Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI SEOUL NATIONAL UNIVERSITY DAN ALUMNI PROGRAM DREAM TOGETHER MASTER (DTM)

Majlis Sukan Negara menerima kunjungan hormat daripada Seoul National University dan Alumni Program Master DTM pada Jumaat.

Delegasi tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Joon Ho-Kang (Director of Global Sport Management Graduate Program and Professor of Sport Management Seoul National University) dan Prof. Dr. Yongho Lee (Rehabilitation Movement for the Elderly and Disabled).

Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pengurusan sukan antara kedua-dua institusi.

Turut serta, YBrs Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN DELEGASI SEOUL NATIONAL UNIVERSITY (SNU) KE KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Delegasi dari Seoul National University (SNU) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 14 Februari 2025 (Jumaat) bagi memperkenalkan Korean Government’s Sports ODA Project, yang dikenali sebagai Dream Together Master (DTM).

DTM merupakan program siswazah bertujuan untuk mendidik pemimpin global masa depan dalam bidang pengurusan sukan. Program ini adalah sebahagian daripada projek kebangsaan yang disokong oleh Korean Ministry of Culture, Sports and Tourism serta Korea Sports Promotion Foundation.

Antara keistimewaan program DTM:

  • Tempoh pengajian selama 16 hingga 17 bulan secara sepenuh masa di SNU
  • Terbuka kepada semua peringkat umur (tiada had umur untuk permohonan)
  • Biasiswa penuh disediakan bagi calon yang terpilih, termasuk:
    • Tiket penerbangan
    • Yuran tuisyen
    • Penginapan
    • Kos sara hidup
  • Terbuka kepada bekas atlet yang ingin menceburi bidang pengurusan sukan

Program ini menawarkan peluang terbaik kepada individu yang berminat untuk menyumbang kepada pembangunan sukan di peringkat global melalui pendidikan dan kepimpinan strategik.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Struktur baharu RTG Mac ini

Kuala Lumpur: Status terkini sama ada bakal ada pertambahan atau penyingkiran atlet dalam program Road To Gold (RTG) hanya akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa baharu program itu yang akan diadakan pada Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau turut memaklumkan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini struktur jawatankuasa RTG yang baharu termasuk persoalan mengenai atlet.

“Kita akan buat (mesyuarat) dan kemungkinan akan diumumkan pada Mac ini. Tunggu pengumuman rasmi.

“Selain itu, kita sedang meneliti perkara berkenaan (tambah atau gugur atlet) dan ia bergantung kepada barisan jawatankuasa untuk kita bincangkan perkara itu,” katanya.

Selain itu, Hannah turut mengadakan pertemuan dengan beberapa atlet untuk berbincang mengenai tawaran itu untuk diserapkan di dalam program berkenaan.

“Parlimen baru bermula dan saya sedang aturkan beberapa pertemuan termasuk Lee Zii Jia (perseorangan profesional lelaki), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (beregu profesional lelaki) dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang (basikal trek),” katanya.

Jawatankuasa RTG bersidang buat kali terakhir pada November tahun lalu sekali gus menutup akaun bagi kitaran RTG.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
LAWATAN PROGRAM JAPAN-EAST ASIA NETWORK OF EXCHANGE FOR STUDENTS AND YOUTHS

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS), yang terdiri daripada pelajar universiti Jepun dan pegawai pengiring. Program JENESYS, yang dimulakan pada tahun 2016, bertujuan untuk menggalakkan persefahaman antara belia Jepun dan Asia-Pasifik serta memperkukuh jaringan kerjasama bagi masa hadapan.

Semasa lawatan ini, delegasi telah dibawa melawat ke pusat latihan atlet di MSN dan berpeluang menyertai sesi tutorial bersama atlet Sepak Takraw kebangsaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
16TH FAZZA INTERNATIONAL PARA ATHLETICS CHAMPIONSHIPS

Tempat : Dubai,UAE

Tarikh : 5-14 Februari 2025

KEPUTUSAN

Acara : 400m

Kategori : T20

Emas : Yovanni (MAU) – 49.10s

Perak : Muhammad Ammar Aiman – 49.33s

Gangsa: Sethi (UKR) – 49.99s

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Gagal tapi jurulatih tetap bangga

Kuala Lumpur: Kekalahan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China itu memberi pengajaran amat berguna buat barisan pemain untuk terus mempertingkatkan usaha bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, meskipun gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi kali ini, beliau masih berbangga dengan semangat juang anak buahnya dalam setiap perlawanan.

“Pasukan Malaysia tidak masuk suku akhir kali ini, tapi keseluruhannya saya rasa berpuas hati dengan pemain yang diturunkan. Mereka sudah berikan yang terbaik dan kalah menang itu satu permainan.

“Mesti ada kalah dan menang. Memang kita tidak gembira kerana kita kalah tapi kita tidak boleh terlalu kecewa sampai tidak boleh bangkit. Jadi kita akan mengambil ini sebagai satu pengajaran dan kita akan belajar di mana kelemahan kita. Balik nanti, kita kuatkan kelemahan itu untuk menjadi pemenang pada kejohanan seterusnya,”katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao cuba menghidupkan peluang Malaysia ke pusingan seterusnya dan berjaya menang perlawanan ketiga untuk mendapatkan mata pertama.

Namun itu bukanlah sesuatu yang mudah apabila dirinya turun dengan tekanan agak tinggi dalam perlawanan itu.

“Bagi saya, hanya berikan yang terbaik dalam permainan walaupun ada ketinggalan 20-17 tapi saya hanya fikir macam mana untuk dapat mata.

“Bila cakap berkenaan tekanan, pasti ada tapi cara untuk mengurangkan tekanan itu yang penting. Jadi dari situ, saya cuba fokus setiap mata demi mata,” katanya.

Terdahulu, skuad badminton negara tidak berjaya mara ke suku akhir selepas tewas 2-3 kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B hari ini sekaligus menamatkan saingan ditangga terakhir.

Dua mata penting dalam perlawanan itu disumbangkan oleh Jun Hao yang mengalahkan Y Marcellyno 11-21, 22-20, 21-12 dan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas menang ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21.

Sementara itu, beregu campuran berpengalaman negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, K Letshanaa (perseorangan wanita) dan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita) pula tewas kepada lawan masing-masing.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ASIA CUP RIFLE/PISTOL 2025 BANGKOK, THAILAND

Sukan : Menembak

Tempat : Bangkok, Thailand

Tarikh : 13 Februari 2025

Acara : 10M AIR PISTOL WOMEN (INDIVIDU)

Pusingan : AKHIR

Nurul Syasya Nadiah

Keputusan : 239.3 mata

Kedudukan : Emas / 8

🥇 MAS (Syasya) – 239.3 mata

🥈TPE (Yen Ching) – 234.3

🥉VIE (Thu Vinh) – 215.9 mata

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KURSUS IBADAH UMRAH SIRI 1/2025

Majlis Sukan Negara menerusi Jawatankuasa Surau Al-Faizin dengan kerjasama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. telah mengadakan Kursus Ibadah Umrah Siri 1/2025 pada Khamis 13 Februari di Dewan Solat Surau Al-Faizin MSN.

Kursus yang dikendalikan oleh Mutawwif Andalusia Travel & Tours Alfadhil Ustaz Mohammad Aizad Farhan Abdul Aziz menyaksikan kehadiran 60 orang warga sukan, dan dibahagikan kepada 3 siri kursus dimana siri kedua dijangka diadakan pada bulan Julai manakala siri ketiga pada November.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS kenal pasti calon sesuai jawatan KP MSN

Petaling Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenalpasti beberapa calon yang sesuai untuk menjawat jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya dalam proses untuk melakukan saringan agar dapat memilih individu terbaik sebagai pengganti bagi menggantikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub yang akan tamat kontrak April ini.

Namun begitu, beliau menyatakan individu berkenaan masih belum diketahui dan akan diumumkan pada masa terdekat.

“Nama itu sudah pasti ada dan seperti jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara kita akan buat proses temu duga.

“Bagaimanapun proses temu duga masih belum berjalan. Apa-apa kita akan kemas kini kepada media nanti,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di sini hari ini.

Untuk rekod, Abdul Rashid dilantik menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada November 2023 yang bersara wajib pada September 2023.

Pada perkembangan sama, Hannah menyatakan pihaknya sudah menemui pengganti CEO Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 24 Februari ini dan akan maklumkan tidak lama lagi.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS akan pastikan Aruwin terima peruntukan secukupnya

Petaling Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan semula untuk memastikan atlet luncur alpine negara, Aruwin Salehuddin menerima peruntukan secukupnya sebagai persediaan pada kejohanan akan datang.

Ini susulan selepas atlet berusia 21 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang di Sukan Musim Sejuk Asia Kesembilan di Harbin, China baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyedari sukan berkenaan banyak mendapatkan sokongan daripada ibu bapa termasuk dari segi kewangan bagi memastikan anak mereka berjaya dalam acara itu.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah meminta pertimbangan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk lihat kalau boleh tambah dana kerana beliau sudah dapat tempat keempat dan mungkin dengan lebih banyak lagi sokongan, beliau boleh dapat podium,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di sini, hari ini.

Selain itu, Hannah menyedari atlet dalam sukan berkenaan memerlukan dana yang mencukupi meskipun Aruwin ada menerima geran sebanyak RM50,000 daripada MSN tahun lalu.

“MSN sedang pertimbangkan permohonan berkenaan kerana bajet kita terhad. Bajet kita ditentukan setiap tahun oleh Kementerian Kewangan oleh sebab itu, kita kena pertimbangkan betul-betul dan buat perancangan.

“Seperti tahun lepas, bajet khas kita memang kita bagi keutamaan kepada EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya.

Sebelum ini, Aruwin hampir menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia namun terpaksa akur apabila tewas tipis untuk berada di tempat keempat dalam acara slalom wanita, sekali gus membuktikan potensi besar Malaysia dalam sukan musim sejuk.

Namun, kekangan pembiayaan dan akses kepada kemudahan latihan menjadi cabaran utama bagi atlet sepertinya.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berbangga dengan pencapaian atlet peluncur alpine ski wanita negara, Aruwin Salehuddin apabila berjaya menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan pada Sukan Musim Sejuk Asia Kesembilan di Harbin, China yang berlangsung dari 7 hingga 14 Februari.

Majlis Sukan Negara Malaysia