Majlis Sukan Negara Malaysia
MGA sandarkan harapan kepada Mirabel, Jeneath di Sukan SEA Bangkok

Seremban: Persatuan Golf Malaysia (MGA) bakal menyandarkan harapan tinggi kepada dua pemain remaja wanita negara, Mirabel Ting dan Jeneath Wong untuk menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025, yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, Disember depan.

Presiden MGA, Tan Sri Anwar Mohd Nor berkata, kedua-dua pemain terbabit dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat emas pada temasya terbesar rantau ini itu mengambil kira reputasi mereka yang menduduki ranking terbaik dunia.

“Ketika ini, Mirabel berada di kedudukan kedua dunia dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR) manakala Jeneath buat julung kalinya mencipta sejarah memenangi Golf Amatur Wanita Asia Pasifik 2025, Mac lalu.

“Mereka dilihat berpotensi untuk memberikan sumbangan terbaik dan merangkul pingat emas di Bangkok nanti.

“Kita berharap kedua-dua pemain ini dapat bersama dalam kontinjen negara ke Sukan SEA bagi membolehkan kita memberikan saingan sengit kepada pasukan lain terutama Thailand,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Negeri Sembilan 2025, di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) di sini, petang ini.

Anwar berkata, MGA akan menyenaraikan seramai empat pemain lelaki dan tiga wanita pada temasya sukan dwitahunan itu.

Menurutnya, setakat ini senarai pemain berkenaan belum dimuktamadkan dan pihaknya masih lagi menilai pemain yang berkelayakan untuk dipertaruhkan pada kejohanan itu nanti.

Mengulas mengenai sasaran baharu kutipan pingat yang akan disasarkan MGA pada temasya kali ini, beliau berkata, ianya belum ditetapkan.

“Sasaran baharu kita hanya akan ditetapkan selepas perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pihak yang berkaitan,” katanya.

Ujar Anwar, fokus utama MGA sekarang adalah mempersiapkan pemain termasuk membantu mereka mendapatkan pendedahan latihan secukupnya termasuk di luar negara selain mendapatkan bantuan jurulatih jangka pendek dari luar, bagi membantu meningkatkan prestasi pemain.

“Buat sementara ini sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya dapat kekalkan prestasi terbaik yang dicatatkan dalam dua Sukan SEA sebelum ini iaitu di Hanoi, Vietnam (2022) dan Kemboja 2023,” katanya.

Untuk rekod, pasukan golf negara berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan SEA Vietnam dan satu emas di Sukan SEA Kemboja.

MA sasar lebih 5 pingat emas di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) mengambil pendekatan tidak meletakkan sasaran secara spesifik di Sukan Sea Thailand 2025, sebaliknya ingin mengatasi pencapaian lima pingat emas pada edisi Sea Kemboja 2023.

Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak pengurusan dan barisan jurulatih begitu komited melakukan persiapan bagi memastikan setiap atlet yang tampil di temasya dwitahunan itu dapat memberikan persembahan cemerlang untuk meraih lebih banyak kilauan pingat emas.

Justeru, katanya, setiap atlet yang terpilih perlu berusaha lebih gigih agar pencapaian di Thailand nanti tidak merudum dan dapat mengatasi pencapaian edisi lalu.

“Menteri akan bercakap bagi pihak semua sukan di Malaysia termasuk daripada MA dan dalam mesyuarat kita sudah membincangkan tentang sasaran (Sea Thailand 2025).

“Sudah pasti di pihak kami, kami mahu lebih (berbanding edisi 2023). Kalau sekiranya kita dapat kurang, ini adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya pada sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Selain itu, Shahidan memaklumkan beberapa nama atlet yang akan bertanding di Thailand nanti.

Untuk kategori A lelaki, Muhammad Azeem Fahmi akan berlari dalam acara 100 meter (m), Umar Osman (400m), Wan Muhammad Fazri Wan Zahri (800m), Andre Anura (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Jonah Chang Rigan (lontar peluru).

Sementara itu, bagi kategori A wanita pula, Shereen Samson Vallabouy (400m), Queenie Ting Ku Ni (lempar cakera), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru) dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi).

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan enam jurulatih baharu sudah mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membimbing barisan atlet negara.

Mereka adalah Andrew Lulham, Jorge Luis Alfaro Quinones, Yunaika Crawford Rojer, Muhammad Hakimi Ismail, Mohd Robani Hassan dan Lo Choon Sieng.

Aniq optimis cemerlang di Kejohanan Komanwel

Kuala Lumpur: Meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, badang negara, Mohd Aniq Kasdan tetap optimis untuk beraksi cemerlang dalam Kejohanan Komanwel 2025 yang dijadual berlangsung di India hujung Ogos nanti.

Jaguh muda itu mengakui tahap kecergasannya kini hanya sekitar 70 peratus selepas mengalami kecederaan namun tetap meneruskan sesi latihan secara berperingkat bagi memastikan dirinya berada pada prestasi terbaik menjelang kejohanan penting itu.

“Saya cedera pada bahagian bahu, ligamen. Sekarang ini saya masih menjalani rawatan dan dah mula latihan semula tiga minggu lalu.

“Walaupun belum pulih sepenuhnya, saya tetap teruskan latihan dengan beban yang ringan untuk kekalkan momentum,” katanya.

Atlet berusia 23 tahun itu menegaskan kecederaan yang dialami tidak mematahkan semangatnya malah menjadi motivasi untuk membuktikan kemampuan diri.

“Saya harap boleh buat yang terbaik di India nanti. Memang berat, tapi saya percaya dengan sokongan dan servis terbaik, saya mampu cipta kejutan,” katanya.

Mengikut format baharu kelayakan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), hanya pemenang tempat pertama kejohanan layak secara automatik ke kejohanan utama, manakala atlet lain perlu melalui satu lagi pusingan kelayakan.

“Jika sebelum ini atlet diberikan tempat menerusi sistem kuota, kini proses kelayakan diubah mengikut format seperti Sukan Olimpik iaitu perlu melalui pusingan kelayakan terlebih dahulu.

“Jadi saya perlu memastikan diri benar-benar bersedia, meskipun ketika ini masih berada dalam fasa pemulihan daripada kecederaan,” katanya.

Aniq turut berharap agar terus diberikan sokongan penuh daripada semua pihak bagi merealisasikan impiannya untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Ariana yakin panah pingat

Kuala Lumpur: Pemanah wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi optimis gandingan mereka mampu menghasilkan pingat pada Sukan Sea di Thailand hujung tahun ini.

Bagi Ariana, dia yakin dengan kemampuan dan kekuatan rakan-rakan yang lain untuk berada pada tahap terbaik di temasya dwitahunan itu, meskipun menyedari bakal berdepan saingan sengit daripada negara lain.

Menurutnya, Program Road To Gold (RTG) banyak membantu dari segi meningkatkan keserasian serta latihan termasuk pendedahan kepada kejohanan di luar negara sekali gus membolehkan mereka membina tahap keyakinan lebih tinggi selain mempunyai strategi tersendiri untuk digunakan ketika bertemu lawan.

“Untuk Sukan Sea 2025, kami mensasarkan untuk meraih pingat. Saya tidak rasa ia mustahil kerana pasukan kami agak kuat. Tidak banyak beza dengan pasukan negara lain, cuma kami belum capai tahap mereka lagi.

“Jadi, dengan adanya bantuan daripada RTG dan program Fast Track, kami mendapat sokongan yang lebih baik. Contohnya, kami sudah nampak banyak peningkatan dalam latihan serta kejohanan di luar negara. Kami rasa kami boleh dapat pingat,” katanya.

Trio pemanah wanita negara dibarisi oleh Syaqiera Mashayikh, Ariana, dan Nurul Azreena Mohamad Fazil. Pengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti Sukan Olimpik Paris 2024 sudah pasti akan banyak membantu mereka menghadapi kejohanan di Thailand nanti.

Selain itu, Syaqiera juga menyatakan keyakinan gandingan mereka bertiga sangat bersemangat untuk menyumbangkan pingat buat negara.

“Bagi saya, kami mahu menang pingat tanpa mengira warna. Setakat ini, untuk acara berpasukan wanita, masih belum ada pingat. Sewaktu di Hanoi, Vietnam pun kami tidak menang. Jadi, tahun ini di Thailand, kami akan cuba sebaik mungkin. Kami akan berusaha untuk mendapatkan pingat,” katanya.

Untuk makluman, Indonesia antara negara yang dilihat bakal menjadi pesaing utama, selain memiliki ranking berpasukan yang lebih tinggi daripada trio negara.

Isu kontrak Pearly-Thinaah tak ganggu fokus Rosman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menegaskan fokusnya untuk membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) langsung tidak terganggu meskipun dipalit isu babitkan beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Rosman yang kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada November tahun lalu berkata, beliau komited dengan objektif ditetapkan badan induk itu selain tugas membentuk skuad beregu wanita negara yang kompetitif di peringkat dunia.

“Matlamat saya tetap sama iaitu LA28. Itulah sebab saya dilantik oleh BAM. Selagi tidak ada perubahan dalam peranan saya, saya akan terus menumpukan sepenuh perhatian kepada objektif ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Menurut Rosman, pembangunan skuad beregu wanita negara tidak boleh hanya bergantung kepada satu pasangan sahaja sebagai contoh Pearly-Thinaah yang ketika ini menduduki ranking keempat dunia.

“Jika kita hanya memberi tumpuan kepada Pearly dan Thinaah sahaja, tekanan terhadap mereka akan menjadi terlalu tinggi. Kita perlu pastikan semua pasangan lain juga dibangunkan secara menyeluruh,” katanya.

Antara pasangan lain kata Rosman, termasuk Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, Ong Xin Yee-Carmen Ting selain pasangan remaja berbakat Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu dan Valeree Siow-Low Yeen Yuan.

“Saya melihat perkembangan positif dalam kalangan pemain pelapis. Mereka kini lebih konsisten dan menunjukkan potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Walaupun jurang mereka masih jauh berbanding gandingan utama, kita harus berikan peluang untuk mereka naik ke tahap seterusnya.

“Saya mahu membina keseluruhan skuad beregu wanita agar kita sentiasa ada pilihan, dan tidak berdepan masalah jika satu pasangan utama berdepan cabaran,” katanya.

Sejarah tercipta, beregu lelaki negara duduki ranking pertama, kedua dunia

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik mencipta sejarah baharu buat kem badminton negara apabila mereka kini secara rasmi berada di kedudukan nombor satu dan dua dunia.

Melalui kemas kini daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sze Fei–Izzuddin terus kekal di takhta nombor satu dunia buat minggu ketiga berturut-turut dengan mengumpul 91,090 mata.

Sementara itu, Aaron–Wooi Yik yang tersingkir awal di Terbuka Indonesia berjaya mendaki satu anak tangga untuk berada di kedudukan nombor dua dunia selepas mengumpul 89,870 mata, dan hanya dipisahkan 1,220 mata dengan rakan senegara.

Perkara itu dibantu selepas bekas juara dunia itu mempamerkan prestasi cemerlang sebelum ini termasuk ke pentas akhir tiga kali berturut-turut dengan meraih dua kejuaraan.

Selain beregu lelaki negara, beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah turut mencipta rekod baharu dalam karier mereka apabila berjaya melonjak ke tangga ketiga dunia (86,066 mata) selepas ia dibantu dengan prestasi cemerlang ke final pada Terbuka Indonesia Ahad lalu.

“Buat pertama kali dalam sejarah badminton negara, dua beregu lelaki Malaysia menduduki dua kedudukan teratas dalam ranking dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik di tempat kedua.

“Dalam kategori beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah turut mencatat pencapaian terbaik kerjaya mereka apabila naik ke ranking ketiga dunia,” kata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan rasmi di media sosial milik mereka, hari ini.

Melihat prestasi semasa gandingan negara itu, ia memberi gambaran cukup positif buat kem negara menjelang Kejohanan Dunia BWF 2025 di Paris, Perancis nanti.

Selain itu, beregu lelaki yang sedang berada dalam momentum terbaik, Tee Kai Wun–Man Wei Chong kekal di tangga ketujuh dunia (71,843 mata), sementara beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei turut kekal di ranking keempat dunia (83,383 mata).

Namun, pasangan suami isteri, Goh Soon Huat–Shevon Lai pula ditolak ke tangga keenam dunia (78,448 mata).

Untuk pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turun enam anak tangga ke kedudukan ke-21 dunia selepas tidak menyertai beberapa kejohanan sejak mengalami kecederaan.

Namun, pemain kelahiran Kedah itu mendapat perlindungan ranking daripada BWF, yang mana ia akan melindungi ranking asal pemain agar mereka boleh mendaftar bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila kembali cergas.

Jonassen, barisan kejurulatihan sedia bantu Tze Yong

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen menegaskan bahawa beliau dan barisan kejurulatihan akan bersama-sama membantu pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk kembali pulih seperti sedia kala.

Jelasnya, pihaknya sentiasa peka dan akan terus memantau perkembangan semasa Tze Yong serta sedia menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sekiranya pemain itu memerlukannya.

Katanya, selepas keputusan imbasan MRI baru-baru ini, ia mengesahkan berlakunya koyakan pada ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kanannya dan sudah pasti memerlukan tempoh rehat yang agak panjang.

“Kami akan terus menyokongnya dalam apa jua cara, tetapi akhirnya, ia bergantung kepada atlet itu sendiri. Pesanan saya kepada Tze Yong ialah supaya jangan teragak-agak untuk meminta bantuan. Kadangkala anda rasa bersendirian, walaupun sebenarnya tidak.

“Meminta bantuan bukan tanda kelemahan, malah ia adalah satu kekuatan. Kami pasti akan sentiasa memantau keadaannya serta berhubung dengannya sepanjang proses pemulihan ini,” katanya.

Selain itu, jurulatih kelahiran Denmark itu mengakui bukan mudah buat Tze Yong untuk menerima kecederaan yang mungkin akan ‘menamatkan’ kariernya dan disebabkan itu, beliau akan mencari alternatif bagi membantu pemain itu bangkit sedikit demi sedikit sekali gus mendapatkan kembali keyakinan kembali ke gelanggang.

“Daripada melihat perancangan jangka panjang seperti sembilan atau 12 bulan ke hadapan, yang terlalu jauh dan membebankan, lebih baik kita ambil langkah demi langkah. Fikirkan, ‘Saya perlu capai sasaran ini dahulu’, kemudian apa yang harus dilakukan.

“Sudah tentu, ia memerlukan semangat yang kuat untuk bangkit semula selepas kecederaan serius buat kali kedua. Tapi saya percaya dia mampu mengharunginya,” katanya.

Jonassen turut menyatakan bahawa peranannya dalam situasi ini bukan sekadar sebagai jurulatih di gelanggang, tetapi juga sebagai penyelaras sokongan luar gelanggang untuk memastikan mental pemain itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Saya lihat peranan saya meliputi pelbagai aspek. Ia bukan hanya melatih, tetapi juga memastikan orang di sekelilingnya memberikan sokongan penuh dalam proses pemulihan. Saya faham apabila seseorang pemain cedera dan tidak dapat beraksi, itu adalah perasaan paling buruk. Ia membuatkan anda terasa jauh daripada apa yang anda cintai.

“Sebab itu saya perlu pastikan kita mempunyai pasukan sokongan terbaik untuk membantu, membimbing dan memberi galakan kepada Tze Yong agar dia terus kuat dan tidak berputus asa,” katanya.

“Meminta bantuan bukan tanda kelemahan, malah ia adalah satu kekuatan. Kami pasti akan sentiasa memantau keadaannya serta berhubung dengannya sepanjang proses pemulihan ini,” katanya.

Selain itu, jurulatih kelahiran Denmark itu mengakui bukan mudah buat Tze Yong untuk menerima kecederaan yang mungkin akan ‘menamatkan’ kariernya dan disebabkan itu, beliau akan mencari alternatif bagi membantu pemain itu bangkit sedikit demi sedikit sekali gus mendapatkan kembali keyakinan kembali ke gelanggang.

“Daripada melihat perancangan jangka panjang seperti sembilan atau 12 bulan ke hadapan, yang terlalu jauh dan membebankan, lebih baik kita ambil langkah demi langkah. Fikirkan, ‘Saya perlu capai sasaran ini dahulu’, kemudian apa yang harus dilakukan.

“Sudah tentu, ia memerlukan semangat yang kuat untuk bangkit semula selepas kecederaan serius buat kali kedua. Tapi saya percaya dia mampu mengharunginya,” katanya.

Jonassen turut menyatakan bahawa peranannya dalam situasi ini bukan sekadar sebagai jurulatih di gelanggang, tetapi juga sebagai penyelaras sokongan luar gelanggang untuk memastikan mental pemain itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Saya lihat peranan saya meliputi pelbagai aspek. Ia bukan hanya melatih, tetapi juga memastikan orang di sekelilingnya memberikan sokongan penuh dalam proses pemulihan. Saya faham apabila seseorang pemain cedera dan tidak dapat beraksi, itu adalah perasaan paling buruk. Ia membuatkan anda terasa jauh daripada apa yang anda cintai.

“Sebab itu saya perlu pastikan kita mempunyai pasukan sokongan terbaik untuk membantu, membimbing dan memberi galakan kepada Tze Yong agar dia terus kuat dan tidak berputus asa,” katanya.

Pearly-Thinaah mampu hadiah pingat Olimpik

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak optimis anak didiknya, Pearly Tan-M Thinaah bakal menjadi pesaing utama pada Sukan Olimpik Los Angeles (LA28) sekali gus menjelmakan pingat meskipun hala tuju mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum ada kata sepakat.

Bagi Rosman, apa yang penting ketika ini adalah membina momentum itu untuk jangka masa panjang dan memastikan mereka terus berada pada tahap terbaik sekali gus sentiasa menampilkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan disertai.

Katanya, sejak membimbing beregu nombor empat dunia itu, Pearly-Thinaah sudah membuktikan keupayaan dan peningkatan prestasi membanggakan selepas muncul juara Terbuka Thailand, separuh akhir Masters Malaysia, suku akhir Terbuka Singapura dan naib juara Terbuka Indonesia.

“Ya, sasaran utama masih LA28 dan sebab itu BAM ambil saya semula. Saya kekal komited kepada matlamat itu.

“Menjadi pemain utama bukan sesuatu yang mudah. Banyak faktor boleh menjejaskan prestasi. Tugas saya ialah bantu mereka urus semua latihan, kehidupan dan tekanan,” kata Rosman.

Untuk rekod, kedua-dua pemain itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM sejak tamat pada Disember lalu dan itu menimbulkan pelbagai dakwaan seperti Pearly-Thinaah akan meninggalkan badan induk berkenaan untuk bergerak secara profesional.

Namun begitu, biarpun dihimpit dengan pelbagai isu luaran, Pearly-Thinaah tetap menunjukkan sikap beretika yang tinggi dengan memberikan komitmen dalam latihan serta di gelanggang.

Dalam pada itu, Rosman memaklumkan bahawa setiap kejohanan mempunyai cabaran tersendiri kerana hampir setiap atlet yang berada di dalam ranking terbaik dunia akan menyertai pertandingan itu.

“Bagi saya, sama ada ia kejohanan Super 500, 750 atau 1000, semuanya ada tekanan yang sama kerana ia turut disertai pemain elit yang sama dalam setiap peringkat. Tak boleh kata Super 500 lebih mudah berbanding 750 atau 1000,” katanya.

Rexy mahu Tee-Man tingkat kekuatan mental

Putrajaya: Tindakan tuan rumah melancarkan serangan psikologi dengan ‘mengejek’ beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong pada aksi separuh akhir Terbuka Indonesia ternyata memberi impak kepada prestasi wakil negara itu.

Pengarah Kejurulatihan Badminton Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, beliau mengakui perkara itu mempengaruhi permainan Kai Wun-Wei Chong namun itu bukan alasan utama mereka gagal ke pentas final selepas tewas kepada lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi 18-21, 21-12, 18-21 dalam tempoh 60 minit pada perlawanan di Istora Senayan.

Katanya, situasi seperti itu sering terjadi di dalam pelbagai jenis sukan namun yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana seseorang itu mengawal tekanan yang diterima ketika perlawanan sedang berlangsung.

“Saya sempat berbincang dengan Kai Wun-Wei Chong. Memang mereka akui terasa terganggu. Tapi saya tak boleh buat apa-apa. Kita kecewa bukan sebab mereka kalah, tapi kerana mereka tak dapat kawal situasi itu.

“Sebagai atlet, memang kita tak boleh lari daripada tekanan. Itu hak penonton untuk melakukan perkara itu dan kita tidak boleh halang perkara itu daripada terjadi.

“Apa yang kita lihat dalam sukan lain seperti dalam sukan bola sepak juga terjadi. Jadi, pemain kena bersedia bukan saja dari segi kemahiran, tapi juga mental. Itu yang kita sedang fokus dalam program RTG (Road To Gold) sekarang,” katanya selepas sidang media RTG.

Selain itu, perubahan angin di dalam stadium juga dilihat memberi cabaran kepada pemain untuk menyesuaikan diri dengan pantas agar dapat mengawal pukulan bola dengan lebih baik.

“Bukan saja penonton, suasana gelanggang pun beri kesan. Tahun ini Istora ada drift, dan pemain seperti Anders Antonsen (Denmark) sendiri tanya kepada kami arah angin sebelum perlawanan. Ini semua faktor yang pemain kita perlu bijak mengawal keadaan (angin),” katanya.

Terdahulu, pada aksi separuh akhir Sabtu lalu, jelas kedengaran penonton Indonesia akan mengejek atau ‘boo’ setiap kali Kai Wun-Wei Chong ingin melakukan servis dan tindakan itu menyebabkan wakil negara hilang fokus pada awal permainan set ketiga dan terpaksa akur tidak berjaya mengulangi aksi ke final seperti tahun lalu.

Atlet badminton paling ramai sertai RTG

PUTRAJAYA: Seramai 13 atlet kebangsaan disahkan menyertai Program Road to Gold (RTG) dan Fast Track bagi kitaran 2025 selepas Jawatankuasa RTG mengadakan mesyuarat kali kedua tahun ini untuk memuktamadkan permintaan serta senarai akhir atlet terbabit.

Mesyuarat yang berlangsung di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini turut membincangkan tiga agenda utama iaitu permintaan daripada jurulatih dan persatuan sukan, maklum balas daripada atlet, serta tinjauan penggunaan bajet berdasarkan keperluan dibentangkan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata jawatankuasa meluluskan permohonan yang berkait rapat dengan sokongan prestasi atlet, manakala permohonan lain akan dibincang secara lanjut oleh Sekretariat RTG bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), atlet, jurulatih dan persatuan terbabit.

Senarai atlet yang telah disahkan menyertai Program RTG 2025 termasuk lapan pemain badminton – Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan S Sivasangari (skuasy).

Bagi Program Fast Track pula, empat atlet disenaraikan iaitu Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil dari sukan memanah, serta pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow.

Pemain skuasy wanita negara, Sivasangari diserap ke dalam RTG berdasarkan kedudukan semasa ranking dunianya.

Hannah menambah, penyertaan empat pemain badminton profesional Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat dan Shevon Lai masih belum dimuktamadkan susulan komitmen pertandingan dan jadual perjalanan.

“Penyertaan mereka hanya akan dimuktamadkan selepas pertemuan bersama pihak sekretariat diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia