Melaka: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima Anugerah Khas Ikon Tokoh Lestari Sukan Negeri Melaka sempena Anugerah Sukan Melaka kali ke-39, hari ini.
Anugerah berkenaan dinobatkan kepada Ab Rauf di atas sumbanganya kepada pembangunan, kemajuan dan pelbagai program sukan di bawah pentadbirannya di negeri berkenaan.
Dalam masa sama bekas pemain bola sepak Olimpik 1980, Ramli Junit menerima Anugerah Khas pada majlis dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.
Sementara itu pemain badminton beregu negara, Aaron Chia dan atlet wushu, Tan Cheong Min dianugerah sebagai Olahragawan dan Olahragawati dan Lee Ronn (wushu) dan Nurul Syasya Khairina Samsur meraih gelaran olahragawan dan olahragawati harapan.
Ab Rauf berkata, majlis berkenaan bukan sekadar penghargaan, tetapi pentas pengiktirafan terhadap keberanian, kesungguhan dan kecekalan pahlawan sukan Melaka yang meletakkan arena sukan sebagai medan perjuangan sebenar.
“Sepanjang 2023-2024 menyaksikan momentum positif perkembangan sukan Melaka mencatatkan lebih 794 atlet aktif dalam Program Pembangunan Pelapis Negeri, Bakat dan Bakat Olimpik di bawah Majlis Sukan Negeri Melaka.
“Kutipan pingat di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) turut melonjak 37.3 peratus, iaitu daripada 51 pingat pada SUKMA 2022 kepada 70 pingat pada SUKMA 2024.
“Dalam pada itu, beberapa sukan seperti wushu, silat, berbasikal termasuk badminton di peringkat Olimpik turut disertai oleh anak watan Melaka yang mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian yang membanggakan sekali gus menggambarkan satu petanda jelas negeri terbabit berada landasan yang tepat untuk lebih cemerlang,”katanya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Melaka turut memperuntukkan sebanyak RM213,000 bagi lapan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka kendalian Majlis Sukan Negeri (MSN) berkenaan termasuk hadiah insentif kemenangan atlet pada majlis terbabit.
Rauf berkata, antara pencapaian yang membanggakan termasuk beregu campuran negara, Toh Ee Wei negara yang menjuarai gelaran sulung Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris selain Kejohanan Wushu Dunia, Brazilia, menerusi tiga atlet membabitkan Tan Cheong Min, Si Shing Peng dan Ti Kai Jie, yang berjaya meraih empat emas, satu perak dan dua gangsa.
Malah silat olahraga, menerusi Muhammad Raqib Darwisy Muhammad yang meraih gangsa di Temasya Sukan Remaja Asia (Asian Youth Games) 2025 di Bahrain selain atlet berbasikal Hafiq Mohd Jafri membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Trek Germany 2025.
