Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF KEPADA PEMENANG PINGAT SUKAN PARALIMPIK PARIS 2024

Pemenang-pemenang pingat Sukan Paralimpik Paris 2024 menerima insentif khas daripada Zero Healthcare Sdn. Bhd hari ini.

Pemenang pingat emas iaitu jaguh badminton, Cheah Liek Hou dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin masing-masing menerima RM10,000.00 seorang. Dua pemenang pingat perak dari sukan para olahraga, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli menerima RM5,000.00 seorang manakala pemenang pingat gangsa, Eddy Bernard juga dari sukan para olahraga menerima RM3,000.00.

Insentif disampaikan oleh Pengarah Urusan Zero Healthcare Sdn. Bhd., Tommy Tham.

Turut hadir, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jemputan ke Program Personal Development 3.0 : Self Image
TAJUKJemputan ke Program Personal Development 3.0 : Self Image
TARIKH16 April 2025 (Rabu)
MASA9.00 A.M – 1.00 P.M
TEMPATBilik Seminar, Casa 4, Majlis Sukan Negara
TUJUANProgram ini akan membantu membangunkan kemahiran atlet untuk mengurus dan memperkembangkan diri dalam pelbagai aspek kehidupan dan kerjaya, termasuk konteks profesional. Selain itu, program ini juga akan membekalkan atlet dengan keupayaan menghadapi situasi seperti sesi temuduga kerja, wawancara bersama media, menerima hadiah kemenangan, menghadiri majlis rasmi, dan pelbagai lagi.
ULASANSehubungan itu, atlet di bawah program MSN yang berminat adalah dijemput untuk hadir. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Puan Mastura di talian 017-6856023 atau Puan Hazel di talian 019-3692626.
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Soon Huat-Shevon tak ada masalah tempat slot pusingan seterusnya

Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor satu negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie membuktikan pengalaman cukup penting membantu meraih kemenangan apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, sebentar tadi.

Pasangan suami isteri itu tidak berhadapan masalah mengatasi cabaran pasangan India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-19 pada aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.

Namun, pasangan itu perlu melakukan persiapan rapi apabila dijadual bertemu gandingan Thailand yang juga juara Terbuka Malaysia, Dechapol Puavaranukroh-Suppissara Paewsampran bagi merebut tempat ke suku akhir.

Ini adalah kali keempat kedua-dua pasangan akan membuat perhitungan musim ini.

Dalam tiga pertemuan terakhir, Soon Huat-Shevon tewas di separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum mencatat kemenangan pada pusingan pertama Seluruh England di Birmingham tetapi tewas kepada lawan berkenaan di suku akhir Terbuka Switzerland di Basel.

Rekod pertemuan kini memihak kepada Dechapol-Supissara dengan kedudukan 3-2.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah gandingan muda negara, Yap Roy King-Valeree Siow yang bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani dari India, 18-21, 21-17, 21-19.

Mereka dijadual bertemu sama ada pasangan Macau, Leong Lok Chong-Ng Weng Chi atau pilihan kelapan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, dalam pusingan kedua.

Bagaimanapun, dua lagi wakil negara dalam beregu campuran gagal meneruskan kemaraan apabila Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, 21-15, 12-21, 11-21 manakala pasangan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin, turut tersingkir selepas tunduk 16-21, 14-21 di tangan wakil Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang pemain muda negara layak ke Kejohanan Golf Remaja Dunia

Kuala Lumpur: Pemain golf muda terbaik dari 16 negara bakal berentap pada edisi kedua Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak Amerika Syarikat (AS) 2025 di Kelab Golf & Country Glenmarie bermula esok hingga 11 April ini.

Kejohanan anjuran SportExcel yang mendapat sokongan pelbagai penaja itu menjadi platform untuk pemain muda terbaik negara menguji kekuatan mereka menentang pemain antarabangsa, di samping merebut peluang melayakkan diri ke Kejohanan Golf Remaja Dunia pada Julai depan.

Pengarah Eksekutif SportExcel C Sivanandan berkata, kejohanan itu sangat penting untuk pemain muda negara mempamerkan potensi terbaik mereka, selain mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.

“SportExcel melihat kejohanan ini sebagai platform untuk pembangunan pemain di peringkat akar umbi seawal usia lima tahun.

“Pada masa sama, pemain elit boleh menggunakan platform ini untuk melayakkan diri dan bertanding pada kejohanan antarabangsa di serata dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua pemain naturalisasi dari Fiji perkuat skuad ragbi negara

Kuala Lumpur: Kehadiran dua pemain naturalisasi, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru, dijangka menjadi tonik terbaik buat skuad ragbi kebangsaan menjelang aksi penting dalam play off Kejohanan Ragbi Asia 2025 menentang Sri Lanka pada 19 April ini.

Kedua-dua pemain kelahiran Fiji itu bukanlah nama asing dalam arena ragbi tempatan apabila pernah menyarung jersi negara sekitar 2016 dan 2017 selain mempunyai pengalaman luas beraksi dalam Liga Ragbi Malaysia sebelum ia tergendala beberapa tahun lalu.

Ketua jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Ahmad, mengesahkan kehadiran semula dua watak penting itu dalam sesi latihan pusat yang bermula petang ini di Universiti Malaya (UM).

“Menurut pengurusan, mereka sudah tiba dan akan menyertai latihan petang ini. Kita harap mereka berada dalam keadaan cergas dan mampu membantu memperkukuh pasukan terutama di posisi forward dan back,” katanya.

Saizul Hafifi menjelaskan, kedua-dua pemain itu memenuhi syarat naturalisasi selepas beraksi lebih tiga tahun dalam liga tempatan, sekali gus layak menyarung jersi kebangsaan mengikut peraturan Ragbi Asia.

“Walaupun liga negara tergendala sejak dua atau tiga tahun lalu, mereka tetap aktif beraksi di luar. Kini mereka kembali bersama kita untuk bantu pasukan dalam misi penting,” tambahnya.

Menurutnya lagi, fokus utama kini adalah pada aspek kecergasan, kekuatan fizikal dan gandingan pemain lama serta baharu, selain memastikan tiada kecederaan menjelang perlawanan di Colombo.

Skuad negara dijadual berlepas ke Sri Lanka pada 16 April ini, dengan misi menebus kegagalan tahun lalu apabila menduduki tangga keempat Kejohanan Ragbi Asia.

Kedudukan itu menyaksikan skuad Bunga Raya mampu tersingkir ke Divisyen satu dan aksi play off bagaikan penentu hidup mati pasukan agar tidak tersingkir ke divisyen berkenaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Farah idam tingkat martabat boling padang

Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah mahu mengubah persepsi ramai bahawa sukan yang diceburinya itu adalah untuk golongan veteran sahaja.

Jelas atlet berusia 24 tahun itu yang kini memegang status selaku pemain nombor satu dunia, dia mahu meningkatkan martabat sukan itu yang sebenarnya sesuai untuk diceburi oleh setiap lapisan umur.

“Kalau ikutkan usia saya dengan atlet dari luar negara, kebanyakan mereka berusia 40 tahun ke atas sedangkan saya baru berumur 24 tahun.

Kalau bertanding di mana-mana saya adalah peserta paling muda.”Di luar negara sukan ini mungkin kurang popular dan dilabel ‘sukan veteran’. Setakat ini kurang nampak golongan muda di luar negara bermain sukan ini,” katanya.

Jelas Farah, perkara paling penting untuk meraih pencapaian sepertinya adalah minat yang mendalam terhadap sukan boling padang.

“Walaupun saya pernah terbabit dengan beberapa sukan lain, tapi saya rasa sukan boling padang ini lebih seronok. Kadangkala ketika sesi latihan, memang biasa kena marah (oleh jurulatih) tetapi lama kelamaan sukan ini sudah menjadi hobi,” katanya.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, atlet negara berusia 24 tahun itu kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 683 mata manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Nama Farah mencuri perhatian selepas dia melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Kejayaan muncul pemain nombor satu dunia melonjakkan semangatnya untuk mempertahankan gelaran di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Scotland dari 20 hingga 25 April ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Usah terburu-buru, fikir kesan jangka panjang

Kuala Lumpur: “Jangan ambil jalan pintas hanya kerana nampak lumayan.” Itu peringatan tegas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada barisan atlet negara, khususnya golongan muda yang ghairah mahu menyertai dunia profesional tanpa memikirkan implikasi jangka panjang.

Beliau memberi respons terhadap situasi membabitkan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, yang dikatakan mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beraksi secara profesional.

Menurut Hannah, langkah meninggalkan badan induk bukan saja memberi kesan kepada kesinambungan pembangunan atlet muda, malah boleh mengundang risiko masa depan yang tidak menentu.

“Dulu semua atlet di bawah BAM. Bila ada yang menang, pendapatan dikumpul dan diguna semula untuk bangunkan bakat baru. Kita mahu sistem yang saling menyokong — atlet bantu atlet,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Kepada Murid-Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Segambut Oleh Kelab Sukan JETS sebentar tadi.

Hannah juga menegaskan tidak semua atlet profesional mampu bertahan seperti Lee Zii Jia, apatah lagi jika berdepan prestasi merudum dan kejatuhan ranking.

“Kalau bawah BAM, jatuh ranking pun masih dijaga. Tapi bila dah jadi profesional, kalau tak beraksi cemerlant, memang kena usaha sendiri. Penaja pun susah nak dapat,” katanya.

Lebih membimbangkan, kata beliau, apabila ada syarikat swasta yang cuba ‘memancing’ atlet meninggalkan sistem sedia ada dengan janji manis, namun akhirnya lepas tangan.

“Bila atlet dah menang dan bawa nama negara, syarikat yang janji nak bantu pun hilang. Saya tak nak perkara ini berlaku lagi,” tegasnya.

Katanya lagi, keputusan menjadi pemain profesional bukan satu perkara kecil, dan tidak boleh dibuat semata-mata ikut langkah orang lain.

“Fikir dulu sebelum keluar. Jangan ikut orang. Pastikan ada pelan jangka panjang, bukan hanya kerana nak gaji lebih,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KOM tunggu lampu hijau pelantikan jurulatih baharu

Shah Alam: Pelantikan barisan kejurulatihan baharu skuad olahraga negara kini dalam fasa akhir. Demikian perkembangan terkini dimaklumkan Pengurus Besar Olahraga Malaysia (KOM), Nurhayati Karim yang berkata ketika ini pihaknya sendang menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas menghantar senarai nama jurulatih kepada badan induk itu.

“Perkembangan terkini mengenai pelantikan jurulatih bagi skuad olahraga kini dalam fasa akhir. Semua maklumat kita sudah hantar kepada MSN. Jurulatih itu membabitkan semua disiplin pecut, lontaran, lompatan dan lain-lain lagi. Sekarang ini kita tengah tunggu maklum balas MSN dan mungkin akan tahu jawapan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini laporan media menyatakan terdapat kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad olahraga negara terutama bagi disiplin pecut selepas kontrak Mohd Poad Md Kassim tidak disambung hujung tahun lalu.

Hayati berkata demikian ketika ditemui pada sidang media mengumumkan skuad pecut Jerman yang akan mengadakan latihan pusat di Malaysia selama empat minggu bagi persiapan menghadapi Kejohanan Lumba berganti-ganti di Guangzhou, China pada 10 hingga 11 Mei depan.

Sekretariat Olahraga Jerman, Joerg Teichmann yang turut hadir pada sidang media hari ini berkata, seramai 47 individu membabitkan atlet, jurulatih, doktor dan pegawai fisiologi akan datang ke Malaysia, Khamis ini.

“Sesi latihan ini hasil hubungan baik yang sudah lama terjalin dengan Persatuan Olahraga Jerman serta Kesatuan Olahraga Malaysia,” katanya.

Antara nama-nama besar yang akan menjalani latihan pusat di Malaysia adalah kuartet 4×100 meter wanita negara itu yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris tahun lalu, iaitu Rebekka Haase, Lisa Mayer dan Alexandra Burghardt.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KERJA-KERJA MENAIKTARAF LAMPU KAWASAN KEPADA SOLAR DI KOMPLEKS MSN KUALA ROMPIN, PAHANG UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi Negeri Pahang untuk Gred G1/G2, Kategori ME Pengkhususan E04 serta pendaftarannya masih berkuatkuasa.

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/005/2025 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : KERJA-KERJA MENAIKTARAF LAMPU KAWASAN KEPADA SOLAR DI KOMPLEKS MSN KUALA ROMPIN, PAHANG UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 9 APRIL 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 18 APRIL 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan (sekiranya ada). Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Profail Syarikat, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha (Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Mohd Nur Aliff Muhammad (Spesifikasi Teknikal) : 03-89929606

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bukti komitmen kerajaan sokong pembangunan bakat sukan

Kuala Lumpur: Sebanyak 54 program berjumlah RM1,649,195 di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) diluluskan tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah berkata kelulusan berkenaan membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bakat sukan negara.

Sehubungan itu, Hannah menggalakkan mereka yang memenuhi kriteria untuk memohon KWASN.

“Kejayaan bermula dengan langkah pertama yang berani. Marilah kita membina sebuah negara sukan yang berjaya dengan setiap bakat layak menerima peluang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

KWASN adalah geran yang diwujudkan bagi membantu badan sukan kebangsaan serta atlet bebas menganjurkan program atau aktiviti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ia juga bertujuan membantu penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa bagi memperbaiki ranking mereka.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi https://www.kbs.gov.my/utama-kwasn.html.

Majlis Sukan Negara Malaysia