Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean mahu menjadikan Sukan Sea Thailand, bulan depan sebagai pentas untuk melakar sejarah peribadi iaitu memburu hatrik emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas selepas mendominasi dua edisi terdahulu di Hanoi dan Kemboja.
Mengakui persaingan semakin sengit, Hoe Yean, 23, menegaskan hasratnya itu bukan satu jaminan, namun tetap menjadi motivasi utama untuk terus memperbaiki setiap aspek perlumbaan menjelang temasya terbesar Asia Tenggara itu.
“Memang saya sangat harap dapat hatrik, tapi ia bukan sesuatu yang mudah kerana semua orang sedang berjuang dan saya sendiri perlu tingkatkan diri.
“Apa yang penting, saya nak dapatkan pingat untuk Malaysia dan banggakan kontinjen kita,” katanya.
Dijadual mengetuai cabaran skuad renang lelaki negara, Hoe Yean menjangka ancaman terbesar bukan datang daripada tuan rumah, Thailand, sebaliknya dari perenang Singapura dan Vietnam yang disifatkannya jauh lebih konsisten dalam acara jarak sederhana.
“Untuk Thailand memang mereka kuat, tapi bagi acara saya, Singapura dan Vietnam akan jadi pesaing utama.
“Jadi saya kena berhati-hati dengan dua negara ini,” katanya.
Dua tahun kebelakangan ini menyaksikan Hoe Yean muncul antara perenang terbaik negara terutama selepas kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Asia, situasi yang meletakkan tekanan tambahan terhadapnya apabila ramai meramalkan pingat emas seakan ‘wajib’ diraih olehnya berdasarkan prestasi semasa.
Namun anak muda itu kekal tenang sambil menjelaskan kunci prestasinya kini adalah sikap lebih matang dalam mengurus tekanan.
“Kalau saya tak fikir sangat pasal tekanan, semuanya okey. Jadi sekarang saya kena fokus nak nikmati perlumbaan saya. Itu yang paling penting.
“Fokus saya akan dialihkan sepenuhnya kepada latihan dalam minggu terakhir sebelum temasya, termasuk mengurangkan penggunaan media sosial ketika pertandingan,” katanya.
Di Thailand, Hoe Yean bakal mengambil bahagian dalam 200m dan 400m gaya bebas, selain beberapa acara berganti-ganti termasuk 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian individu.
Ketika ditanya sasaran peribadinya, Hoe Yean menegaskan tumpuannya kini lebih kepada pembinaan diri ke arah tahap ‘kelas dunia’, termasuk memburu masa yang mampu membawa dirinya ke Sukan Olimpik berdasarkan ‘A cut’.
