KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menambah baik Program Podium Sukan Elit (Program Podium) bagi meningkatkan kualiti dan prestasi atlet negara, kata Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata, walaupun objektif utama iaitu memenangi emas pertama Sukan Olimpik belum tercapai, program itu akan diteruskan bagi menyediakan bantuan, latihan dan dana untuk atlet-atlet berpretasi tinggi.
Adam Adli berkata, antara penambahbaikan yang akan diteliti meliputi latihan, pertukaran pengetahuan, jurulatih dan fasiliti.
“Kalau kita lihat peruntukan yang diberikan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2024 untuk program podium itu akan ditambah, supaya kita dari semasa ke semasa boleh menambah baik persembahan dan pencapaian atlet-atlet kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan AEON Malaysia dan KBS, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 melaporkan objektif utama Program Podium yang dilancarkan pada 2 Februari 2016 untuk membawa pulang pingat emas Olimpik masih belum tercapai.
Menurut laporan itu, pencapaian output bagi Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) kurang memuaskan dengan dua daripada lima sasaran tidak tercapai, manakala pencapaian keberhasilan juga kurang memuaskan kerana dua tidak tercapai dan satu masih belum dicapai daripada empat sasaran ditetapkan.
Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan pencapaian output Program Podium di bawah Institut Sukan Negara (ISN) adalah baik kerana telah mencapai sasaran kemenangan pingat di tiga temasya sukan utama.
Mengenai hasrat kerajaan Kelantan yang ingin berbincang dengan KBS serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung garis panduan pakaian sukan patuh syariah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang bakal dianjurkan di negeri itu, Adam Adli berkata perbincangan itu belum dijalankan.
“… (perbincangan) itu memang tetap akan diadakan sebab jawatankuasa penganjuran SUKMA memang akan sentiasa perlu berhubung dan merancang bersama-sama dengan kerajaan negeri jadi itu perkara dan proses biasa.
“Soal pematuhan pemakaian dan juga perkara-perkara yang tertakluk di bawah enakmen negeri itu akan dilaksanakan selaras dengan apa yang kita anggap sebagai kerjasama di antara negeri dan (kerajaan) Pusat, kita faham ada beberapa perkara yang kita perlu perincikan dan nanti kita akan datang dengan keputusan yang telah kita buat selepas jawatankuasa itu bersidang,” jelasnya.
Berkenaan majlis hari ini, Yayasan AEON Malaysia menyumbang 70 motosikal terpakai kepada Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu pelajar B40 terpilih menjalani latihan kemahiran di Institusi Latihan Kemahiran Belia (ILKBS) di seluruh negara.
Menerusi MoU itu, AEON dan KBS akan menyediakan penempatan latihan industri serta peluang pekerjaan kepada pelajar ILKBS, khidmat nasihat, penyertaan dalam Program Career Fest ILKBS dan sumbangan lain seperti latihan, peralatan, penyelenggaraan dan tenaga pakar. – BERNAMA