Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN) KE UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.

Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk menjadikan UPSI sebagai salah satu pusat latihan kebangsan dengan kerjasama dan bantuan kepakaran kejurulatihan dari MSN. Selain itu, perbincangan mengenai akademik, teknikal, jaringan latihan, penyelidikan & pembangunan atlet serta pembangunan data dan sistem pengurusan sukan MSN.

Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh pembangunan sukan negara ke arah kecemerlangan berterusan.

MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS TEKNIKAL SUKAN MALAYSIA XXII SELANGOR 2026 BIL.2/2025

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XXII Selangor 2026 Bil. 2/2025 yang diadakan di Shah Alam.

Pada mesyuarat tersebut, nama bagi Ketua Delegasi Teknikal (KDT) dan Pengurus Pertandingan bagi SUKMA Selangor 2026 telah disahkan selain penetapan acara sukan bagi temasya sukan dwitahunan itu.

Mesyuarat telah dihadiri oleh wakil Majlis Sukan Negeri serta wakil dari 37 jenis sukan yang akan di pertandingkan di SUKMA Selangor 2026.

PROGRAM SPORTS ICON MELAKA BERSAMA SHARON WEE

Majlis Sukan Negara menerusi Sekretariat Wanita Dalam Sukan hari ini mengadakan Program Sports Icon Melaka bertampat di SMK Tinggi Perempuan Melaka.

Untuk program kali ini, Majlis Sukan Negara berkolaborasi bersama Majlis Sukan Negeri Melaka membawa Ikon Sukan Negeri yang merupakan legenda sukan skuasy negara, Sharon Wee untuk berkongsi pengalaman pahit dan manis beliau sepanjang bergelar atlet, sesi motivasi serta sesi bertemu mesra bersama pelajar-pelajar yang hadir.

Turut hadir menyerikan program tersebut Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, YBrs. En Mohd Asri Hj. Ninggal.

PROGRAM IKRAR BEBAS RASUAH SUKAN MALAYSIA & SUKAN PARA SUKMA XXII SELANGOR 2026

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) hadir menyaksikan Program Ikrar Bebas Rasuah bersama Ketua Delegasi Teknikal (KDT) dan Pengurus Pertandingan SUKMA XXII Selangor 2026 pada 4 September di Hotel Concorde, Shah Alam.

Program ini menjadi simbol akujanji semua KDT dan Pengurus Pertandingan untuk melaksanakan tugas dengan telus, berintegriti dan bebas daripada rasuah, sekali gus memastikan penganjuran kejohanan berjalan secara profesional dan berlandaskan tatakelola yang baik.

Sesi menandatangani ikrar oleh wakil KDT En. Zakaria bin Hassan dari sukan pencak silat turut disaksikan oleh YBrs. Tuan Zakkuan Talib, Timbalan Pesuruhjaya Pengarah SPRM Kuala Lumpur, YBrs. Ketua Pengarah MSN, YBhg.Dato’ Mohd Yazid bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat SUKMA Selangor 2026 dan YBhg. Datuk Nasir bin Ali, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia.

MESYUARAT PENYELARASAN PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2025 BIL. 2/2025

Berbaki kurang 25 hari lagi sebelum berlangsungnya PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025, segala persiapan kini giat diperkemas bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berprestij edisi ke-29 tersebut.

Menerusi Mesyuarat Penyelarasan Ketua-Ketua & Teknikal Bil. 2/2025 di Dorsett Grand Subang hari ini, fokus utama diberikan kepada peranan dan strategi setiap jabatan serta kepatuhan peraturan-peraturan baharu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) termasuk beberapa penambahbaikan prosedur berkaitan keselamatan.

Turut hadir mempengerusikan mesyuarat, Pengarah Acara PLTdL 2025, En. Mohd Safrushahar Yusoff, serta Ketua Pegawai Operasi PLTdL, En. Emir Abdul Jalal.

Arab Saudi sedia jadi tuan rumah Sukan Solidariti Islam 2025

Kuala Lumpur: Arab Saudi sedang bersiap sedia untuk menganjurkan edisi keenam Sukan Solidariti Islam yang akan berlangsung dari 7 hingga 21 November depan.

Acara pelbagai sukan itu akan menghimpunkan atlet elit dari 57 negara dunia Islam, yang akan bersaing dalam 23 acara bertaraf dunia di pelbagai venue sekitar Riyadh.

Sukan Solidariti Islam adalah acara pelbagai sukan ketiga terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia, sekali gus menekankan kepentingannya dalam menyatukan bakat-bakat sukan dari dunia Islam.

Arab Saudi juga berbangga kerana menjadi tempat kelahiran acara ini, selepas menganjurkan edisi sulungnya pada tahun 2005.

Malaysia turut mempunyai rekod membanggakan di Sukan Solidariti Islam, apabila berada di kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan pungutan pingat.

Atlet negara meraih sebanyak 91 pingat, termasuk 33 emas, 23 perak, dan 41 gangsa, sekali gus memperlihatkan kekuatan sukan Malaysia di pentas ini.

Dengan venue yang sudah siap dan persiapan akhir sedang dijalankan, Sukan Solidariti Islam Riyadh 2025 menjanjikan sebuah perayaan acara pelbagai sukan dan budaya yang tidak dapat dilupakan, menghimpunkan kecemerlangan atlet dan perpaduan umat Islam.

Speedy Tigers berpeluh sebelum benam China 2-0

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara bermula baik pada pusingan Super 4 Piala Asia 2025 di Bihar, India, selepas mengatasi China 2-0, hari ini.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Sarjit Singh bergelut untuk mencipta jaringan terutama pada separuh masa pertama dan hanya memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Selang dua minit kemudian, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengukuhkan kedudukan Speedy Tigers dengan menjaringkan gol padang dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara akan berdepan ujian getir bertemu pasukan tuan rumah yang menduduki ranking ketujuh dunia ketika ini, malam esok.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada skuad negara dengan pertemuan kali terakhir semasa Trofi Juara-Juara Asia di China tahun lalu menyaksikan India membelasah Speedy Tigers 8-1.

Kemudian skuad negara akan menamatkan aksi round robin bertemu Korea Selatan, Sabtu ini.

Malaysia perlu memburu sekurang-kurangnya tempat kedua bagi menempah tiket ke final, yang secara automatik menawarkan slot ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda, jika muncul juara.

Jun Hao, Zii Jia berentap di pusingan pertama Terbuka Hong Kong

Kuala Lumpur: Siapa lebih layak digelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara?

Persoalan itu bakal terjawab apabila dua pemain terbaik negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao diundi bertemu seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.

Berdasarkan ranking semasa, Jun Hao kini berada di kedudukan ke-23 dunia, sekali gus mengatasi Zii Jia yang menghuni tangga ke-47.

Namun, rekod pertemuan jelas memihak kepada Zii Jia yang juga bekas juara Asia apabila memenangi semua tiga perlawanan menentang Jun Hao termasuk di suku akhir Terbuka Artik 2023 sebelum muncul juara.

Kedua-dua pemain itu sedang memburu kebangkitan selepas kempen hambar di Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu.

Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan buku lali terkandas di pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin manakala Jun Hao pula tewas di pusingan kedua kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil selaku pilihan pertama dan akan membuka tirai menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.

Mereka berpotensi bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang diletakkan sebagai pilihan kedua di pentas final.

Sze Fei-Izzuddin akan membuka kempen menentang Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China.

Beregu wanita negara yang juga juara bertahan dan masih segar dengan gelaran naib juara dunia, Pearly Tan-M Thinaah akan menentang Chang Chin Hui-Yang Ching Tun dari Taiwan pada aksi pembukaan.

Manakala juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu pasangan England, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen.

Bagaimanapun, status penyertaan Tang Jie-Ee Wei di Hong Kong masih menjadi tanda tanya selepas kejayaan bersejarah mereka di Paris.

“Kita memang daftar untuk Terbuka Hong Kong, tetapi kita akan lihat keadaan mereka. Jika tidak bersedia, mereka akan tarik diri,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.

ASTAF perkenal SOP salah laku pemain, pegawai pasukan di STL-CC

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi menangani salah laku pemain serta pegawai yang akan dikuatkuasakan buat pertama kali pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) Piala Juara-Juara (STL-CC) 2025 bermula hari ini.

Arena Karisma, Seremban bakal menjadi gelanggang ujian SOP berkenaan selepas beberapa insiden tidak profesional mewarnai Grand Prix STL 2025 sebelum ini, termasuk aksi keterlaluan seperti menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil dan menendang papan iklan yang pernah mencetuskan kontroversi di Kuala Lumpur serta Johor Bahru.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan salah laku itu mencalar imej sukan tradisi berkenaan dan tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi saingan kali ini turut membariskan kelab luar seperti Ratchaburi (Thailand), Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.

Beliau berkata, lima wakil tempatan turut berentap iaitu juara STL Divisyen Perdana, Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers dan Johor Tigris.

Menurut Abdul Halim, SOP baharu itu memberi kuasa penuh kepada pengadil untuk melayangkan kad merah atau kuning secara automatik sebelum dikenakan penggantungan sehingga siasatan tatatertib selesai dijalankan jawatankuasa penganjur.

“Langkah ini akan memperkukuh peraturan sedia ada di bawah Undang-undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) selain memperkemas tanggungjawab pengadil.

“Saya kesal ada jurulatih yang sudah dikenakan kad merah tetapi masih dibenarkan bersama pasukan pada perlawanan berikutnya.

“Pengadil pula tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana mengawal gelanggang bukanlah tugas mudah,” katanya.

Apa orang nak cakap, itu urusan mereka – Ee Wei

Kuala Lumpur: “Apa orang nak cakap, itu urusan mereka. Yang penting kami tidak pernah mengecewakan diri sendiri, negara dan semua orang.”

Itu reaksi berani pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei selepas berjaya menamatkan segala kritikan terhadap dirinya bersama gandingannya, Chen Tang Jie, dengan menghadiahkan Malaysia pingat emas Kejohanan Badminton Dunia hujung minggu lalu.

Empat tahun lalu, Ee Wei pernah tenggelam dalam kecaman peminat yang meragui tahap permainannya. Namun, semangat kental dan latihan tanpa mengenal erti penat akhirnya membuktikan segala cakap-cakap negatif itu tidak lebih daripada sekadar bunyi kosong.

“Bagi kami, kami berlatih bersungguh-sungguh setiap hari, kami tidak mengecewakan sesiapa pun. Lakukan yang terbaik untuk diri sendiri, dan berjuang untuk negara di gelanggang.

“Tidak kira apa yang orang lain mahu katakan, itu urusan mereka, kami tidak boleh kawal,” katanya dalam Bahasa Mandarin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Tang Jie pula menganggap kejayaan bersejarah ini hanyalah permulaan kepada misi lebih besar mereka selepas ini.

“Perasaan sekarang sudah tentu sangat gembira. Segalanya tidak mudah. Jadi, ini bukanlah titik akhir kami. Kami mesti terus rendah diri dan terus mendahagakan kejuaraan seterusnya,” jelasnya.

Kejayaan pasangan ini sekali gus menjadi jawapan paling tuntas terhadap segala kritikan yang pernah singgah di telinga mereka sebelum ini.

Tang Jie-Ee Wei mencetus sejarah gemilang pada sambutan Hari Merdeka apabila menundukkan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit di pentas final Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris.