Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PERKHIDMATAN INSURANS KEMALANGAN DIRI BERKELOMPOK UNTUK ATLET MSN-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221801 – PERKHIDMATAN KEWANGAN & INSURANS

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/030/2024 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN INSURANS KEMALANGAN DIRI BERKELOMPOK UNTUK ATLET MSN
TARIKH BUKA : 11 JUN 2024 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 19 JUN 2024 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Pn. Shahashuhaida Tarmuzi (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929006

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Faizal puas dinobat penjaring terbanyak

Kuala Lumpur: Di sebalik pencapaian skuad hoki negara yang agak hambar pada kempen Piala Negara-Negara 2024 di Gniezno, Poland, penyerang sensasi negara, Faizal Saari masih mengekalkan kualiti yang ada padanya.

Di usia 33 tahun, Faizal kekal memberi sumbangan besar kepada Speedy Tigers apabila muncul penjaring terbanyak di kejohanan itu dengan meledak tujuh gol bersama-sama pemain Perancis, Victor Charlet sekali gus mengatasi pencapaian barisan penyerang muda dalam skuad negara.

Tujuh gol dijaringkan itu termasuklah ketika meledak hatrik pada perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan, yang menyaksikan skuad negara berjaya menewaskan Austria 5-4.

Bagi penyerang yang sudah melakukan 296 penampilan serta meledak 273 gol sepanjang menyarung jersi Speedy Tigers itu, dia menganggap kejayaan terbarunya itu bukanlah hasil usaha sendiri, tetapi mendapat sokongan padu daripada rakan sepasukan.

“Pertama sekali syukur alhamdulillah dan saya berterima kasih kepada rakan sepasukan sebab hasil bantuan mereka saya dapat jaringkan gol. Barisan kejurulatihan juga banyak memberi sokongan kepada saya.

“Selepas sekian lama tak dapat memenangi anugerah (penjaring terbanyak), saya amat berpuas hati dengan kejayaan kali ini. Saya hanya guna peluang dengan sebaik-baiknya dan daripada situ, terhasil gol itu.

“Saya tak sabar untuk beraksi pada Trofi Juara-Juara Asia di Mongolia, China pula pada September ini,” katanya ketika dihubungi.

Speedy Tigers menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B selepas seri 4-4 dengan Pakistan, tewas 1-3 kepada Perancis dan menewaskan Kanada 4-2 sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir.

Skuad negara kemudian tewas 3-4 kepada Korea Selatan dalam perlawanan klasifikasi kelima hingga kelapan.

Ia kejohanan kedua skuad negara di bawah bimbingan Sarjit Singh selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada enam pasukan pada Piala Sultan Azlan Shah, bulan lalu.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Fikir menang, bukan 8 gol’

KUALA LUMPUR: ‘Jangan fikir pasal lapan gol, main sahaja untuk menang!’

Itu pandangan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang mengharapkan barisan pemain skuad Harimau Malaya tidak terlalu ‘menekan’ diri pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menganggap misi untuk ‘membantai’ Taiwan sehingga lapan gol sebagai satu perkara yang agak mustahil namun beliau mengakui ‘keajaiban’ boleh berlaku dalam dunia bola sepak.

“Saya rasa agak mustahil untuk kita jaringkan sampai lapan gol dan kita pun kena tengok bagaimana jaringan itu nanti. Mungkin akan timbul persepsi lain pula di mana Taiwan sengaja bagi Malaysia menang besar dan kita pun perlu ingat, kita bergantung pada keputusan Oman dan Kyrgyzstan juga.

“Jadi bagi saya, kita mainlah dengan apa yang kita boleh menggunakan pemain yang kita ada. Mungkin juga kalau ada nasib, adalah (layak ke pusingan seterusnya), kalau tiada, maka tiadalah (kandas pusingan kedua kelayakan).

“Berikan persembahan terbaik dan jangan pula kalah dengan Taiwan. Jadi pemain negara fokus untuk dapatkan kemenangan ke atas Taiwan dahulu, tak kiralah berapa gol pun yang kita akan dapat dan selebihnya, kita berserah pada takdir,” katanya ketika ditemui di final Kejohanan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) 2024, semalam.

Terdahulu, peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan, Khamis lalu.

Satu mata yang diraih di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon berdepan tugas yang sangat sukar apabila perlu mengatasi Taiwan dengan jaringan besar dalam aksi terakhir Kumpulan D selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Berbaki satu lagi perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata meskipun satu ketika mendahului saingan peringkat kumpulan selepas dua perlawanan pertama hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.

Dalam perkembangan sama, Pekan menegaskan situasi yang menyaksikan skuad negara ketika ini berdepan peluang sukar untuk mara ke pusingan seterusnya adalah berpunca daripada kesilapan sendiri.

“Apapun yang berlaku dengan kedudukan kita yang terpaksa berhempas pulas dan bergantung nasib pada pasukan lain, ini adalah salah kita kerana gagal menguruskan perancangan dan persiapan yang terbaik sedangkan kita sudah menang dua perlawanan pertama.

“Kita harus terima hakikat dan tidak memberi pelbagai alasan. Kita perlu ada rasa rendah diri dan terima kelemahan kita supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi.

“Kita selalu berkeyakinan tinggi tetapi keyakinan itu tidak seiring dengan usaha yang kita buat,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Impian Wei Chong-Kai Wun lebur di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Impian untuk menamatkan kemarau 16 tahun kejuaraan dalam acara beregu lelaki di Terbuka Indonesia terkubur apabila gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berupaya mengatasi ranking kedua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, sebentar tadi.

Beraksi di Istora Senayan, Wei Chong-Kai Wun memulakan langkah dengan positif apabila dapat mengikuti rentak pantas dipamerkan lawan sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 21-19.

Momentum perlawanan terus berlanjutan di awal set kedua dengan menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mendahului saingan namun lawan mempunyai kelebihan, mempamerkan kebangkitan mengejar kedudukan sebelum memenangi saingan 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Wei Keng-Chang mula menunjukkan ‘wajah sebenar’ mereka di set penentuan apabila meninggalkan jauh Wei Chong-Kai Wun sebelum memuktamadkan kejuaraan dengan keputusan 21-13 sekali gus melebarkan rekod kemenangan ke atas beregu negara kepada 4-0.

Untuk rekod, kali terakhir wakil beregu lelaki negara meraih gelaran di Terbuka Indonesia adalah menerusi gandingan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008 serta Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek pada 1988 dan 1990.

Bagaimanapun, pencapaian Wei Chong-Kai Wun ini adalah yang terbaik buat mereka dalam enam penampilan di kejohanan bertaraf Super 1000.

Pulang selaku naib juara, Wei Chong-Kai Wun memperoleh hadiah wang kemenangan bernilai AS$45,500 (RM213,500) manakala Wei Keng-Chang meraih AS$96,200 (RM451,557).

Terdahulu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain China, Shi Yu Qi muncul juara selepas menewaskan Anders Antonsen 21-9, 12-21, 21-14 dalam tempoh satu jam 11 minit.

Rakan seperjuangan Yu Qi yang beraksi dalam acara perseorangan wanita, Chen Yu Fei turut cemerlang apabila menundukkan pemain pilihan pertama dari Korea Selatan, An Se Young 21-14, 14-21, 21-18.

Dalam acara beregu wanita, pilihan kedua kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee muncul juara selepas menewaskan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan straight set 21-17, 21-13.

Acara beregu campuran pula dimenangi pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas menewaskan rakan senegara, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 21-11, 21-14.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
RTG hanya sasarkan emas Olimpik

KUALA LUMPUR: Menamatkan kemarau penantian pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik menjadi keutamaan kontinjen Malaysia di Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sejak program Road to Gold (RTG) dilancarkan pada Januari tahun lalu, keutamaan adalah tertumpu kepada kilauan emas dan setakat ini tiada lagi perbincangan menjurus kepada pungutan pingat yang lain ditetapkan.

“Sasaran pingat memang seperti saya nyatakan, mensasarkan untuk dapatkan emas pertama Malaysia. Itu hasrat RTG, yang lain setakat ini tak ada dalam perbincangan mengenainya kerana tahun lalu, pada Januari ketika kita wujudkan RTG, memang sasaran kita adalah emas.

“Itu yang kita nak… pingat lain itu bukan kata tak nak tetapi kita pernah dapat perak, gangsa tetapi apa yang kita nak adalah emas dan emas ini bagi saya, atlet kita di RTG memang berada dalam kelompok 10 (dunia) dan kita rasa ada peluang.

“Harap kita berjaya dapatkannya,” kata Hannah kepada media selepas menghadiri Program Subang Jaya Buddist Associations Senior Citizens Sports, hari ini.

Untuk rekod, RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.

Selain diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, atlet turut dibantu menerusi sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan bertemu dengan olimpian yang bergerak secara profesional untuk melihat bantuan diperlukan menjelang Paris 2024.

“Untuk atlet yang tidak berada dalam RTG, seperti Lee Zii Jia dan pemain golf profesional, saya akan berjumpa mereka sekiranya ada dalam negara… saya akan melihat bantuan kewangan yang MSN (Majlis Sukan Negara) boleh bantu bagi atlet di luar podium tetapi mereka layak ke Olimpik dan wakili Malaysia. Itu kita akan umumkan nanti,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kian Meng-Pei Jing mahu teruskan rentak di Australia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bertekad untuk meneruskan momentum positif mereka di Terbuka Australia minggu depan.

Selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia semalam, beregu ranking ke-21 dunia itu gembira dengan prestasi di kejohanan berstatus Super 1000 berkenaan dan ia diharap dapat dikekalkan di Australia nanti.

Pencapaian berada di separuh akhir adalah yang terbaik buat Kian Meng-Pei Jing bagi musim ini dengan keputusan sebelum ini hanya berada di suku akhir Masters Malaysia, Terbuka Jerman dan Masters Indonesia.

“Kami akan kekalkan corak latihan semasa kerana boleh nampak yang permainan kami semakin baik dalam tempoh beberapa minggu ini. Sekarang, kami hanya perlu kekalkan konsisten dan bekerja lebih gigih dalam latihan,” kata Kian Meng.

Semalam, Kian Meng-Pei Jing tewas straight set 16-21, 18-21 di tangan beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Dalam pada itu, Pei Jing yang sebelum ini membuat pendedahan menjadi mangsa sindiket penipuan berkata, dia akan terus memberi tumpuan kepada permainan dan cuba melupakan isu peribadi dialaminya.

“Saya sekarang ini hanya memikirkan kejohanan di Australia dengan memberi fokus 100 peratus mengetepikan masalah peribadi,” katanya.

Di Terbuka Australia nanti, Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Ephraim Stephen Sam-Dania Nugroho di pusingan pertama.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hamidin minta Harimau Malaya kekal fokus

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tidak ada pilihan lain selain perlu meraih kemenangan besar ke atas Taiwan sekurang kurangnya dengan lapan gol untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta slot automatik ke Piala Asia 2027.

Situasi itu diakui Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengharapkan anak buah Kim Pan Gon kekal fokus pada aksi terakhir itu dan mencuba sedaya upaya untuk meledak seberapa banyak jaringan yang boleh dilakukan mereka pada aksi terbabit.

“Pemain faham dan akan cuba buat persembahan terbaik dan menjaringkan seberapa banyak gol. Kita juga doakan supaya Oman menang dengan seberapa banyak gol juga menentang Kyrgyzstan di laman sendiri.

“Dalam perkembangan ini, kita lihat tiada kecederaan dalam kalangan pemain dan kita harap pemain akan lebih bersedia dalam baki beberapa hari lagi persiapan sebelum menentang Taiwan,” kata Hamidin.

Terdahulu, peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan, Khamis lalu.

Satu mata yang diraih di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon berdepan tugas yang sangat sukar apabila perlu mengatasi Taiwan dengan jaringan besar dalam aksi terakhir Kumpulan D Selasa ini selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Berbaki satu lagi perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata meskipun satu ketika mendahului saingan peringkat kumpulan selepas dua perlawanan pertama hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.

Namun skuad negara gagal mempertahankan ‘takhta’ apabila merakam dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS bentang kajian impak Sukan Sea 2027 sebelum Paris 2024

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membentangkan kajian impak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Kabinet sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata sesi pembentangan itu juga akan melibatkan penerangan mengenai impak kewangan serta sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat korporat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Khamis lalu.

“Kami sedang menyediakan untuk Kabinet kajian itu sekarang berdasarkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan penganjuran Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur sebelum ini. Saya tidak tahu minggu yang tepat tetapi pastinya sebelum Sukan Olimpik 2024.

“Sesi pemegang taruh pula hanya ada satu sesi sahaja dan respons daripada sesi berkenaan tempoh hari adalah positif,” katanya kepada Bernama selepas melepaskan peserta POWERMAN Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Sebelum ini Hannah berkata beliau menjangkakan perbelanjaan untuk menganjurkan Sukan Sea 2027 memakan kos melebihi RM700 juta.

Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022, sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei, manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.

Sukan Sea 2027 bakal menjadi kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, selepas menjadi penganjur pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Sementara itu, POWERMAN Malaysia 2024, yang dianggap sebagai acara larian-berbasikal-larian (run-bike-run) duathlon terbesar dunia, menarik penyertaan lebih 3,000 peserta bermula umur 6 hingga 78 tahun dari 32 negara.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers akhiri kempen di tempat ketujuh

KUALA LUMPUR: Penyerang negara, Faizal Saari mencipta hatrik untuk mengemudi Malaysia menang 5-4 ke atas Austria dan menduduki tempat ketujuh daripada sembilan negara dalam kempen Piala Negara-Negara 2024 di Gniezno, Poland, hari ini.

Skuad Speedy Tigers mendahului pada minit kedua pada perlawanan penentuan tempat ketujuh-kelapan melalui jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sebelum Faizal menggandakan jaringan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.

Austria di ranking ke-19 dunia merapatkan defisit kepada 2-1 menerusi pukulan penalti Fulop Losonci pada minit ke-21 tetapi Mohammad Fitri Saari memulihkan kelebihan dua gol Malaysia apabila menyempurnakan pukulan penalti dua minit kemudian.

Abangnya, Faizal kemudian menyempurnakan hatrik dengan dua jaringan padang dalam tempoh dua minit pada minit ke-32 dan 33 untuk meletakkan Speedy Tigers mendahului 5-1.

Bagaimanapun, Malaysia di ranking ke-13 dunia membenarkan Austria bangkit dengan jaringan Maximilian Scholz (34′ 51) ‘dan Arthur Kucera (49’) untuk bertahan dengan kemenangan tipis.

Ketua jurulatih Malaysia Sarjit Singh, walaupun berpuas hati dengan lima gol yang mereka jaringkan, jelas kesal dengan pasukannya kerana dibolosi tiga gol pada separuh masa kedua.

“Agak mengecewakan apabila gawang gol dibolosi tiga gol ketika mendahului 5-1. Kelemahan ini perlu dihentikan segera. Dua pemain muda kami, Muhamad Faris Harizan dan Azimuddin Syakir Kamaruddin, menyinar dan konsisten sepanjang kejohanan ini, mereka bermain dengan sangat baik.

“Secara keseluruhan, kami berjaya menjaringkan banyak gol dan sentiasa bermula dengan baik. Kami berharap dapat berusaha memperbaiki kelemahan kami, ” katanya.

Speedy Tigers menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B selepas seri 4-4 dengan Pakistan, tewas 3-1 kepada Perancis dan menewaskan Kanada 4-2 untuk terlepas peluang ke separuh akhir.

Skuad negara kemudian tewas 4-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan klasifikasi kelima-kelapan.

Tugasan seterusnya anak buah Sarjit ialah Trofi Juara-Juara Asia di Inner Mongolia, China dari 8 hingga 17 Sept ini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KEJOHANAN TERBUKA ANTARABANGSA SINGAPURA 2024

Sukan : TENPIN BOLING

Tarikh : 2 – 8 Jun 2024

Tempat : Singapura

Keputusan Pertandingan

Men’s Open

🥇 – Tomas Kyahko (FIN)

🥈 – Aiman Raedyn (SIN)

🥉 – Rafiq Ismail (MAS)

Women’s Open

🥇 – Pee Colleen (SIN)

🥈 – Bernice Lim Hui Ying (SIN)

🥉 – Nora Lyana Nastasia (MAS)

Majlis Sukan Negara Malaysia