Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ketiadaan sasaran pingat, untuk elak tekanan- Hannah

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menepis kritikan pelbagai pihak bahawa keputusan meletakkan sasaran tanpa warna pingat bukan dilakukan secara bersendirian tetapi ia hadir daripada pakar.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kaedah yang digunakan sebelum ini yang sering meletakkan sasaran pingat emas sehingga ia boleh mendatangkan tekanan kepada atlet yang bertanding.

Disebabkan itu, KBS ingin melakukan pembaharuan ditambah pula saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU) menyebabkan pihaknya bersetuju untuk menggunakan cara itu di temasya dwitahunan itu mengikut jumlah pingat keseluruhan.

“Saya ingin mengatakan saranan itu untuk mengumumkan sasaran berdasarkan jumlah pingat dan bukan warnanya (emas), ia bukan saranan Hannah Yeoh.

“Ia datang dari NSSU dan ketika kita berbincang, mereka berkata mengapa Malaysia masih menggunakan laluan ini sedangkan negara lain sudah tidak menggunakannya lagi.

“Ini (saranan) datang daripada pakar NSSU dan mengapa kita mendengar daripada mereka? Kerana universiti itu sendiri, mereka mencapai lebih daripada 40 pingat emas di Sukan Olimpik,”katanya selepas majlis perasmian cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini, hari ini.

Selain itu, Hannah menafikan mereka tidak mengambil kira pandangan pakar pelbagai pihak dari Malaysia.

“Bukanlah kami tidak mendengar. Kami mendengar, tetapi di sini tiada gunanya kami menandatangani MoU (memorandum perjanjian), kami menjemput pakar yang datang dan pada akhirnya beritahu mereka maaflah saya tidak ingin mendengar kata-kata anda kerana saya fikir Malaysia lebih tahu.

“Jika ia memberi kesan baik buat Jepun, Australia serta pakar negara lain saya ingin memberikannya peluang,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan keputusan tidak meletakkan sasaran pingat kepada atlet negara pada Sukan Sea Thailand 2025 dilihat kurang praktikal untuk dilakukan pada kejohanan dwitahunan itu.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau melihat Sukan Sea adalah pentas terbaik buat atlet negara beraksi kerana memburu pingat nampak lebih mudah selepas mengambil kira faktor penyertaan daripada setiap negara Asean.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Herman taruh harapan anak buah cipta kejayaan di Sukan Sea

Kuala Lumpur: Legenda olahraga negara Nur Herman Majid menyuarakan harapan besar untuk melihat atlet kebangsaan menawan podium dalam acara 110 meter (m) lari berpagar di temasya Sukan Sea 2025 di Thailand, Disember ini.

Bagi jurulatih berpengalaman itu, impian tersebut bukan mustahil, terutama dengan kehadiran dua atlet berbakat Mohd Rizzua Haizad Muhamad dan Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, yang masing-masing menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi.

Mohd Rizzua, yang mencatat rekod musim terbaik 14.13 saat (s) tahun lepas dan Muhammad Hazriq, atlet muda dari Johor yang merekodkan 14.25s, pada Julai tahun lepas dilihat berpotensi besar untuk mencipta kejutan di pentas serantau.

Pemenang pingat gangsa 110m lari berpagar lelaki di Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun, itu berkata, kedua-dua anak buahnya masih dalam proses pembelajaran dan menunjukkan kemajuan yang positif.

“Insya-Allah, semuanya bergantung kepada atlet sendiri – sejauh mana mereka berani mencabar diri dan berusaha mencapai kejayaan.

“Sebagai jurulatih, saya hanya mampu membimbing mereka untuk mencapai pencapaian yang lebih tinggi,” kata Nur Herman, pemenang enam pingat emas Sukan Sea, dalam satu video yang dikongsi oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini.

Beliau optimis bahawa 2025 bakal menjadi tahun gemilang buat atlet lari berpagar negara dan berharap kedua-dua anak buahnya mampu menempatkan diri sebagai pemenang pingat di temasya berprestij itu.

Mohd Rizzua, 28, mencatat masa terbaik peribadinya, 13.85s, di Thailand pada Julai 2023 dan adalah sebahagian daripada Program Podium.

Sementara itu, Muhammad Hazriq, 18, yang menyinar di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2023 dengan dua pingat emas, termasuk dalam acara lari berpagar, berada dalam program pelapis dan terus mencatat masa memberangsangkan.

Pada final 110m lari berpagar lelaki di Sukan Sea 2023 di Kemboja, atlet Thailand Natthaphon Dansungnoen dan wakil Singapura Ang Chen Xiang berkongsi pingat emas dengan catatan masa 13.831s, manakala John Cabang dari Filipina menduduki tempat ketiga dengan 13.86s.

Malaysia kali terakhir menaiki podium acara ini menerusi Rayzam Shah Wan Sofian dengan merangkul pingat perak di Sukan Sea 2019 di Filipina, yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan emas dimenanginya di Kuala Lumpur pada edisi 2017.

Sebagai rekod, Nur Herman Majid pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila beraksi di Sukan Olimpik Barcelona 1992 serta Kejohanan Dunia 1995 di Gothenburg, Sweden.

Juara Kejohanan Asia 1991 itu juga memegang rekod kebangsaan selama 23 tahun dengan catatan 13.73s sebelum rekodnya dipecahkan oleh Rayzam Shah dengan kepantasan 13.67s pada tahun 2017.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PKBM sedia anjurkan kejohanan lebih besar

Kuala Lumpur: Malaysia membuktikan sudah bersedia untuk menganjurkan apa jua kejohanan mahupun program di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas menjadi tuan rumah untuk 14 negara menyertai Kursus Elite National Commisaires (ENC) (basikal bukit) 2025, baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, kepercayaan UCI terhadap Malaysia itu memberi mesej positif sekaligus bakal membuka peluang lebih banyak penganjuran akan dilakukan di negara ini selepas ini.

“Malaysia sentiasa dipilih UCI untuk penganjuran kursus ENC. Ini membuktikan UCI sangat percaya kehebatan pentadbiran PKBM dalam memastikan kelancaran kursus ENC 2025,” kata Amarjit dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Tambahnnya, Malaysia, Indonesia dan Filipina muncul negara yang menghantar lebih daripada seorang komisar ke Kursus ENC 2025 yang dianjurkan pada hujung bulan lalu.

“Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar komisar ke Kursus ENC 2025 dengan bilangan seramai empat orang. Indonesia dan Filipina pula menghantar dua komisar,” katanya.

Selain itu, negara seperti China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei dan Kemboja turut hadir sama menyertai Kursus ENC 2025.

Sebelum ini, Malaysia turut sering menerima pengiktirafan daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menjadi venue ‘kejohanan bertaraf dunia’ ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023.

Malah Malaysia turut sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi ACC 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS terima 28 aduan termasuk penderaan seksual

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan sebanyak 28 aduan diterima pihaknya melibatkan pelbagai jenis kes dari tahun 2023 hingga 2024 dalam industri sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 16 kes diselesaikan melibatkan penderaan seksual (dua kes), penderaan mental (tiga), penderaan fizikal (dua), buli (empat), ugutan (dua), antunan seksual (dua) dan pengabaian melibatkan satu kes.

Menurutnya, sebanyak 11 kes masih aktif dengan jumlah tertinggi adalah penderaan seksual (empat kes), penderaan mental (dua), penderaan fizikal (dua) dan pengabaian (tiga kes).

“Dalam usaha memperkasakan pelaksanaan Kod Sukan Selamat, KBS akan meneruskan program advokasi dan kesedaran di peringkat akar umbi bagi memastikan seluruh komuniti sukan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Program ini akan diselaraskan oleh 44 orang focal point sukan selamat yang telah dilantik dari kalangan pegawai KBS, KementerianPendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah intervensi untuk wanita dalam sukan melalui Kod Sukan Selamat dan perancangan kementerian untuk memperkasakan kod itu.

Syahredzan juga bertanyakan mengenai bilangan aduan yang dikendalikan serta statusnya yang terkini dengan pecahan jenis kes.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan, sebagai langkah pencegahan semua organisasi berkaitan sukan juga perlu membuat semakan latar belakang sebelum melantik mana-mana jurulatih atau pegawai teknikal terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

“Kewajipan menandatangani akujanji pematuhan Sukan Selamat serta Polisi Perlindungan Kanak-kanak dalam mana-mana kontrak atau lantikan juga merupakan antara langkah awal yang perlu diterapkan,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia terus dapat kepercayaan UCI

KUALA LUMPUR: Malaysia terus diberi kepercayaan untuk menjadi venue bagi program anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila 14 negara menyertai Kursus Elite National Commisaires (ENC) (basikal bukit) 2025, baru-baru ini.

Bagi Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, keyakinan diberikan UCI itu secara tidak langsung membuktikan yang Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara penganjur acara berkelas dunia.

“Malaysia sentiasa dipilih UCI untuk penganjuran kursus ENC. Ini membuktikan UCI sangat percaya kehebatan pentadbiran PKBM dalam memastikan kelancaran kursus ENC 2025,” kata Amarjit dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Amarjit berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina muncul negara yang menghantar lebih daripada seorang komisar ke Kursus ENC 2025 yang dianjurkan pada hujung bulan lalu.

“Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar komisar ke Kursus ENC 2025 dengan bilangan seramai empat orang. Indonesia dan Filipina pula menghantar dua komisar,” katanya.

Negara lain yang turut menyertai Kursus ENC 2025 ialah China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei dan Kemboja.

Sebelum ini, Malaysia turut sering menerima pengiktirafan daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menjadi venue ‘kejohanan bertaraf dunia’ ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023.

Malah Malaysia turut sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi ACC 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kursus Pelan Strategi Pengurusan Aset (PSPA) (OPERASI) Kementerian Kewangan Malaysia

Satu Kursus Pelan Strategi Pengurusan Aset (PSPA) (OPERASI) Kementerian Kewangan Malaysia telah diadakan bagi tujuan menerapkan kefahaman para peserta mengenai proses penyediaan pelan strategik pengurusan aset operasi MSN untuk tempoh 5 tahun serta proses penyediaan aktiviti dan bajet pengurusan aset tak alih MSN untuk tahun 2025.

Bengkel yang dikendalikan oleh penceramah dari Jabatan Kerjaraya Malaysia Ir. Dr. Ahmad Firdauz Abdul Mutalib bersama-sama SR. Nor Rapidah Musthafa diadakan pada 4 hingga 6 Februari, turut melibatkan 25 orang penyelia dan anggota yang menguruskan kompleks MSN dari seluruh negara.

Turut hadir sama, Pengarah Bahagian Fasiliti Sukan MSN, Encik Mohd Raizal Muhamat Yaakop.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi balas dendam Letshanaa

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita, K Letshanaa ingin memastikan dirinya berada di prestasi terbaik bagi memastikan misi balas dendam ke atas pemain perseorangan wanita Indonesia, Putri Kusuma Wardani tercapai pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025.

Jelasnya, selepas tewas dalam pertemuan sebelum ini, dirinya semakin bersemangat ingin bertemu dengan pemain di ranking ke-14 dunia itu dan berharap mampu memberi saingan sengit dan mendapatkan mata untuk pasukan Malaysia.

“Untuk perseorangan wanita negara, kami akan cuba tampilkan aksi terbaik, sama seperti ketika saya bermain di Indonesia Masters sebelum ini. Kita tunggu dan lihat apa keputusannya nanti.

“Saya pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada Indonesia Masters dan BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia) tahun lalu. Memang saya mahu beraksi menentangnya,” katanya.

Pertemuan itu mungkin akan terjadi selepas Malaysia dan Indonesia diundi berada dalam Kumpulan B bersama Hong Kong dan akan bersaing menjadi dua yang terbaik untuk ke suku akhir.

Selain itu, pemain muda berusia 21 tahun itu prestasinya ketika ini kurang baik dan disebabkan itu, dia cuba meningkatkan intensiti latihan bersama ketua jurulatih perseorangan negara Kenneth Jonassen sambil dibantu oleh Jeffer Rosobin.

“Permainan saya masih ada turun naik dan belum konsisten. Sekarang saya sedang cuba untuk memperbaikinya selain ada berbincang dengan Kenneth kerana kita hanya ada beberapa hari sebelum BAMCT bermula,” katanya.

Kejohanan BAMTC akan membuka tirai pada Selasa depan dengan Malaysia akan bermula dengan aksi pertama menentang Hong Kong pada 12 Februari sebelum turun menentang pasukan pilihan, Indonesia pada keesokan harinya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoki dalam dewan, Malaysia kalah lagi

Kuala Lumpur: Meskipun gagal mencatat sebarang kemenangan dalam Kumpulan B namun pemain hoki dalam dewan lelaki negara berjaya menunjukkan prestasi yang lebih baik pada aksi terakhir ketika menentang Iran.

Pengendali skuad hoki dalam dewan lelaki Rodzhanizam Mat Radzi berkata, pemain mempamerkan peningkatan yang baik dan mereka terus bersemangat serta tidak berputus asa untuk mendapatkan keputusan positif.

Tambahnya, beliau berharap selepas ini setiap pemain boleh memanfaatkan setiap peluang itu dalam bentuk jaringan.

“Secara keseluruhannya, perlawanan pada hari ini (awal pagi tadi), pemain bermain dengan begitu baik sekali mengikut perancangan seperti yang kita lakukan. Mereka berikan yang terbaik ketika bertemu pasukan Iran.

“Kita dapat lihat setiap daripada mereka sangat fokus dan berdisiplin bermula dari suku pertama sehingga suku keempat.

“Beberapa kesilapan kecil yang sering dilakukan sebelum ini, pemain berjaya mengurangkannya ketika bertemu Iran dan kita juga dapat peluang untuk jaringkan gol cuba kita tidak ambil (peluang). Kalau kita dapat peluang untuk menjaringkan gol, mereka perlu ambil dengan sebaiknya,” katanya.

Malaysia perlu menunggu aksi terakhir setiap kumpulan yang akan berlangsung tengah malam hari ini sehingga pagi Jumaat untuk mengetahui siapa lawan skuad kendalian Rodzhanizam selepas ini.

Terdahulu, pasukan negara tewas dalam ketiga-tiga perlawanan selepas dibelasah Jerman (4-12) pada perlawanan pertama disusuli dengan Argentina (2-5) sebelum tewas kepada Iran (0-3) untuk berada di tangga terbawah Kumpulan B.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PEMBAHARUAN LESEN DAN SOKONGAN NEXT GEN FIREWALL MSN

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

210107– ICT SECURITY AND FIREWALL, ENCRYTION, PKI, ANTIVIRUS

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/001/2025 (SP)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBAHARUAN LESEN DAN SOKONGAN NEXT GEN FIREWALL MSN
TARIKH BUKA : 6 FEBRUARI 2025 (KHAMIS)
TARIKH TUTUP : 21 FEBRUARI 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Profail Syarikat, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohamad Zamri Napiah (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929856

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad memanah para sasar tingkat mata ranking

Kuala Lumpur: Meningkatkan mata ranking dunia serta memperbaiki prestasi menjadi misi utama skuad memanah para kebangsaan yang bakal memulakan musim 2025 di pertandingan Piala Para Asia, bermula esok di Bangkok.

Jurulatih skuad memanah para kebangsaan, Marzuki Zakaria, berkata hanya pemanah senior dipilih untuk menyertai kejohanan ranking dunia itu bagi mengekalkan momentum atlet.

Skuad negara terdiri daripada pemanah compound lelaki Wiro Julian dan G Daneshen, Nur Jannaton Abdul Jalil (compound wanita) serta Nurfaizal Hamzah (recurve lelaki), manakala juara dunia recurve lelaki 2019, S Suresh, tidak beraksi dalam kejohanan ini kerana isterinya baru sahaja melahirkan cahaya mata.

“Tahun ini tiada banyak kejohanan, jadi kita tidak mahu pemanah hilang momentum dan ranking jika berehat lama tanpa pertandingan luar negara. Ranking yang lebih tinggi sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan mereka ketika pertandingan, walaupun mana-mana pemanah berpeluang menaiki podium di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu mereka mengekalkan momentum di samping memperbaiki ranking dan prestasi mereka. Saya juga mahu lihat sejauh mana Wiro dan Daneshen boleh melangkah, kalau boleh, saya mahu mereka mara sehingga ke final,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan ranking yang dipaparkan di laman sesawang World Archery, Daneshen dan Nur Jannaton masing-masing menduduki tangga ke-22 dan ke-23 dunia, manakala Suresh berada di kedudukan ke-17.

Nurfaizal dan Wiro pula masing-masing berada di tempat ke-45 bagi kategori recurve dan compound lelaki.

Sementara itu, Marzuki memaklumkan skuad pelapis kebangsaan yang tidak beraksi di Bangkok akan diuji dalam Kejohanan Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut, Perak, dari 7 hingga 13 Feb ini.

Beliau berkata lima pemanah dalam skuad pelapis ketika ini dipilih berdasarkan prestasi mereka di Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak pada September lepas dan diberikan sasaran untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat dari Sukan Para ASEAN (APG) di Thailand pada Januari tahun depan.

“Antara syarat utama untuk mereka dinaikkan ke skuad utama adalah pencapaian pingat di APG. Kebanyakannya adalah atlet baharu dan meraih pingat di APG bukan tugas mudah, namun kami mahu mereka mencabar diri untuk mencapai misi ini,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia