KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut ke atas juara Olimpik, Lee Yang-Wang Chi Lin untuk mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Singapura, hari ini.
Bagaimanapun, pasangan nombor lima dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi gandingan Taiwan berkenaan dalam pertarungan tiga set 21-18, 21-23, 21-17 pada aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini turut melakar kemenangan ke atas Lee Yang-Chi Lin dalam dua pertemuan terakhir mereka iaitu di Kejohanan Dunia dan Masters Kumamoto di Jepun pada tahun lalu.
Naib juara Seluruh England itu seterusnya akan berdepan pilihan kelima kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Terdahulu, Anders-Skaarup melangkah ke kelompok lapan terbaik selepas menyingkirkan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Waun dalam pertarungan tiga set 21-10, 20-22, 21-19.
Sementara itu, nasib turut tidak memihak kepada beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua, hari ini.
Kian Meng-Pei Jing yang mara sehingga suku akhir di Masters Malaysia, minggu lalu kali ini terpaksa akur apabila tunduk di tangan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 18-21, 21-18, 10-21.-Berita Harian