Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives November 5, 2025

Emma Firyana berjaya mara ke final

Kuala Lumpur: Jaguh boling padang, Emma Firyana Saroji menceriakan kem negara apabila berjaya melangkah ke pentas akhir perseorangan wanita Piala Dunia 2025, sebentar tadi.

Beraksi di halaman sendiri, Emma Firyana menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin untuk menewaskan pesaing dari Australia, Dawn Hayman 2-1 pada separuh akhir yang penuh sengit di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Bagaimanapun, pemain berpengalaman itu dikejutkan pada set pertama sebelum bangkit dalam dua set seterusnya untuk memastikan sekurang-kurangnya pingat perak sudah berada dalam genggaman pasukan negara.

“Prestasi saya sebenarnya agak turun naik kerana masih mencari momentum terbaik untuk kejohanan ini.

“Namun Alhamdulillah, segala perancangan hari ini menjadi dan saya berjaya ke final,” katanya.

Sementara itu, hasrat untuk melihat pertemuan sesama sendiri tidak kesampaian apabila seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil tewas 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall.

Kekalahan itu menyaksikan Alyani muncul wakil pertama negara menyumbang pingat gangsa buat kem negara.

“Saya akan cuba ubah warna pingat ini apabila turun bersama Emma dalam acara berpasangan wanita bermula esok,” katanya.

Pada perkembangan sama, perjuangan beregu lelaki berakhir di peringkat kumpulan selepas gandingan Izzat Shameer Dzulkeple–Soufi Rusli sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.

Hafizuddin pimpin cabaran negara

Kuala Lumpur: Jaguh petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, kembali menjadi sandaran utama Malaysia apabila mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Petanque Asia yang membuka tirai esok di Arena Petanque Kuala Lumpur, Pudu Ulu, Cheras.

Selepas mencipta sensasi di pentas dunia dengan pingat gangsa acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia di Rom, Itali, September lalu, Hafizuddin kini menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan skuad negara mampu menaiki podium di laman sendiri.

Bukan sekadar pengalaman dan reputasi, Hafizuddin membawa semangat baharu buat kontinjen negara yang optimis mengekalkan rentak positif di pentas Asia.

“Kejayaan di Rom jadi pembakar semangat. Kami mahu buktikan Malaysia masih kuasa besar Asia dalam sukan ini,” kata sumber dalam pasukan ketika ditemui.

Turut mencuri perhatian ialah barisan atlet wanita negara, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit yang kini berada di prestasi terbaik selepas aksi meyakinkan di Kejohanan Dunia Triple Wanita di Perancis bulan lalu.

Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) untuk menganjurkan kejohanan berprestij ini, selepas edisi 2018 dan 2023, susulan perpindahan venue asal dari Iran kerana faktor keselamatan dan logistik.

Sebanyak 141 peserta dari 15 negara akan bersaing dalam dua acara utama ‘precision shooting’ dan ‘triple’ bagi kategori lelaki, wanita serta remaja sepanjang empat hari kejohanan.

Menurut Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng, penganjuran kali ketiga ini menjadi pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas serantau.

“Kita amat berbangga diberi kepercayaan menganjurkan kejohanan penting ini. Penyertaan meluas termasuk lapan negara Asia Tenggara menjadikan saingan lebih sengit, terutama menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini,” katanya.

Edisi kali ini turut dianggap sebagai medan terbaik menguji keupayaan skuad negara menjelang Sukan Sea Thailand, dengan lapan negara Asia Tenggara, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei, menjadikan kejohanan ini sebagai platform pemanas badan terakhir.

Dengan momentum positif dan kelebihan beraksi di laman sendiri, harapan tinggi disandarkan kepada Hafizuddin dan rakan sepasukan untuk membawa pulang keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.

Faizal mahu kembali beraksi

Kuala Lumpur: Selepas 10 bulan berehat, bekas penyerang hoki negara, Faizal Saari meluahkan hasrat untuk keluar daripada dunia persaraan dan kembali menyarung jersi Speedy Tigers sekiranya diberikan ruang dan peluang oleh barisan kejurulatihan negara.

Menurut Faizal, dia sentiasa bersedia memberikan komitmen terbaik andai dipanggil semula ke pangkuan pasukan Malaysia selepas pernah menjadi antara penggempur utama negara suatu ketika dahulu.

“Hasrat untuk kembali ke skuad kebangsaan sentiasa ada dalam diri saya. Jika diberi ruang dan peluang, insya-Allah saya sedia menabur bakti,” katanya di Instagram miliknya.

Jelas penyerang berpengalaman negara itu, usia bukan penghalang buatnya selagi fizikal, disiplin dan prestasi masih mampu berada pada tahap kompetitif untuk membantu skuad negara.

“Saya tetap berlatih, saya jaga fizikal saya dan saya masih percaya saya mampu beri sesuatu kepada pasukan negara,” katanya.

Untuk makluman, Faizal antara penjaring paling prolifik buat Malaysia dan memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk Piala Dunia, Piala Asia serta siri kejohanan besar lain.

Pengumuman dari pemain itu dilihat satu perkembangan positif dan mampu menambah kekuatan pasukan negara terutama dalam Kelayakan Piala Dunia awal tahun hadapan.

Untuk rekod, penyerang berusia 34 tahun itu mengambil keputusan untuk bersara daripada mewakili pasukan negara pada Februari lalu selepas 15 tahun menabur bakti bersama Speedy Tigers.

Sejak mewakili negara seawal usia 18 tahun, Faizal sudah membuat 302 penampilan bersama pasukan Malaysia.

PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN SISTEM RAWATAN AIR KUMBAHAN FASA 1 DAN ‘GREATRAP’ DI KAFETARIA ATLET SECARA KONTRAK BERKALA DI AKADEMI BOLA SEPAK MOKHTAR DAHARI, GAMBANG, PAHANG UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Pahang serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Pahang/Cawangan,Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) permit IPA Jenis D bagi Negeri Pahang dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221010 – Kolam Kumbahan/Sisa Perawatan/Talian Paip/Sesalur

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/057/2025 (SK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN SISTEM RAWATAN AIR KUMBAHAN FASA 1 DAN ‘GREATRAP’ DI KAFETARIA ATLET SECARA KONTRAK BERKALA DI AKADEMI BOLA SEPAK MOKHTAR DAHARI, GAMBANG, PAHANG UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 5 NOVEMBER 2025 (RABU)
TAKLIMAT : 6 NOVEMBER 2025 (KHAMIS/10.00 PAGI)
& LAWATAN TAPAK BLOK PENTADBIRAN AMD, PAHANG
TARIKH TUTUP : 13 NOVEMBER 2025 SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Akuan Pembida dan Borang Maklumat Penyebutharga dan dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

Gandingan Emma–Alyani jadi taruhan

Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara melihat gandingan Emma Firyana Saroji–Nurul Alyani Jamil yang akan turun dalam acara beregu wanita mampu menghasilkan keputusan positif pada Piala Dunia 2025 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, esok.

Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, beliau melihat Emma Firyana–Alyani mempunyai keserasian yang baik dan mampu menampilkan persembahan cemerlang meskipun perlu berdepan tentangan sengit nanti.

Malah, keputusan muncul naib juara Kejohanan Terbuka Australia baru-baru ini menjadi petanda positif menjelang saingan kali ini.

“Keputusan (Terbuka Australia) adalah keputusan positif kerana ia kejohanan yang paling berprestij di dunia. Mereka mampu menghadapi cabaran besar itu dan ia sudah cukup menjadi petanda baik untuk pasukan kita.

“Namun, cabaran Piala Dunia ini berbeza. Tak sama seperti kejohanan-kejohanan lain yang mereka lalui dan saya berharap wakil kita berjaya menghadapi ujian yang ada di sini, terutama tekanan sebagai tuan rumah,” katanya.

Selain itu, pemilihan pasangan berkenaan dibuat berdasarkan prestasi semasa selain pencapaian antarabangsa serta sikap profesional yang ditunjukkan sepanjang latihan.

“Pemilihan mereka dibuat berdasarkan ranking, prestasi, penyertaan di kejohanan luar negara serta pencapaian tertinggi masing-masing.

“Emma sebelum ini memenangi pingat gangsa di Champion of Champions World Cup di Aberdeen manakala Alyani pula meraih pingat emas di kejohanan Asia baru-baru ini. Semua kriteria itu diambil kira oleh persatuan.

“Kelayakan mereka berdasarkan merit sepenuhnya. Semua aspek termasuk disiplin dan semangat pasukan diberi perhatian,” katanya.

Untuk makluman, kedua-dua pemain itu turut beraksi dalam acara perseorangan semalam dengan permulaan yang agak baik dan diharapkan mampu mencipta kejayaan lebih besar dalam acara beregu.

Kai Wun tak rela sejarah lalu berulang

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun tidak mahu sejarah tahun lalu berulang dan kini akan terus berjuang untuk memastikan mereka layak selaku pasangan kedua ke Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan biarpun perlu bertarung dalam kondisi tidak cergas sepenuhnya.

Jelas Kai Wun, ketika ini kedudukan mereka sangat cerah untuk layak dan sebab itu dia akan tetap berjuang meskipun kini berdepan kecederaan yang mungkin boleh memberi kesan terhadap prestasi dalam gelanggang.

Katanya, kecederaan betis yang dialami ketika Terbuka Hylo tidak akan mengganggu dan tetap akan memberi fokus kepada pertandingan akan datang untuk memastikan kedudukan mereka ke Jelajah Akhir lebih terjamin.

“Betis saya masih ada bengkak. Saya rasa ada lagi koyak (kesan kecederaan) sedikit, tapi tak pasti. Mungkin esok (hari ini) baru kena imbasan sekali lagi untuk tahu sama ada ada perubahan ke arah lebih baik atau sebaliknya.

“Kita akan sertai Masters Jepun sebab tiket kita ke Jelajah Akhir BWF masih belum pasti. Jadi, kita perlu bermain dulu kerana setakat ini peluang kita untuk mara agak cerah. Kita akan berjuang untuk itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kecederaan itu akan memberi kesan besar terhadap peluang ke Jelajah Akhir BWF, Kai Wun mengakui sedikit terganggu pada awalnya namun tetap positif.

“Mula-mula saya tengok kecederaan ini, memang susah hati. Masa itu dalam dua tiga hari saya berfikir dan hanya diri sendiri tahu apa yang dirasai. Semua orang tak tahu. Orang luar nampak macam okay saja, tapi hati kita siapa tahu,” katanya.

Untuk rekod, pasangan utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik sudah mengesahkan tempat dan kini, Wei Chong–Kai Wun berada di kedudukan ketiga dunia (Jelajah Akhir BWF) memerlukan keputusan positif dalam beberapa kejohanan akan datang.

Untuk layak, mereka perlu memastikan tempat sekurang-kurangnya di suku akhir dan sekiranya mara ke separuh akhir serta final, peluang itu lebih besar untuk memihak kepada gandingan negara itu.

Untuk rekod, tahun lalu mereka hampir layak namun disebabkan tidak konsisten dalam beberapa pertandingan terakhir, tempat mereka dipintas oleh Aaron-Wooi Yik.

PENYEDIAAN SAJIAN MAKAN PETUGAS DAN PASUKAN PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (NFDP) BAGI KARNIVAL KEBANGSAAN NFDP 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Pahang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

040301 – MAKANAN BERMASAK (ISLAM)

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/034/2025 (SP)
TAJUK SEBUTHARGA : PENYEDIAAN SAJIAN MAKAN PETUGAS DAN PASUKAN PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (NFDP) BAGI KARNIVAL KEBANGSAAN NFDP 2025
TARIKH BUKA : 5 NOVEMBER 2025 (RABU)
TARIKH TUTUP : 10 NOVEMBER 2025 (ISNIN)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Muhammad Fitri Mohd Radzi (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929078

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Jadual Acara Sajian

Jadual Menu Sajian

Jadual Spesifikasi Sajian