Majlis Sukan Negara Malaysia
Harimau Malaya B-23 mahu kejutkan Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) turun ke Piala Asia B-23 tanpa sebarang tekanan memandangkan mereka ‘sedar diri’ dengan kemampuan mereka untuk berentap pada saingan yang sudah membuka tirainya di Qatar, hari ini.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan beliau selalu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu tertekan terutama selepas mengambil kira reputasi pencabar lain pada Kumpulan D.

Bagi edisi kali ini, skuad bimbingan Juan Torres Garrido bakal berdepan juara 2018, Uzbekistan, Rabu ini disusuli naib juara 2018, Vietnam pada 20 April dan menutup aksi peringkat kumpulan menentang Kuwait, tiga hari kemudian.

“Sejak bermulanya kem latihan pusat, saya selalu katakan kepada pemain supaya jangan tertekan kerana kita sentiasa akan menjadi pasukan bukan pilihan. Jadi dengan status seperti ini, kita tidak berdepan banyak tekanan.

“Kita tahu Uzbekistan memiliki kelebihan tetapi kita akan cuba memberi tentangan. Aksi pertama sememangnya penting kerana ia boleh dianggap sebagai motivasi terbaik. Kalau dapat menang ataupun seri, itu sudah bonus.

“Berdasarkan perkembangan ditunjukkan sepanjang tiga minggu menjalani latihan, saya optimis kita mampu memberikan cabaran yang terbaik kepada Uzbekistan,” kata Shahril.

Dalam perkembangan lain, Shahril juga melihat anak buahnya sudah mula menyesuaikan diri dengan cuaca di Qatar selepas sebelum ini hanya menjalani sesi latihan pada sebelah malam susulan bulan Ramadan.

“Pemain perlu sesuaikan diri dengan cuaca pada sebelah petang kerana kita ada dua perlawanan pada sebelah petang. Ada lagi beberapa hari sebelum aksi pertama (lawan Uzbekistan) jadi kita melihat ada perkembangan positif daripada pemain.

“Saya fikir cuaca di Malaysia lebih panas lagi berbanding di Qatar, cuma di sini cuacanya panas dan kering jadi pemain perlu pandai-pandai untuk ‘ambil angin’ ketika bermain nanti,” katanya.

Piala Asia B-23

Kumpulan D

Rabu

Uzbekistan mln Malaysia, 9 mlm

Sabtu

Malaysia mln Vietnam, 9 mlm

23 April

Kuwait mln Malaysia, 11.30 mlm

-Berita Harian

Rexy elak Izzuddin-Sze Fei besar kepala

KUALA LUMPUR: Mesti konsisten!

Itu peringatan diberikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kepada beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei selepas muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, semalam.

Rexy mengakui pasangan ranking ke-19 dunia itu menampilkan prestasi yang sangat baik sepanjang kejohanan tetapi mengingatkan mereka supaya tidak terlalu mudah berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

“Pencapaian mereka sangat baik sepanjang kejohanan. Cuma di set ketiga pada aksi final semalam, mereka dilihat tidak berani dan teragak-agak.

“Saya tidak mahu terlalu memuji kerana apa yang paling utama adalah mereka perlu konsisten selepas ini. Saya bimbang jika terlalu dipuji akan besar kepala,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Izzuddin-Sze Fei tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam laluan mereka ke final.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tewas di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 pada aksi final.

Dalam pada itu, Rexy percaya sekiranya Izzuddin-Sze Fei mampu menampilkan prestasi seperti yang ditunjukkan di BAC sejak awal tahun ini, mereka berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kalau dari awal tahun mereka sudah mula menunjukkan prestasi seperti ini, sudah tentu mereka layak ke Olimpik, tetapi sudah terlambat,” katanya.

Kedudukan ranking dunia Izzuddin-Sze Fei dijangka melonjak dalam kelompok 15 terbaik dunia susulan pencapaian dilakar di Ningbo itu.-Berita Harian

Nurul Izzah iringi Azizulhasni, Shah Firdaus ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati akan mengiringi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Nurul Izzah, 20, secara tidak rasminya mengesahkan tiket ke Paris selepas menghasilkan keputusan positif pada perlumbaan pusingan ketiga Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada yang berakhir awal pagi tadi.

Pelumba negara itu tewas di tangan Luz Daniela Gaxiola Gonzalez dari Mexico di pusingan pertama acara pecut individu pada Sabtu lalu tetapi bangkit untuk menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara keirin.

Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) Datuk Amarjit Singh Gill berkata Nurul Izzah, Azizulhasni dan Shah Firdaus secara tidak rasminya sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris bagi acara pecut dan keirin.

“Bagaimanapun, senarai rasmi hanya akan dikeluarkan pada 22 April ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, berkata Nurul Izzah menampilkan prestasi yang baik dalam perlumbaan di Milton.

“Izzah berlatih untuk acara keirin dan dia berlumba dengan menakjubkan. Pencapaiannya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dalam persaingan yang cukup kompetitif membuktikan potensi yang dimilikinya,” kata Beasley.

Beasley turut memberikan pengiktirafan kepada Siri Kejohanan Berbasikal Trek YSD (YSDTS) yang menyumbang kepada peningkatan prestasi ditunjukkan Nurul Izzah.

Katanya, pencapaian itu juga disebabkan sokongan padu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin sejak sedekad yang lalu.

“Kami perlu berterima kasih kepada siri perlumbaan YSDTS kerana di situlah dia mempelajari kemahiran perlumbaan.

“Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Sime Darby di atas sokongan mereka yang luar biasa, tanpa perlumbaan trek ini kami tidak mampu membantu Izzah layak ke Olimpik.

“Sekarang kami perlu menjadikan perlumbaan tempatan ini ke tahap yang lebih tinggi dan kami sudah mempunyai rancangan untuk melakukannya, dan sekali lagi kami berterima kasih kepada YSD, Sport Excel dan Majlis Sukan Negara.

“Dr Yatela sudah menyokong kami selama kira-kira 10 tahun dan ini adalah penghargaan di atas sokongan dan kepercayaan Sime Darby dalam program kami, atlet muda kami semakin meningkat,” kata Beasley.-Berita Harian

Eain Yow rangkul kejuaraan skuasy Terbuka Jerman

PEMAIN skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan Siri Jelajah Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (PSA) pertamanya setelah menjuarai Terbuka Jerman 2024 di Sportwerk Hamburg pada Isnin.

Pemain berusia 26 tahun dari Kuala Lumpur yang juga pilihan keempat kejohanan menewaskan wakil dari Switzerland, Dimitri Steinmann dalam aksi 66 minit kejuaraan bertaraf gangsa tersebut.

Eain Yow bermula garang apabila memimpin dua set awal apabila menang 12-10, 11-8 ke atas lawan ranking 37 berusia 26 tahun kelahiran Zurich tersebut.

Bagaimanapun set ketiga Steinmann bangkit untuk menang 12-10 sebelum Eain Yow menamatkan cabaran lawan 11-3 dalam pertarungan set keempat.

“Satu kelegaan besar apabila dapat melalui cabaran hari ini. Saya berusaha menampilkan persembahan hebat sepanjang minggu dan gembira berjaya mengharunginya.

“Biarpun begitu perlawanan akhir sentiasa berbeza kerana terdapat tekanan tambahan, apabila orang berbeza menghantar mesej sepanjang hari mengenai kemenangan separuh akhir saya semalam.

“Jadi saya tahu hari ini akan menjadi sukar, terutamanya menentang Dimi Steinmann,” katanya.

Eain Yow melangkah ke perlawanan akhir selepas menjinakkan pilihan utama wakil Wales, Joel Makin dalam aksi 73 minit pada perlawanan separuh akhir.

Pencapaian diraih Eain Yow meneruskan momentum dicipta ratu skuasy negara S Sivasangari yang muncul juara kejohanan Klasik London sebelum ini.

Sivasangari, 24, berstatus nombor 13 dunia muncul juara kejuaraan bertaraf emas itu selepas menyingkirkan cabaran bintang nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 untuk mengungguli kejohanan bertaraf emas tersebut di Alexandra Palace London.-Sinar Harian

Skuad B-23 tewas tipis

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara terus mempamerkan peningkatan dalam aksi pemanas badan kedua menjelang saingan sebenar Piala Asia B-23 di Doha, Qatar minggu depan.

Dalam perlawanan persahabatan tertutup awal pagi tadi, skuad kendalian Juan Torres Garrido sekadar tewas tipis 0-1 di tangan pasukan tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan utama memenangi Piala Asia B-23 nanti.

Malah, gol tunggal itu hanya diraih menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama yang disudahkan Ahmed Husham.

Walaupun tewas, setidak-tidaknya kekalahan tipis itu membuktikan bahawa pasukan muda negara itu mampu memberi saingan apabila berdepan lawan lebih ternama

Sebelum itu skuad B-23 turut tewas kepada China dengan keputusan 1-2, dengan kedua-dua gol lawan juga berpunca daripada sepakan penalti.

Mungkin satu kelemahan ketara yang perlu diperbaiki segera adalah dengan mengurangkan kesilapan di dalam kotak penalti bagi mengelak menghadiahkan penalti kepada lawan.

Pasukan negara dijadual menentang Uzbekistan pada aksi pertama Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Rabu depan.

Selepas itu, Vietnam bakal menanti anak buah Garrido di venue sama tiga hari kemudian sebelum menutup kempen peringkat kumpulan dengan menentang Kuwait pada 23 April di Stadium Al Janoub.

Dua pasukan terbaik daripada empat kumpulan akan mara ke suku akhir di mana tiga pasukan terbaik kejohanan bakal menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Manakala, pasukan di tangga keempat akan mengharungi aksi playoff bertemu Guinea dari benua Afrika untuk mencuri slot terakhir ke Paris.-Harian Metro

Arif-Roy King perlu segera jarakkan diri

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mengakui yang mereka harus ‘memecut laju’ selepas satu lagi beregu muda, Aaron Tai-Khang Kai Xing kini semakin mengekori rapat di belakang.

Aaron-Kai Xing sudah pun memperoleh gelaran pertama di kejohanan senior iaitu di Cabaran Antarabangsa Toyota di Thailand dan ia situasi yang dianggap sebagai cabaran buat Arif-Roy King.

“Persaingan dalam beregu lelaki pada ketika ini boleh dikatakan sangat bagus. Aaron-Kai Xing pada usia 18 tahun sudah ada gelaran di kejohanan senior dan ia sesuatu yang amat jarang dicapai.

“Mungkin dalam tiga atau empat bulan lagi mereka akan dapat memasuki kejohanan lebih besar berstatus Super 100, Super 300 dan kami bersaing sesama sendiri sekarang,” kata Arif.

Wan Arif-Roy King yang berada di ranking ke-50 dunia mula kembali ke pentas antarabangsa pada Mac lalu selepas Roy King pulih sepenuhnya dari kecederaan lututnya.

Mereka menyertai dua kejohanan sejak Mac iaitu di Terbuka Switzerland dan juga Masters Sepanyol yang menyaksikan gandingan ini memperoleh gelaran naib juara di Madrid, hujung bulan lalu.

“Untuk melonjakkan ranking, saya dan Roy King tidak mahu hanya mara ke suku atau separuh akhir, kami mahukan gelaran… sekurang-kurangnya dua. Ketika ini, saya rasa masalah kami adalah pada mata-mata penting, selalu tewas kepada lawan,” kata Wan Arif.-Berita Harian

Khairulnizam yakin dapat tiket di Last Chance Regatta

UALA LUMPUR: Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Affendy berada pada tahap prestasi terbaiknya menjelang kejohanan kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik Paris 2024, Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 20 hingga 27 April ini.

Semalam, atlet berpengalaman itu menamatkan saingan ILCA 7 Piala Dunia di Mallorca, Sepanyol di kedudukan ke-16 daripada 193 pelayar dan bagi Khairulnizam, ia adalah satu perkembangan yang positif menjelang kejohanan di Perancis.

“Kalau diikutkan pada masa sekarang ini, saya berada di tahap terbaik. InsyaAllah, cuma ada sedikit yang perlu diperbaiki lagi untuk memastikan semua berada di tahap terbaik sebelum kejohanan itu,” kata Khairulnizam ketika dihubungi, hari ini.

Khairulnizam menamatkan saingan di Sepanyol pada kedudukan ke-16 daripada 193 peserta dengan rata-rata nama di kedudukan lebih atas daripadanya sudah pun melayakkan diri ke Paris 2024

Ditanya mengenai saingan di Hyeres nanti, Khairulnizam berkata, dia perlu memburu penamat dalam kelompok tiga negara terbaik dan mengharapkan prestasi pada ketika ini dapat dibawa pada kejohanan berkenaan.

“Kalau diikutkan negara yang tak layak itu, saya berada di kedudukan pertama dalam kejohanan ini (di Sepanyol). Jadi saya harap di Last Chance Regatta nanti dapat kekal prestasi seperti ini.

“Tak mustahil untuk layak sekiranya dapat kekalkan prestasi seperti ini dan saya perlu memperbaiki kelemahan seperti membuat keputusan dan juga (taktikal) di permulaan perlumbaan,” katanya.

Untuk rekod, Khairulnizam sedang memburu pentas Olimpik keempatnya di Paris dengan sebelum ini membuat kemunculan pertama di temasya terbesar dunia berkenaan di London 2012.-Berita Harian

Eain Yow mara ke final Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menempah tiket ke final pertamanya musim ini apabila menyingkirkan pilihan utama dari Wales, Joel Makin pada Terbuka Jerman di Hamburg.

Eain Yow yang tampil sebagai pilihan keempat, menundukkan Makin 13-11, 11-8, 6-11, 11-8 pada kejohanan berstatus gangsa itu sekali gus memperoleh kemenangan pertamanya ke atas lawan dari Wales itu selepas enam pertemuan sebelum ini.

“Di sepanjang perlawanan, saya cuba mengawal emosi dan tidak menunjukkan banyak pada raut wajah,” kata Eain Yow kepada Jelajah Dunia PSA.

“Menentang pemain seperti Joel (Makin), biasanya anda tidak boleh menyerangnya dari depan dan hari ini saya bebas dan melakukannya.

“Dia mungkin tidak berada pada tahap 100 peratus, tetapi masih mampu mengheret perlawanan hingga ke set keempat. Saya bangga dengan corak permainan hari ini dan mahu kekal kuat dari segi mental, tetapi minggu ini belum berakhir.”

Pada aksi final kira-kira jam 10 malam ini, Eain Yow akan berdepan pilihan keenam dari Switzerland, Dimitri Seinmann yang mengejutkan pilihan ketiga dari Mesir, Mohamed El Sherbini 11-8, 11-4, 11-1.

Berdasarkan rekod pertemuan, Eain Yow pernah mengatasi pemain ranking ke-34 dunia itu pada Kejohanan Dunia 2017.-Berita Harian

Peluang Sivasangari ikut jejak Nicol

JUARA Klasik London, S Sivasangari berada di landasan yang tepat untuk mengikut jejak langkah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David setanding dengan jagoan elit dunia dalam arena sukan tersebut.

Penganalisis sukan, Rizal Hashim berkata, pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun perlu diberikan peluang untuk melalui proses pembinaan kerjaya yang betul sekali gus mengelak tekanan tinggi ke atasnya.

Beliau berkata, Sivasangari berjaya meneruskan momentum positif setelah meraih pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu dan kemudian merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Klasik London pada Isnin.

“Sivasangari berada di landasan yang betul untuk mengikut jejak langkah Nicol.

“Cuma kita kena bagi ruang untuk Sivasangari bernafas. Jangan terlalu cepat sanjung sehingga beri tekanan berganda. Biar dia berkembang pada kadar sedia ada.

“Selepas menang emas di Sukan Asia, Sivasangari meneruskan rentak positif dalam kariernya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pemain berusia 25 tahun yang menghuni kedudukan 13 dunia itu menyingkirkan cabaran bintang nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 untuk mengungguli kejohanan bertaraf emas tersebut di Alexandra Palace London.

Rizal berkata, Sivasangari melalui perjalanan yang sukar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang memaksanya berehat lama untuk menjalani proses pemulihan.

Tambahnya, bagi meneruskan momentum kemenangan tersebut dan untuk memastikan prestasinya kekal berada pada tahap terbaik, pemain yang berasal dari Kedah itu perlu kekal menjalani latihan di luar negara.

“Bukan senang untuk seorang atlet berprestasi tinggi berehat lama akibat kecederaan daripada kemalangan untuk kembali cergas dan mendominasi peringkat antarabangsa. Kita biarkan Sivasangari mendaki ranking secara sistematik.

“Saya percaya dengan sokongan semua pihak, Sivasangari boleh memenuhi potensi dengan syarat dia kena terus berkampung di luar negara.

“Sivasangari berada di Cornell, New York menerima asuhan daripada juara dunia dua kali, David Palmer, manakala Nicol dulu bermastautin di Amsterdam.

“Persekitaran luar Malaysia harus membantu Sivasangari agar terus fokus kepada kerjaya demi mengharumkan nama negara,” katanya.-Sinar Harian

KBS yakin isu surat layang berkaitan FAM dapat ditangani

Hulu Langat: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menangani isu surat layang membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekiranya terdapat bukti kukuh.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata ini kerana SPRM turut menjadi anggota dalam Jawatankuasa Intergriti FAM, selain pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya percaya SPRM akan melakukan yang terbaik untuk melihat isu-isu yang telah dibangkitkan, tetapi saya nak tunggu dulu bukan setakat surat layang.

“Jika ada laporan, saya percaya KBS akan hubungi SPRM untuk lihat apa langkah yang boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sebagai Pelaksana Rintis Kursus EV dan Hibrid di sini, hari ini.

‘Surat layang’ dalam bentuk e-mel itu yang antara lain membangkitkan isu mengenai kepimpinan dan pengurusan FAM, tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Yakin isu itu telah dijawab dalam Kongres Tahunan FAM ke-60, baru-baru ini, Hannah berharap agar FAM boleh menguruskan isu itu sekiranya ia berpunca daripada masalah dalaman.

“Saya percaya FAM telah jawab (isu surat layang) tetapi saya tunggu.. kalau setakat surat layang memang susah..

“Dalam semua syarikat, tempat (kerja) saya percaya surat layang itu satu kebiasaan, tetapi kalau ada laporan yang dibuat yang itu kita akan ambil (tindakan),” katanya.

Sementara itu, Hannah turut mengucapkan tahniah kepada jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan di atas kejayaannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Saya harap mulai sekarang sehingga waktu ke Paris nanti beliau akan terus tunjukkan kemajuan. Syabas dan selamat maju jaya kepada Aniq,” katanya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia