malang.

“Kita sudah terlepas pingat emas dalam acara sebelum ini jadi kita fokus pada acara poomsae berpasukan wanita. Persembahan antara semua pasukan lebih kurang sama tetapi pasukan yang kurang melakukan kesilapan, merekalah yang akan menang.

“Kita pun tidak pernah berhenti menjalani latihan walaupun jurulatih kami pulang ke Korea Selatan kerana ibunya meninggal dunia. Kami tetap menjalani latihan secara bersendirian selama kira-kira tiga minggu.

“Dengan pingat emas ini, saya rasa segala pengorbanan kami selama ini boleh dianggap terbayar,” kata Humaira.

Dalam perkembangan sama, Humaira turut memberikan penghargaan kepada jurulatihnya, Jin Jun Beom yang sanggup menyertai skuad taekwondo ke AUG untuk terus memberi bimbingan kepada mereka bagi menghadapi edisi kali ini.

“Jurulatih balik ke sini semata-mata untuk lihat kami bertanding walaupun beliau tidak boleh balik lagi dan kena tunggu sehingga 49 hari.

“Jadi kami ingin mengucapkan terima kasih kerana beliau datang dan kehadirannya memang menaikkan semangat kami di AUG 2024,” katanya.-Berita Harian