Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives November 14, 2025

PROGRAM BICARA INTEGRITI SEMPENA SAMBUTAN HARI INTEGRITI 2025 PERINGKAT MSN

Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Unit Integriti dengan kerjasama Bahagian Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Program Bicara Integriti bersempena Bulan Integriti Nasional 2025 Peringkat Majlis Sukan Negara, dengan tema “Integriti Teras Kesejahteraan Negara”.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu integriti, amalan tatakelola yang baik, kesalahan tatatertib serta pembudayaan norma kelakuan yang profesional dalam sesebuah organisasi.

Sesi ini telah disampaikan oleh Tuan Kamal Affandi Hashim, aktivis sosial dan penganalisis jenayah terkemuka Malaysia.

Seramai 100 orang peserta terdiri daripada warga MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Sekretariat MASOC telah hadir bagi memeriahkan program ini.

PERJUMPAAN DCDM BERSAMA PASUKAN KABADDI TEMASYA SUKAN SEA 2025, THAILAND

Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA 2025 Thailand, YBrs. Encik Nazmizan Muhammad mengadakan perjumpaan bersama pasukan kabaddi negara pada 14 November 2025 di Auditorium MSN Bukit Jalil.

Perjumpaan diadakan bertujuan mendapatkan perkembangan terkini persiapan pasukan menjelang temasya dwitahunan itu serta memastikan kesiapsiagaan atlet berada pada tahap terbaik.

Pasukan kabaddi negara akan menyertai enam acara, kali pertama sukan itu dipertandingkan di temasya tersebut.

PROGRAM SPORTS ICONS TOUR NEGERI PULAU PINANG

Program Sports Icons Tour telah diadakan pada 14 November 2025 bertempat di Gelanggang Serbaguna, SK Perempuan Methodist, Georgetown, Pulau Pinang.

Jelajah kali ke-7 ini melibatkan penyertaan seramai 600 orang pelajar wanita Tahun 1 hingga 6, menjadikannya penyertaan tertinggi sepanjang pelaksanaan program ini.

Sesi turut diserikan dengan demonstrasi sukan karate, bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai teknik, disiplin dan semangat dalam sukan tersebut.

Atlet jemputan bagi siri kali ini ialah Pn. Nicole Lee, bekas atlet karate negara yang pernah mewakili Malaysia di Sukan SEA 1999.

KURSUS PENDIDIKAN JURULATIH BERTERUSAN CCE ZON BORNEO 2025

Kursus Pendidikan Jurulatih Berterusan (CCE): Basic Life Support (BLS) Zon Borneo 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 13 November 2025 (Khamis) bertempat di Hotel Raia Kota Kinabalu, Sabah. Seramai 29 jurulatih wanita dari Sabah, Sarawak dan Labuan telah menyertai kursus ini.

Kursus ini dikendalikan oleh Pn. Ainon Babok, American Heart Association Life Support Instructor, bersama pembantu tenaga pengajar Pn. Siti Khadijah Sulaiman. Penganjuran kali ke-5 bagi tahun 2025 ini merupakan zon terakhir yang dianjurkan oleh Sekretariat Wanita Dalam Sukan, MSN dengan kerjasama AKK dan ISN.

Kursus ini memberi penekanan terhadap tindakan awal kecemasan termasuk CPR, penggunaan AED, bantuan pernafasan serta kaedah mengenal pasti tanda-tanda henti jantung. Latihan praktikal turut dijalankan bagi memastikan peserta menguasai kemahiran asas menyelamatkan nyawa sebelum bantuan perubatan tiba.