Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAD berhasrat rangkul emas Kejohanan Dunia Dodgeball 2026

Kuala Lumpur: Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) menaruh harapan tinggi kepada pemain negara untuk menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri bagi memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia 2026.

Presiden MAD, Datuk Radha Krishnan berkata, beliau melihat ini adalah peluang terbaik buat skuad negara mengulangi pencapaian muncul juara dunia, walaupun menyedari ia bukan tugas mudah kerana persaingan cukup sengit daripada negara bertanding.

“Belum ada lagi (sasaran secara khusus). Tapi sebagai tuan rumah, sasaran kita mestilah mahu menang emas.

“Kita pernah menang Kejohanan Dunia pada 2022. Tapi saingan semakin kuat kerana banyak negara kini semakin meningkat dan berlatih bersungguh-sungguh.

“Kejohanan Dunia tahun depan dijangka disertai 80 hingga 90 negara membabitkan sekitar 1,800 peserta.

“Ini satu perkembangan positif untuk Malaysia kerana kita antara kuasa besar dodgeball dunia. Walaupun sukan ini bermula di Amerika Syarikat (AS), kita kini berada dalam kelompok tiga terbaik dunia,” katanya.

Malaysia muncul juara dunia 2022 apabila skuad dodgeball lelaki negara mengalahkan Australia (10-5) di final Kejohanan Dodgeball Dunia di Edmonton, Kanada.

Melihat dodgeball semakin mendapat sambutan daripada pelbagai negara, beliau menaruh harapan tinggi agar sukan berkenaan dipertandingkan dalam temasya utama sama ada di rantau ini atau di dunia termasuk Sukan Olimpik akan datang.

“Harapan saya satu hari nanti dodgeball akan dipertandingkan di Sukan Sea, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Ketika ini Arab Saudi akan membuat bidaan menjadi tuan rumah Olimpik akan datang dan kita berharap dodgeball dapat dipertandingkan di Olimpik 2036.

“Di Asia Tenggara, negara seperti Singapura, Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia semakin aktif bermain dodgeball.

“Di Malaysia sahaja, sukan ini sudah diperkenalkan di 330 sekolah rendah dan 320 sekolah menengah. Kami membuat banyak kerja asas untuk membangunkannya di peringkat akar umbi.

“Jadi kami perlukan sokongan keluarga, KBS (Kementerian Belia Sukan) dan Kementerian Pendidikan untuk membawa dodgeball ke tahap seterusnya,” katanya.

Beliau berpuas hati apabila skuad dodgeball negara muncul juara keseluruhan dengan memenangi tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Dodgeball Asia yang berakhir semalam.