Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Bertrand yakin Ken Nee mampu bantu skuad terjun

Kuala lumpur: Pengalaman pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee sebagai penerjun berpengalaman dan juri di peringkat antarabangsa, akan memberi pandangan berharga serta perspektif baharu bagi meningkatkan bakat sukan terjun negara.

Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises optimis bahawa Ken Nee tahu apa diperlukan untuk membantu mereka kembali meraih kejayaan, selain beliau sentiasa peka dengan perkembangan teknik dan peraturan terjun terkini.

“Secara peribadi, saya merasakan pelantikan Ken Nee sebagai perkara baik. Beliau menyertai banyak pertandingan sebelum ini (sebagai juri di peringkat antarabangsa) dan setiasa peka dengan perkembangan serta apa sahaja perubahan dilakukan Akuatik Dunia (WA).

“Jadi jika ada perubahan, beliau antara terawal tahu dan boleh memaklumkan kami. Selain itu sebagai bekas penerjun, beliau memiliki pencapaian cukup besar dan saya berharap semuanya akan berjalan lancar untuk kami,” katanya.

Baru-baru ini Renang Malaysia (MS) mengumumkan pelantikan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan bagi menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletak jawatan pada Disember lalu.

Ken Nee mencatatkan sejarah sebagai penerjun lelaki Malaysia pertama berjaya ke peringkat akhir Sukan Olimpik dan menduduki tempat ke-10 dalam acara individu papan anjal 3 meter (m) lelaki di Olimpik London 2012.

Beliau juga memperoleh pingat pada Sukan Asia iaitu di Busan pada 2002, Doha (2006) dan Guangzhou (2010).

Penerjun berusia 41 tahun yang bersara pada 2021 itu juga berpengalaman dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan terjun Wilayah Persekutuan.

Sebagai juri antarabangsa, Ken Nee adalah seorang daripada pegawai dari Asia dipilih untuk menghakimi acara terjun di Olimpik Paris 2024.

Sementara itu Bertrand berkata beliau gembira dengan kejayaan yang dicapainya setakat ini, selepas membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik tahun lalu.

Remaja berusia 19 tahun itu menamatkan kempen Paris 2024 di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta pada pusingan awal acara 10m platform individu lelaki, dengan 313.70 mata keseluruhan.

Anak jati Sarawak itu berkata, beliau sedang cuba mempelajari kesukaran terjunan baharu dalam usaha menjadi penerjun lebih baik pada masa depan.

Ditanya tentang perancangan selepas ini, Bertrand berkata beliau kini memberi tumpuan kepada ujian kebangsaan di Bukit Jalil pada bulan depan, selain mahu menjalin keserasian lebih baik dengan Jellson Jabillin bagi acara seirama.

Hannah yakin kemampuan Shapawi terajui Yakeb

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin dengan kepimpinan Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Beliau berkata, pengalaman luas bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu dalam pengurusan sukan dapat membantu membela kebajikan bekas atlet negara selain memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.

“Saya memilih beliau kerana mempunyai pengetahuan luas mengenai atlet di Malaysia. Saya juga telah melantik beberapa bekas atlet (sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yakeb) supaya mereka dapat membantu beliau,” katanya selepas merasmikan Stadium Pickleball di Kenanga Wholesale City Fashion Mall di sini hari ini.

Hannah seterusnya melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baharu Yakeb dan beliau pasti mereka akan meneruskan langkah baik yang dilaksanakan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed selaku pengerusi sebelum ini.

Ahmad Shapawi menggantikan Noorul Ariffin bermula Ahad, dan beliau dibantu Ahli Lembaga Pengarah Yakeb bagi penggal 2025-2027 yang terdiri daripada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kewangan Hafiz Mat Ramly, Chan Hong Jin (Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan serta Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim (Pengarah Institut Sukan Negara).

Ahli lembaga pengarah lain ialah Normala Abdul Rashid (bekas pemain bola sepak negara/Presiden Kelab Sukan dan Amal Srikandi), Sharon Wee Ee Li (bekas atlet skuasy negara/Naib Presiden 1 Persatuan Raket Skuasy Malaysia), R Sharmendran (bekas atlet karate negara/Ketua Jurulatih Sementara Skuad Karate Kebangsaan) dan bekas pemain badminton negara Soo Beng Kiang.

Sementara itu Hannah berkata beliau optimis kem badminton negara mampu menghasilkan keputusan positif pada saingan kejohanan badminton Seluruh England 2025 di Birmingham yang membuka gelanggang esok.

“Kita ada jurulatih baharu dan ramai atlet profesional mewakili negara. Saya yakin mereka mempunyai kemahiran, cuma perlukan sedikit ketenangan dan lakukan yang terbaik (untuk mengharungi cabaran Seluruh England),” katanya.

Aaron, Su Yin sah beraksi di Seluruh England

Kuala Lumpur: Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia dan pemain beregu campuran, Cheng Su Yin bersedia mengenepikan kecederaan masing-masing untuk beraksi di Seluruh England, bermula esok.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengesahkan kedua-dua pemain itu akan turun beraksi di Birmingham.

“Mereka akan bermain dan sudah bersedia untuk beraksi,” katanya.

Sebelum ini, penyertaan Aaron-Soh Wooi Yik menjadi tanda tanya selepas Aaron mengalami kecederaan bahu ketika tewas di pusingan pertama Masters Orleans di Perancis, minggu lalu.

Situasi hampir sama turut menimpa Su Yin, yang nyaris terlepas penampilan sulungnya di Seluruh England akibat kecederaan buku lali selepas tergelincir di tangga di Orleans.

Insiden itu menyebabkan dia dan Hoo Pang Ron terpaksa menarik diri daripada suku akhir menentang beregu Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja, Jumaat lalu.

Untuk Seluruh England 2025, Aaron-Wooi Yik yang juga finalis edisi lalu, akan membuka tirai kempen menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama.

Sementara itu, Pang Ron-Su Yin akan berdepan cabaran Ki Dong Ju-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.

Arif-Roy King perlu lebih berani hadapi lawan ‘elit’

Kuala Lumpur: Selepas perjalanan cemerlang di Masters Orleans, gandingan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King, kini bersiap sedia untuk berdepan cabaran lebih besar di Seluruh England yang bakal membuka tirai esok hingga 16 Mac ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky kejayaan mara ke separuh akhir sebelum ini membuktikan Arif-Roy King semakin matang namun perlu tampil berani berdepan lawan berstatus elit.

“Dari pusingan pertama hingga suku akhir, saya puas dengan prestasi mereka. Tetapi dalam perlawanan menentang pasangan China (separuh akhir), mereka terlalu mahu bermain ‘sempurna’ dan sering memaksa pukulan hingga banyak melakukan kesilapan.

“Di Seluruh England nanti, mereka perlu lebih berani kerana tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata Rexy yang pernah merangkul gelaran juara beregu lelaki bersama Ricky Subagja dua kali berturut-turut pada 1995 dan 1996.

Jelasnya lagi, kekalahan di separuh akhir Masters Orleans sudah dibincangkan, dan diharap ia menjadi pengajaran buat Arif-Roy King menjelang aksi di Birmingham.

Harapan kini disandarkan agar mereka mampu menampilkan permainan lebih agresif, terutama apabila berdepan pasangan-pasangan elit dunia.

Selain Arif-Roy King, beregu lelaki turut dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Hannah yakin kemarau Seluruh England berakhir

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis skuad badminton negara mampu menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan berprestij Seluruh England yang bermula esok hingga 16 Mac di Utilita Arena Birmingham, England.

Beliau yakin pengalaman dimiliki barisan pemain negara, sama ada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau pemain profesional, mampu memberi kelebihan buat Malaysia untuk melakar kejayaan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain kita. Kita ada barisan kepimpinan jurulatih baharu dan ramai pemain profesional yang akan ke sana untuk mewakili Malaysia.

“Saya yakin mereka hanya perlu bertenang dan lakukan yang terbaik kerana dari segi kemahiran, mereka sudah ada. Cuma perlu lebih fokus dan bertenang,” katanya selepas majlis perasmian Stadium Pickleball KWC di ibu negara, semalam.

Dalam kejohanan itu, perseorangan lelaki BAM diwakili Leong Jun Hao, manakala beregu lelaki menampilkan pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Beregu wanita pula dipikul gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, sementara beregu campuran menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin membawa cabaran Malaysia.

Barisan profesional turut hadir dengan misi menggegar kejohanan dengan Lee Zii Jia mengetuai cabaran perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki mempertaruhkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Beregu campuran profesional turut diperkuatkan oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai Seluruh England adalah menerusi Lee Zii Jia yang menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark empat tahun lalu.

PERKHIDMATAN PEMBERSIHAN LUAR DAN DALAM BANGUNAN PENTADBIRAN, PENGINAPAN ATLET, BANGUNAN PUSAT LATIHAN, LANDSKAP DAN PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN DI KOMPLEKS MSN ,BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR
ITTF WORLD PARA FUTURE LIGNANO 2025

LIGNANO SABBIADORO | 5 – 9 MAC 2025

WOMEN’S DOUBLES (WD14-20)*

Gold : Gloria Gracia Wong (MAS) | Marlene Reeg (GER)

Silver : Litvinenko Elena | Alieva Maliak (AIN)

Bronze : Caillaud Morgen (FRA) | Chebanika Raisa (AIN) & Cakorova Tereza (CZE) | Nielsen Thea Amalie (DEN)

Jun Hao, Zii Jia miliki karakter berbeza – Jonassen

KETUA jurulatih perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen, enggan membuat perbandingan antara Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia menjelang Kejohanan Seluruh England yang bermula Selasa ini.

Menurutnya, kedua-dua pemain memiliki karakter berbeza, justeru tidak adil untuk mengukur kemampuan mereka berdasarkan pencapaian masing-masing.

Jun Hao bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan berprestij itu, manakala Zii Jia pernah menjuarainya pada edisi 2021 selain meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya tidak akan membandingkan mereka. Fokus saya ialah terhadap Jun Hao, menilainya dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya,” katanya.

Sehubungan itu, jurulatih dari Denmark itu mahu Jun Hao beraksi dengan lebih tenang serta bermain secara agresif menerusi variasi pukulan bagi mengancam pihak lawan.

“Saya fikir dia mempunyai gaya permainan yang bagus. Apabila mendapat rentak yang betul, dia mula bermain secara agresif dan menunjukkan perkembangan yang baik dalam beberapa aspek permainan,” katanya.

Kejohanan Seluruh England dijadual berlangsung di Birmingham dari 12 hingga 16 Mac ini.

Pada pusingan pertama, Zii Jia dijadual berdepan Ng Ka Long dari Hong Kong, manakala Jun Hao bakal menentang pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Syafiq optimis magis Ken Nee

ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh optimis kehadiran pengarah teknikal baharu, Yeoh Ken Nee mampu memberi impak positif buat kem terjun negara untuk lebih menyerlah pada masa akan datang.

Beliau berkata, Ken Nee memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk merupakan salah seorang juri akuatik dunia.

“Menerusi pengalaman itu, dia dapat membantu semua atlet dengan lebih praktikal.

“Malah saya harap dengan pengalaman itu, ia dapat membuatkan skuad terjun negara lebih menyinar pada kejohanan dunia,” katanya.

Renang Malaysia (MS) baru-baru ini mengumumkan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan berkuat kuasa Isnin lalu, menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletakkan jawatannya pada Disember.

Setiausaha Agung MS, Andy Low berkata, bekas atlet berusia 41 tahun itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam kolam terjun.

Mengulas mengenai kemungkinan wujud perbezaan corak latihan antara Ken Nee dan Bryan, Syafiq berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan.

Malah tambah beliau, ia juga tidak memberi sebarang impak terhadap prestasi para penerjun.

“Kami di kem terjun giat menjalani latihan menjelang sesi pemilihan untuk mewakili negara pada bulan depan,” katanya.

Elmi mahu lupa episod hitam, tekad lakar nama di KPN

Kuala Lumpur: Bagi mengukuhkan kedudukan dalam skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Elmi Jumari yakin dapat membina momentum awal dengan mempamerkan aksi cemerlang di Piala Ketua Polis Negara (KPN), kejohanan kebangsaan dan Sukan Polis dan Bomba Dunia (WPFG) 2025.

Dia yang mengetuai skuad kebangsaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu, mengakui bahawa perlu menarik perhatian jurulatih negara, Yussof Nasir agar diberi peluang sekali lagi beraksi di kejohanan berprestij Asia itu dan perlu mula melakukan gerak kerja sebaik sahaja berakhir sambutan Aidilfitri.

“Selepas tidak jadi menyertai Tour Thailand yang berlangsung bulan ini, fokus saya adalah untuk beraksi cemerlang di ketiga-tiga kejohanan awal itu sebelum memikirkan mengenai perlumbaan jelajah lain yang pasti menjadi medan pemilihan ke LTdL tahun ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Elmi yang menjadi tular tahun lalu akibat kemalangan di peringkat kedua LTdL dari Arau ke Butterworth sehingga hampir menyebabkan jarinya putus dan gagal meneruskan perlumbaan, seakan mengiyakan bahawa dia masih lagi mempunyai urusan belum selesai.

“Tahun lalu amat perit buat saya selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika menuju garisan penamat. Jadi kali ini saya berazam untuk kembali semula ke kejohanan berkenaan dengan syarat saya perlu mencapai keputusan cemerlang di semua kejohanan awal yang disertai.

“Sudah tentu saya mahu memburu podium di ketiga-tiga kejohanan awal itu sekali gus mendapat lampu hijau untuk kembali menyarung jersi kebangsaan dan kembali berkayuh di LTdL,” katanya yang juga seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Elmi idam untuk meraih pingat di kejohanan kebangsaan seperti yang dilakukannya pada 2021 di Melaka dan mengulangi pencapaian menaiki podium di WPFG Chengdu 2019.

Kejohanan kebangsaan bagi saingan lebuh raya akan berlangsung di Johor pada hujung Mei, manakala WPFG pula diadakan di Alabama, Amerika Syarikat (AS) dari 27 Jun hingga 6 Julai.

“Disebabkan WPFG kali ini diadakan di AS mungkin ia agak sukar buat saya untuk bersaing dengan pencabar dari Eropah, namun saya akan berikan yang terbaik dan persiapan sudah dilakukan bermula dari sekarang termasuk latihan di gimnasium serta berkayuh di sebelah malam,” kata pelumba berusia 35 tahun itu.

Majlis Sukan Negara Malaysia