Majlis Sukan Negara Malaysia
Belum terlewat Aaron, Wooi Yik perbaiki kesilapan

Kuala Lumpur: Masih ada masa untuk beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperbaiki prestasi mereka selepas diletakkan harapan besar untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas legenda beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, beliau melihat kunci kepada kejayaan Aaron-Wooi Yik adalah terletak di tangan Aaron.

“Mereka perlu mempamer aksi konsisten serta mempelbagaikan rentak permainan. Saya lihat corak permainan mereka setaraf dengan beregu utama dunia yang lain.

“Cuma apabila Aaron melakukan kesilapan, mereka mula berdepan tekanan dan bermula daripada situ, corak permainan mereka mula tidak menjadi.

“Peluang beregu kita ini di Olimpik sangat bagus berbanding wakil negara yang lain. Jadi mereka perlu segera memperbaiki prestasi,” katanya ketika dihubungi.

Selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Perancis, Aaaron-Wooi Yik kini mengalihkan fokus mereka kepada saingan Seluruh England yang bermula Selasa ini.

Mengulas mengenai pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang juga disandarkan meraih pingat di Paris, Jalani berkata, seperti Aaron-Wooi Yik, tidak ada kurangnya dengan corak pemainan pemain yang menduduki ranking ke-10 dunia itu.

“Cuma, apabila beraksi dalam tempoh yang panjang, dia mula terdesak untuk menamatkan perlawanan dan mengambil keputusan tergesa-gesa.

“Bagi saya, Zii Jia sebenarnya tewas dengan dirinya sendiri. Dia banyak melakukan kesilapan apabila berdepan dengan tekanan sepertimana ketika di Terbuka Perancis.

“Dia perlu perbaiki tahap kecergasaannya untuk persediaan beraksi dalam tempoh yang panjang,” katanya.-Harian Metro

Malaysia dapat banyak manfaat anjur Sukan Komanwel 2026

Kuala Lumpur: Bekas legenda skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menganggap Malaysia memperoleh peluang terbaik sekiranya menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Jelasnya, meskipun tempoh untuk menganjurkannya agak singkat, namun beliau berasakan Malaysia memperoleh banyak manfaat jika mengambil keputusan berani menganjurkan temasya sukan itu selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 1998, di mana skuad hoki negara diketuai Mirnawan ketika itu meraih pingat perak.

“Saya melihat dalam aspek industri sukan. Kalau kita menjadi penganjur Sukan Komanwel, sudah pasti kerajaan mempunyai perancangan begitu teliti untuk semua sukan yang terbabit.

“Ia juga baik untuk industri pelancongan sukan. Soal fasiliti bagi saya tiada masalah, kita sudah ada semuanya termasuk hotel yang boleh menampung kehadiran orang ramai.

“Untuk hanya tinggal dua tahun lagi, Persekutuan Sukan Komanwel tidak boleh letak jangkaan yang tinggi kepada Malaysia sepertimana negara lain melakukan persediaan antara enam hingga lapan tahun,” katanya.

Beliau ditemui selepas saingan Piala Legenda Hoki 2024 di Stadium Tun Razak, hari ini yang menyaksikan penyertaan ramai legenda hoki negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi laporan semalam berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lalu kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 sehingga 29 Mac 2026.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.-Harian Metro

Faizal buat ‘pusingan U’ demi Sarjit

KUALA LUMPUR: Selain kita berjuang untuk negara, kita juga perlu bermain untuk jurulatih!

Itu kata penyerang hoki negara, Faizal Saari mengenai pengendali baharu skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh ketika ditanya sekiranya dia bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

Faizal yang sebelum ini memberi bayangan mahu bersara berkata, dia bersedia untuk membuat ‘pusingan U’ sekiranya namanya dipanggil oleh Sarjit untuk menyertai Speedy Tigers.

“Saya ada berhubung dengan beliau. Saya tak ada masalah dan akan teruskan (dalam skuad kebangsaan) sekiranya kudrat saya diperlukan,” kata Faizal yang pernah berada di bawah bimbingan Sarjit pada 2014, 2015 dan 2016 dalam pasukan Terengganu Hockey Team (THT).

“Saya harap nama terpilih dan dapat mewakili Malaysia. Memang sebelum ini saya memberi bayangan untuk bersara tetapi apabila beliau dilantik, saya berfikir sebaliknya dan beliau juga adalah salah seorang jurulatih yang saya gemari.

“Bagi saya, selain kita berjuang untuk Malaysia, kita juga kena main untuk jurulatih. Beliau pernah memberi kepercayaan kepada saya dan saya kena melakukan seperti diharapkan dalam padang.”

Pada 3 Mac lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan perlantikan Sarjit sebagai ketua jurulatih yang baharu bagi menggantikan tempat Arul Selvaraj dengan kontrak dua tahun.

Bekas pemain skuad negara itu pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008 selain turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Sarjit bakal menggalas tugas pertama di Piala Sultan Azlan Shah yang bermula 4 Mei depan.-Berita Harian

Harimau Malaya idam bawa pulang ‘buah tangan’ dari Muscat

KUALA LUMPUR: Meraih sekurang-kurangnya satu mata menjadi harapan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon apabila Harimau Malaya bertandang ke Muscat, Oman, 22 Mac ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan Harimau Malaya perlu mendapatkan mata penting untuk membuka peluang lebih cerah ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sedar bukan mudah untuk berdepan Oman yang berada di ranking 80 dunia, Pan Gon bagaimanapun berkata pasukannya akan berusaha untuk membawa pulang mata dari gelanggang lawan.

“Kami perlu dapatkan mata, sangat sukar pasukan ranking 132 (Harimau Malaya) menentang ranking 80, sangat sukar. Perlawanan di tempat lawan dan perbezaan waktu, kami tidak pergi awal untuk menyesuaikan diri.

“Kami hanya pergi ke sana beberapa hari untuk persiapan. Jika mahu pergi ke pusingan seterusnya, saya fikir kami harus dapatkan sekurang-kurangnya satu mata dan harap kami dapat melakukannya,” katanya.

Selepas menentang Oman di Muscat, skuad Harimau Malaya kemudian akan melayan kunjungan pasukan kendalian Jaroslav Silhavy itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil empat hari kemudian.

Harimau Malaya memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi awal sebelum ini, manakala Oman yang menundukkan Taiwan sebelum tewas kepada Kyrgyzstan berada di tangga kedua dengan tiga mata.

Selain itu, Pan Gon turut menjelaskan tindakannya memanggil 33 pemain bagi kem latihan pusat dengan mengekalkan seramai 21 daripada 26 pemain yang berada dalam skuad Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.

Pengendali berusia 54 itu turut memanggil beberapa tonggak skuad bawah 23 (B-23) tahun yang bakal menghadapi Piala Asia B-23, bulan depan.

“Berdasarkan pendekatan taktikal dan penilaian teknikal, jadi kami buat keputusan untuk senarai (33) pemain ini terutama pemain muda.

“Kami mahu melihat muka baharu dan kami juga mahu membentuk satu persaingan di sini. Selepas 15 Mac, kami perlu kurangkan dari 33 kepada 25 pemain.

“Kita akan lihat persaingan di samping kami cuba bantu pemain B-23 sebelum mereka memulakan kem latihan pusat,” katanya.-Berita Harian

Sivasangari nyaris kejutkan juara bertahan

KUALA LUMPUR: Hajat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk mara ke final Kejohanan Cleveland tidak kesampaian apabila tewas di tangan lawan dari England, Georgina Kennedy pada aksi separuh akhir, malam tadi.

Sivasangari yang menduduki ranking ke-16 dunia bagaimanapun menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit selepas ketinggalan dua set sebelum tewas 11-13, 8-11, 14-12, 11-6, 9-11 dalam aksi selama 64 minit.

Kennedy yang berada di kedudukan keenam dunia mengakui Sivasangari sebagai lawan yang sukar namun pada akhirnya mampu menarik nafas lega dalam misinya mempertahankan gelaran.

“Ia sesuatu yang sukar. Selepas perlawanan saya bercakap dengan Siva yang perlawanan ini tiada siapa antara kami harus kalah. Saya sangat lega dan bertuah kerana berjaya menemui mata kemenangan.

“Ketika saya mendahului 2-0, saya tidak berasa selesa – saya mempunyai perasaan yang dia (Sivasangari) akan kembali bangkit dan itu pastinya kamu sendiri tak mahu mendengarnya.

“Saya berpura-pura kepada diri sendiri yang saya sentiasa positif tetapi ia tetap bermain di fikiran saya. Saya cuba bertahan dan pukulannya luar biasa. Pada set kelima, saya kata kepada diri sendiri untuk tingkatkan keamatan, berjuang dalam setiap mata dan mengambil inisiatif yang ada.

“Ini kerana sekiranya saya tidak berbuat begitu, dia akan membuat sesuatu dan saya juga agak pasif pada set ketiga dan keempat. Saya lega dan memberi kredit kepadanya – mungkin saya atau dia berada di sini pada ketika ini (di final),” kata Kennedy.-Berita Harian

MESYUARAT PERTINDIHAN ATLET DAN SENARAI ACARA DITAWARKAN BERDASARKAN PENDAFTARAN SENARAI PANJANG SUKAN MALAYSIA XXI SARAWAK 2024

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024. Mesyuarat yang akan diadakan selama dua hari itu bertujuan untuk membincangkan status acara yang akan dipertandingkan dan menyelesaikan status pertindihan atlet.

Turut hadir ke mesyuarat ini, YBhg. Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024, YBrs. Encik Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), MSN.

MAJLIS PELANCARAN SUKMA XXI SARAWAK & PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024

Majlis Pelancaran Sukan Malaysia dan Sukan Para SUKMA Sarawak yang ke-21 telah diadakan pada Sabtu bertempat di Hotel Pullman, Kuching Sarawak telah dirasmikan oleh YB Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).

Majlis tersebut telah bermula dengan ucapan aluan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, YBhg. Datu Hii Chang Kee. Seterusnya, amanat YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah disampaikan oleh YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan.

Majlis diteruskan pula dengan, amanat dari Premier Sarawak serta ucapan Perasmian yang disampaikan oleh YB Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. Kerajaan Sarawak turut melancarkan Logo, Maskot, Lagu Rasmi dan Laman Web Rasmi bagi SUKMA Sarawak 2024.

Turut hadir ke majlis ini, YBrs. Encik Abdullah Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan YBrs. Encik Chan Foong Keong, Penolong Setiausaha Agong, Majlis Olimpik Malaysia.

Kenali Satria Dan Satrina, Maskot Rasmi SUKMA Sarawak 2024

Maskot enggang jadi lambang rasmi SUKMA Sarawak

Kenali Satria Dan Satrina, Maskot Rasmi SUKMA Sarawak 2024. Satu pendekatan baru terhadap maskot yang dikasihi di Sarawak, Satria dan Satrina, telah diperkenalkan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2024, melambangkan semangat sukan dengan gaya yang diperbaharui.

Perasmian tersebut berlangsung semasa pelancaran Sukma 2024 di Hotel Pullman semalam, di mana Menteri Belia, Sukan, dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberikan hadiah kepada pereka maskot, Ikhbar Ruzaini Abang @ Ebai.

Ikhbar, seorang pereka bebas berusia 42 tahun, diberi hadiah tunai sebanyak RM10,000 dan sebuah piala untuk rekaan inovatifnya.

Dalam temuramah dengan wartawan selepas upacara pelancaran, Ikhbar berkongsi pandangan mengenai proses rekaannya yang teliti.

“Saya merangka penampilan baru bagi kedua-dua maskot dari hujung ke hujung.

“Saya bekerjasama dengan Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) untuk belajar lebih lanjut tentang sifat terperinci burung enggang dan mengelakkan sebarang isu sensitiviti berkaitan dengan haiwan itu,” jelasnya.

Beliau terus menghuraikan butiran terperinci rekaannya, menggabungkan pewarnaan yang kompleks sambil tetap setia kepada warna bendera Sarawak – merah, kuning, dan hitam.

Ikhbar mendedahkan bahawa beliau telah membuat sejumlah 47 ikon yang berbeza untuk maskot, menggambarkan mereka dalam pelbagai aksi sukan, dengan 37 ikon mewakili pelbagai sukan dan 10 ikon didedikasikan untuk acara Para Sukma.

Selain pencapaian Ikhbar, upacara pelancaran juga mengiktiraf sumbangan dua pemenang lain.

Azrilalfatt Hassim diiktiraf kerana mencipta logo baru Sukma 2024, menerima hadiah tunai sebanyak RM10,000 dan sebuah piala.

Sementara itu, Kaderi Awang Lihi diberi penghormatan kerana mencipta lagu rasmi yang berjudul ‘Sukma Sarawak, Kesukanan dan Perpaduan’, serta menerima hadiah tunai sebanyak RM20,000 dan sebuah piala.-iloveborneo

Atlet SUKMA, Para SUKMA disaran ambil peluang keemasan tonjolkan bakat

KUCHING, 9 Mac: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA yang menyertai temasya sukan itu pada edisi kali ini disaran mengambil peluang keemasan untuk menonjolkan bakat mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, platform yang dianjurkan secara dwitahunan itu perlu dijadikan landasan untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Kepada para atlet muda negara, gunakanlah medan persaingan ini untuk menunjukkan potensi dan meningkatkan persaingan masing-masing. Harapan kita di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar lebih ramai lagi juara yang akan terlahir dari temasya sukan dan para SUKMA Edisi Ke-21 kali ini dan akan menuruti jejak kehebatan yang pernah dirintis oleh jaguh-jaguh sebelum ini.

“Jangan takut untuk mengatur langkah. Mula mengapai bintang kerana misi mengejar gemilang memangnya berada dalam jangkauan anda semua,” katanya pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu yang mewkilinya di majlis itu.

Menurutnya lagi, temasya sukan edisi kali ini telah memahat sejarahnya kerana sebanyak 30 jenis sukan akan dipertandingkan.

“Ruang yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak dengan mempertandingkan sukan-sukan yang tidak dipertandingkan pada SUKMA Edisi Ke-20 sebelum ini merupakan satu peluang keemasan yang diberikan dan disambut baik khususnya bagi Persatuan Sukan Kebangsaan serta warga sukan di peringkat negeri,” katanya lagi.

SUKMA Sarawak akan diadakan di sembilan bahagian di seluruh negeri pada 17 hingga 24 Ogos ini manakala Para SUKMA Sarawak pula akan diadakan di Bahagian Kuching sahaja pada 20 hingga 28 September ini.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah adalah pada edisi 1990 dan 2016. – TVS

Deputy SS: 3,000 volunteers registered for Sukma XXI

KUCHING (March 9): The Department of Youth and Sports has already registered approximately 3,000 volunteers in preparation for the highly anticipated 21st Malaysia Games (Sukma) scheduled for August this year.

According to Datu Hii Chang Kee, Deputy State Secretary and Chief Executive Officer for the games, training sessions for these volunteers who will play a crucial role in the smooth execution of Sukma 2024 is set to commence shortly.

Highlighting the extensive planning efforts, Hii revealed the establishment of 25 working committees comprising representatives from various ministries, departments, government agencies, private entities, and non-governmental organisations (NGOs).

“These committees play a pivotal role in the planning, execution, and coordination of Sukma, which stands as the country’s most significant sporting event for young athletes.

“Responsible for various aspects of organising the sports event, they ensure smooth operations from initial planning to event closure,” he said.

He was speaking during the launch of Sukma XXI and Para Sukma XXI at Pullman Hotel here today.

With only 161 days remaining until Sukma 2024, Hii stressed the importance of collaboration among ministries and agencies to ensure the event’s success.

“Collaboration is key between all stakeholders involved, including the Ministry of Youth and Sports Malaysia, the Ministry of Youth, Sports and Entrepreneur Development of Sarawak, and other relevant bodies,” he added.

In further announcements, Hii disclosed plans for promotional visits to all states in May and revealed that the Sukma baton relay will traverse Sarawak in May, covering all 12 divisions from Limbang to Kuching.

He also expressed gratitude to all parties involved in the launch of Sukma 2024.

“We hope for a smooth and successful event, and we welcome the participation of all states, including Brunei Darussalam, in the Malaysia Games, scheduled for August 17-24, 2024, and the Malaysia Para Games, scheduled for September 20-28, 2024,” he said.-TheBorneoPost