KUALA LUMPUR: Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam melakar sejarah apabila muncul sebagai gimnas negara pertama yang berjaya meraih pingat di Kejohanan Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan, semalam.
Sharul Aimy berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam acara melombol selepas mengumpul 14.466 mata di belakang juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet tuan rumah Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata), masing-masing mengutip pingat emas dan perak.
Mengulas mengenai kejayaannnya itu, gimnas berusia 22 tahun itu mengakui dirinya berdepan ‘permainan psikologi’ apabila hampir berputus asa terutama sebelum kejohanan bermula apabila terjatuh tiga ke empat kali ketika sesi latihan.
Malah, dengan faktor kecederaan di bahagian pergelangan kaki dan kehadiran gimnas seperti Yulo, juara Sukan SEA, ia bagaikan menambahkan lagi perasan gemuruhnya ketika memasuki pertandingan.
“Saya hampir putus asa sebelum saingan bermula namun 10 minit sebelum bermula, saya cuba tenangkan diri. Saya dapatkan rawatan dari fisioterapi dekat sini (Tashkent) untuk kaki saya yang cedera bagi menaikkan semangat saya semula.
“Saya gembira, akhirnya saya berjaya cipta sejarah lagi di peringkat Asia untuk MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia) di Kejohanan Asia ini,” katanya yang harap dapat meraih kilauan pingat yang lebih baik pada edisi tahun depan.
“Paling penting saya nak kekalkan pingat ini di Kejohanan Asia nanti. Mungkin tahun depan saya nak tukar pingat gangsa ini kepada perak atau emas dan kemudian terus kekal untuk tahun seterusnya.”-Berita Harian