Kuala Lumpur: Jaguh petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, kembali menjadi sandaran utama Malaysia apabila mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Petanque Asia yang membuka tirai esok di Arena Petanque Kuala Lumpur, Pudu Ulu, Cheras.
Selepas mencipta sensasi di pentas dunia dengan pingat gangsa acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia di Rom, Itali, September lalu, Hafizuddin kini menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan skuad negara mampu menaiki podium di laman sendiri.
Bukan sekadar pengalaman dan reputasi, Hafizuddin membawa semangat baharu buat kontinjen negara yang optimis mengekalkan rentak positif di pentas Asia.
“Kejayaan di Rom jadi pembakar semangat. Kami mahu buktikan Malaysia masih kuasa besar Asia dalam sukan ini,” kata sumber dalam pasukan ketika ditemui.
Turut mencuri perhatian ialah barisan atlet wanita negara, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit yang kini berada di prestasi terbaik selepas aksi meyakinkan di Kejohanan Dunia Triple Wanita di Perancis bulan lalu.
Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) untuk menganjurkan kejohanan berprestij ini, selepas edisi 2018 dan 2023, susulan perpindahan venue asal dari Iran kerana faktor keselamatan dan logistik.
Sebanyak 141 peserta dari 15 negara akan bersaing dalam dua acara utama ‘precision shooting’ dan ‘triple’ bagi kategori lelaki, wanita serta remaja sepanjang empat hari kejohanan.
Menurut Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng, penganjuran kali ketiga ini menjadi pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas serantau.
“Kita amat berbangga diberi kepercayaan menganjurkan kejohanan penting ini. Penyertaan meluas termasuk lapan negara Asia Tenggara menjadikan saingan lebih sengit, terutama menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini,” katanya.
Edisi kali ini turut dianggap sebagai medan terbaik menguji keupayaan skuad negara menjelang Sukan Sea Thailand, dengan lapan negara Asia Tenggara, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei, menjadikan kejohanan ini sebagai platform pemanas badan terakhir.
Dengan momentum positif dan kelebihan beraksi di laman sendiri, harapan tinggi disandarkan kepada Hafizuddin dan rakan sepasukan untuk membawa pulang keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.
