Majlis Sukan Negara Malaysia
Sze Fei-Izzuddin berpeluh tempah tiket suku akhir Terbuka Indonesia

Kuala Lumpur: Beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sekali lagi dipaksa bekerja keras sebelum berjaya meraih tiket ke suku akhir Terbuka Indonesia.

Pada pertembungan dengan rakan senegara, Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong di pusingan kedua, hari ini, Sze Fei-Izzuddin memerlukan masa selama 54 minit untuk menumbangkan lawan mereka yang menduduki ranking ke-28 dunia itu 21-14 16-21 21-14.

Selepas memenangi set pertama, Sze Fei-Izzuddin hilang rentak pada set kedua sebelum kembali memperkemaskan permainan mereka di set penentuan untuk melakar kemenangan mutlak.

Terdahulu, pasa aksi pusingan pertama sebelum ini, Sze Fei-Izzuddin Rumsani juga terpaksa bermandi peluh untuk menewaskan gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen sebelum melakar kemenangan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan berlangsung selama 58 minit.

Sze Fei-Izzuddin perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal pada aksi suku akhir esok di Istora Senayan selepas dijadual bertemu wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Pearly-Thinaah ‘diamkan’ Istora Senayan

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamer kebangkitan dramatik sekali gus ‘mendiamkan’ seluruh penyokong tuan rumah di Istora Senayan selepas menewaskan pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti hari ini untuk mara ke suku akhir Terbuka Indonesia.

Beraksi di pusingan kedua, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan menerusi permainan tiga set 18-21, 21-16, 21-17 dalam tempoh 59 minit.

Bagi Thinaah, bertemu lawan di gelanggang sendiri bukan sesuatu yang mudah apatah lagi menerima sorakan penuh daripada peminat, namun wakil negara itu berjaya mengubah keadaan itu untuk menghentikan kemaraan Mayasari-Ramadhanti.

“Saya rasa sedikit teruja. Sudah tentu tidak mudah untuk bermain dengan mereka. Kami sudah bertemu dengan mereka beberapa kali, tetapi saya rasa hari ini, apa yang benar-benar membantu kita berdua adalah sokongan antara satu sama lain.

“Jurulatih tidak pernah berputus asa terhadap kami. Mereka terus memberi motivasi walaupun kami ketinggalan agak jauh. Tetapi kami tidak membiarkan perkara itu menjejaskan semangat atau motivasi kami.

“Kami terus berjuang satu mata demi satu mata. Saya rasa itulah yang banyak membantu kami hari ini,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan, hari ini.

Sementara itu, Pearly mengakui mereka agak letih, namun semangat juang tinggi yang ada di dalam diri membuatkan mereka tetap memberikan persembahan terbaik untuk mendapatkan kemenangan.

“Kami memang sangat mahukan kemenangan dalam perlawanan ini dan kami benar-benar percaya antara satu sama lain, begitu juga dengan jurulatih. Jadi, saya rasa itulah faktor utama yang membawa kepada kemenangan kami hari ini,” katanya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik selepas mencatat kemenangan ke atas rakan senegara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi 14-21, 21-11, 21-15 pada pusingan kedua, hari ini.

Tugas sukar menanti mereka esok apabila akan bertemu gandingan berpengalaman dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang turut mara selepas mengalahkan lawan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 16-21, 21-18, 22-20 dalam masa 68 minit.

Tang Jie-Ee Wei bergaya ke suku akhir Terbuka Indonesia

Kuala Lumpur: Rentak konsisten terus diperagakan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia, hari ini.

Pasangan yang pernah terpalit dengan kontroversi itu mara selepas menyingkirkan beregu Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch pada aksi peringkat 16 terbaik dengan keputusan straight yang mengambil masa 31 minit.

Pada aksi di Istora Senayan, Jakarta itu, pasangan nombor empat dunia mencatat kemenangan mudah 21-9 pada set pertama sebelum mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-12 pada set kedua.

Begitupun, menanti Tang Jie-Ee Wei yang kembali bergandingan di Terbuka Singapura minggu lalu di peringkat lapan terbaik jelas lebih sukar iaitu pasangan nombor lapan dunia, Jesper Toft-Amalie Magelund juga dari Denmark.

Toft-Amalie yang juga juara Eropah begitupun tidak diberikan laluan mudah pada pusingan kedua oleh pasangan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara.

Sekalipun berjaya menamatkan perlawanan dengan keputusan straight set, kemaraan mereka ditentukan dengan keputusan 22-20, 25-23 dalam tempoh 49 minit.

Apa yang menarik, ini adalah pertemuan pertama Tang Jie-Ee Wei menentang Toft-Amalie yang mula bergandingan pada pertengahan tahun lalu.

Fazri intai peluang berlatih di luar negara

Kuala Lumpur: Pelari 800 meter (m) lelaki negara, Wan Muhammad Fazri berharap diberikan peluang untuk berlatih di luar negara kerana ia akan membuka ruang lebih besar untuknya melakukan catatan masa lebih baik.

Bagi Fazri, untuk bersaing di pentas antarabangsa, dia perlu berani memulakan langkah dan mencari pesaing yang boleh memberi tentangan sengit buat dirinya sekali gus membantu meningkatkan keupayaan diri serta melonjakkan prestasinya ke tahap lebih tinggi.

“Sebagai persediaan untuk kejohanan besar, saya perlu menyertai pertandingan di luar negara kerana saya ingin mendapatkan lawan yang lebih kuat berbanding di Malaysia. Di sini bukan tidak bagus, tetapi saya perlukan orang yang boleh tolak saya ke arah lebih laju untuk mendapatkan catatan masa terbaik.

“Tak perlu ke Eropah pun…mungkin dalam Asia pun sudah okay. Sebab kalau kita tengok keputusan di ATF (Kejohanan Olahraga Asia) didominasi oleh China, India dan Jepun.

“Jepun memang bagus untuk latihan serta mencatat keputusan cemerlang kerana persekitaran mereka berbeza kalau dibandingkan dekat sini…tahap saingan di sana sangat tinggi,” katanya.

Terdahulu, semasa pertandingan ATF Gumi, Korea Selatan baru-baru ini, pelari berusia 24 tahun itu berjaya mencatat masa 1 minit 47.40 saat (s), sekali gus rekod terbaik peribadinya (PB).

“Catatan masa yang saya buat ini sebenarnya di luar jangkaan sebab sasaran daripada jurulatih adalah cuba untuk membuat catatan terbaik peribadi 1:50s, tapi Alhamdulillah rezeki daripada Allah, saya dapat lakukan jauh lebih baik dan sangat bersyukur dengan pencapaian ini,” katanya.

Peluang Soon Huat-Shevon balas dendam

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai kini berpeluang untuk membalas dendam ke atas pilihan keenam dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran apabila kedua-dua pasangan itu akan bertemu di suku akhir Terbuka Indonesia, esok.

Mereka akan bertemu buat kali kelima untuk musim ini dan sudah pasti gandingan suami isteri itu ingin menebus duka atas kekalahan di peringkat yang sama sebelum ini di Terbuka Singapura minggu lalu dan Terbuka Swiss, bulan Mac.

Sebelum itu, Soon Huat-Shevon yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan berjaya menepati ramalan dan hanya memerlukan 33 minit untuk meraih kemenangan straight set ke atas wakil tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-7, 21-12.

Bagi Shevon, dia dan pasangannya perlu pantas menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang serta perlu cepat mencari solusi terhadap setiap masalah bagi memastikan mereka boleh beraksi dengan baik tanpa mengganggu momentum permainan.

“Saya rasa semua orang tahu mengenai keadaan angin di dalam gelanggang. Sebenarnya, gelanggang ini agak sukar untuk dikawal. Kita perlu menyesuaikan diri dan setiap gelanggang adalah berbeza. Jadi itu juga menjadi salah satu fokus kami setiap kali turun ke gelanggang.

“Kami bermain di dua gelanggang berbeza semalam dan hari ini, jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat. Secara keseluruhan, dalam perlawanan hari ini, saya rasa kami bermain agak konsisten dan bagus walaupun lawan kami bermain dengan baik dan cuba memecahkan rentak kami.

“Tetapi kami berjaya mengekalkan momentum dan mengatasi tekanan itu,” katanya yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik sebanyak tujuh kali daripada lapan kejohanan yang disertai setakat ini,” katanya.

Selain itu, pasangan suami isteri itu juga mengakui bahawa mereka perlu bijak melakukan perancangan terutama di dalam latihan agar dapat mengekalkan prestasi dan bersaing bersama pasangan muda yang lain.

Speedy Tigers perlu lebih ganas

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan hoki kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menegaskan bahawa untuk mencipta kejayaan di pentas antarabangsa bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pemain perlu berusaha lebih gigih daripada pasukan lawan.

Baginya, apabila sesebuah pasukan turun dalam pertandingan Piala Negara-Negara yang akan bermula pada 15 hingga 21 Jun ini, sudah pasti setiap daripada mereka menginginkan kejayaan atau kejuaraan.

Justeru, tiada jalan pintas mahupun perkara mudah untuk dikecapi, sebaliknya hanya usaha yang akan membezakan antara Speedy Tigers dengan pasukan yang bertanding.

“Saya selalu menegur kepada pemain muda yang selalu bercakap mereka banyak berkorban, bekerja kuat, tetapi saya memberitahu bahawa pasukan lain di luar sana pun bekerja lebih kuat daripada kamu.

“Jadi, kalau kamu rasa sudah bekerja kuat, kamu kena bekerja tiga kali lagi lebih kuat sebab di (pasukan) luar mereka bukan sahaja mempunyai kelebihan daripada segi fizikal, pemikiran, dan kematangan yang kebanyakan negara luar lebih baik daripada kita,” katanya.

Untuk kejohanan Piala Negara-Negara yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Jepun, Pakistan dan juara edisi lalu, New Zealand, manakala Kumpulan A akan diperkuatkan oleh Perancis, Korea Selatan, Wales dan juara edisi pertama, Afrika Selatan.

Melihat kepada undian itu, Ahmad Najmi meletakkan sasaran untuk skuad kendalian Sarjit Singh layak ke separuh akhir terlebih dahulu. Pencapaian terbaik Speedy Tigers pada kejohanan ini adalah berada di kedudukan keempat pada edisi pertama dan tempat ketujuh di edisi kedua.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti New Zealand (16 Jun) dan perlawanan terakhir, Jepun (18 Jun).

Langkah Aaron-Wooi Yik terhenti di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Impian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia Super 1000 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta itu, gandingan ranking tiga dunia itu tumpas kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam pertarungan sengit tiga set, 13-21, 21-19, 18-21, yang berlangsung selama 59 minit.

Turun selaku pilihan ketiga kejohanan, Aaron-Wooi Yik dilihat bergelut untuk mendapatkan rentak di set pertama sebelum mempamerkan kebangkitan pada set kedua. Tetapi keletihan jelas terpancar dalam permainan mereka pada set penentuan yang dilihat menjadi menyumbang kepada kekalahan berkenaan.

Begitupun, pujian tetap boleh diberikan kepada Aaron-Wooi Yik berikutan kekalahan itu hadir selepas mereka mengharungi empat perlawanan final secara berturut-turut dalam tempoh sebulan.

Sepanjang tempoh itu, bekas juara dunia itu mereka mencatatkan pencapaian cemerlang bermula dengan menjuarai Kejohanan Badminton Asia diikuti Terbuka Thailand (Super 500 BWF), naib juara di Masters Malaysia (Super 500 BWF) dan menjuarai Terbuka Singapura (Super 750 BWF) sebelum ‘terbang’ ke Jakarta bagi menghadapi cabaran di Indonesia.

Ironinya, ini adalah kali kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik tewas kepada Kjaer-Sogaard di pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 BWF yang mengulangi kekalahan di Seluruh England di Birmingham pada Mac lalu.

Kekalahan ini turut menyaksikan mereka terlepas peluang membawa pulang ganjaran lumayan berjumlah AS$107,300 (RM505,000) yang ditawarkan kepada juara bagi kategori beregu lelaki Terbuka Indonesia.

Selepas Jakarta, peluang terakhir Aaron-Wooi Yik untuk menjuarai gelaran Super 1000 BWF kini terletak di Terbuka China yang dijadual berlangsung pada bulan depan.

Sementara itu pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pemain tuan rumah, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-13, 21-12.

Sebelum itu, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tersingkir selepas tewas di tangan pemain Scotland, Kirsty Gilmour 20-22, 16-21.

Pearly-Thinaah lolos pusingan pertama Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Spekulasi yang melanda beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tampak tidak menjejaskan rentak mereka apabila berjaya melepasi halangan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Indonesia, hari ini.

Pasangan ranking keempat dunia itu menariknya sekali lagi menjadikan beregu Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui sebagai ‘mangsa’ apabila mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam tempoh 42 minit di Istora Senayan, Jakarta.

Kemenangan seakan mengulangi keputusan pertemuan kedua-dua pasangan di peringkat sama di kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu pada tahun lalu, yang juga memihak kepada Pearly-Thinaah.

Turut melepasi pusingan pertama adalah pasangan beregu campuran lima dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mudah menyingkirkan beregu Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Sapsiree Taerattanachai.

Menghuni ranking 112, Horbanluekit-Taerattanachai jelas bukan tandingan pasangan suami isteri itu yang menang dengan keputusan straight set 21-12, 21-16 dalam tempoh 31 minit.

Cabaran lebih getir menanti Soon Huat-Shevon di pusingan kedua apabila dijadual bertemu pasangan tuan rumah yang menghuni ranking nombor 25 dunia Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah esok.

Sementara itu, langkah satu lagi beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting tersekat di pusingan pertama apabila disingkirkan pasangan tuan rumah, Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine.

Pertemuan antara pasangan ranking ke-23 dan ke-20 dunia itu berlangsung sengit sebelum pasangan Indonesia itu meraih kemenangan dalam aksi tiga set 21-10, 14-21, 21-17 dalam tempoh 69 minit.

Turut terkandas awal adalah beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri apabila tewas kepada pasangan Jepun, Hoki Takuro-Yugo Kobayashi yang menghuni ranking ke-19 dunia.

Hon Jian-Haikal yang berada di ranking ke-39 dunia, tumpas dalam perlawanan straight set 13-21, 9-21 dalam masa 29 minit.

Penggiat e-sukan boleh mula mohon dana sehingga 31 Julai

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif di bawah Impact Integrated mengumumkan pembukaan permohonan bagi Dana Esukan KBS (DEK) 2025, bermula 4 Jun hingga 31 Julai ini.

Dana yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu menawarkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, meningkat RM500,000 berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan industri esukan tanah air.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, DEK menyokong lebih 80 inisiatif sukan elektronik (e-sukan) akar umbi merangkumi penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, penghasilan kandungan digital dan pelbagai aktiviti komuniti di seluruh negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, dalam kenyataan hari ini berkata, DEK bukan sekadar skim bantuan kewangan, malah menjadi simbol kepercayaan KBS terhadap potensi besar yang dimiliki industri e-sukan tempatan.

“Dana e-sukan KBS bukan hanya sekadar satu skim bantuan kewangan semata-mata, tetapi simbol kepercayaan dan komitmen KBS terhadap potensi besar e-sukan. DEK ini adalah selari dengan hasrat untuk merakyatkan sukan temasuklah esukan melalui pendekatan ‘whole-of-nation’.

“Dengan adanya DEK, kita ingin memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri dalam memacu ekosistem e-sukan negara yang lebih progresif, inklusif, dan berdaya saing,” kata Adam Adli dalam kenyataan hari ini.

Bagi membantu pemohon menyediakan cadangan program yang berkualiti dan memahami proses penilaian, KBS menerusi ESI akan menganjurkan sesi libat urus DEK. Sesi ini termasuk pengenalan, panduan penyediaan kertas kerja dan sesi soal jawab.

Sesi ini terbuka kepada semua penggiat industri termasukinstitusi pendidikan, organisasi belia dan sukan, dan kumpulan komuniti.

Pemohon boleh melayari laman sesawang www.esportsintegrated.com/danaesukankbs atau emel ke DanaEsukanKBS@esportsintegrated.com untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan DEK 2025.

Permohonan DEK 2025 dilaksanakan secara dalam talian dan keputusan dijangka diumumkan pada 28 Ogos 2025.

Program yang diluluskan perlu dilaksanakan dalam tempoh September hingga November 2025.

Tang Jie-Ee Wei masih cari rentak

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui mereka masih mencari rentak diperlukan biar pun berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Indonesia 2025.

Tang Jie-Ee Wei yang kembali bergandingan di Terbuka Singapura minggu lalu mara ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 1000 itu selepas menewaskan gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 21-11, 16-21, 21-14 dalam tempoh 59 minit, hari ini.

“Agak sukar di gelanggang kerana kami masih belum temui rentak. Namun kami hanya percaya antara satu sama lain,” kata Ee Wei ketika ditemubual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.

Perlawanan menentang Dhruv-Tanisha adalah yang pertama buat Tang Jie-Ee Wei dan bagi mereka, gandingan ranking ke-17 dunia itu mempunyai kelebihan tersendiri.

“Saya rasa Tanisha sentiasa menjadi lawan yang sukar. Sangat agresif dan mempunyai fizikal manakala Kapila adalah seorang pemain yang mempunyai skil.

“Bagi kami, kami teruja dan hanya perlu konsisten di gelanggang. Seperti Ee Wei katakan, kami masih sedang mencari rentak. Apapun, kami perlu percaya antara satu sama lain dan seterusnya kami boleh capai (yang lebih baik),” kata Tang Jie.

Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu Mads Vestergaard-Christine Busch di pusingan kedua esok selepas gandingan Denmark itu menewaskan gandingan India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh 21-15, 21-9.

Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan ranking ke-23 dunia dari Denmark itu selepas memperoleh kemenangan dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir kedua-dua beregu ini bertemu adalah di pusingan pusingan kedua Terbuka Jepun 2024 dengan ketika itu Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan straight set 21-13, 21-13.