Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 18, 2025

Pearly-Thinaah mudah ke suku akhir

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Masters China 2025 selepas mencatat kemenangan mudah ke atas wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai, sebentar tadi.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Shenzhen Arena, pasangan yang kini berada di ranking kedua dunia itu hanya memerlukan 26 minit untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan straight set 21-11, 21-8.

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah bakal membuat perhitungan sama ada menentang rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting atau pilihan keenam kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pasangan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Walaupun mempamerkan saingan sengit pada set pertama yang dimenangi 21-16, Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-14 dunia akhirnya akur tewas dalam dua set berikutnya, 7-21, 10-21 dalam perlawanan yang memakan masa 58 minit.

Aaron-Wooi Yik berhempas pulas singkir beregu England

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke suku akhir Masters China selepas menundukkan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy pada aksi pusingan kedua, hari ini.

Bekas juara dunia itu bermula longlai apabila tewas set pertama 14-21, namun bangkit mempamerkan ketenangan untuk meraih kemenangan dalam dua set berikutnya 21-15, 25-23 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 72 minit.

Menanti Aaron-Wooi Yik di suku akhir esok ialah sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, yang akan turun beraksi lewat malam ini.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir selepas Leong Jun Hao tumpas di tangan pemain tuan rumah Li Shi Feng 11-21, 21-19, 8-21.

Turut tersingkir ialah beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas kepada gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 7-21, 10-21.

SUKMA Selangor senarai 474 acara

Shah Alam: Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 Ogos sehingga 24 Ogos tahun hadapan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, jumlah acara berkenaan adalah tertinggi dalam sejarah penganjuran temasya itu.

“Jumlah ini sekali gus melebihi lima acara berbanding 469 acara sukan ketika penganjuran SUKMA Sarawak pada 2024.

“Berdasarkan pecahan mengikut jantina pula sejumlah 239 acara sukan membabitkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran.

“Pendaftaran penyertaan setiap sukan oleh setiap negeri atau kontinjen untuk temasya SUKMA XXII 2026 akan dibuka pada awal November ini untuk tempoh dua minggu,” katanya dalam sidang media di Seksyen 7, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 berkata, sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.

“Saya juga ingin mengumumkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 akan bekerjasama dengan Konvensyen Belia Selangor yang dijadualkan akan berlangsung pada 30 September ini di Dewan Raja Muda Musa di sini untuk membuka prapendaftaran sukarelawan SUKMA 2026.

“Pada konvensyen itu, kita juga akan melancarkan kempen menamakan Maskot SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 secara rasmi,” katanya.

Mengulas perkembangan naik taraf beberapa venue, katanya, di peringkat PBT, semua bergerak namun dua venue penting yang belum selesai iaitu Pusat Akuatik Shah Alam dan lapang sasar menembak Subang.

“Jadi kita perlu melalui peraturan dan juga tapisan tertentu di peringkat kerajaan negeri untuk memastikan proses pemilihan syarikat ataupun kontraktor untuk naik taraf itu dipatuhi dengan baik,” katanya.

Umar waspada ancaman Tuong

Kuala Lumpur: Juara bertahan 400 meter lelaki, Umar Osman menegaskan dia tidak akan leka selepas pelari muda Vietnam, Ta Ngoc Tuong kini muncul pencabar utama susulan memecahkan rekod kebangsaan negaranya menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Ngoc Tuong, 20, dari Phu Thọ mencipta sensasi apabila mencatat 45.59 saat (s) di Kejohanan Olahraga Vietnam 2025, sekali gus memadam rekod lama 45.99s milik Quach Cong Lich yang bertahan sejak 2015.

Lebih menarik, catatan itu dilakukan dengan menewaskan nama-nama besar Vietnam seperti Tran Dinh Son, Le Ngoc Phu dan Tran Nhat Hoang.

Pencapaian itu pantas mencuri perhatian kerana jauh meninggalkan rekod peribadi Umar yang masih terbaik dengan catatan 46s.

Bagaimanapun, Umar menganggap perkembangan itu sebagai motivasi tambahan sebelum menyertai temasya dwi tahunan yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember nanti.

“Bagi saya, saya anggap saja itu rasmi sebab saya tak nak bagi diri saya rasa selesa. Mungkin di Sukan SEA nanti, saya akan berikan saingan sengit pada dia dan cuba buat masa lebih baik daripada dia,” kata Umar.

Menurut Umar, dia pernah menentang Ngoc Tuong pada Kejohanan Asia di Gumi sebelum ini namun ketika itu pencabar dari Vietnam itu hanya berlari dengan catatan 47.5s.

“Saya terkejut juga bila tiba-tiba dia catat 45s. Memang sangat melonjak prestasinya,” jelas Umar.

Atlet berusia 22 tahun dari Johor itu ketika ini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09s yang dilakukannya ketika temasya Sukan Universiti Dunia 2023 di China.

Terbuka Mesir 2025: Perjuangan Sivasangari berakhir di suku akhir

Kuala Lumpur: Perjuangan Malaysia dalam Terbuka Mesir 2025 berakhir selepas wakil tunggal S Sivasangari tewas kepada pemain tuan rumah pada aksi suku akhir di Giza, semalam.

Pada Kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf Berlian itu, Sivasangari pilihan ketujuh sukar menewaskan pilihan keempat Amina Orfi apabila tewas 6-11, 8-11, 11-4, 9-11.

Kekalahan itu adalah kali keenam Sivasangari dalam tujuh perlawanan menentang Amina, sejak bertemu kali pertama pada Terbuka On Fire 2023 di Washington, Amerika Syarikat.

Amina akan berdepan rakan senegara Fayrouz Aboelkheir pada separuh akhir hari ini.

Fayrouz mencipta kejutan terbesar dalam kejohanan itu apabila menewaskan juara bertahan yang juga pemain Mesir Nour El Sherbini dengan keputusan 11-8, 8-11, 9-11, 11-8, 11-5.