Kuala Lumpur: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mengakui cabaran besar menanti pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, menjelang penampilan sulungnya dalam kelas Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025, namun yakin anak buahnya itu mampu mengawal tekanan apabila beraksi di laman sendiri, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menurut bekas pelumba Moto3 negara itu, walaupun harapan tinggi diletakkan termasuk oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menyatakan hasrat mahu melihat Hakim menjuarai perlumbaan di Sepang, pasukan lebih menumpukan kepada memastikan pelumba berusia 18 tahun itu tampil kompetitif dan tenang di atas jentera.
“Macam Danish cakap, tak mustahil untuk menang sebab dalam perlumbaan apa-apa boleh berlaku. Tapi secara realistik, ini penampilan pertamanya di Grand Prix dunia.
“Kita nakkan yang terbaik, nak dia kompetitif di depan, tetapi untuk menang terus memang sukar. Pun begitu, keajaiban boleh berlaku, mungkin hujan, dia dapat ‘feel’ yang baik dengan motosikal minggu depan,” katanya.
Zulfahmi berkata, pasukan AEON Credit SIC Racing MSI sudah melakukan persiapan rapi untuk memastikan Hakim Danish mendapat pakej terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan.
“Kita bagi yang maksimum, dari potensi jentera hingga ke persiapan teknikal. Ini pakej terbaik untuk pelumba wildcard,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Hakim Danish menunjukkan prestasi positif sejak sesi ujian awal di SIC baru-baru ini.
“Komen pertama Hakim Danish bila bawa motor ini sangat positif. Dari kali pertama keluar, terus catat masa yang kompetitif. Cuma dari segi ‘race pace’, masih perlu diperbaiki sedikit,” ujarnya.
Mengulas tekanan beraksi di hadapan ribuan penonton tempatan, Zulfahmi berkata keutamaan kini ialah memastikan Hakim Danish kekal tenang dan tidak terburu-buru di atas trek.
“Saya harap dia kawal emosi sebab ramai penonton datang menyokong, dan dia masih muda. Saya tak nak dia tertekan atau ‘overpush’ sampai terjatuh. Minggu ini fokus pada latihan ringan supaya dia lebih segar untuk hujung minggu depan nanti,” katanya.
Menurut Zulfahmi, Hakim Danish kini lebih matang selepas menilai semula kesilapan yang dilakukan dalam Red Bull Rookies Cup, apabila tekanan untuk mengekalkan kedudukan teratas menjejaskan prestasinya.
“Dia sedar kesilapan dulu berpunca daripada tekanan yang dia cipta sendiri. Kali ini wildcard ini dianggap sebagai ‘hadiah’ selepas pencapaian podium di Red Bull Rookies Cup, bukan untuk kejar kejuaraan,” katanya.
Dari aspek teknikal, Zulfahmi memaklumkan jentera digunakan Hakim Danish adalah jentera KTM spesifikasi kilang 2025, sama seperti digunakan pasukan utama dunia.
“Ini jentera terbaik yang kita boleh dapat, diimport terus dari Austria dengan semua komponen terkini. Cuma beberapa pelarasan akan dibuat mengikut kesesuaian Hakim Danish,” jelasnya.
Pasukan Hakim Danish akan beroperasi dari pit khas bersebelahan pasukan MSI, bagi membolehkan perkongsian data dan strategi ketika sesi latihan serta kelayakan.