Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir dalam saingan Piala Asia 2025 yang akan berlangsung dari 10 hingga 18 Mei depan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, berdasarkan undian yang berlangsung hari ini, beliau optimis skuad kendalian Ahmad Jais Baharun mampu menampilkan aksi cemerlang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu.
Tambahnya, skuad sepak takraw negara juga sudah meraih pengalaman berharga pada Piala Dunia di Bihar, India, Mac lalu dan kejohanan kali ini bakal menjadi pentas kebangkitan pasukan negara.
“Persiapan barisan pemain ketika ini berada pada tahap 80 peratus. Barisan jurulatih sudah melakukan ‘post-mortem’ dan telah mengenal pasti kelemahan.
“Pada kejohanan kali ini, PSM menyasarkan untuk mara ke final, terutama bagi acara regu dan double,” katanya selepas sesi undian yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejohanan itu nanti, empat acara akan dipertandingkan iaitu beregu, regu, berpasukan dan kuadron, melibatkan penyertaan daripada 14 buah pasukan terbaik rantau Asia.
Selain itu, pemain negara dijangka bakal menerima sokongan padu daripada penonton selepas mereka berjaya mencipta persembahan memukau di Piala Dunia 2024 di gelanggang yang sama pada tahun lalu.
“Kejohanan ini berlangsung di venue yang sama seperti tahun lalu. Pada Piala Dunia 2024, kita muncul juara dalam acara regu dan double. Kali ini, di hadapan penyokong sendiri, saya harap kejayaan yang sama dapat diulangi,” katanya.
Sementara itu, perubahan dalam peraturan ‘challenge’ juga buat pertama kali akan diperkenalkan pada Piala Asia nanti yang mana setiap pasukan akan mempunyai dua peluang challenge, dan jika berjaya, jumlah itu kekal sama seperti pendekatan yang digunakan dalam sukan badminton.
Terdahulu, pada sesi undian hari ini, skuad kuadron negara diundi dalam Kumpulan B bersama Filipina, Jepun dan China, manakala Kumpulan A terdiri daripada Vietnam, Singapura, Korea dan Pakistan.
Bagi acara double pula, Malaysia bakal berdepan saingan sengit daripada musuh tradisi Thailand, selain Taiwan dan Nepal dalam Kumpulan B, manakala Kumpulan A disertai Indonesia, India dan Brunei.
Acara regu pula menampilkan saingan Malaysia dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura.