Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik simpan tenaga untuk dua misi besar

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak akan menyertai dua kejohanan utama terakhir dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai langkah mengembalikan prestasi terbaik mereka menjelang dua tugasan penting akhir tahun ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengesahkan pasangan ranking kedua dunia itu tidak akan beraksi di Masters Kumamoto di Jepun (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November).

Pengendali yang diberi julukan ‘Naga Api’ itu berkata, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik untuk menjalani latihan intensif selama empat minggu sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Thailand dan Jelajah Akhir Dunia.

Katanya, langkah terpaksa diambil susulan prestasi tidak menentu yang dipamerkan mereka terutama dalam siri kejohanan di Eropah, baru-baru ini.

“Aaron-Wooi Yik tidak akan bermain di Kumamoto dan Australia kerana mereka sudah pun layak ke Jelajah Akhir Dunia. Apa yang lebih penting, mereka memerlukan rehat.

“Fokus utama sekarang adalah untuk mereka menjalani latihan berkualiti dalam tempoh empat minggu akan datang bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk Sukan SEA dan Jelajah Akhir Dunia,” kata Herry.

Dalam kempen di Eropah, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik adalah muncul naib juara di Terbuka Artik sebelum mereka kemudiannya tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark, mara ke separuh akhir Terbuka Perancis serta suku akhir di Terbuka Hylo di Jerman.

Mengulas prestasi anak buahnya, Herry mengakui walaupun pasangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu tampil dengan corak taktikal yang betul, tetapi kadangkala tidak berjaya menyempurnakannya dengan baik.

Malah menurut pengendali dari Indonesia itu, mereka turut cenderung untuk bermain secara terburu-buru, yang akhirnya membawa kepada kesilapan mudah.

Setakat ini, Aaron-Wooi Ying mengharungi jadual padat yang menyaksikan mereka menyertai 20 kejohanan dengan keletihan turut dikenal pasti sebagai salah satu punca prestasi mereka terjejas.

Setakat ini, gandingan itu sudah berjaya merangkul tiga kejuaraan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.