KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) mempunyai hak menentukan sama ada mahu memperuntukkan gaji untuk individu yang memegang jawatan terutamanya presiden.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara itu tidak berada di bawah bidang kuasa menteri untuk masuk campur dan ia terpulang kepada pihak PSK untuk mengendalikan urusan kewangan masing-masing.
“Terpulang kepada kemampuan setiap persatuan sukan kerana setiap persatuan sukan ada komitmen dan tanggungjawab yang berbeza. Ada yang sepenuh masa (memegang jawatan presiden), ada separuh masa dan ada juga secara sukarela.
“Jadi ini bukan di bawah bidang kuasa menteri, yang ini bagi persatuan sukan untuk kendalikan kewangan mereka sendiri,” kata Hannah kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan ‘Play Ture Day’ dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS, di Arena Axiata, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin didakwa menerima gaji mencecah sehingga RM90,000 sebulan dan itu tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Hamidin bagaimanapun menganggap dakwaan terhadap gaji berkenaan sebagai satu isu peribadi.
Hamidin turut menegaskan yang statusnya sebagai presiden adalah secara sepenuh masa dan menerima beberapa faedah sudah ditetapkan ketika dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018.-Berita Harian