Kuala Lumpur: Skuad petanque negara menutup tirai Kejohanan Petanque Asia Keenam dengan semangat tinggi apabila membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa, sekali gus memberi bayangan positif menjelang Sukan Sea Thailand bulan depan.
Kejohanan yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur itu menjadi medan ujian penting buat skuad kebangsaan yang kini berada dalam fasa akhir persiapan menghadapi 11 acara dipertandingkan di Sukan Sea.
Lebih manis, sebahagian besar pingat disumbangkan barisan pelapis muda, membuktikan bahawa program pembangunan petanque negara berada di landasan tepat dan tidak hanya bergantung kepada pemain senior.
Antara penyumbang utama ialah trio muda Mohd Muqri Arif Mohd Sapiny, Muhd Idham Shahrulzahari dan Khairul Amirul Zamrul Hisyam yang meraih gangsa dalam acara triple lelaki, serta skuad remaja campuran yang memenangi perak dalam triple campuran.
Dua lagi perak hadir daripada acara shooting menerusi Nur Iman Aina dan Muhd Harith Muhaimin Hafaizul, manakala pemain senior, Muhammad Nuzul Azwan Ahmad Temizi, turut menyumbang gangsa dalam acara sama.
Ketua jurulatih negara, Nasir Mohd Noor, menyifatkan keputusan itu sebagai tonik berharga menjelang aksi di Chiang Mai nanti.
“Kita dianggap bukan pilihan dalam acara shooting, tetapi atlet-atlet mempamerkan semangat luar biasa.
Prestasi mereka menunjukkan peningkatan ketara dan kami akan terus mantapkan persiapan untuk merapatkan jurang dengan Thailand dan Vietnam,” katanya yang mengesahkan barisan sama akan dibawa ke Sukan Sea.
Sementara itu, Nuzul Azwan, yang turut mengendalikan skuad remaja, yakin perbezaan tahap antara Malaysia dan kuasa Asia semakin mengecil hasil pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa.
“Pemain muda kita makin matang dan lebih berani beraksi di pentas besar. Keputusan ini bukti mereka mampu bersaing dengan nama besar rantau ini,” katanya.
Thailand muncul juara keseluruhan dengan pungutan tiga emas dan tiga gangsa (3-0-3), diikuti Kemboja (2-1-0), Indonesia (1-0-1) dan Malaysia (0-3-3).
Walaupun tanpa sebarang emas, prestasi seimbang dipacu bakat muda memberi harapan baharu bahawa skuad petanque negara masih kekal antara pencabar podium utama di pentas Sukan Sea Thailand nanti.
