KUCHING, 28 Mei: Skuad futsal Sarawak berjanji akan mempamerkan aksi yang lebih baik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Ogos depan bagi memperbaiki keputusan edisi 2022 selepas sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Ketua jurulatih futsal Sarawak, Faizal Zamri berkata, barisan kejurulatihan mempunyai ‘resipi’ tersendiri untuk menamatkan kemarau emas selepas pencapaian terbaik negeri ini dengan meraih pingat gangsa 13 tahun yang lalu pada edisi di Kuala Lumpur.
Faizal berkata, pihaknya yakin akan kemampuan pasukannya meskipun menyedari tentangan sengit dari negeri kuasa besar acara itu iaitu Johor, Pahang, Selangor dan Sabah.
“Ketiga-tiga negeri ini mempunyai jurulatih yang berkaliber dan berpengalaman serta mereka mendapat banyak pendedahan dengan perlawanan berintensiti tinggi dibandingan dengan kami (Sarawak) yang jarang ada.
“Namun begitu, kita mempunyai formula tersendiri bagi berhadapan mereka, kita sudah melakukan persiapan rapi dan para pemain sudah tidak sabar untuk beraksi pada SUKMA nanti,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Kampung Tupong Tengah di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Faizal berkata, pihaknya telah membentuk skuad yang ampuh dengan rata-rata pemain yang dipilih mempunyai pengalaman bermain di pentas tertinggi kancah futsal negara dengan beraksi di saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bersama kelab PFA Odin Sarawak.
“Kebanyakan pemain yang kita pilih juga pernah menyarung skuad bawah 16 tahun negara dan ada antara mereka bermain untuk Sarawak United dan Kuching City dalam kancah bola sepak.
“Kita akan berjuang dengan semangat ‘agi idup agi ngelaban’ dan ‘ngap sayot’, saya harap penyokong turun beramai-ramai berikan sokongan untuk membakar semangat pemain-pemain muda berbakat Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Faizal berkata, pasukannya turut menerima tonik tambahan apabila bekas ketua jurulatih futsal Malaysia, Chiew Chun Yong dilantik sebagai Pengarah Teknikal Futsal Sarawak.
Katanya, Chiew akan membantu skuad futsal SUKMA Sarawak yang akan berkampung di Kuala Lumpur dari Jun hingga Julai bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan.
Sementara itu, penolong ketua pasukan, Muhammad Azrin Shahmin mengakui dia dan rakan-rakannya sedikit gementar dan gugup untuk beraksi di laman sendiri kelak.
“Gementar dan tertekan itu memang ada dalam kalangan kami sebab SUKMA kali ini beraksi di gelanggang sendiri, mesti penyokong harapkan keputusan cemerlang.
“Namun begitu, saya dan pasukan berjanji akan bermain bermati-matian untuk meraih pingat emas buat Sarawak,” katanya.
SUKMA Sarawak yang berlangsung dari 17 hingga 2024 Ogos menyaksikan acara futsal akan dilangsungkan di Kota Samarahan. – TVS