Shah Alam: Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 Ogos sehingga 24 Ogos tahun hadapan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, jumlah acara berkenaan adalah tertinggi dalam sejarah penganjuran temasya itu.
“Jumlah ini sekali gus melebihi lima acara berbanding 469 acara sukan ketika penganjuran SUKMA Sarawak pada 2024.
“Berdasarkan pecahan mengikut jantina pula sejumlah 239 acara sukan membabitkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran.
“Pendaftaran penyertaan setiap sukan oleh setiap negeri atau kontinjen untuk temasya SUKMA XXII 2026 akan dibuka pada awal November ini untuk tempoh dua minggu,” katanya dalam sidang media di Seksyen 7, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 berkata, sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.
“Saya juga ingin mengumumkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 akan bekerjasama dengan Konvensyen Belia Selangor yang dijadualkan akan berlangsung pada 30 September ini di Dewan Raja Muda Musa di sini untuk membuka prapendaftaran sukarelawan SUKMA 2026.
“Pada konvensyen itu, kita juga akan melancarkan kempen menamakan Maskot SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 secara rasmi,” katanya.
Mengulas perkembangan naik taraf beberapa venue, katanya, di peringkat PBT, semua bergerak namun dua venue penting yang belum selesai iaitu Pusat Akuatik Shah Alam dan lapang sasar menembak Subang.
“Jadi kita perlu melalui peraturan dan juga tapisan tertentu di peringkat kerajaan negeri untuk memastikan proses pemilihan syarikat ataupun kontraktor untuk naik taraf itu dipatuhi dengan baik,” katanya.