Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonah sasar gelaran Olahragawan SUKMA

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mengintai peluang untuk menjadi atlet olahraga pertama Sarawak dinobatkan sebagai Olahragawan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri kelahirannya dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Masih segar dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali di Terbuka Pahang, Sabtu lalu, Jonah menetapkan sasaran untuk meraih tiga pingat emas di SUKMA tahun ini bagi meningkatkan peluangnya merangkul gelaran Olahragawan.

Katanya, dia menyasarkan emas dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi.

“Tidak pernah atlet dari disiplin balingan merangkul tiga emas. Satu lagi saya mahu jadi atlet olahraga yang memenangi Olahragawan walaupun ia sukar dengan tentangan atlet terjun, renang, kayak dan boling.

“Bukan senang atlet olahraga untuk menjadi Olahragawan tetapi saya cuba untuk mencipta sejarah dengan memburu tiga emas dan mencatatkan dua rekod,” katanya yang mencatat rekod baharu kebangsaan 18.46 meter (m) mengatasi catatan lama 17.06m.

Atlet berusia 21 tahun itu menjadi atlet pertama Malaysia yang berjaya melepasi jarak 18m.

Pada edisi terakhir di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Jonah meraih emas bagi acara lontar peluru manakala perak bagi lempar cakera dan baling tukul besi.

Bagaimanapun, Jonah tetap berwaspada dengan kemampuan atlet remaja pada edisi kali ini yang dijangka memberi tentangan sengit kepada dirinya.

“Atlet remaja juga mampu membuat balingan jauh namun saya perlu melakukannya kerana ini adalah SUKMA terakhir dan perlu mendapatkannya (tiga emas) tahun ini,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Aisyah teruja berlatih di Belgium

NILAI: Pelumba berbasikal wanita lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengakui sudah bersedia untuk memulakan fasa terakhir persiapannya dengan menjalani latihan di Belgium bagi menghadapi saingan di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata, dia sangat teruja untuk menjalani latihan di Belgium bermula minggu depan, yang diharapkan akan mampu membantunya meningkatkan lagi tahap prestasi sebelum bersaing di Olimpik.

“Tak sabar rasanya untuk memulakan latihan di Belgium kerana ia kali pertama, selama ini hanya lihat di televisyen dan sebelum ini saya hanya berlatih atau berlumba di negara-negara Asia atau Asean seperti Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain.

“Untuk itu, saya amat mengharapkan latihan di Belgium kerana nak rasa suasana latihan dan juga perlumbaan di sana, di sana banyak guna kekuatan yang tinggi, jadi saya perlukan suasana sebegitu untuk bantu tingkatkan prestasi.

“Saya perlu dapatkan beberapa elemen lain yang boleh membantu dalam perlumbaan seperti soal ketahanan, kelajuan, teknik perlumbaan dan tempoh kerana saya perlu buktikan tahap kemampuan sebenar sebelum bersaing di Paris nanti,” katanya di Velodrom Nasional, di sini.

Nur Aisyah tampil mewakili Terengganu dalam Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Velodrom Nasional, bermula hari ini hingga Khamis ini.

Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata persiapan latihannya setakat ini berjalan lancar selepas menerima basikal baharu sumbangan Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Cheah Ing Shern serta kelengkapan baharu lain daripada Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Nur Aisyah dijadual berlepas ke Belgium pada 25 Mei ini sebagai persiapan terakhir sebelum temasya Paris 2024 membuka tirainya secara rasmi 26 Julai nanti dengan pelumba berusia 27 tahun itu turut dijadual akan menyertai kira-kira 20 kejohanan pemanas badan di Eropah.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Korea Selatan mahu cipta kejutan ke atas Malaysia

KUALA LUMPUR: Korea Selatan melaungkan amaran awal menjelang aksi peringkat suku akhir acara double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang hampir pasti bertemu Malaysia di Stadium Titiwangsa, di sini, esok.

Pemain Korea Selatan, Shin Hee Seop secara peribadi percaya Malaysia yang dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Brunei untuk muncul juara Kumpulan A malam ini, boleh ditewaskan walaupun akan bermain di belakang sorakan padu penyokong tuan rumah.

Menurut beliau yang kali pertama mewakili negara beraksi di pentas kejohanan antarabangsa, ia kerana faktor semangat berlawan yang tinggi dalam diri setiap pemain Korea Selatan.

“Saya mahu menang perlawanan menentang Malaysia…saya fikir kita boleh melakukan kerana pemain Korea sentiasa berjuang.

“Walupun tewas kepada Thailand pada aksi pertama, kami bangkit semula untuk menewaskan Soingapura…momentuum ini cukup bagus untuk kami,”katanya dalam Bahasa Korea yang diterjemahkan oleh jurubahasa pasukan ketika ditemui selepas aksi terakhir Kumpulan D menentang Singapura di sini, hari ini.

Pada perlawanan itu, Korea Selatan diperkuat gandingan Kim Youngcheol, Heeseop dan Park Chelolhee berjaya merakam kemenangan 15-12, 15-10 ke atas Singapura yang diwakili Muhammad Khairilshamy Shamsudin, Zaihirrman Zaharudin dan Muhammad Shameer Hamsah.

Kejayaan itu membolehkan Korea Selatan muncul naib juara Kumpulan D di belakang juara bertahan Thailand dan akan membuat perhitungan menentang Malaysia sekiranya pasukan negara muncul juara Kumpulan A dengan menumpaskan Brunei malam ini.

Malaysia membuka kempen saingan acara double divisyen premier dengan bergaya selepas menumpaskan Jepun 2-0 (15-9, 15-3) pada aksi pertama Kumpulan A semalam manakala Brunei tewas di tangan Jepun 0-2 (13-15, 10-15), Sabtu lepas. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sharul Aimy cipta sejarah di Tashkent

KUALA LUMPUR: Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam melakar sejarah apabila muncul sebagai gimnas negara pertama yang berjaya meraih pingat di Kejohanan Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan, semalam.

Sharul Aimy berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara melombol selepas mengumpul 14.466 mata di belakang juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet tuan rumah Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata), masing-masing mengutip pingat emas dan perak.

Mengulas mengenai kejayaannnya itu, gimnas berusia 22 tahun itu mengakui dirinya berdepan ‘permainan psikologi’ apabila hampir berputus asa terutama sebelum kejohanan bermula apabila terjatuh tiga ke empat kali ketika sesi latihan.

Malah, dengan faktor kecederaan di bahagian pergelangan kaki dan kehadiran gimnas seperti Yulo, juara Sukan SEA, ia bagaikan menambahkan lagi perasan gemuruhnya ketika memasuki pertandingan.

“Saya hampir putus asa sebelum saingan bermula namun 10 minit sebelum bermula, saya cuba tenangkan diri. Saya dapatkan rawatan dari fisioterapi dekat sini (Tashkent) untuk kaki saya yang cedera bagi menaikkan semangat saya semula.

“Saya gembira, akhirnya saya berjaya cipta sejarah lagi di peringkat Asia untuk MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia) di Kejohanan Asia ini,” katanya yang harap dapat meraih kilauan pingat yang lebih baik pada edisi tahun depan.

“Paling penting saya nak kekalkan pingat ini di Kejohanan Asia nanti. Mungkin tahun depan saya nak tukar pingat gangsa ini kepada perak atau emas dan kemudian terus kekal untuk tahun seterusnya.”-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pilihan utama bukan jaminan buat Tang Jie-Ee Wei

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak mahu mengambil pendekatan selesa di Masters Malaysia biarpun diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bertaraf Super 500 itu.

Tang Jie berkata, status sebagai pilihan utama tidak seharusnya menjadikan mereka selesa apatah lagi sedar akan kekuatan lawan yang menyertai edisi kali ini.

Pemain berusia 26 tahun itu juga berkata, apa yang berlaku terhadap gandingan keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang tewas kepada gandingan baharu dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di pentas final Terbuka Thailand kelmarin turut harus dijadikan iktibar.

“Itu juga satu pengajaran buat kita. Bukan nak kata yang apabila menjadi pilihan utama ini, kita ada kelebihan atau apa pun.

“Saya rasa beregu di sini semuanya kuat dan kita hanya perlu mempersiapkan diri sendiri sahaja,” kata Tang Jie ketika ditemui media selepas sesi ujian gelanggang di Arena Axiata, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei dijadual membuka tirai saingan Masters Malaysia menentang beregu ranking ke-46 dunia dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong di pusingan pertama.

Pada edisi tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Masters Malaysia dalam acara beregu campuran adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.

“Kami juga mahu (muncul juara) tetapi kami memikirkan untuk tidak terlalu meletakkan sasaran tinggi kerana bimbang ia akan bertukar kepada tekanan. Jadi kami hanya perlu terus menuju ke hadapan dan bermain dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata Ee Wei.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Masters Malaysia tetap ‘panas’

KUALA LUMPUR: Seramai 294 pemain termasuk 21 wakil negara bakal menghangatkan saingan Masters Malaysia yang dijadual bermula dari 21 hingga 26 Mei ini di Arena Axiata Bukit Jalil.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata meskipun pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi badminton sudah berakhir, Masters Malaysia tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Lima pemain kelompok 10 terbaik dunia bagi perseorangan lelaki mengesahkan penyertaan termasuk wakil Denmark, Viktor Axelsen (no.1) dan Anders Antonsen dari Denmark (no 4), Li Shi Feng dari China (no 7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (no 8), dan Loh Kean Yew dari Singapura (no 10), selain pemain negara Lee Zii Jia (no 11), akan bersaing merebut gelaran.

ADVERTISING

“Manakala dalam perseorangan wanita, tiga pemain kelompok 10 terbaik dunia diketuai Han Yue (no 7) dan Wang Zhi Yi dari China (no 9) dan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat (no 10), selain juara 2018 dari Thailand, Ratchanok Intanon (no 11).

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Dalam acara beregu lelaki, bakal dicabar hebat Kim Astrup-Anders Rassmussen dari Denmark (no 4) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (no 5) selain He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (no 11).

“Beregu wanita bakal menyaksikan antara pemain Jepun, Kie Nakanishi-Rin Iwanaga (no 13) dan pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah (no 14).

https://926778ec6f8a0bf2f33bab7a8f31f160.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html

“Beregu campuran pula menyaksikan pasangan negara Chen Tang Jie-Toh ee Wei (no 9) dan Mathias Christiansen-Alehandra Boje dari Denmark (no 10), sebagai pilihan utama, menghangatkan lagi perebutan kejuaraan,” katanya.

Pada edisi 2023, HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand (beregu campuran).

Dalam pada itu, Norza memaklumkan penjualan tiket bagi kejohanan bertaraf Super 500 itu mendapat sambutan hangat apabila lari dijual terutama untuk peringkat suku akhir hingga final.

Katanya, penjualan tiket bagi kejohanan berstatus Super 500 itu mendapat respon positif terutama bagi kategori Platinum dan Premium, membuktikan kejohanan berkenaan bakal menjanjikan pertarungan sengit kelompok 10 pemain terbaik dunia.

“Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket Platinum dan Premium untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir laris dan berbaki tidak banyak untuk dibeli,” kata Norza.

Beliau turut menasihati peminat badminton supaya membuat pembelian segera terutamanya pada tiga hari pertama.

“Saya harap peminat badminton turut tidak melepaskan peluang membanjiri Arena Axiata pada tiga hari pertama untuk menunjukkan sokongan kepada pemain negara,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Beregu nombor tiga dunia nanti Wan Arif-Roy King

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berpeluang untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka apabila membuat perhitungan dengan pasangan nombor tiga dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi suku akhir Terbuka Thailand, esok.

Terdahulu, Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-64 dunia mara ke kelompok lapan terbaik menerusi kemenangan ke atas pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-14, 21-13 pada aksi pusingan kedua di Stadium Nimibutr di Bangkok.

Rankireddy-Shetty yang juga juara Sukan Asia Hangzhou 2022 pula mara selepas menundukkan gandingan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-16, 21-11.

Sebagai rekod, ia akan menjadi pertemuan pertama antara Wan Arif-Roy King dengan Rankireddy-Shirag.

Ia menjadi peluang buat pasangan negara itu untuk menguji keupayaan sebenar mereka menentang beregu utama dunia seperti Rankireddy-Shirag yang diletakkan antara pencabar utama pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian turut mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-21-17, 21-10.

Pasangan ranking ke-28 dunia itu akan berdepan beregu Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei bagi perebutan tiket ke separuh akhir.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Russia mahu Chong Wei latih pemain mereka

KAZAN: Pencapaian Malaysia dalam sukan badminton menarik perhatian media Russia, dengan permintaan agar juara badminton Malaysia melatih pemain Russia.

Permintaan itu dibangkitkan pada sidang media Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Profesor Dr Maszlee Malik di pusat media Forum Ekonomi Antarabangsa ke-15 “Russia-Dunia Islam: KazanForum 2024” di sini pada Rabu.

Permintaan itu dibuat kepada Maszlee dalam bahasa Russia dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris melalui jurubahasa.

Sebagai balasan, Maszlee berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk jaguh badminton negara termasuk Datuk Lee Chong Wei, melatih pemain Russia.

Bercakap kepada media Malaysia selepas sidang media itu, Maszlee berkata permintaan itu adalah satu penghormatan bagi negara.

Maszlee berkata selain bangga, beliau sangat gembira dan teruja.

Terdahulu, dalam sidang media itu beliau menjelaskan mengenai diplomasi budaya, satu kertas kerja yang beliau bentangkan dalam satu daripada sesi di KazanForum pada Rabu.

Forum itu bermula pada 14 Mei hingga 19 Mei.

Beliau menyatakan bahawa Festival Filem Islam Kazan akan berlangsung bulan depan di Shah Alam dan Johor Bahru yang dianjurkan oleh IAIS dan Kedutaan Russia di Kuala Lumpur.

Tujuh filem dari Kazan mengenai komuniti Muslim Russia dari Tatarstan akan ditayangkan di Malaysia, katanya.

Ini termasuk pelbagai genre seperti dokumentari, fiksyen, aksi dan filem kartun.

Dalam perkembangan lain, suasana di forum itu kelihatan normal walaupun terdapat berita bahawa Lapangan Terbang Kazan yang terletak berhampiran, ditutup untuk beberapa waktu kerana serangan dron sebelum ia dibuka semula.

Kebanyakan wartawan asing dari pelbagai negara tidak menyedari perkara itu apabila ditanya ketika sarapan jika mereka tahu mengenai penutupan itu.

Setakat ini, penganjur forum belum membuat sebarang pengumuman berkaitan keselamatan. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiket Masters Malaysia laris

KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan penganjuran Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil dari 21 hingga 26 Mei ini kian dirasai selepas tiket kejohanan itu laris terjual khusus bagi pusingan suku akhir hingga akhir.

Menurut penganjur menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, penjualan tiket kejohanan berstatus Super 500 itu meraih respon positif terutama bagi kategori Platinum dan Premium sekali gus membuktikan Perodua dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menjanjikan pertarungan sengit antara kelompok 10 pemain terbaik dunia.

“Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket Platinum dan Premium untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir laris dan berbaki tidak banyak lagi untuk dibeli,” menurut Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan itu.

Beliau dalam masa sama menasihati peminat badminton supaya membuat pembelian segera terutamanya untuk tiga hari pertama.

“Saya harap peminat badminton turut tidak melepaskan peluang membanjiri Axiata Arena untuk menunjukkan sokongan kepada pemain negara. Inilah peluang untuk peminat menyaksikan persembahan pemain ternama dunia yang sedang melakukan persiapan ke Olimpik Paris,” katanya.

Mohamad Norza berkata seramai 294 pemain dari 25 negara menghantar penyertaan untuk Masters Malaysia 2024 manakala 21 daripadanya adalah pemain di bawah naungan BAM.

“Walaupun pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bagi badminton sudah berakhir, namun Masters Malaysia tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam kelompok 10 terbaik dunia,” katanya.

Lima pemain kelompok 10 terbaik dunia bagi perseorangan lelaki mengesahkan penyertaan, termasuk wakil Denmark, Viktor Axelsen (1) dan Anders Antonsen (4), Li Shi Feng dari China (7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (8), dan Loh Kean Yew dari Singapura (10), selain pemain negara Lee Zii Jia (11), akan bersaing merebut gelaran.

Manakala dalam perseorangan wanita, tiga pemain kelompok 10 terbaik dunia akan menyertainya dengan diketuai Han Yue (7) dan Wang Zhi Yi (9) dari China dan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat (10), selain juara 2018 dari Thailand, Ratchanok Intanon (11).

“Dalam acara beregu lelaki, bakal menyaksikan pertandingan hebat Kim Astrup-Anders Rassmussen dari Denmark (4) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5) selain He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (11). Beregu wanita pula bakal menyaksikan antaranya pemain Jepun, Kie Nakanishi-Rin Iwanaga (13) dan pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah (14).

“Beregu campuran pula menyaksikan penyertaan pasangan negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (9) dan Mathias Christiansen-Alehandra Boje dari Denmark (10), sebagai pilihan utama dalam menghangatkan lagi perebutan kejuaraan,” katanya.

Pada edisi 2023, HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand (beregu campuran). – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Seksan gagal korek rahsia skuad takraw negara

KUALA LUMPUR: Tidak banyak rahsia yang dapat dikorek Seksan Tubtong daripada skuad sepak takraw kebangsaan meskipun sebelum ini dia diberi tanggungjawab sebagai perunding kepada pasukan negara dalam persiapan menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang bermula Sabtu ini.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Februari lalu menagih kepakaran Seksan bagi membantu menaikkan mutu permainan beregu (double) negara, untuk tempoh tiga bulan, namun khidmatnya dihentikan lebih awal selepas Thailand menyenaraikan apit kiri itu ke saingan Piala Dunia.

Kapten pasukan sepak takraw kebangsaan, Farhan Adam bagaimanapun tidak menganggap senario itu sebagai satu tekanan.

“Tidak.. ia bukan satu tekanan kepada kami kerana dia (Seksan) bukannya bersama pasukan kita sepenuh masa, bukan setiap hari.

“Sebenarnya, mungkin ada pemain lain yang lebih baik daripada Seksan kerana kami pernah bertemu pemain yang lebih baik daripadanya. Kehadiran dia dalam Thailand… kami akan atasi,” kata Farhan.

Malaysia akan membuka tirai saingan dalam acara regu menentang China dalam Kumpulan B, manakala Thailand berada dalam kumpulan A akan menentang Vietnam.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, undian awal menyaksikan skuad negara berjaya mengelak Thailand, membuka jalan buat Malaysia mencatat kejayaan besar kali ini.

Daripada tiga acara iaitu beregu, regu dan berpasukan, Farhan berkata, dia amat mengidam menjuarai acara berpasukan terutamanya selepas PSM menaja dan memperkenal trofi pusingan buat kali pertama.

“Kita bermain di laman sendiri, kita tuan rumah dan kami sebagai pemain tidak mahu menghampakan penyokong yang menyaksikan perlawanan.

“Skuad kali ini dibarisi muka-muka baharu yang mana kami sebagai pemain senior amat perlukan mereka.

“Kualiti kami dengan yang baharu tidak jauh berbeza melainkan pengalaman,” katanya.

Pada 25 April lalu, Thailand mengumumkan 12 pemain yang akan menggalas cabaran di Kuala Lumpur dan pasukan itu akan tiba di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia berada dalam kumpulan B bersama China dan Brunei bagi acara regu, manakala dalam acara beregu, wakil negara berada dalam kumpulan A bersama Brunei dan Jepun.

Acara beregu dan regu akan bermula serentak pada Sabtu ini manakala acara berpasukan pula hanya bermula selepas berakhir dua acara itu.

Sementara dalam acara berpasukan, Malaysia berada dalam kumpulan C bersama Brunei dan Jepun, ketika Thailand berada dalam kumpulan B bersama China dan India.

Untuk rekod, penganjuran Piala Dunia 2024 adalah yang pertama menawarkan trofi Piala Dunia sebagai Piala Pusingan bagi acara berpasukan dan kejohanan ini juga akan memperkenalkan sistem 15 mata dengan satu servis.

Setiap pasukan yang bertanding dalam acara berpasukan akan diberi mata ranking buat kali pertama pada edisi tahun ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia