Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Nur Dhabitah melangkah ke pentas final

KUALA LUMPUR – Impian penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri untuk melangkah ke pentas final 3 meter (m) papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi kenyataan apabila menamatkan saingan di tangga kelapan sebentar tadi.

Dalam aksi di pusat akuatik Saint-Denis, Paris tersebut, atlet berusia 25 tahun itu mempersembahan aksi cukup baik pada terjunan pertama apabila berada di kedudukan kedua dengan meraih 67.50 mata.

Bagaimanapun, catatannya mata makin menurun pada terjunan kedua serta yang ketiga sekali gus meletakkan namanya di kedudukan ke-13 dan 15 dalam keadaan getir untuk menjadi 12 penerjun terbaik yang melangkah ke final.

ADVERTISING

Dhabitah berjaya mengekalkan ketenangan untuk kembali bangkit pada terjunan terakhir dengan meningkatkan darjah kesukaran 3.1 dengan melakukan forward 3 1/2 somersaults untuk mengumpul 286.95 mata.

Kedudukan tangga kelapan keseluruhan yang diraih sudah memadai buat Nur Dhabitah untuk melengkapkan 12 penerjun ke final yang dijadualkan berlangsung malam esok.

Pada aksi final nanti, Nur Dhabitah berdepan tentangan sengit apabila dua penerjun China, Yiwen Chen dan Yani Chang turut menempah slot ke pentas final tersebut selain pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Maddison Keeney turut menempah slot ke pentas final.

Dalam penyertaan di Tokyo sebelum ini, Nur Dhabitah berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dengan 326.15 mata, dipisahkan 17.6 mata berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer. -KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Aaron, Wooi Yik kesuntukan masa raikan kejayaan

BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu berkorban sekali lagi apabila tidak mendapat cuti panjang meskipun baru pulang daripada menjalankan tugasan pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini kerana bekas juara dunia itu perlu kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi melakukan persiapan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun bermula 20 hingga 25 Ogos ini serta Terbuka Korea (27 Ogos hingga 1 September).

Aaron berkata, dia sedia memanfaatkan tempoh rehat singkat yang diberikan bagi meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali meneruskan saingan pada saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Mungkin kami akan rehat beberapa hari sahaja, selepas itu akan menyertai Terbuka Jepun dan mungkin Terbuka Korea. Oleh itu, tidak ada banyak masa untuk kami rehat dan berjumpa ahli keluarga.

“Selepas itu, kami akan kembali bekerja (menjalani latihan). Sudah tentu gembira dapat pulang ke Malaysia dan bagi saya, ini adalah salah satu pembakar semangat untuk kami terus berjuang,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Terdahulu, pasangan No. 3 dunia itu menyumbang pingat pertama kontinjen negara di Olimpik Paris apabila meraih pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.

Sebagai rekod, gangsa yang dimenangi merupakan pingat kedua Aaron-Wooi Yik dalam dua penampilan di Sukan Olimpik selepas penyertaan pada Olimpik Tokyo 2020 turut menyaksikan mereka meraih gangsa.

Sementara itu, Wooi Yik menganggap aksi pada Olimpik kali ini lebih berbeza memandangkan beraksi di hadapan ribuan penonton berbanding stadium kosong ketika menggalas tugasan di Tokyo tiga tahun lalu.

“Memang berbeza kerana Tokyo sebelum ini tiada penonton tetapi kali ini apabila masuk ke stadium, boleh rasa gementar dan tekanan. Mungkin kita tidak dapat pingat emas tetapi kami tetap dapatkan pingat untuk Malaysia,” ujarnya.-kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Rexy mahu kekal di Malaysia

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap beliau masih memiliki misi belum selesai bersama skuad badminton negara meskipun ada gesaan supaya dia kembali ke pangkuan Indonesia.

Rexy menjelaskan, beliau menghormati pandangan-pandangan peminat Indonesia yang mahu beliau kembali ke pangkuan pasukan negara itu, namun tanggungjawab dan hatinya masih bersama Malaysia.

Tambahnya, pada ketika ini beliau hanya mahu memberikan sepenuh fokus terhadap tanggungjawab bersama skuad negara dan enggan mengulas lanjut apa yang diperkatakan orang ramai.

“Saya tak terfikir begitu (pulang ke Indonesia). Saya juga tidak fikir (mengenai) masa hadapan mahu ke mana-mana. Saya hanya fikir bagaimana untuk menjalankan tanggungjawab di sini.

“Netizen mereka boleh cakap apa sahaja tetapi saya mempunyai tanggungjawab. Kalau memang begitu, sebagai contoh kontrak tamat dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mahu melanjutkannya, saya akan terima kerana rumah saya juga di sini,” katanya.

Rexy berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik selesai menjalankan tugas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada Olimpik Paris itu, kem badminton negara menamatkan saingan dengan membawa pulang dua pingat gangsa menerusi perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementara itu, Rexy berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan ABM 13 Ogos ini bagi melakukan perbincangan berhubung perancangan menghadapi temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

“Pada 13 Ogos ini, kita akan duduk bersama pihak pengurusan bagi membina perancangan untuk LA2028. Apa yang sudah baik di sini (Paris 2024), kita akan menjadikan ia lebih baik lagi,” ujarnya.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hanya 1kg pisahkan Aniq dengan gangsa Olimpik

KUALA LUMPUR – Hanya satu kilogram memisahkan jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dengan pemenang pingat gangsa kategori 61 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menamatkan aksi final di kedudukan keempat.

Meskipun tidak dapat membawa pulang pingat, namun aksi ditampilkannya wajar dipuji apabila sudah memberikan tentangan sengit kepada tiga atlet teratas meskipun baru melakukan penampilan sulung di temasya sukan terbesar dunia itu.

Pada aksi final yang berlangsung di Expo Porte de, Versailles, Paris itu, Aniq mengangkat bebanan 297kg keseluruhan, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 296kg yang merupakan miliknya.

Atlet kelahiran Johor itu memulakan acara snatch dengan langkah kanan apabila berjaya mengangkat bebanan 126kg pada percubaan pertama, namun percubaan kedua untuk melakukan angkatan 130kg tidak berjaya.

Bagaimanapun, dia kembali memperkemaskan teknik angkatan dan berjaya mengangkat bebanan 130kg itu, sekali gus memperbaharui catatan peribadi terbaik (PB) snatch 126kg yang dilakukan pada Grand Prix (GP) IWF II di Doha, Qatar Disember tahun lalu.

Dalam acara clean and jerk, pemenang pingat emas kategori 55kg Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu memulakan saingan dengan cukup cemerlang apabila berjaya mengangkat bebanan 167kg pada percubaan pertama.

Hasrat Aniq untuk melakukan angkatan 174kg pada percubaan kedua dan ketiga bagaimanapun tidak membuahkan hasil dan terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Sementara itu, pingat emas kekal menjadi milik juara bertahan dari China, Li Fabin yang melakukan angkatan keseluruhan 310kg dengan perak dimenangi Silachai Theerapong dari Thailand (303kg) sementara Morris Hampton dari Amerika Syarikat (298kg) meraih gangsa. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Nur Dhabitah sahkan tempat ke separuh akhir

KUALA LUMPUR – Kutipan 283.65 mata sudah memadai Nur Dhabitah Sabri layak ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal.

Dalam saingan kelayakan sebentar tadi, Nur Dhabita memulakan terjunan pertama dengan agak baik apabila untuk menyamai wakil China, Chen Yiwen dengan meraih 67.50 mata namun catatannya makin menurun pada tiga terjunan selepas itu sebelum melengkapkan terjunan lima dengan 51.15 mata.

Bagaimanapun, kedudukan ke 12 keseluruhan sudah memadai buat Nur Dhabitah untuk melengkapkan 18 penerjun ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung petang esok.

Dalam penyertaan di Tokyo sebelum ini, Nur Dhabitah berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dengan 326.15 mata, dipisahkan 17.6 mata berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Azizulhasni teruskan ‘impian’, Nurul Izzah terkandas

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mara ke pusingan kedua acara pecut temasya Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menewaskan wakil Jerman, Luca Spiegel sebentar tadi.

Terdahulu, Azizulhasni telah mempamerkan kayuhan dalam kelas tersendiri apabila berjaya pecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan dengan mencatatkan masa 9.402 saat (s).

Aksi pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 11.30 malam ini di Velodrom Nasional, Paris.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri tidak dapat melakar kejutan untuk ke suku akhir acara keirin apabila menamatkan saringan pertama repechage di tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Azizulhasni pecah rekod kebangsaan

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan dalam kelas tersendiri apabila berjaya memecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan acara pecut temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Azizulhasni berada di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mencatatkan masa 9.402 saat (s) sekali gus berjaya mara ke pusingan 1/32 yang bakal berlangsung pada 8.30 malam ini.

Azizul yang digelar The Pocket Rocketman berjaya memadamkan rekod kebangsaan yang dilakukan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan catatan masa 9.523s.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut mara ke pusingan seterusnya selepas berada di tangga ke-22 keseluruhan ngan catatan 9.635s.

Pada sesi kelayakan yang sama, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memecahkan rekod dunia apabila mencatat masa terpantas kelayakan dengan catatan 9.088s.- KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik Paris: Azeem anggap kritikan lumrah atlet

SEPANG – Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak mudah melatah dengan komen-komen yang dibuat pelbagai pihak berhubung prestasinya pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebaliknya, atlet berusia 20 tahun itu menjadikan komen-komen tersebut, termasuk kritikan sebagai pembakar seamangat untuk dia bangkit dan mempamerkan prestasi sebenar, selari dengan statusnya sebagai pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan.

Azeem menganggap kritikan-kritikan diterima sebagai lumrah baginya yang bergelar seorang atlet kerana ia mampu menjadikannya sebagai salah seorang atlet terbaik meskipun kadang-kadang berdepan situasi tidak menentu.

“Bagi saya, ia adalah perkara biasa sebagai seorang atlet. Kami semua akan dikritik, diberi nasihat dan pelbagai teguran, jadi dalam usia semuda ini saya harus ambil semuanya sebagai satu aura positif.

“Dalam usaha menjadi lebih baik, anda perlu berdepan banyak perkara sepanjang karier, jadi mungkin ini yang saya sedang hadapi sekarang. Saya tidak menafikan bahawa persembahan kurang baik sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pada aksi 100m lelaki yang berlangsung Sabtu lalu, Azeem tidak dapat melayakkan diri ke separuh akhir apabila terkandas di pusingan pertama selepas menamatkan saringan kedua di kedudukan tercorot daripada sembilan peserta menerusi catatan 10.45 saat (s).

Sementara itu, Azeem menegaskan, prestasi kurang memberangsangkan dalam satu kejohanan bukanlah penentu untuk keseluruhan karier kerana ia turut dialami pelari-pelari legenda tanah air.

“Bagi saya, satu persembahan yang buruk tidak menentukan keseluruhan karier. Naik turun seorang atlet bukan saya sahaja yang melaluinya kerana legenda-legenda kita pun mengharungi perkara sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aksi atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini

Badminton

Pusingan 16 terbaik

Perseorangan lelaki

Lee Zii Jia lwn Toma Junior Popov (FRA) – 8.10 malam

Suku akhir

Beregu wanita

Pearly Tan-M Thinaah lwn Kim Se Yong-Kong Hee Yong (KOR)

– 2.30 petang

Beregu lelaki

– Aaron Chia-Soh Wooi Yik lwn Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (IND) – 7 malam

Golf

Pusingan pertama:

ADVERTISING

Strok individu lelaki

Galvin Kyle Green – 4.30 petang

Pelayaran

Perlumbaan 1-2:

Dinghy lelaki

Khairulnizam Mohd Afendy – 6 petang

Dinghy wanita

Nur Shazrin Mohamad Latiff – 6 petang

Memanah

Penyingkiran 1/32:

Individu wanita

Nurul Azreena Mohamad Fazil lwn Elif Berra Gokkir (TUR) – 1.50 pagi Jumaat

Penyingkiran 1/16:

Individu wanita

Nurul Azreena Mohamad Fazil (sekiranya layak) – 2.29 pagi Jumaat

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Perlawanan Nurul Azreena ditunda atas faktor cuaca

KUALA LUMPUR: Aksi perlawanan pusingan penyingkiran 1/32 membabitkan pemanah wanita negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil ditunda ke awal pagi esok susulan cuaca yang tidak mengizinkan.

Nurul Azreena, 20, dijadual bertemu pemanah dari Turkiye, Elif Berra Gokkir di pusingan berkenaan di Invalides hari ini namun acara berkenaan terpaksa ditunda atas faktor hujan.

Terdahulu, rakan seperjuangannya, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi tersingkir di pusingan yang sama di tangan pemanah berpengalaman dari Itali, Chiara Rebagliati.

Ariana begitupun boleh berbangga dengan pencapaiannya di penampilan sulung di Olimpik selepas memberikan saingan sengit ke atas bekas juara dunia 2022 itu.

Saingan diheret ke penentuan shoot off namun Rebagliati berjaya mengawal panahannya dengan lebih tenang menerusi pengalaman dimilikinya untuk memperoleh kemenangan.

Hanya seorang pemanah negara mampu mara dari pusingan penyingkiran berkenaan iaitu Syaqiera Mashayikh sebelum perjalanannya terhenti di aksi penyingkiran 1/16.

Dalam perlawanan berkenaan, Syaqiera yang membuat penampilan keduanya di Olimpik selepas Tokyo 2020, terpaksa akur tewas di tangan Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil 5-6.

Sebelum itu, Syaqiera yang berusia 23 tahun mudah melangkah mara ke aksi penyingkiran 1/16 selepas menewaskan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan 1/32, sekali gus mengatasi keputusan di Tokyo.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia