Majlis Sukan Negara Malaysia
Danish mahu terus ukir nama dalam acara pecut

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyasarkan untuk melakukan catatan masa 10.20 saat (s) selepas ini.

Pelari berusia 18 tahun itu optimis dirinya mampu melakukannya dan akan terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk berada di landasan tepat agar sasaran itu mampu dikecapi.

Keyakinan itu hadir selepas dirinya berjaya melakukan catatan 10.57s pada aksi final 100m di Stadium Merdeka, semalam sekali gus memberi amaran awal kepada pelari senior bahawa dia akan menjadi pencabar utama pada kejohanan itu.

Untuk rekod, Danish memaklumkan rekod peribadi terbaik dalam acara itu ialah 10.47s yang dilakukannya pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di Vietnam, tahun lalu.

“Kalau bercakap mengenai sasaran (catatan masa), mungkin saya akan meletakkan sasaran 10.30s ataupun 10.20s, tetapi perkara paling penting adalah untuk buat yang terbaik serta ikut segala proses latihan dan pemulihan.

“Berhubung garis masa itu, memang tidak ada kerana saya hanya percaya pada rezeki Allah sahaja. Setakat ini saya berpuas hati tetapi, insya-Allah, akan buat lebih baik lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sebagai makluman, nama Danish dalam sukan olahraga bukanlah asing lagi apabila dia berjaya merangkul gelaran raja pecut pada Sukma Sarawak 2024 yang lalu.

Terdahulu, pelari yang mewakili Sukma Johor itu mencuri tumpuan dalam final acara pecut lelaki dan paling manis, dia berjaya mengalahkan atlet kebangsaan seperti Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail termasuk bekas juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan.

Husniah sambut baik kehadiran jurulatih baharu

Kuala Lumpur: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, menyambut baik kehadiran jurulatih baharu yang bakal membimbing mereka bagi menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Sukan Sea Thailand yang akan berlangsung Disember nanti.

Jelasnya, terdapat beberapa nama yang dikatakan bakal dibawa masuk oleh Olahraga Malaysia (MA) dan dirinya yakin kehadiran pelatih itu akan membantu atlet negara dalam meningkatkan lagi prestasi.

“Sebenarnya masih belum diumumkan lagi, jadi Adik (Zaidatul) tidak boleh bercakap lebih sebab masih belum tahu lagi. Cumanya, Adik berasa memang sudah ada dan menanti Presiden (MA, Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Ketua Pengarah (Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin) berbincang mengenai hal ini.

“Sudah pasti ini menggembirakan dan mungkin akan ada jurulatih tempatan dan luar negara yang akan mengajar pelari pecut,” katanya yang ditemui selepas tamat acara final 100 meter (m) di Stadium Merdeka, semalam.

Untuk makluman, nama jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim antara yang dikatakan bakal kembali ke dalam skuad olahraga Malaysia.

Namun, sebelum ini Arena Metro melaporkan bahawa Poad masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran daripada MA untuk kembali melatih atlet pecut negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea Thailand hujung tahun ini.

Dalam perkembangan sama, pelari berusia 32 tahun itu menyatakan kemenangan yang diraih dalam Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia perlu bersaing dengan pelari muda dan dirinya sangat berpuas hati kerana masih berjaya menjadi pelari terpantas.

Terdahulu, pelari berpengalaman, Zaidatul menepati ramalan untuk muncul juara 100 meter wanita dengan catatan masa 11.72 saat (s) sementara pingat perak dimenangi oleh Nur Aishah Rofina Aling dari Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s dan Azreen Nabila Alias dari pasukan kebangsaan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, 11.83s.

Malaysia mampu tandingi sepak takraw Thailand – Kamarudin

Butterworth: Lagenda sepak takraw negara, Kamarudin Saleh masih mengikuti rapat perkembangan semua kejohanan sukan itu dengan meletakkan harapan Malaysia mampu menyaingi Thailand suatu hari nanti.

Kamarudin,73, berkata, sejak dahulu lagi hanya Thailand yang menjadi penghalang Malaysia merebut sebarang kejuaraan dalam sukan berkenaan dan ia berlarutan hingga sekarang.

Bagaimanapun katanya, dengan memperbanyakkan latihan dari memperbaiki sudut servis dan sepakan lebih tajam ia tidak mustahil bagi Malaysia untuk menandingi negara gajah putih itu.

“Memang kena banyak latihan dari segi servis dan sepakan kerana dekat situ saya nampak ada yang kurang.

“Pemain-pemain sekarang berbakat dan ada potensi untuk pergi jauh, cuma sekarang memerlukan usaha yang lebih termasuk semangat tinggi.

“Saya sehingga kini hairan mengapa Thailand masih sukar untuk kita tewaskan tetapi yakin dengan latihan yang padu serta semangat kita pasti boleh,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Reunion Anak Kampung Bagan Dalam, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Kamarudin yang sudah berhijrah keluar dari kampung berkenaan dijemput sebagai anak jati dan tokoh yang telah mengharumkan nama negara.

Beliau adalah pemenang pingat emas Sukan Sea Manila pada 1981 yang sebelum itu memenangi emas pada Piala Persatuan Sukan Thailand (TSA).

Aira juara Terbuka Bermuda

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Aira Azman menepati ramalan untuk muncul juara Kejohanan Terbuka Bermuda di Devonshire, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Turun selaku pilihan pertama, Aira tidak berdepan masalah besar apabila hanya memerlukan 27 minit untuk mencatat kemenangan 12-10, 11-3, 11-6 ke atas lawan dari Mesir, Hana Moataz.

“Saya sangat gembira kerana dapat memenangi gelaran PSA yang keempat. Ia amat bermakna untuk saya dan meningkatkan tahap keyakinan saya untuk terus memperbaiki pencapaian.

“Saya sudah berusaha keras dengan jurulatih dan pasukan, jadi saya gembira kerana ia sudah membuahkan hasil. Terima kasih kepada semua orang yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam perjalanan ini,” katanya.

Selain itu, kemenangan 3-0 pada aksi final itu juga memberikan motivasi untuk dia terus meningkatkan prestasi semasa bagi menghadapi Kejohanan Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2024-2025 yang akan diadakan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dari 9 hingga 17 Mei ini.

“Saya akan terus berusaha serta meningkatkan latihan untuk tampil dengan lebih baik dan berharap akan kekal cergas untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Untuk kejohanan di Chicago nanti, Aira yang berada di ranking ke-30 dunia akan bertemu wakil England, Torrie Malik dan dilihat mampu melangkah ke pusingan kedua. Dia dijangka akan bertemu pemain ke-12 dunia dari Mesir, Salma Hany Ibrahim Ahmed.

Sekiranya Aira mampu mengalahkan Salma Hany, kemungkinan dirinya akan bertemu sekal lagi kakaknya, Aifa Azman atau seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold di pusingan ketiga sekiranya masing-masing berjaya melepasi halangan di pusingan awal.

Nouran Gohar sekat misi kejuaraan Sivasangari

Kuala Lumpur: Hasrat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk merangkul kejuaraan kedua musim ini tidak kesampaian selepas tewas di tangan pemain nombor satu dunia, Nouran Gohar dari Mesir pada aksi final Piala Grasshopper 2025 di Zurich, Switzerland, hari ini.

Dalam pertarungan sengit selama 42 minit di gelanggang kaca Zurich Hauptbahnhof, pemain pilihan ketiga kejohanan itu memberi tentangan hebat sebelum tunduk 7-11, 12-14, 9-11 kepada juara pilihan utama kejohanan berkenaan.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut buat pemain berusia 26 tahun itu kepada Nouran sejak pertemuan sulung mereka di pusingan ketiga Kejohanan Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021.

Piala Grasshopper iaitu kejohanan bertaraf emas di bawah Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak USD123,000 (kira-kira RM538,000) bagi kategori lelaki dan wanita.

Februari lalu, Sivasangari muncul juara Piala Cincinnati Gaynor, Amerika Syarikat, selepas menewaskan pemain tuan rumah Amanda Sobhy dalam aksi lima set, 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4.

Hoe Yean bolot lapan emas, pecah rekod kebangsaan

Kuala Lumpur: Perenang muda negara, Khiew Hoe Yean menutup Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 dengan penuh gemilang apabila meraih lapan emas keseluruhan dan memecah rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki, hari ini.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil, Hoe Yean yang turun terlebih dahulu dalam acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki berjaya muncul pemenang dengan catatan 2 minit 03.29 saat (s) untuk meraih emas ketujuh peribadinya.

Lebih manis, catatan masa yang dilakukan itu membolehkan dia memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri, 2:03.77s yang dilakukan pada kejohanan yang sama pada Mac 2023.

“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata kerana saya langsung tidak menjangka untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara ini. Bagaimanapun, saya rasa kondisi cukup bagus di sebelah pagi, begitu juga ketika memanaskan badan.

“Sebenarnya saya hanya menjangkakan untuk melakukan catatan seperti 2:04s, tetapi tak sangka lebih pantas. Saya sangat gembira, jadi akan fokus untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing diraih perenang Sarawak, Hii Puong Wei (2:05.50s), dan perenang Hong Kong, Tsz Lam.

Sementara itu, perenang berusia 23 tahun itu juga cemerlang membantu pasukan kuartet 4x100m rampaian berpasukan lelaki untuk melengkapkan emas kelapan untuk dirinya pada edisi kali ini dengan catatan 3:46.93s.

Pingat perak dimenangi oleh Selangor (3:51.39s), manakala Hong Kong (3:55.09s) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Terdahulu, Hoe Yean meraih lapan selepas menguasai acara 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, acara 400 meter (m) gaya bebas dan 200m kuak lentang.

Malah, dia terus menunjukkan penguasaan dalam acaa kuartet 4x200m gaya bebas, 200m rampaian individu lelaki dan 4x100m rampaian berpasukan lelaki.

KBS henti guna dana kerajaan selenggara fasiliti persendirian

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan lagi menggunakan dana kerajaan untuk membina atau menaik taraf fasiliti sukan di atas tanah milik swasta atau persendirian, tegas Menterinya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menghentikan amalan penggunaan dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal yang sebelum ini menjadi trend.

“Jika tidak, semua pemilik tanah atau kawasan kejiranan akan meminta supaya gelanggang futsal atau pickleball dibina di kawasan masing-masing. Ini tidak munasabah kerana peruntukan yang ada adalah terhad.

“Sebab itu saya selalu tegaskan di Parlimen, kalau nak bina fasiliti sukan, mesti di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan supaya aksesnya jelas dan terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Rakan Muda di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang pembinaan di atas tanah milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat persetujuan rasmi terlebih dahulu, manakala pembinaan di tanah persendirian telah dihentikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan terdapat kes sebelum ini di mana kerajaan negeri enggan menerima fasiliti yang telah dibina, termasuk kolam renang, kerana enggan menanggung kos penyelenggaraan tinggi seperti pam air.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini memaklumkan sebanyak 30 gelanggang sukan yang uzur dan tidak diselenggara telah dilupus dan dirobohkan sejak 2021.

Menurut beliau, pelupusan itu melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung Malaysia dengan nilai kerugian mencecah RM11 juta, manakala 10 gelanggang di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta — kebanyakannya gelanggang futsal 1Malaysia.

Hoe Yean fokus Sukan Universiti Dunia

Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean melihat kejayaan meraih beberapa pingat emas di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 sebagai persiapan terbaik menghadapi Sukan Universiti Dunia 2025 di Rhine Ruhr, Jerman yang akan berlangsung dari 16 hingga 27 Julai depan.

Jelas Hoe Yean, kejohanan itu juga membolehkan dia menguji beberapa aspek teknikal dan dari situ, dirinya dapat melihat kembali apa kekurangan yang perlu dibaiki sebelum kejohanan utama berlangsung.

“Saya melihat kejohanan ini adalah ujian terbaik untuk kami sebagai persiapan menjelang Kejohanan Universiti Dunia dan juga Kejohanan Akuatik Dunia (Ogos) selepas ini.

“Melalui pertandingan ini, ia memberi peluang untuk kami melihat kembali dan melakukan perbincangan agar dapat memperbaiki segera beberapa aspek lain demi kebaikan dalam renang,” katanya.

Pada kejohanan Universiti Dunia itu nanti, perenang berusia 23 tahun itu akan mewakili Universiti UCSI dan sudah pasti, momentum terbaik yang ada ketika ini bakal menjadi tonik tambahan buat dirinya.

Mengikut rekod statistik daripada Akuatik Dunia, Hoe Yean kini memegang rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas (3:42.37s), 200m kuak lentang (01:56.55s) dan beberapa acara lain lagi.

Terdahulu, Kejohanan Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil semalam menyaksikan dirinya yang mewakili Kuala Lumpur berjaya menambah tiga lagi pingat emas dalam acara 400 meter (m) gaya bebas, 200m kuak lentang dan membantu kuartet 4x200m gaya bebas.

Faizal kekal bersara, namun sedia pertimbangkan keputusan itu

Kuala Terengganu: Bekas penyerang sensasi pasukan hoki kebangsaan, Faizal Saari kekal dengan keputusannya untuk bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang membantu skuad itu merangkul juara treble dalam kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) pada tahun ini sedia mempertimbangkan keputusan itu.

“Buat masa ini saya mengambil pendirian untuk kekal dengan keputusan bersara terlebih dahulu daripada bermain bersama skuad negara di peringkat antarabangasa.

“Lagipun baharu dua bulan keputusan ini (bersara daripada mewakili pasukan negara) diambil, jadi saya mahu menikmati persaraan ini bersama keluarga terlebih dahulu.

“Bagaimanapun sekiranya jurulatih kebangsaan (Sarjit Singh) menelefon saya, apa-apa saya akan cuba pertimbangkannya, tapi buat masa sekarang saya tidak mahu fikir tentang perkara itu (kembali bersama pasukan negara),” katanya selepas mengendalikan klinik hoki di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), Kuala Terengganu, malam tadi.

Penyerang sensasi negara Faizal Saari mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan selepas membantu THT merangkul tiga kejuaraan MFL 2025 pada Februari lalu.

Keputusan yang dibuat pemain berusia 34 tahun itu selepas meraih 302 penampilan dalam tempoh 15 tahun mewakili negara sejak kali pertama dipanggil ke skuad kebangsaan ketika berusia 18 tahun, namun dia menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL dan Piala Tun Razak.

Mengulas mengenai perkembangan terkininya, abang kepada pemain tengah kebangsaan, Fitri itu menjelaskan dia kini fokus dalam persiapan untuk mengendalikan akademinya.

“Sekarang saya mahu tumpu kepada latihan klinik hoki selain jemputan daripada sekolah dan Akademi Faizal Saari bawah 16 tahun di Pandamaran, Klang yang bakal bermula bulan depan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun menyambut baik jika pemain itu kembali mewarnai pasukan kebangsaan.

“Faizal masih layak digelar penyerang nombor satu kebangsaan, jadi jika dia kembali sudah pasti mampu memperkuatkan pasukan Speedy Tigers,” katanya.

Skuad badminton sedia gegar Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Skuad badminton negara kini sudah bersedia untuk memulakan perjuangan dalam saingan Piala Sudirman dan menjadikan Perancis sebagai mangsa pertama dalam aksi sulung Kumpulan C, esok.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, mereka sudah merangka beberapa strategi serta perancangan terbaik untuk digunakan untuk bertemu lawan dalam usaha memastikan Malaysia boleh mencatat semua keputusan positif.

Selain itu, setiap anggota pasukan sudah diberikan tugasan masing-masing bagi memastikan setiap pemain yang diberikan peranan untuk beraksi mampu memberikan persembahan cemerlang.

“Dalam pasukan, kita ada fisioterapi, tukang urut sukan (sport masseur), jurulatih kecergasan dan penganalisis video. Kebanyakannya kita sesuaikan dengan keperluan pemain.

“Semua barisan jurulatih juga sudah mengadakan perbincangan bagi perlawanan pertama menentang Perancis, kedua Australia dan ketiga Jepun. Kami sudah berbincang sebaik mungkin dan mesyuarat akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Jadi, perkara pertama yang kita tekankan kepada pemain ialah motivasi, fokus dan juga kondisi fizikal agar mereka berada di tahap terbaik,” katanya.

Selain itu, sebaik sahaja tiba di Xiamen, China, setiap pemain berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan menjalani latihan di gelanggang bagi mendapatkan momentum sebelum memulakan aksi peringkat kumpulan.

Sebagai makluman, Malaysia membariskan pemain terbaik serta berpengalaman seperti beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

Turut disenaraikan ialah Justin Hoh (perseorangan lelaki), K Letshanaa dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Go Pei Kee-Carmen Ting (beregu wanita) serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).

Selepas menentang Perancis, Malaysia akan bertemu Australia (29 April) dan pencabar utama Malaysia dalam peringkat kumpulan, Jepun (1 Mei).