Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sze Fei-Izzuddin harap keajaiban

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berdepan misi getir untuk melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.

Segala-galanya bakal ditentukan pada Masters Kumamoto di Jepun yang membuka tirai esok dan Terbuka Australia dari 18 hingga 23 November ini, dengan pasangan nombor empat dunia itu memerlukan keputusan luar biasa untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia.

Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin menghuni ranking ketujuh dengan 72,770 mata, manakala satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berada di kedudukan ketiga dengan 84,350 mata.

Satu lagi wakil negara iaitu pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah pun mengesahkan tiket ke Hangzhou apabila selesa di tangga kedua dengan 95,320.

Situasi itu menjadikan persaingan kini terarah antara dua beregu negara itu bagi merebut satu lagi slot ke kejohanan berprestij berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (RM12.5 juta).

Hanya lapan pemain atau pasangan terbaik layak ke Jelajah Dunia Akhir, dengan setiap negara terhad kepada maksimum dua wakil.

Secara matematik, Sze Fei-Izzuddin wajib muncul juara di Masters Kumamoto dan Terbuka Australia sambil mengharapkan Wei Chong-Kai Wun tersingkir di pusingan pertama kedua-dua kejohanan berkenaan untuk melayakkan diri ke Hangzhou.

Sekiranya Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua di kedua-dua kejohanan berkenaan, mereka akan mengesahkan tiket ke Hangzhou biarpun Sze Fei-Izzuddin berjaya muncul juara.

Musim lalu, Sze Fei-Izzuddin mencipta sensasi apabila menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland sebelum muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir.

Namun, mereka berdepan dengan prestasi tidak menentu tahun ini apabila setakat ini hanya meraih satu kejuaraan di Terbuka India pada Januari lalu selain muncul naib juara Terbuka Jepun pada Julai.

Wei Chong-Kai Wun yang kini di ranking kelima dunia pula mengintai peluang melakukan penampilan sulung di Jelajah Dunia Akhir.

Kai Wun sebelum ini mengakui bersedia mengambil risiko beraksi di Masters Kumamoto walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis demi merealisasikan impian bersama Wei Chong.

“Selepas ini, kami akan menyertai Masters Kumamoto kerana untuk Jelajah Dunia, kami belum layak dan harus bermain dulu.

“Kami ada mata yang baik dan akan bersaing untuk ke sana. Memang saya terpaksa ambil risiko kerana kami perlu bermain bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir.

“Sebelum ini pun kami sudah cuba pada Terbuka Perancis dan Hylo dan keputusan juga sangat positif,” katanya.

Di Masters Kumamoto, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kedua akan membuka tirai kempen menentang gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju manakala Wei Chong-Kai Wun bertemu wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

Kedua-dua pasangan negara itu berpotensi membuat perhitungan antara satu sama lain sekiranya masing-masing layak ke separuh akhir.