Tokyo: Harapan kontinjen negara untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada hari terakhir sukan olahraga di Deaflympics Tokyo 2025 tidak kesampaian apabila wakil Malaysia gagal menyerlah di Stadium Metropolitan Komazawa, hari ini.
Aksi Malaysia bermula dengan acara lompat jauh, menyaksikan Zaiman Megat Abu tidak berjaya mengulangi sentuhan emasnya pada Sukan Sea Pekak Jakarta 2025 apabila sekadar melakukan lompatan 6.57 meter (m) untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan.
Seorang lagi wakil negara, Hazrul Syah Hamri turut kurang bernasib baik selepas menutup saingan di kedudukan terakhir dengan catatan 6.20m.
Nasib terus tidak memihak Malaysia apabila atlet negara, Azlan Kuste yang sebelum ini dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 1,500m turut gagal menampilkan magisnya apabila menamatkan final 5,000m di kedudukan ke-12 dengan catatan 16 minit 38.49 saat (s).
Aksi final itu dikuasai atlet Kenya yang menyapu bersih tiga tempat teratas menerusi Ian Kahinga Wambui (13:52.83s), James Musembi Mwanza (14:15.28s) dan Nelson Kipkorir Rotich (14:43.35s).
Sementara itu, kuartet 4x400m negara dibarisi Muhammad Zumar Azman, Muhammad Zamir Azman, Azlan dan Muhammad Shahrul Azmeer Azman terpaksa berpuas hati di tangga ketujuh walaupun menunjukkan peningkatan dengan catatan 3:33.18s, mengatasi masa 3:33.94s pada pusingan pertama Sabtu lalu.
Acara itu menyaksikan Jepun merangkul emas dengan kepantasan 3:17s, diikuti Colombia (3:18.97s) dan Turkiye (3:19.03s) yang melengkapkan kedudukan podium.
