Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

KSB jumpa PSM bincang hala tuju Akademi Sepaktakraw

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menetapkan hala tuju Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) selepas kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak membina stadium baharu sebaliknya PSM akan menaik taraf kemudahan yang sedia ada untuk dijadikan tempat pembangunan atlet sepak takraw pada masa akan datang.

Jelasnya, prestasi skuad sepak takraw Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa juga menjadi faktor utama peruntukan itu diluluskan sekali gus bakal membuka dimensi baharu buat sukan berkenaan.

“Tanah berkenaan adalah milik Institut Sukan Negara (ISN) dan kita memberikan pajakan kepada PSM untuk mereka buat akademi dan tempat khas yang mereka namakan stadium untuk sepak takraw.

“Ini adalah satu kerjasama yang baik kerana KBS kini tidak mahu membina kemudahan baharu dan kita tidak akan membina akademi atau stadium untuk semua jenis sukan. Kita ada 103 jenis sukan, tak mampu buat semuanya.

“Tetapi kita tahu sepak takraw adalah sukan yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah sukan tradisi. Maka kita melihat kepada populariti sepak takraw serta kejayaan mereka dalam Piala Dunia (2024) dan Piala Asia (2025) baru-baru ini,” katanya.

Tambah Hannah, perbincangan antara KBS bersama PSM juga akan diadakan bagi memastikan projek itu dapat dijalankan mengikutkan perancangan seperti ditetapkan agar peruntukan yang diberikan itu boleh digunakan sebaik mungkin.

“Kerana saya sendiri tidak menyangka beliau akan meluluskan RM6 juta. Tetapi ada syarat-syarat tertentu dan saya akan mengadakan perbincangan dengan PSM secepat mungkin. Hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim ) ialah supaya akademi ini direalisasikan secepat mungkin sebelum pembentangan bajet (hujung tahun nanti),” katanya.

MSN minta laporan rasmi daripada Irfan isu ugutan

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin membuat laporan rasmi kepada pihaknya mengenai dakwaan diugut oleh Olahraga Malaysia (MA) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, setakat semalam, pihaknya masih belum menerima aduan mengenai perkara itu dan disebabkan isu berkenaan mendapat perhatian ramai, beliau berharap mereka yang terlibat akan tampil ke depan untuk mengemukakan laporan secara terus kepada MSN.

“Saya pun masih belum menerima sebarang laporan berkenaan perkara ini. Saya tunggu laporan penuh daripada pihak MA dan juga daripada pengurus pasukan (Irfan) sebelum saya membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, atlet berusia 30 tahun itu mendakwa dirinya menerima ugutan berbaur ancaman daripada pengurusan MA susulan kenyataan terbukanya kepada media selepas kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan, baru-baru ini.

Katanya, beberapa pegawai tertinggi MA didakwa cuba menekan dan mengugutnya supaya mematuhi arahan tertentu, termasuk sepatutnya tidak menyebut individu tertentu dalam ucapan penghargaan di depan media.

Namun, Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim pula segera tampil dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Irfan bahawa beliau pernah mengeluarkan ugutan terhadap atlet berkenaan.

Bagi Shahidan, beliau melihat perkara itu kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan memandangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MA ke-22 yang akan berlangsung hari ini dan tumpuan kini terarah kepada pemilihan jawatan presiden selepas mendapat persaingan empat penjuru.

SESI RAMAH MESRA ATLET NEGARA @ HBN2025!

Sambutan Hari Belia Negara 2025 berlangsung penuh warna-warni dari 13–15 Jun 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia turut diserikan dengan kehadiran ribuan belia dari seluruh pelusuk negara.

Seperti tradisi tahunan, Majlis Sukan Negara (MSN) tampil menceriakan suasana dengan kehadiran atlet-atlet negara di reruai MSN @ Port Fit Malaysia, memberikan peluang kepada para pengunjung untuk beramah mesra, bergambar dan mendapat inspirasi daripada wira sukan tanah air.

Turut hadir sama ke majlis tersebut, YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

KEJOHANAN SEA WEIGHTLIFTING CHAMPIONSHIPS 2025

12 – 16 JUN 2025

Acara: Wanita 58KG

Keputusan Akhir:

πŸ₯‡Waiphod Phuttharak – THA

πŸ₯ˆHeng Nicole – SGP

πŸ₯‰Alia Adani Johari – MAS

Acara: Wanita 63KG

Keputusan Akhir:

πŸ₯‡Lawanni Butsaya – THA

πŸ₯ˆKaraket Nattnicha – THA

πŸ₯‰Nurul Syasya – MAS

KARNIVAL PENCARIAN BAKAT SUKAN PARA ZON BORNEO (SABAH) 2025

Karnival Pencarian Bakat Sukan Para Zon Borneo (Sabah) 2025 telah dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sabah, melibatkan 55 orang peserta dan 25 orang pengiring daripada 13 buah sekolah pendidikan khas serta Persatuan Anak Istimewa Lahad Datu pada 12 & 13 Jun 2025 bertempat di Kompleks Sukan Tawau, Sabah.

Sebanyak 7 jenis sukan utama telah dipertandingkan dalam usaha mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam kalangan atlet para muda. Hasil daripada program ini, 10 orang peserta berpotensi telah dikenal pasti untuk dibimbing dan dipantau oleh jurulatih serta penggerak negeri.

Karnival ini bukan sahaja mencungkil bakat, malah turut menyemai semangat kesukanan dan keterangkuman dalam kalangan komuniti istimewa di Sabah.

KEJOHANAN SEA WEIGHTLIFTING CHAMPIONSHIPS 2025

12 – 16 JUN 2025

Acara: Wanita 48KG

Keputusan Akhir:

πŸ₯‡Y, Lien – VIE

πŸ₯ˆIrene Jane – MAS

πŸ₯‰Poon Shu Qi – SGP

Acara: Lelaki 65KG

Keputusan Akhir:

πŸ₯‡– Pacaldo Dave Llyod – PHI

πŸ₯ˆ– Muhd Amin Hakimi – MAS

πŸ₯‰– Muhd Nashrul – BRU

LAWATAN PELAJAR UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) ARAU, PERLIS KE PUSAT KECEMERLANGAN SUKAN PARALIMPIK, KG. PANDAN

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) telah menerima lawatan akademik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan pada 13 Jun 2025. Delegasi lawatan terdiri daripada 42 orang pelajar Semester 6 jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, yang turut diiringi oleh dua orang pensyarah.

Matlamat utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada para pelajar mengenai pengurusan sukan berprestasi tinggi, khususnya dalam konteks pembangunan sukan para negara.

Turut hadir menyambut delegasi adalah Pengarah Bahagian Para, Encik Joherman Amir, yang turut berkongsi aspirasi dan hala tuju pembangunan sukan para di Malaysia.

Azrai mahu ulang hatrik apabila layan New Zealand

Kuala Lumpur: Penyerang utama pasukan hoki negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal optimis mampu mengulangi prestasi cemerlang menentang New Zealand pada saingan Piala Negara-Negara, sekali gus memberi tiga mata penting buat Speedy Tigers.

Azrai mempunyai memori sangat baik ketika berdepan pasukan ke-12 dunia itu di Piala Sultan Azlan Shah 2024 dan disebabkan itu, dia mahu meneruskan momentum merobek gawang pasukan New Zealand.

“Saya teruja bertemu New Zealand, pasukan yang mempunyai ranking tinggi, sekali gus memberi saya peluang untuk belajar banyak perkara.

“Kalau boleh, saya mahu menjaringkan gol lagi seperti mana saya melakukan jaringan hatrik ketika berdepan mereka tahun lalu,” katanya.

Ketika ini, barisan jurulatih lebih banyak memberi tumpuan kepada bahagian serangan untuk memastikan pemain negara tidak melepaskan peluang penting kerana itu boleh menjadi penentu kemenangan buat Malaysia.

Oleh itu, bagu aksi pembukaan menentang Pakistan pada Ahad ini, mereka tiada pilihan lain selain meraih tiga mata penting untuk membuka laluan lebih cerah ke pusingan seterusnya.

“Kami banyak melakukan latihan khusus untuk bahagian serangan dan saya nampak hasilnya semakin positif. Serangan kami lebih tajam dan tersusun, jadi kita akan lihat pada kejohanan nanti.

“Sasaran pasukan adalah layak ke separuh akhir, jadi perlawanan pertama wajib menang. Tak kira bagaimana caranya, kita mesti menang,” katanya.

Skuad bimbingan Sarjit Singh diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan aksi menentang Pakistan, diikuti Jepun pada 16 Jun dan New Zealand pada 18 Jun, sementara Kumpulan A pula menyaksikan pertemuan antara Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.

Kejohanan Piala Negara-Negara di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil akan bermula Ahad ini hingga 21 Jun.

MALAYSIA PERKASA PERSIAPAN SUKAN SEA 2027

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), telah mewakili Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Kehadiran rasmi ke mesyuarat ini bertujuan untuk membentangkan status terkini penganjuran Temasya Sukan SEA ke-34 yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada tahun 2027.

Edisi ke-34 ini akan dianjurkan secara hos bersama melibatkan Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, selaras dengan komitmen Malaysia untuk menganjurkan temasya bertaraf antarabangsa dan inklusif.

Kehadiran Herry Iman bawa ong buat badminton negara – Chong Wei

Kuala Lumpur: Kehadiran jurulatih beregu lelaki dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi ke dalam skuad badminton Malaysia ternyata membawa ‘ong’ sangat besar selepas pemain negara meraih kejuaraan demi kejuaraan dalam tempoh singkat.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, Herry atau lebih dikenali dengan gelaran Naga Api membuktikan dirinya mempunyai sentuhan sangat bernilai apabila tidak perlu mengambil masa lama untuk melatih beregu lelaki negara dan membawa mereka berada di atas podium.

Tambahnya, permainan pasangan negara sudah berubah sejak berada di bawah kepimpinan Herry apabila mereka beraksi dengan lebih agresif dan mempunyai mood menyerang yang tinggi berbanding bertahan.

“Awak sendiri boleh nampak pemain kita terutama Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Mereka lebih konsisten dan lebih yakin, seolah-olah bukan Aaron-Wooi Yik yang kita kenal sebelum ini. Saya rasa kunci utamanya adalah komunikasi.

“Bagaimana berkesannya komunikasi antara seorang jurulatih dengan pemain boleh menerbitkan keyakinan dalam permainan.

“Bagi saya, apabila jurulatih itu dapat berkomunikasi dengan baik, pesanan mudah disampaikan dan ia mampu meningkatkan keyakinan di gelanggang.

“Jika dia jurulatih yang biasa, mungkin hanya berkongsi ilmu yang ada dalam buku sahaja,” katanya.

Sejak Herry mula bertugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu, beliau membawa perubahan yang sangat ketara antaranya membantu beregu lelaki negara meraih empat kejuaraan dalam tempoh empat bulan.

Antaranya Aaron-Wooi Yik yang meraih gelaran sulung tahun ini di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 pada April, diikuti dua kejuaraan dalam tempoh kurang sebulan iaitu Terbuka Thailand (Mei) dan Terbuka Singapura (Jun) manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula meraih kemenangan di Masters Malaysia (Mei).

Malah, perubahan dalam ranking dunia menunjukkan peningkatan ketara berbanding pada awal ketibaannya sebelum ini, seperti Aaron-Wooi Yik yang mendaki daripada kedudukan nombor lima dunia ke tempat kedua dunia dan Kai Wun-Wei Chong, daripada nombor 12 dunia kepada kedudukan ketujuh dunia.

Di samping itu, beliau turut melihat kehadiran beberapa jurulatih lain seperti Kenneth Jonassen (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan), Rosman Razak (beregu wanita) dan Nova Widianto (beregu campuran) sebagai antara gandingan yang mampu menghasilkan lebih banyak kejayaan kepada Malaysia.

Oleh itu, Chong Wei melihat kemungkinan besar menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028, lebih ramai pasangan negara akan berada dalam kelompok terbaik dunia untuk layak ke temasya empat tahun sekali itu, sekali gus mewujudkan persaingan lebih sihat buat mereka.