Serdang: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan murid sekolah memiliki keseimbangan dalam pencapaian akademik, sukan dan bidang kokurikulum bagi memperkasa pembangunan murid secara holistik, serta membentuk sahsiah, disiplin dan daya kepimpinan yang cemerlang.
Timbalan Menteri KPM, Wong Kah Woh, berkata keseimbangan antara akademik dan sukan amat penting kerana sukan membuka ruang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat terpendam mereka.
Menurutnya, KPM sentiasa mencari pendekatan terbaik untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah aktif dan berdaya saing dalam bidang sukan serta kokurikulum.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memastikan anak-anak kita bukan sahaja kuat dari segi akademik tetapi juga seimbang, mempunyai pentas untuk mempamerkan dan membuktikan kehebatan serta bakat masing-masing dalam bidang sukan dan kokurikulum,” katanya.
Sebagai antara inisiatif utama, KPM menganjurkan Liga Sukan KPM yang berkonsepkan pertandingan liga sebagai medan pembangunan bakat secara berstruktur dan berterusan.
Liga ini adalah kesinambungan kepada Liga Bola Sepak KPM yang merangkumi Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun dan Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17, yang dilaksanakan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) sejak 2008.
Penganjuran itu turut diperluaskan kepada sukan lain termasuk Grand Prix Sepak Takraw pada 2011 dan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM Bawah 14 Tahun pada 2012.
Bagi edisi 2025, Liga Sukan KPM diteruskan dengan melibatkan tiga sukan utama bola jaring, sepak takraw dan olahraga yang menghimpunkan penyertaan murid dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) seluruh negara.
Sirkit pertama liga berlangsung dari 25 hingga 27 April lalu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.
Ia kemudian diteruskan dengan sirkit kedua di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dari 11 hingga 13 Julai yang menggunakan tiga venue utama – Dewan Arena Tertutup Gong Badak, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.
Sirkit ketiga yang juga pusingan akhir berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sebagai venue utama. Wong turut menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam menjayakan program pembangunan sukan pelajar ini.
Penganjuran Liga Sukan KPM turut mendapat kerjasama erat daripada persatuan sukan kebangsaan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Olahraga Malaysia (OM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
