KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengharapkan satu lagi keajaiban dapat dihasilkan anak buahnya apabila sekali lagi bakal menentang Kyrgyzstan, kali ini di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun depan.
Skuad Harimau Malaya ‘mengaum’ pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November tahun lalu yang menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk merakam kemenangan dramatik 4-3 ke atas pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia itu.
Justeru, Pan Gon mahu anak buahnya memperagakan semangat juang yang tinggi meskipun sedar skuad negara memiliki rekod yang kurang memberangsangkan apabila beraksi di tempat lawan.
“Mereka adalah pasukan kedua terbaik di Asia Barat selepas Uzbekistan. Kita ketinggalan 1-3 sebelum ini tetapi pemain bangkit untuk meraih kemenangan. Kemenangan ini adalah hasil semangat juang tinggi pemain.
“Tetapi kita harus menghormati Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-100 dan beraksi di tempat sendiri. Rekod kita di tempat lawan juga tidak begitu baik apabila kita hanya menang dua daripada lapan perlawanan.
“Jadi kita tidak berapa kuat di tempat lawan tetapi kita akan hadapi cabaran ini untuk mencipta kejutan bagi membanggakan rakyat Malaysia,” kata Pan Gon.
Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.
Selepas menamatkan aksi di Bishkek, skuad negara akan pulang bagi perlawanan keenam berdepan Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.
Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.-Berita Harian