Tokyo: Beregu campuran negara Edmund Teo-Boon Wei Ying hanya memerlukan 32 minit untuk menumpaskan pasangan Korea Selatan dengan kemenangan straight set pada pusingan kedua Kumpulan C di temasya Deaflympics 2025 di sini hari ini.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, pasangan Edmund-Wei Ying menundukkan Jeong Jincheol-Park Soyi 21-14, 21-19 pada aksi di Keio Arena Tokyo.
Mereka akan menamatkan saingan kumpulan dengan menentang beregu Turki Muhammed Sert-Elif Sahra Demirel esok dalam usaha mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan bagi melangkah ke pusingan seterusnya.
Wei Ying berkata, strategi yang sentiasa dibincangkan bersama Edmund menjadi kunci untuk menghadapi pelbagai cabaran, sekali gus memastikan impian mereka menjejak ke final menjadi kenyataan.
“Cabaran banyak datang dari negara seperti Korea Selatan, China dan India. Semua itu memberikan cabaran yang hebat tapi kita dah buat persiapan untuk menghadapi apa jua yang menghalang.
“Sebabnya apa yang terbaik, kita buat latihan, susah sama-sama dan menang bersama,” katanya menerusi jurubahasa isyarat kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara R Aravindakumara-Foo Zu Tung menumpaskan beregu Turkiye, Dogukan Yilmaz-Nalan Kaygin, 21-8 dan 21-12 pada pusingan pertama Kumpulan D.
Bagaimanapun, Aravindakumara-Zu Tung tumpas kepada beregu Taiwan, Chen Chung-I-Shen Yan-Ru pada pusingan kedua dengan esok, pasangan Taiwan itu akan bertemu Dogukan-Nalan untuk melengkapkan aksi kumpulan.
Ketika ini, pasangan Malaysia berada di tangga kedua kumpulan.
Mengikut format pertandingan acara perseorangan dan beregu, kejohanan dibahagikan kepada tiga peringkat utama, peringkat awal, peringkat kalah mati dan peringkat kedudukan.
Pada peringkat awal, setiap pemain atau pasangan dibahagikan kepada kumpulan yang mengandungi tiga hingga empat peserta dengan setiap peserta akan bertemu semua lawan dalam kumpulan masing-masing sebanyak sekali.
Dua pemain atau pasangan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati dan hanya pemenang perlawanan akan melangkah ke pusingan seterusnya.
Akhir sekali pada peringkat kedudukan, pemain atau pasangan akan disenaraikan mengikut ranking rasmi badminton Jawatankuasa Antarabangsa Sukan Untuk Orang Pekak (ICSD).
