Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia tepati jangkaan, mara ke pusingan 16 terbaik

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia tidak berdepan laluan sukar untuk melayakkan dirinya muncul juara Kumpulan G sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik.

Pada perlawanan terakhir kumpulan di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi, Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia mudah menewaskan Pablo Abian dari Sepanyol 21-10 di set pertama.

Di set kedua, Abian yang berada di ranking ke-62 dunia dan pernah beraksi di lima temasya Olimpik termasuk Paris 2024 memberikan saingan sengit sebelum Zii Jia terus bangkit, meninggalkan jauh lawannya yang berusia 39 tahun itu.

Zii Jia, 26, terus menjarakkan kedudukan mata sebelum melakar kemenangan 21-13 untuk memuktamadkan perlawanan dengan keputusan straight set 21-10, 21-13 dalam tempoh 34 minit.

“Saya sekali lagi ke pusingan 16 terbaik. Harap kali ini (di Paris) ada keputusan lebih baik,” kata Zii Jia yang pada penampilan sulungnya di Tokyo 2020 terkandas di pusingan 16 terbaik.

Mengulas mengenai dua perlawanan yang sudah dilaluinya setakat ini, Zii Jia berkata, dia dapat mengawal permainan dengan baik.

“Setakat ini, saya berjaya mengawal keadaan dengan baik, Pablo memberikan cabaran di awal permainan tetapi saya mampu bangkit dan ia sesuatu yang bagus,” katanya.

Pada aksi pertama kumpulan sebelum ini, Zii Jia mudah menewaskan wakil Sri Lanka, Viren Nettasinghe 21-14, 21-12 dalam tempoh 35 minit.

Di pusingan 16 terbaik Esok, Zii Jia dijadual bertemu pemenang Kumpulan H sama ada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting atau pun Toma Junior Popov dari Perancis.-Berita Harian

Perjuangan Tang Jie-Ee Wei tamat di suku akhir

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk terus menjelmakan kilauan pingat di pentas sukan Olimpik Paris 2024 terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, hari ini.

Aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu sukar untuk menyekat kemaraan gandingan nombor lapan dunia, Kim Won Ho-Jeong Na Eun sebelum tewas 19-21,14-21.

Set pertama menyaksikan pasangan negara memberi tentangan sengit kepada Won Ho-Na Eun apabila saling mengutip mata.

Namun, kecederaan yang dialami Ee Wei ketika kedudukan 9-11 menyebabkan rentak pasangan negara terbabit terganggu sebelum akur tewas 19-21 pada set pertama.

Pasangan negara cuba bangkit pada set kedua namun rentak permainan yang dipamerkan mereka serba tidak menjadi hingga satu ketika ketinggalan 1-10.

Usaha wakil negara untuk cuba mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berjaya apabila pasangan Korea Selatan itu terus melakukan serangan bertali arus untuk menjarakkan kedudukan sebelum memenangi perlawanan 21-14.

Walaupun tewas, pasangan beregu campuran negara itu boleh berbangga apabila penampilan pertama di pentas Olimpik berjaya membawa mereka hingga ke pusingan suku akhir.

Pasangan Korea Selatan itu akan bertemu rakan senegaranya, Seo Seung-jae and Chae Yu-jung di pentas separuh akhir.-Berita Harian

Tang Jie-Ee Wei beri tumpuan aspek disiplin

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memilih untuk tidak terlalu memikirkan perlawanan suku akhir menentang wakil Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebaliknya, Ee Wei menegaskan dia lebih suka menumpukan perhatian kepada persediaan mereka berbanding lawan, yang menduduki ranking kelapan dunia, pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Arena Porte de La Chapelle esok.

“Pelan permainan kami banyak memberi tumpuan kepada diri kami sendiri dan mengekalkan disiplin,” katanya.

Tang Jie menegaskan mereka akan menjalankan analisis video mengenai permainan Won-ho-Na-eun.

Berdasarkan rekod pertemuan mereka, Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelebihan, setelah memenangi dua daripada tiga perlawanan terakhir menentang Won-ho-Na-eun.

Jika mereka mengatasi Won-ho-Na-eun, pasangan negara akan berdepan pemenang perlawanan antara pasangan utama Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yu-jung dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong di separuh akhir.

Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas menewaskan pilihan kedua, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, selain menewaskan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.-Sinar Harian

Syaqiera alih fokus tuai pingat di Sukan SEA Thailand 2025

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa akur pulang awal namun pemanah negara, Syaqiera Mashayikh tetap berfikiran positif dengan menyifatkan prestasinya di Sukan Olimpik Paris 2024 lebih konsisten.

Syaqiera yang membuat penampilan sulung di Tokyo 2020 berkata, secara keseluruhan dia berpuashati dengan panahan konsistennya kali ini dan bertekad memasang impian menjadi pesaing utama pingat di Sukan SEA Thailand, tahun depan.

Aksi Syaqiera Mashayikh. Foto: REUTERS
Aksi Syaqiera Mashayikh. Foto: REUTERS

“Prestasi sebelum ini agak mendatar, tetapi di sini ada nampak prestasi saya meningkat dan panahan saya konsisten. Cuaca memang panas pada hari ini.

“Berbanding Tokyo, keadaan di sini lebih meriah dengan saingan pun lebih sengit. Apa perlu ditingkatkan ialah skil dan mental ketika pertandingan kerana ia penting untuk menentukan pemenang,” katanya.

Syaqiera Mashayikh ketika beraksi dalam acara memanah pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Invalides hari ini. Foto: BERNAMA
Syaqiera Mashayikh ketika beraksi dalam acara memanah pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Invalides hari ini. Foto: BERNAMA

Terdahulu, hasrat atlet berusia 23 tahun itu untuk mara ke aksi penyingkiran 1/8 tidak kesampaian apabila tewas 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil hari ini.

Syaqiera dan Caetano masing-masing mempamerkan aksi sengit sehingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi ‘shoot-off’ selepas kedua-dua atlet terikat 5-5 pada aksi penyingkiran 1/16.

Sebelum itu, Syaqiera mara ke pusingan 1/16 selepas menewaskan lawan berpengalaman yang juga olimpian tiga kali dari Moldova, Alexandra Mirca dengan keputusan 6-0 dalam saingan 1/32.

Esok, dua lagi pemanah, Ariana Nur Diana Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil bakal beraksi dalam acara individu dalam pusingan penyingkiran 1/32.

Ariana dijadual bertemu Ciara Rebagliati dari Itali, manakala Nur Azreena akan mencabar wakil Turkiye, Elif Berra Gokkir.-Berita Harian

Pearly-Thinaah berdepan So Yeong-Hee Yong di suku akhir

PARIS: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah akan berdepan pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada perlawanan suku akhir badminton Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Undian pusingan kalah mati dijalankan selepas tamat kesemua perlawanan peringkat kumpulan acara beregu wanita di Porte de La Chapelle Arena.

Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, So Yeong-Hee Yong meraih gangsa selepas mengetepikan cabaran rakan senegara, Lee So Hee-Shing Seung Chan pada perlawanan penentuan pingat.

Dalam satu-satunya pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas kepada pasangan Korea Selatan itu 14-21, 14-21 pada perlawanan peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir 2021.

Jika Pearly-Thinaah berjaya mengatasi gandingan kesepuluh dunia berkenaan, pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bakal diuji lebih hebat apabila berdepan juara dunia empat kali, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi di separuh akhir.

Berdasarkan percaturan di tas kertas, pasangan China itu dijangka tidak mempunyai masalah menyingkirkan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di suku akhir acara beregu wanita itu.

Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ke-13 dunia memulakan kempen peringkat kumpulan dengan langkah kiri apabila tewas kepada Qing Chen-Yi Fan, sebelum mencipta dua kemenangan luar biasa mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk mara ke suku akhir.

Sementara itu, undian berkenaan menyaksikan gandingan kedua terbaik dunia, Baek Ha Na-Lee So Hae dari Korea Selatan akan bertemu Liu Cheng Shu-Tan Ning manakala wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dijadual membuat perhitungan dengan pasangan Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen. – BERNAMA

Kelayakan Acara 10M Air Pistol Lelaki

Aksi atlet menembak negara, Johnathan Wong pada saingan kelayakan acara 10M Air Pistol Lelaki yang berlangsung di Chateuroux Shooting Arena.

Johnathan mengumpul 570 mata untuk kedudukan ke 26 daripada 33 atlet keseluruhan sekaligus gagal melayakkan diri ke peringkat akhir.

Comeback stronger💪

Liek Hou sudah sedia gegar Paris

JAGUH badminton para negara Cheah Liek Hou sudah bersedia untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September depan.

Malah, jurulatihnya Nova Armada berkata, pemain berusia 36 tahun itu kini berada pada prestasi terbaiknya untuk penampilan kedua di pentas berprestij dunia berkenaan.

“Liek Hou dalam keadaan terbaik dan sasaran yang diletakkan adalah emas oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Saya lihat beliau bersedia untuk itu,” katanya kepada pada Khamis.

Nova berkata, seorang lagi wakil negara Muhammad Fareez Anuar juga berada pada tahap terbaik untuk memberikan saingan di Paralimpik Paris 2024 juga dalam acara sama.

Liek Hou muncul juara Kejohanan Empat Negara Para Antarabangsa 2024 di Glasgow, Scotland bulan lalu dijangka dapat meneruskan momentum kecemerlangannya untuk membutirkan emas di Paris.

Pemain berusia 36 tahun itu muncul pemenang emas sulung acara badminton para, selepas menundukkan pencabar utamanya dari Indonesia Anrimusthi Dheva pada perlawanan akhir edisi Tokyo 2020.-Sinar Harian

Azeem tak gentar jumpa jaguh Olimpik

OLIMPIAN negara, Nazmizan Muhammad meletakkan harapan cukup tinggi kepada jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi untuk menyinar di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas raja pecut Asia Tenggara itu percaya bahawa pelari muda berusia 20 tahun tersebut mampu mengulangi catatan masa 10.09 saat (s) ketika mencipta rekod 100 meter (m) Malaysia pada 2022 apabila turun bersaing di Stade de France bermula 3 Ogos nanti.

“Fokus kepada larian, lihat balik video ketika lari dengan catatan 10.09s itu. Inilah masanya untuk dia tunjukkan kepada dunia, kewujudun Azeem Fahmi di Olimpik,” kata Nazmizan yang pernah beraksi di Olimpik Athens 2004 dalam acara 200m.

Dalam pada itu, Nazmizan cukup percaya pelari berusia 20 tahun itu tidak akan gugup ketika turun menggegarkan Stade de France kerana mempunyai pengalaman bersaing dengan pelari-pelari yang memiliki catatan terpantas dunia sepanjang berada di Amerika Syarikat.

“Gugup itu penting kerana ia akan membantu seseorang atlet beraksi dengan baik tetapi saya yakin Azeem tidak akan berdepan perasaan yang terlalu melampau.

“Dia sudah berlari bersama pelari pantas dunia ketika beraksi di NCAA (Amerika Syarikat), malah di peringkat Asia juga dia berjaya memenangi pingat gangsa. Jadi gugup hingga menjejaskan prestasi itu tidak akan berlaku,” ujarnya.

Azeem yang meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 berpeluang mencipta sejarah baharu sebagai pelari pertama dari rantau Asia Tenggara berjaya mencipta masa bawah 10s sekiranya dapat melakukan catatan itu di Paris nanti.

Seandainya berjaya, penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat itu juga akan menjadi pelari ke-10 dari benua Asia berjaya merekodkan masa mengagumkan tersebut.

Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana dua seteru Asia Tenggara iaitu bekas juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri dan bintang pecut Thailand, Puripol Boonson juga berpeluang menafikan peluang Azeem.

Sebagai rekod, Lalu dianggap sebagai pelari terpantas Asia Tenggara berdasarkan rekod peribadinya 10.03s diikuti Puripol 10.06s dan Azeem di tempat ketiga dengan masa 10.09s.-Kosmo

Enam atlet negara sertai acara pembukaan Paris 2024

PARIS: Seramai enam atlet dan empat pegawai akan mewakili kontinjen Malaysia pada acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 malam ini (awal pagi Sabtu di Malaysia).

Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata barisan atlet negara bakal diketuai oleh dua pembawa Jalur Gemilang – penerjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.

Turut menyertai acara yang akan diadakan di Sungai Seine secara besar-besaran adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises. - Foto NSTP
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises. – Foto NSTP

Kontinjen Malaysia turut disertai oleh Hamidin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Majlis perasmian Olimpik Paris 2024 dijadualkan bermula jam 7.30 malam (Sabtu,1.30 pagi waktu Malaysia), dengan atlet akan menaiki bot.

Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai ke temasya sukan itu.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi media sosialnya mengumumkan kontinjen negara akan menggayakan busana bernama ‘The Malaya’ berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini untuk perasmian esok.

Atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga.

Sementara itu, Hamidin yakin dengan keselamatan atlet dan pegawai dalam kontinjen negara berikutan laporan media beberapa insiden seperti rompakan dan jenayah seksual.

“Saya tidak bimbang dengan atlet kerana mereka sentiasa berada di Perkampungan Sukan dan hanya keluar ke venue latihan atau pertandingan. Tahap keselamatan ketat untuk masuk ke Perkampungan Sukan dengan pemeriksaan rapi.

“Tetapi saya bimbang sedkit tentang keselamatan ahli keluarga dan rakan atlet di luar sana dan juga rakyat Malaysia yang lain di sini bagi temasya ini. Harap mereka menjaga keselamatan.

“Buat masa ini iada apa-apa masalah dihadapi oleh atlet negara,” kata Hamidin ketika ditemui di Invalides, venue bagi acara memanah. – BERNAMA

TPM, Menteri Kabinet ucap selamat maju jaya kepada atlet

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negara yang bersaing di temasya Sukan Olimpik 2024 yang akan dibuka secara rasmi esok dan berlangsung hingga 11 Ogos ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu percaya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong para atlet yang berjuang mewakili negara.

“Anda semua menunjukkan dedikasi yang tiada tandingan dan semangat juang yang kental dalam menuju ke Olimpik Paris 2024. Saya yakin dan percaya anda semua telah melakukan persiapan terbaik demi mencapai kejayaan gemilang sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Ingat, anda tidak bersendirian, kami semua bersama anda. Anda adalah inspirasi dan kebanggaan kepada Malaysia,” kata beliau menerusi video berdurasi satu minit 12 saat di laman Facebook hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada para atlet serta berharap mereka akan membawa pulang kegemilangan buat negara tercinta.

“Misi Malaysia untuk mengakhiri penantian selama hampir tujuh dekad bagi mendapatkan pingat emas Olimpik pertama akan bermula dengan pertandingan memanah yang dijadualkan pada petang ini.

“Yakinlah pada kemampuan diri sendiri dan ingatlah bahawa seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang anda, memberikan sokongan dan doa yang tidak berbelah bahagi.

“Berjuanglah dengan penuh semangat dan dedikasi. Ayuh Malaysia, kita mampu melakar sejarah. Kita semua Team MAS,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mendoakan kejayaan para atlet ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan menyeru orang ramai agar mengikuti liputan langsung RTM (Radio Televisyen Malaysia) selaku penyiar rasmi di saluran TV Okey, saluran Sukan RTM dan enam saluran tambahan di RTMKLIK secara percuma.

“Do your very best, Malaysia is with you. Kami semua mendoakan kejayaan anda. Kita semua Team MAS,” katanya menerusi video berdurasi 23 saat di laman Facebook.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet kebanggaan Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal membuka tirainya esok. – BERNAMA