Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS SAMBUTAN KEPULANGAN KONTINJEN MALAYSIA DARI KEJOHANAN DUNIA PARA OLAHRAGA KOBE, JEPUN

Pasukan Para Olahraga dari Kejohanan Dunia Para Olahraga Kobe, Jepun telah tiba di tanah air pada jam 3.45 petang dan disambut oleh YBrs. Encik Mohd Sofian Hamzah, Pengarah Bahagian Para MSN di KLIA.

Secara keseluruhannya, pasukan negara berjaya membawa pulang 3 Emas, 1 Perak dan 2 Gangsa berbanding kejohanan yang sama pada tahun 2023 di Paris dengan 1 Emas & 1 Perak.

3 Pingat Emas:

– Datuk Abdul Latif Romly (Men’s Long Jump / T20)

– Mohammad Ziyad Zolkefli (Men’s Shot Put / F20)

– Muhammad Nazmi Nasri (Men’s Long Jump / T37)

1 Pingat Perak:

– Eddy Bernard (Men’s 100m / T44)

2 Pingat Gangsa:

– Wong Kar Gee (Men’s Long Jump / T12)

– Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (Men’s 400m / T20)

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2024 PERINGKAT KEBANGSAAN

Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada Sabtu 25 Mei 2024 meriah dengan aktiviti dari pelbagai agensi kerajaan, swasta termasuk NGO.

Sambutan Hari Belia yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun ini memilih Melaka sebagai destinasi utama bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Majlis Sukan Negara turut sama memeriahkan Hari Belia Negara dengan menampilkan atlet-atlet negara di reruai bagi tujuan sesi ramah mesra bersama peminat-peminat sukan tanahair.

HARI KETIGA KARNIVAL BAKAT KEBANGSAAN MELAKA BIL 2/2024 – YB HANNAH YEOH HADIR SAKSIKAN SUKAN JUDO, KARATE DAN TINJU

MELAKA – YB Hannah Yeoh hari ini meluangkan masa menyaksikan sukan judo, karate dan tinju sempena Karnival Bakat Kebangsaan Melaka.

Beliau yang hadir selepas selesai Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara sempat menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada para pemenang sukan karate di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit.

Turut hadir mengiringi YB Menteri, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan MSN dan Encik Mohd Safrushahar Yusof, Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita MSN.

KOBE 2024 PARA ATHLETICS WORLD CHAMPIONSHIPS

TARIKH : 12 – 25 MEI 2024

TEMPAT : KOBE, JAPAN

Hari Ke Sembilan (25/05/2024)

Acara : Lompat Jauh T20

Peringkat : Akhir

Penyertaan : 13 atlet / 10 negara

Atlet 1: Datuk Abdul Latif Romly

PB : 7.64m

SB : 7.06m

Atlet 2: Zulkifly Abdullah

PB : 6.84m

SB : 6.59m

Keputusan :

🥇Datuk Abdul Latif Romly (MAS) 7.30m

🥈RC Espinoza Chala (ECU) – 6.95m

🥉JS Asprilla Obondo (COL) – 6.84m

*Rank 12 : Zulkifly Abdullah (Malaysia) 6.02m*

JELAJAH JUARA ESPORTS MALAYSIA MUSIM KE-2

Program Jelajah Juara E-Sports Malaysia Musim Kedua Zon Borneo bersama Persatuan E-Sports Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung pada 25 hingga 28 Mei 2024 bertempat di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagi Musim Kedua ini, JJEM akan dilangsungkan mengikut zon-zon yang telah di tetapkan seperti Zon Borneo, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Utara, Zon Timur. Program ini merupakan kerjasama di antara Majlis Sukan Negara dan Persatuan E-Sports negeri bertujuan untuk melahirkan juara-juara baru bagi sukan elektronik di Malaysia.

Majlis perasmian pembukaan program in telah di sempurnakan oleh Encik Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Sukan), Majlis Sukan Negara. Turut hadir bersama dalam program ini adalah Encik Naim Al-Amin, Presiden Malaysia Esport Federation (MESF), Syed Fakhrurrazi Syed Agil, Setiausaha Agong MESF.

Teruskan bersama kami untuk melihat perjalanan program ini dan anda mungkin juara yang kami cari!

Sepak takraw mampu ulangi kejayaan di Sukan Asia Jepun 2026

PASUKANsepak takraw negara mampu mengulangi kejayaan sama dalam temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya Jepun 2026 selepas menang berganda dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau yakin skuad sepak takraw negara akan meneruskan momentum kemenangan pada kejohanan akan datang selepas berjaya menundukkan Thailand.

“Sudah tentu saya percaya keyakinan dalam pasukan Malaysia itu sudah wujud semalam (selepas menang berganda dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024) apabila mereka dapat menewaskan Thailand.

“Saya juga percaya pada Sukan Asia (Aichi-Nagoya) di Jepun nanti semangat mereka akan lebih bertambah untuk pergi (jauh),” katanya ditemui pada Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Kompleks Sukan Negara di Seksyen 21, di sini pada Khamis.

Pada Rabu, skuad negara berjaya menewaskan Thailand dengan keputusan 2-0 pada aksi final dalam acara double dan regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sekali gus menjuarai acara berkenaan.

Hannah (empat dari kiri) bersama pihak pengurusan dan penganjur Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Kompleks Sukan Negara di Seksyen 21 di sini pada Khamis.

Hannah (empat dari kiri) bersama pihak pengurusan dan penganjur Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan USJ 12 di Kompleks Sukan Negara di Seksyen 21 di sini pada Khamis.

Selain itu, tiga pemain, Farhan Adam, Syahir Roshdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) telah membuktikan prestasi mereka dengan menumbangkan regu Thailand iaitu Poramet Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) dengan hasil keputusan 15-8, 15-12.

Pada kejohanan tersebut kira-kira 3,000 penyokong hadir di Stadium Titiwangsa bagi membakar semangat pasukan Malaysia dengan kekal mendahului perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan pada set pertama.

Sementara itu, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan mengiktiraf sukan sepak takraw sebagai sukan rakyat apabila sukan itu sangat popular di kampung-kampung malah di perkampungan Orang Asli.

“Sukan ini juga tidak memerlukan pasukan yang besar, tidak memerlukan infa yang canggih dan hanya memerlukan bola takraw dan jaring,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya akan terus memperkasakan sukan berkenaan menerusi program lebih spesifik di peringkat akar umbi bagi menarik lebih ramai kanak-kanak dan anak muda bermain sukan sepak takraw.-Sinar Harian

Malaysia lepasi halangan Thailand

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara, melepasi cabaran pertama dalam Pusingan Kedua Kumpulan C Piala Asia 2024 Taldykorgan, Kazakhstan, apabila menewaskan Thailand 5-2 di Kompleks Sukan Taldykorgan, pada Khamis.

Pusingan kedua bakal menentukan dua pasukan yang layak ke pentas final sekali gus meraih tiket automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Poreč, Croatia, menyaksikan Iran halangan terakhir Malaysia.

Pengendali skuad negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi gembira dengan kemenangan menyifatkan skuad negara hanya selangkah beraksi di pentas final, sekali gus ke Piala Dunia 2025.

“Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan kemenangan yang cukup penting dan secara keseluruhan barisan kejurulatihan sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Namun daripada sudut permainan, terdapat kesilapan-kesilapan yang pemain perlu mengurangkannya.

“Untuk aksi terakhir pusingan kedua, kami akan bertemu pasukan Iran yang merupakan pasukan kuat dan berpengalaman bermain di Piala Dunia. Pemain pastinya akan turun bermati-matian dan memberikan segalanya bagi meraih keputusan positif.

“Persiapan sebaiknya akan dilakukan untuk memastikan Malaysia ke pentas final sekali gus layak untuk beraksi di Piala Dunia 2025,” katanya.

Dalam perlawanan itu, kapten pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyumbang dua gol berturut-turut buat pasukan negara pada minit keempat dan kesembilan selepas kelebihan pukulan sudut penalti disudahkan dengan sempurna.

Muhamad Izham Azhar mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-18, hasil satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti untuk Malaysia menutup cerita separuh masa pertama, 3-0.-Sinar Harian

‘Saya belum berputus asa’ – Azeem

“IA merupakan satu musim yang mengecewakan setakat ini, tetapi tidak mengapa kerana sudah pasti satu proses pembelajaran…”

Itu reaksi jaguh pecut negara dari Teluk Intan, Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi selepas mencatatkan 10.50 saat (s) dalam Kelayakan Pusingan Pertama Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat (NCAA) di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat pada Khamis.

“Saya belum berputus asa. Alhamdulillah, atas segala yang berlaku selama ini, bersyukur kerana masih diberikan nikmat sihat,” katanya lagi.

Catatan itu menyaksikan pemenang pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022, berada dalam kedudukan keenam pada saringan keenam mengakhiri cabaran di tempat ke-32 dalam kalangan 42 peserta.

Prestasi pemegang rekod kebangsaan dengan sentuhan 10.09s tersebut sekali gus menyaksikan beliau masih perlu menunggu untuk mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat, yang mencipta sensasi pada Kejuaraan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia perlu mencatatkan masa 10s untuk layak secara merit di Paris 2024.

Azeem menyasarkan untuk membuat penampilan sulung Olimpik di Paris tahun ini sebelum itu bertekad: “Saya akan buat yang terbaik dan selebihnya biar ALLAH yang tentukan, bismillah.”

Pemburuan slot ke Paris 2024 yang dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos akan bersambung di Kelayakan NCAA di Eugene, Orlando dari 5 hingga 8 Jun depan.-Sinar Harian

Zii Jia, Antonsen bertembung di suku akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia perlu melupakan seketika hubungan persahabatannya dengan bintang Denmark, Anders Antonsen apabila mereka membuat perhitungan di suku akhir Masters Malaysia, esok.

Pemain ranking ke-10 dunia itu, berkata dia menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat dirinya bertemu Antonsen yang mempunyai reputasi tinggi dengan kedudukan keempat dunia selain berjaya muncul juara Terbuka Malaysia, Januari lalu.

“Kami adalah pemain yang profesional, walaupun kami bertarung di gelanggang tetapi selepas perlawanan kami tetap kawan. Saya tidak fikir ia akan memberi kesan dalam perlawanan esok.

ADVERTISING

“Saya boleh katakan yang ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok apatah lagi Antonsen muncul juara Terbuka Malaysia. Bukan mudah untuk mengatasi pemain seperti Antonsen, saya perlu tampil dengan prestasi terbaik.

“Saya percaya kunci kepada kemenangan esok adalah mengenai kesabaran,” kata Zii Jia ketika ditemui selepas aksi pusingan kedua, hari ini.

Zii Jia yang muncul juara Terbuka Thailand, Ahad lalu mengesahkan tiket ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran pemain India, Kiran George 21-13, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena.

Antonsen pula yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohana mara selepas mengatasi rakan senegara, Magnus Johannesen 21-12, 21-10.

Menurut Zii Jia, dia gembira apabila berjaya melangkah ke suku akhir pertamanya di laman sendiri selepas sejak kali terakhir ketika mara ke separuh akhir Masters Malaysia 2020.

Pada saingan Masters Malaysia tahun lalu, Zii Jia tersingkir di pusingan kedua.

“Dalam empat tahun terakhir, ini adalah kali pertama saya mara ke suku akhir. Jadi, saya fikir ini adalah satu pencapaian yang positif untuk saya,” katanya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke suku akhir selepas membenam cabaran rakan sepasukan, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-15, 21-19.

Mereka akan berdepan pasangan China yang juga pilihan ketiga, He Ji Ting-Ren Xiang Yu bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.-Berita Harian

Ridwan, Nurul Izzah dominasi hari terakhir

NILAI: Pelumba muda, Muhammad Ridwan Sahrom memenangi emas acara satu kilometer (km) ujian masa pada hari terakhir Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Ridwan, 23, dari Johor mencatat 1.01.529 saat (s) meninggalkan pesaing terdekat, Muhammad Hafiq Mohd Jafri (Melaka) yang mencatat 1.04.079s untuk memenangi pingat perak, manakala Ahmad Safwan Ahmad Nazeri (BCR) memenangi gangsa selepas mencatat masa 1.04.167s.

“Saya sangat gembira hari ini kerana dapat melakukan catatan masa terbaik, ini pencapaian terbaik tahun ini.

“Kali ini saya meraih dua emas dan masing-masing satu perak serta gangsa. Satu pencapaian yang saya nantikan. Namun begitu semuanya ini adalah atas dorongan dan rangsangan daripada Datuk Azizulhasni dan abang (Muhammad Shah Firdaus) selain jurulatih.

“Walaupun dua hari lalu kaki saya seperti tak berada dalam keadaan baik tapi saya ketepikan untuk kayuh sampai ke penghujung kejohanan. Semalam pun saya ada rasa was-was untuk berlumba hari ini tapi, Alhamdullilah, tak sangka juga dapat emas hari ini,” kata Ridwan selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Trek Kebangsaan 2024, di Velodrom Nasional petang tadi.

Terdahulu, dalam acara sprint, Ridwan mempamerkan kayuhan bertenaga dengan catatan masa 9.929s.

Dia akui pencapaian itu adalah batu loncatan untuknya terus menyerlah pada kejohanan lain akan datang.

Sementara itu, jaguh trek berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzari Mohd Asri mengungguli kategori 500m ujian masa wanita dengan meraih pingat emas.

Pelumba Kedah itu mengetepikan saingan dari Selangor A, Yong Ang Tung yang meraih perak manakala Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan meraih gangsa.

Nurul Izzah menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat dalam persiapannya untuk menghadapi saingan lebih sengit di Olimpik Paris 2024, Julai depan.

“Walaupun masa yang saya catatkan hari ini tidak begitu baik, pencapaian ini tetap bermakna dalam persiapan menuju ke Olimpik,” kata Nurul Izzah.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia