Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN terus perkasa usaha wujudkan persekitaran sukan selamat

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan program latihan khas untuk pegawai tumpuan utama Kod Sukan Selamat di sini dalam usaha memperkukuh inisiatif mewujudkan persekitaran sukan yang selamat.

MSN dalam kenyataan memaklumkan program latihan selama dua hari yang disertai 92 pegawai daripada 57 persatuan sukan kebangsaan itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim hari ini.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan bermatlamat menyiapkan pegawai tumpuan utama yang bertanggungjawab menjadi ejen kesedaran dan menerapkan elemen pendidikan sukan selamat kepada atlet di pelbagai peringkat.

“Menerusi latihan ini, pengetahuan dan pemahaman pegawai-pegawai diperkasakan dalam aspek seperti mengenal pasti kesalahan dan risiko, tatacara pengelolaan aduan, pelapor kes serta aktiviti meningkatkan kesedaran dan mendidik penggiat sukan terhadap persekitaran sukan yang selamat.

“Ia selari dengan Rangka Kerja Sukan Selamat ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menekankan tanggungjawab kolektif daripada akar umbi sukan sehinggalah ke peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan itu hari ini.

MSN memaklumkan pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan matlamat untuk terbentuknya jaringan yang cekap dan responsif dalam kalangan pegawai tumpuan utama supaya kesedaran terhadap sukan selamat meningkat dan insiden gangguan serta penderaan atlet berjaya dikurangkan dengan ketara.

Zaidatul kejar tiket Sukan Sea 2025

Kuala lumpur: Pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli tidak mahu tuntutan kerjaya bergelar jurulatih olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), mengganggu impiannya yang mahu membuat penampilan di temasya Sukan Sea 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Atlet berusia 32 tahun yang turut dikenali dengan panggilan “Adik” berkata fokusnya kini, tertumpu kepada fasa pemulihan kecederaan ligamen kaki dialaminya sewaktu bertanding di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, Mei lepas dalam usaha memburu tiket ke temasya sukan dwitahunan itu.

“Ia sedikit mencabar, sebab Adik pun dah bekerja jadi proses pemulihan mengambil masa sedikit.

“Saya sendiri tidak mengetahui mengenai kecederaan ini masa bertanding ketika itu. Bila balik sini, baru tahu ada koyakan pada ligamen kaki namun Adik tetap teruskan latihan perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dia juga memaklumkan dalam rangka persiapan untuk menyertai kejohanan Terbuka Malaysia dalam masa terdekat sebagai persiapan untuk ke Sukan Sea 2025.

“Untuk sekarang ini fokus utama adik, tentu sekali Terbuka Malaysia sebab kita nak layak ke Sukan SEA dan yang paling penting nak perbaiki masa dari masa di Korea tempoh hari.

“Sebenarnya kalau berasaskan catatan masa tiga yang terbaik memang dah layak sepatutnya. Tapi kita masih nak lihat pada hujung-hujung sebelum nak kelayakan itu, mesti nak tengok keputusan yang terakhir,” katanya.

Zaidatul dalam pada itu berharap kembalinya jurulatih pecut negara dalam skuad kebangsaan Mohd Poad Kassim, dapat membantu beliau mengekalkan konsistensi.

“Sebagai atlet mesti kita mengharapkan jurulatih ada di sisi sebagai motivasi. Sebab kita sebagai pelari pecut ada teknik-teknik yang perlu ditambah baik dan kadangkala kita sendiri tidak tahu apa kesalahan dilakukan yang hanya dapat dikenal pasti jurulatih berpengalaman,” katanya.

Izzah rela jalani latihan sukar

Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yakin sekiranya dia mempunyai sifat ‘berani mati’ ketika berlumba, ia dapat membantunya menjadi pencabar utama dalam setiap pertandingan.

Jelasnya, menyedari kekurangan dari segi fizikal berbanding pelumba dari Eropah yang menjadi pemisah untuknya berada di atas podium, itu bukan bermakna dia perlu menyerah kalah begitu sahaja.

Sebaliknya, ketika ini Izzah Izzati sedang giat mempertingkatkan latihan terutama di beberapa bahagian otot kerana yakin usaha itu mampu menjadi salah satu faktor yang membolehkannya berada di kelompok hadapan.

“Secara peribadi, saya merasakan masih perlu mencari keberanian kerana ia sangat diperlukan bagi membolehkan saya memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba elit yang terdiri daripada juara dunia dan sebagainya.

“Kalau boleh, saya memang nak berikan saingan sengit kepada mereka, tetapi dari segi teknikal, saya kena belajar daripada perlumbaan. Kadang-kadang, perlumbaan di Malaysia pun berguna juga untuk dipraktikkan di kejohanan besar,” katanya.

Selain itu, pelumba kelahiran Kedah itu berkata dirinya sudah bersedia untuk ‘didera’ bagi memastikan perubahan fizikal itu tercapai sebelum bertanding di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile, dari 22 hingga 26 Oktober depan.

“Berhubung kayuhan, saya masih rasa benda sama. Mungkin perlu dapatkan lebih banyak ‘power’ dengan melakukan latihan di gimnasium, tetapi ia perlu dibuat secara langkah demi langkah,” katanya.

Jonathan tak kisah ‘berguru’ dengan mana-mana jurulatih

Kuala Lumpur: Pelari berpengalaman negara, Jonathan Nyepa berkata dirinya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja jurulatih yang ditugaskan melatih pasukan pecut sebagai persiapan ke Sukan SEA Thailand, Disember nanti.

Baginya, apa yang penting ketika ini adalah meneruskan latihan untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik dan memberi tumpuan kepada jurulatih yang melatih mereka buat sementara waktu ini.

Tambahnya, sekiranya sudah ada pengesahan rasmi mengenai siapa pelatih pecut negara nanti, dia tetap akan memberi komitmen penuh dan mengikuti sistem yang digunakan kerana yakin setiap jurulatih ada caranya.

“Sekarang, saya ikut siapa jurulatih yang ada dalam program dan saya akan berlatih dengan mereka. Sekarang dengan jurulatih Amir (Izwan Tan Abdullah) sebab dia jaga semua atlet dalam program.

“Untuk saya, saya tidak kisah siapa yang jaga sekarang. Saya fokus kepada latihan yang diberikan. Saya pernah berlatih di bawah beliau sebelum ini dan tidak banyak perkara yang diubah,” katanya.

Mohd Poad Md Kassim antara calon diperkatakan yang akan ditugaskan menjaga atlet pecut negara dalam usaha mengulangi pencapaian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, muncul juara 100 meter (m) menerusi Khairul Hafiz Jantan.

Selain itu, atlet berusia 29 tahun itu memaklumkan dirinya tetap fokus seperti biasa dan melakukan persiapan terbaik untuk menyertai kejohanan terdekat, Terbuka Malaysia.

“Sekarang, persiapan sejauh ini berjalan dengan lancar. Saya hanya fokus kepada latihan dan tengok mana kejohanan yang boleh disertai. Pertandingan terdekat ialah Terbuka Malaysia dan dijangka berlangsung bulan Ogos nanti,” katanya.

Jonathan akan memperkuatkan kuartet 4x100m di Thailand nanti bersama beberapa pilihan pelari pecut lain seperti Khairul Hafiz, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Azeem Fahmi.

Pada Sukan SEA Kemboja 2023 lalu, dia bersama-sama rakan yang lain berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan 39.36 saat (s). Untuk rekod, kuartet 4x100m negara antara pencabar utama dan berjaya meraih pingat dalam tiga edisi terakhir temasya dwitahunan itu.

Iskandar mahu pemain wanita lebih berbisa

KUALA LUMPUR: Iskandar Zulkarnain Zainuddin mahu memastikan pemain perseorangan wanita negara memiliki ketajaman taktikal setanding jaguh dunia apabila memulakan tugas sebagai jurulatih baharu skuad itu.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara berusia 34 tahun itu, berkata pengalaman melatih skuad Ireland sebelum ini banyak mengajarnya pendekatan berbeza dalam membina keyakinan serta ketahanan mental pemain.

“Saya gembira untuk kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia), kali ini bukan sebagai pemain tetapi sebagai jurulatih yang bersedia memberi semula kepada badminton Malaysia.

“Ketika di Ireland, saya banyak belajar mengenai pendekatan berbeza dalam latihan dan tuntutan berprestasi tinggi.

“Kini saya mahu membantu pemain perseorangan wanita negara membina keyakinan, menajamkan aspek taktikal serta fizikal mereka dan akhirnya melakar kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kepulangan Iskandar turut dilihat sebagai langkah signifikan BAM untuk menyuntik nafas baharu dalam skuad perseorangan wanita negara yang dilihat agak tenggelam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika ini, hanya dua pemain – K Letshanaa dan Wong Ling Ching – yang beraksi secara tetap dalam saingan Jelajah Dunia BWF, itupun kebanyakannya di kejohanan tahap rendah.

Iskandar pernah membantu skuad lelaki negara meraih pingat gangsa pada Sukan Asia Incheon 2014 dan Piala Thomas 2016, selain muncul naib juara Masters Malaysia 2016.

Beliau juga meraih pingat perak perseorangan lelaki dan berpasukan campuran pada Kejohanan Remaja Dunia 2009.

Sepanjang karier jurulatihnya di Ireland sejak 2021, Iskandar berjaya membantu negara itu melayakkan dua pemain perseorangan – Nhat Nguyen dan Rachael Darragh ke Sukan Olimpik Paris 2024 – pencapaian besar bagi badminton Ireland.

Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen berkata pelantikan Iskandar hadir pada masa tepat dengan skuad perseorangan wanita kini melalui fasa peralihan penting.

“Kami yakin Iskandar mampu memimpin pembangunan perseorangan wanita negara. Pengalaman antarabangsa yang dimilikinya bersama latar belakang sebagai bekas pemain negara memberi kombinasi terbaik untuk menggilap potensi mereka,” katanya.

Iskandar akan memulakan tugas rasminya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 1 Oktober ini.

Iskandar sah sertai BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pelantikan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai jurulatih skuad perseorangan kebangsaan berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelantikan Iskandar adalah bagi mengukuhkan pasukan perseorangan negara dan membantu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen.

“Kita sudah menjalani rundingan dan beliau akhirnya bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan oleh BAM pada minggu lalu. Justeru, kita mengumumkan beliau akan kembali ke Malaysia dari Ireland,” kata Zafrul pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Iskandar, 34, ketika ini sedang berkhidmat selaku ketua jurulatih perseorangan Ireland selepas menyertai skuad kebangsaan negara Eropah itu sejak 2022.

Sepanjang bersama Ireland, Iskandar yang juga naib juara Kejohanan Remaja Asia 2009 berjaya membimbing pemain perseorangan Nhat Nguyen melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain menduduki ranking ke-31 dunia ketika ini, Nguyen juga menjadi pemain yang menyingkirkan pemain negara, Leong Jun Hao di pusingan pertama Masters Malaysia 2025.

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Iskandar pernah berlatih di bawah bimbingan dua jurulatih tersohor negara iaitu Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan yang banyak mencorak permainannya di pentas antarabangsa.

Setakat ini, Jonassen dibantu Alvin Chew Ming Yao, K Yogendran dan Misbun Ramdan Misbun dalam kategori perseorangan.

Isu kontrak Pearly-Thinaah diselesaikan sebelum Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR: Kemelut membabitkan kontrak pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah hampir menemui noktah apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan ia perlu diselesaikan sebelum bermula Kejohanan Terbuka Jepun bulan depan.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sudah bertemu sendiri dengan kedua-dua pemain terbabit bagi membincangkan perkara berkenaan secara terbuka dan hasilnya adalah positif.

“Saya ada berbincang dengan Pearly dan Thinaah dan ia berlangsung dengan lancar.

“Kita bersetuju yang Pearly-Thinaah ini terus akan memainkan peranan penting dalam badminton negara. Kita menghargai pembabitan mereka dan mereka juga menghargai sokongan daripada BAM.

“Saya juga berkongsi dengan mereka dan mereka bersetuju bahawa kita perlu memuktamadkan perbincangan ini supaya mereka dapat fokus kepada kejohanan akan datang, terutamanya Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia.

“Saya sudah tetapkan masa dan mereka bersetuju supaya sebelum Terbuka Jepun ini kita akan buat pengumuman yang insya-Allah akan memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak. Yang penting ialah memastikan mereka terus berjaya” kata Zafrul ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama pemain di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan bersama Pearly-Thinaah kini berada pada peringkat akhir dengan hanya berbaki satu atau dua isu kecil sebelum dimuktamadkan dengan Terbuka Jepun dijadual bermula 15 Julai ini.

Ketika ditanya sama ada pasangan itu menuntut peningkatan manfaat dalam kontrak baharu, Zafrul menjelaskan ia perkara normal dalam rundingan.

“Dalam mana-mana perbincangan kontrak, memang akan ada perbincangan tentang apa yang dirasakan wajar. Bagi saya, kita perlu menilai sumbangan mereka dengan sewajarnya,” kata Zafrul yang enggan mendedahkan butiran lanjut kontrak berkenaan.

Kemelut kontrak Pearly-Thinaah mula tercetus apabila pasangan beregu utama negara itu dilaporkan belum menandatangani kontrak baharu selepas tamat tempoh kontrak sebelum ini, sehingga menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka bersama BAM.

Beregu nombor tiga dunia itu kini sedang membuat persiapan menghadapi siri kejohanan penting termasuk Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia dalam usaha memburu kedudukan lebih baik dalam ranking dunia.

PSM mahu pastikan NSTDP sentiasa lahirkan pemain berkualiti – Sumali

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyatakan komitmen dan bertekad memastikan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) dapat dilaksanakan secara meluas, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat muda ke dalam pasukan negara.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, NSTDP adalah platform terbaik untuk mencungkil bakat dari usia muda sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan memastikan pasukan Malaysia sentiasa mempunyai pemain berkualiti untuk dihantar ke pertandingan di luar negara.

“Program ini kita tak nak nampak pada nama sahaja kerana apa yang penting adalah pelaksanaan dan hasilnya.

“Kita sering berbincang bagaimana untuk menjayakannya. Mungkin bukan sekarang (hasil), tetapi dalam tempoh dua, tiga tahun akan datang atau lima tahun, mungkin kita akan nampak,” katanya.

Sumali memberi amanat penting kepada Timbalan Presiden dan Naib Presiden PSM, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Datuk Abu Jimi Samat untuk memastikan segala program berjalan seperti dirancang.

Selain itu, katanya, NSTDP akan memperkukuhkan kerjasama melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi berkaitan bagi memastikan pergerakan dari peringkat ke satu peringkat dapat melalui proses yang tepat.

“Matlamat kita adalah menghasilkan kesinambungan yang mampu membawa pemain cemerlang terus ke Akademi Sepak Takraw di Kompleks Sukan Kampung Baru.

“Kepercayaan yang diberikan oleh MSN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) adalah satu amanah besar. Jika kita berjaya laksanakan dengan baik, tidak mustahil kita akan menerima sokongan lebih besar pada masa hadapan,” kata Sumali.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM6 juta bagi menaik taraf fasiliti sedia ada untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw negara.

Nor Saiful sasar skuad remaja layak ke separuh akhir Piala Asia B-18

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyasarkan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) layak ke separuh akhir Piala Asia Lelaki B-18 yang akan berlangsung di China pada 3 hingga 13 Julai depan.

Beliau optimis dengan kemampuan pemain dan barisan jurulatih yang dipilih untuk menampilkan aksi cemerlang bagi mendapatkan sasaran ditetapkan selain boleh memberi saingan sengit kepada negara lain.

Tambahnya, biarpun kejohanan itu kali pertama diadakan, peluang Malaysia untuk mara lebih jauh agak baik berdasarkan pasukan bertanding.

“Saya rasa, kalau kita bercakap tentang sasaran, ia bergantung kepada prestasi dan peningkatan pasukan itu sendiri.

“Kalau pasukan itu sudah melalui perkembangan yang panjang seperti dua, tiga, atau empat tahun dan kemudian mahu melangkah ke peringkat seterusnya, maka ketika itu sasaran adalah sangat penting.

“Tetapi dalam situasi ini, berdasarkan kepada pasukan yang ada sekarang, kita perlu letakkan sasaran mengikut kemampuan pasukan.

“Melihat kepada barisan pemain yang kita ada, memang kita sasarkan untuk layak ke final. Tapi sasaran pertama kita perlu ke separuh akhir dahulu.

“Kalau kita lihat atas kertas dan berdasarkan pemain yang mengambil bahagian kali ini, saya rasa kita boleh sampai ke separuh akhir terlebih dahulu.

“Kalau kita bermain dengan baik di separuh akhir, kita berpeluang ke final,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

India dilihat antara pencabar utama dalam kejohanan itu berbanding pasukan lain berdasarkan program pembangunan dijalankan di negara mereka.

Pada kejohanan itu nanti, skuad bimbingan Mohd Sufian Mohamad diundi berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Taiwan dan Uzbekistan, sementara Kumpulan A pula adalah Bangladesh, China, Hong Kong, Pakistan dan India.

KHM puas hati prestasi Sarjit, Speedy Tigers perlu lebih garang

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berpuas hati dengan prestasi ditampilkan ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh yang dilihat mampu memberi saingan kepada pasukan terbaik dunia dalam setiap perlawanan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, persembahan ditampilkan anak buah Sarjit boleh dikatakan cemerlang, namun terdapat beberapa aspek yang merencatkan peluang Malaysia untuk mencatat kemenangan iaitu prestasi pemain negara itu sendiri, termasuk di kejohanan Piala Negara-Negara, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk memastikan Malaysia mampu mencatat kemenangan dan melangkah lebih jauh dalam setiap pertandingan, pemain yang lebih berpengalaman perlu melakukan sesuatu agar skuad negara boleh tampil selaku pasukan digeruni selepas ini.

“Saya tengok pasukan Malaysia di bawah kendalian Sarjit, mereka boleh main dan mampu menandingi mana-mana pasukan gergasi dunia. Masalahnya adalah masalah sama iaitu nak mengekalkan kelebihan ketika mendahului permainan.

“Situasi sama terjadi ketika berdepan New Zealand, kita mendahului 3-0, tetapi kesilapan sendiri, pemain kita kena kad dan kena duduk di luar. Kalau dikira jumlah masa keseluruhan, 17 minit.

“Bukan mudah bermain tanpa pemain yang mencukupi (di dalam padang) apabila menentang pasukan terkuat dunia.

“Jadi, bagi saya, ini bukan tentang jurulatih, tapi mengenai pemain. Kalau kita nak bergerak ke hadapan, pemain perlu mainkan peranan di atas padang.

“Semua orang ada peranan, tetapi akhirnya yang menentukan sama ada pasukan menang atau kalah adalah pemain itu sendiri terutama pemain senior yang sudah lama bersama pasukan.

“Mereka inilah yang perlu memainkan peranan penting. Jangan sampai mereka pula yang menggadaikan nasib pasukan,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Selain itu, Subahan melihat Speedy Tigers mampu tampil dengan lebih garang sekiranya permasalahan berkenaan dapat diatasi dengan baik, sekali gus menjadi pencabar utama kepada negara yang berada di kedudukan lebih baik.

“Situasi sama terjadi ketika menentang Sepanyol (Piala Dunia 2023) dan tewas menerusi penalti shoot-out apabila kita kurang bernasib baik.

“Jadi, kalau kita lihat banyak perlawanan Malaysia, sebenarnya bukannya kita tak mampu capai kejayaan.

“Tapi, paling penting sekarang ialah supaya pasukan tahu apa yang perlu dilakukan untuk menang. Inilah perkara yang saya sendiri masih cuba cari formulanya,” katanya.