KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin sukar untuk memenangi pingat emas selepas edisi Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 sekiranya tiada tindakan drastik diambil dari sekarang bagi memperkasakan program pembangunan atlet para khususnya dalam kategori lain.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada ‘muka lama’ bagi menjelmakan kilauan emas di temasya itu sebaliknya perlu ada program khusus untuk melahirkan generasi atlet baharu membabitkan kategori lain.
Katanya, negara perlu meneroka kategori baharu yang berpotensi untuk menyumbang emas kepada kontinjen Malaysia.
“Kita tidak boleh bergantung kepada orang yang sama, yang boleh bersaing sehingga dua atau tiga kitaran Paralimpik, ini bukan lagi zaman yang begitu. Kita kena persiapkan atlet pelapis kita.
“Macam badminton kita nampak sudah ada. Namun, apa yang merisaukan kita adalah acara atau kategori lain.
“Paralimpik ini bukan legasi. Kalau seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual), sukar kita mahu cari orang macam Ziyad selepas ini.
“Begitu juga dengan Datuk Abdul Latif Romly untuk acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual), kita tidak boleh harapkan ada lagi orang kurang upaya sepertinya selepas ini.
“Sebab itu kita kena tengok kategori lain.
“Kita kena beri tumpuan kepada mana-mana atlet para yang berkedudukan mungkin ada peluang menang gangsa atau dalam kelompok 10 dan lima terbaik dalam kategori lain. Kita kena gilap mereka dan beri sokongan yang secukupnya.
“Apa yang merisaukan saya adalah kita mungkin sukar untuk menang emas selepas edisi Los Angeles 2028 mengambil kira usaha negara lain yang turut serius membangunkan atlet para mereka,” katanya kepada BH Sukan.
Di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang melabukan tirainya, awal pagi tadi, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 keseluruhan apabila membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus gagal mencapai sasaran empat emas ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Dua emas itu disumbangkan ‘orang lama’ yang mempertahankan emas dimenangi mereka di Paralimpik Tokyo 2020 iaitu jaguh badminton para, Cheah Liek Hou yang mengungguli kategori SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72 kilogram (kg).
Ziyad dan Latif yang menjadi sandaran emas terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara masing-masing.
Bagaimanapun, kedua atlet berkenaan pernah menyumbang emas kepada Malaysia dengan Ziyad pada edisi 2016 di Rio manakala Latif dua kali muncul juara ketika Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Satu gangsa kontinjen negara di Paris pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).
Mengulas mengenai pencapaian kontinjen negara di Paris, Pekan memuji tindakan berani yang diambil MPM apabila menetapkan sasaran empat emas biarpun tidak berjaya merealisasikannya.
“Saya hormat dengan sasaran MPM, mereka berani letak sasaran. Mereka sedar kenapa perlu lagi letak sasaran tiga emas kerana sudah capainya sebelum ini.
“Sebenarnya memang boleh capai sasaran empat emas itu tetapi bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan. Dalam hal ini Ziyad dan Latif raih perak kita perlu hargainya kerana mereka pernah sumbang emas sebelum ini,” katanya.
Kontinjen negara berjaya membawa pulang tiga emas dalam dua edisi terakhir sebelum ini iaitu pada Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.-Berita Harian